Saturday, 21 September 2013

2013 NORTH BORNEO RAILWAY & SANDAKAN BHG. 2 (Sepilok & Labuk Bay)

September 2013

SABAH - 2nd VISIT
North Borneo Railway & Sandakan 

Bahagian 2: Sandakan (1)
SEPILOK & LABUK BAY

HARI KETIGA (1)

Part 5: Sandakan 

Sandakan adalah bandar kedua terbesar di negeri Sabah yang terletak di sebelah pantai timur pulau Borneo. Bandar ini terkenal dengan aktiviti eco-tourism seperti Sungai Kinabatangan, Gua Gomantong, Taman Pemulihan Orang Utan Sepilok dan Pulau Penyu. Oleh yang demikian, memang tidak hairan jika anda melihat sangat ramai pelancong Barat berkunjung ke sini.


Selamat Datang Ke Sandakan
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhHyaqkqS0KAFBPSe1pGkEThfwfliXLDjEy5K-7uW3ZM6q51-HJLkAnWWS9RI_BADNEfN948xtsMN_A_5BLOiWoC5PaSV5cB_l_et7uEM1tRbxo2noXc5iq-DinuLhDobvB3pOxHi6lwLmg/s400/sabah-map-fun.jpg
Peta Tarikan Pelancongan Di Sabah
Aktiviti pelancongan di Sandakan sebenarnya sangat sesuai untuk mereka yang bersifat adventurous. Oleh kerana kami berdua taklah begitu adventurous, kami cuma memilih aktiviti yang agak mild untuk dilaksanakan di Sandakan : melihat orangutan, melihat monyet proboscis dan membuat City Tour sahaja.

Pusat Bandar Sandakan
Stesen Bas Sandakan
Pusat Komersil Bandar Sandakan
Kedai-kedai di Bandar Sandakan
Suatu pemandangan menarik yang kami lihat di Sandakan ialah bandar ini mempunyai banyak roundabout yang dihiasi dengan patung-patung haiwan liar yang dapat dilihat di Sandakan.

Roundabout Helang
Roundabout Buaya
Roundabout Lobster

Part 6: Pusat Pemulihan Orangutan Sepilok 

Program lawatan pertama kami di Sandakan adalah melawat Pusat Pemulihan Orangutan Sepilok. Orangutan adalah haiwan indigenous bagi Pulau Borneo dan ia kini telah semakin pupus. Oleh yang demikian, Pusat Pemulihan Orangutan Sepilok telah didirikan oleh Kerajaan Malaysia bagi membantu memulihara spesis monyet yang sangat istimewa ini.

Turut bersama kami dalam lawatan ke Pusat Pemulihan Orangutan Sepilok ialah sepasang pelancong yang datang dari England. Mereka baru saja pulang dari lawatan ke Pulau Penyu awal pagi itu.


Pusat Pemulihan Orangutan Sepilok
Papan keterangan mengenai Pusat Pemulihan Orangutan Sepilok
Senarai aktiviti di Pusat Pemulihan Orangutan Sepilok
Amaran mengenai kenakalan Orangutan di Sepilok
Pintu masuk ke kawasan konservasi Sepilok
Kafetaria Sepilok
Lawatan ke Pusat Pemulihan Orangutan ini dimulakan dengan menyaksikan satu tayangan video mengenai aktiviti konservasi Orangutan yang dilaksanakan di Sepilok. Banyak yang dapat dipelajari mengenai Orangutan dari tayangan video ini. Antaranya makhluk ciptaan Tuhan ini mempunyai 96% ciri-ciri yang sama dengan manusia. Seperti burung, Orangutan juga sebenarnya membina sarang mereka dari ranting dan daun-daun kering di atas pokok.

Pemandangan di luar bilik tayangan video. Semua pengunjung diminta untuk membuka kasut dan menyimpannya di rak-rak yang disediakan sebelum masuk ke dalam.
Bilik Tayangan Video di Pusat Pemulihan Orangutan Sepilok
Tayangan video mengenai orangutan di Sepilok
Program konservasi orangutan di Sepilok mendapat sokongan dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan dari seluruh dunia. Antara penyokong utama program ini ialah Orangutan Appeal dari United Kingdom.
Kebanyakan orangutan yang dipelihara di Sepilok adalah anak orangutan yang telah terpisah dari ibu mereka. Berdasarkan maklumat dari tayangan video, masyarakat tempatan kini telah mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap program konservasi orangutan. Oleh yang demikian, penduduk-penduduk tempatan sering akan membuat laporan kepada pusat pemulihan ini jika mereka menemui anak orangutan yang sesat dan kelaparan.

Anak-anak orangutan ini akan dipelihara di Pusat Pemulihan Orangutan Sepilok sehinggalah mereka mampu berdikari. Mereka akan dipindahkan dari satu stesen ke stesen yang lain yang semakin jauh ke dalam hutan mengikut kemahiran yang telah diperolehi. Akhirnya, jika mereka dirasakan telah mampu hidup sendiri, mereka akan dilepaskan jauh ke dalam hutan belantara.

Ada di antara orangutan yang telah dilepaskan ini yang tidak kembali lagi ke Pusat ini. Namun, ada juga sebahagian mereka yang sentiasa kembali ke Sepilok untuk mencari makanan. Tiada pagar sempadan didirikan di antara Pusat Pemulihan Orangutan Sepilok dengan hutan belantara di belakangnya. Oleh itu, orangutan-orangutan ini bebas bergerak keluar-masuk ke Sepilok.

Tiada pagar pemisah di antara Pusat Pemulihan Orangutan Sepilok dengan rimba belantara di belakang pusat ini.
Selepas tayangan video selesai, pengunjung dibenarkan masuk ke kawasan konservasi untuk melihat Orangutan Feeding. Atas sebab-sebab keselamatan, pengunjung tidak dibenarkan membawa masuk beg, makanan dan botol minuman ke dalam. Kesemua barang-barang persendirian ini boleh ditinggalkan di dalam loker berkunci percuma yang disediakan oleh pihak Pusat Pemulihan Orangutan ini.

Loker percuma yang disediakan untuk pengunjung menyimpan barang peribadi yang tidak dibenarkan untuk dibawa masuk ke Pusat Pemulihan.
Untuk menyaksikan orangutan dengan lebih dekat, semua pengunjung akan berjalan mengikut laluan jambatan kayu masuk ke platform pemerhatian di mana ranger-ranger di Sepilok akan memberi makan kepada orangutan.

Laluan pejalan kaki ke platform pemerhatian untuk menyaksikan orangutan
Satu lagi checkpoint di Pusat Pemulihan Orangutan Sepilok. Mereka sangat tegas memastikan tiada barang-barang larangan dibawa masuk oleh pengunjung ke tempat pemerhatian Orangutan.
Dalam perjalanan ke platform, pemandu pelancong kami yang bernama Liza sempat menunjukkan kami sebuah sarang Orangutan. Sarang ini dibuat dari daun-daun kering dan ranting-ranting keras di bahagian bawah dan dilapisi daun-daun dan pucuk-pucuk kayu lembut di bahagian atas. Kami diberitahu, Orangutan menggunakan sarang ini untuk tidur dan akan memakan pucuk-pucuk kayu lembut ini bila mereka bangun dari tidur, bak kata Liza: konsep bed and breakfast.

Sarang Orangutan yang sekali imbas kelihatan seperti sarang burung. Orangutan selalunya berpindah-randah dan akan menggunakan sarang mereka sekali sahaja.
Orangutan-orangutan yang dihantar ke Sepilok akan diajar kembali kemahiran hidup di hutan belantara seperti bergayut di antara dahan pokok. Untuk tujuan tersebut, kami dapat melihat tali-tali dipasang di antara pokok-pokok di pusat ini. Tali ini bertujuan untuk memberi panduan kepada orangutan bergayut ke arah tempat makanan.

Tali-tali panduan kepada orangutan yang dipasang di Sepilok
Anak-anak orangutan di Sepilok yang terpisah dari ibu mereka tidak tahu kemahiran hidup di hutan. Oleh itu, mereka akan diajar kembali kemahiran asas seperti bergayut.
Tepat pukul 10.00 pagi setiap hari, Ranger di Sepilok akan memberi makan kepada orangutan. Oleh kerana orangutan di Sepilok dibiarkan lepas bebas, tiada sebarang jaminan diberi kepada pengunjung bahawa mereka akan dapat menyaksikan orangutan datang mencari makanan di platform yang disediakan. Namun demikian, kami bernasib baik kerana pada hari itu kira-kira 5 - 6 ekor orangutan datang ke platform tersebut.

Platform pemerhatian orangutan di Sepilok
Satu lagi pemandangan di platform pemerhatian orangutan
Platform di mana ranger memberi makan kepada orangutan
Menunggu dengan penuh suspen sama ada orangutan akan muncul pada hari ini atau sebaliknya.
Semua pengunjung merasa teruja bila orangutan yang pertama muncul di kawasan platform.
Ranger sedang memberi makanan kepada orangutan
Orangutan sebenarnya adalah sejenis haiwan yang lemah-lembut. Sewaktu ranger memberi makanan kepada mereka, datang sekumpulan kera berbulu kelabu cuba mencuri makanan tersebut. Walau dihalau oleh ranger yang bertugas, kera-kera ini terus berusaha untuk mencuri makanan orangutan ini. Orangutan-orangutan ini juga hanya menghalau dengan lembut menyebabkan kera-kera ini terus membuli mereka, walaupun saiz badan orangutan  lebih besar dari kera-kera ini.

Tetamu yang tidak diundang - kera berbulu kelabu yang cuba mencuri makanan orangutan
Kera berbulu kelabu ini tak takut langsung kepada orangutan yang cuba menghalau mereka dari mencuri makanan
Kera yang semakin galak membuli orangutan
Kami menunggu di platform sehingga orangutan telah kenyang dan beredar dari situ. Untuk mengelakkan kesesakan, pihak Sepilok telah menyediakan laluan sehala untuk pengunjung masuk dan keluar dari tempat pemerhatian orangutan.

Laluan sehala keluar dari platform pemerhatian orangutan
Dalam perjalanan keluar, kami dapat memerhatikan beberapa batang pokok besar yang tumbang di tepi jambatan. Kebanyakan pokok di kawasan ini sebenarnya tidak mempunyai akar tunjang. Oleh yang demikian, mereka mudah sekali tumbang bila ditiup angin kencang. Kerana itu jugalah laluan jambatan pejalan kaki disediakan di kawasan ini, untuk mengelakkan pengunjung dari memijak akar-akar pokok dan melemahkan lagi kekuatan pokok tersebut.

Pokok tumbang di Sepilok
Kawasan ini juga dipenuhi dengan pokok berlian (Borneo Ironwood) yang sangat berharga dalam industri pembinaan.
Pintu keluar dari kawasan pemerhatian orangutan
Selepas lawatan ke Sepilok, pelancong dari England yang bersama kami dibawa oleh agen pelancongan ke lapangan terbang kerana mereka ingin menaiki pesawat ke Kota Kinabalu manakala kami berdua dibawa meneruskan perjalanan ke Labuk Bay.

Part 7: Labuk Bay Proboscis Monkey Sanctuary

Lawatan ke Labuk Bay adalah untuk melihat satu lagi spesis penghuni sejati Sandakan, Monyet Proboscis yang juga dikenali sebagai Monyet Belanda. Seperti Orangutan, Monyet Proboscis juga adalah haiwan endemic di Pulau Borneo.

Monyet Proboscis
Selain dari British, Belanda juga adalah kuasa Eropah yang menjajah Asia Tenggara pada masa dahulu. Tidak seperti British yang sedikit-sebanyak membantu membangunkan kawasan jajahan mereka, tentera Belanda memeras penduduk di bawah jajahan mereka sehingga menyebabkan mereka dibenci oleh tentera British dan juga penduduk di bawah jajahan mereka. 

Maka timbullah pelbagai gelaran dan peribahasa yang membayangkan kerakusan Orang Belanda.  Umpamanya peribahasa Melayu "Seperti Belanda meminta tanah" membayangkan orang yang tamak yang sentiasa hendakkan lebih. Dalam Bahasa Inggeris pula, terdapat peribahasa "Dutch Courage" yang membawa maksud seseorang yang hanya berani sewaktu berkeadaan mabuk (mungkin kerana orang Belanda pada masa dahulu hanya bercakap besar sewaktu berkeadaan mabuk).

Menurut ceritanya juga, gelaran Monyet Belanda yang diberikan kepada Monyet Proboscis ini diberikan sebagai ejekan kepada penjajah Belanda yang kebanyakannya juga berhidung besar dan berperut buncit seperti haiwan ini.

Perjalanan ke Labuk Bay Proboscis Monkey Sanctuary memakan masa kira-kira 30 minit dari Pusat Pemulihan Orangutan Sepilok. Ia terletak di dalam kawasan sebuah ladang kelapa sawit yang sangat luas.

Kaunter tiket untuk masuk ke Labuk Bay Proboscis Monkey Sanctuary
Ladang kelapa sawit yang dilalui untuk sampai ke Labuk Bay Proboscis Monkey Sanctuary
Seperti di Sepilok, ada sebuah platform disediakan di Labuk Bay untuk membolehkan pengunjung menyaksikan Monkey Feeding.

Pintu masuk ke platform pemerhatian di Labuk Bay Proboscis Monkey Sanctuary
Jambatan kayu laluan pejalan kaki menuju ke platform pemerhatian
Pengunjung perlu membuka kasut untuk masuk ke platform pemerhatian
Tidak seperti Pusat Pemulihan Orangutan Sepilok yang dimiliki oleh Kerajaan, Labuk Bay Proboscis Monkey Sanctuary diusahakan oleh pihak swasta. Terdapat 3 kumpulan monyet Proboscis yang tinggal di Labuk Bay dan mereka diberi makan setiap hari oleh petugas di sini.

Seperti juga di Sepilok, monyet-monyet ini dibiarkan hidup bebas di hutan di belakang ladang kelapa sawit ini. Namun demikian, monyet-monyet ini mempunyai biological clock mereka sendiri ~ mereka telah tahu bila dan di mana makanan akan "disajikan" kepada mereka.

Pemandangan di platform pemerhatian Labuk Bay Proboscis Monkey Sanctuary











Myself perhatikan gelagat monyet-monyet ini menunggu makanan diberi kepada mereka bagaikan melihat gelagat manusia menunggu upacara kenduri dimulakan...

Kumpulan monyet ini berkumpul di pangkin yang disediakan bagi menunggu acara "kenduri" dimulakan.
Acara "bersilat" sebelum kenduri dimulakan
Kumpulan monyet ini pula menunggu makanan dengan sabar di hujung jambatan
Dari pengamatan Myself, monyet-monyet ini memang kelihatan "European" berbanding dengan monyet-monyet lain yang pernah dilihat. Padanlah dengan gelaran Monyet Belanda yang diberi kepada mereka. 

Memang menghiburkan menyaksikan gelagat-gelagat monyet ini kerana mereka lebih "nakal" berbanding dengan orangutan di Sepilok.


Melihat dengan cemas ular yang menumpang lalu di atas jambatan
Saat yang dinantikan ~ pekerja di Labuk Bay datang memberi makanan.
Menikmati bersama makanan yang diberikan.
Kita saksikan pula aksi monyet-monyet ini selepas dah kekenyangan..

Melihat aksi Monyet Proboscis dari dekat. Walaupun mereka nampak jinak dan comel, pengunjung diminta tidak memegang atau mendekati monyet-monyet ini kerana mereka adalah haiwan liar.
Satu lagi pemandangan dari platform pemerhatian
Melihat monyet melintas jambatan kayu untuk kembali ke dalam hutan.
Berbual-bual selepas makan.
Bergaduh sambil tarik-tarik hidung..
Monyet Proboscis sebenarnya pandai melompat dari satu pokok ke pokok yang lain. Aksi mereka melompat sangat mengkagumkan.
Aksi melompat merentasi parit tanah yang sempat dirakamkan.
Seperti spesis monyet lain, mereka juga tolong-menolong mencari kutu kawan-kawan.
Ibu Proboscis dengan anaknya
Makan sambil mendukung anak
Di Labuk Bay juga, kami berkesempatan melihat burung Enggang (Hornbill) liar.

Burung Enggang liar di Labuk Bay
Sewaktu meninggalkan Labuk Bay, masih ada lagi satu spesis monyet dapat dilihat, iaitu Monyet Langgur.

Monyet Langgur. Tidak seperti Monyet Proboscis, monyet ini tidak kelihatan "European".


 Bersambung ke Bahagian 3 ...


CATATAN PERJALANAN NORTH BORNEO RAILWAY & SANDAKAN (2013)