Saturday 7 February 2015

2015 SUMATERA BARAT (2nd. Visit) BHG. 01 (KL - Bukittinggi)

Februari 2015

SUMATERA BARAT, INDONESIA (2nd VISIT)
Padang & Bukittinggi


Bahagian 1: KUALA LUMPUR & PADANG PANJANG

HARI PERTAMA

Part 1: Cuti-Cuti Indonesia Lagi!

Cuti-cuti Indonesia lagi! Baru sebulan pulang bercuti ke Surabaya dan kurang setahun bercuti ke Bali, kami berkunjung lagi ke Indonesia. Destinasi kali ini adalah Padang dan Bukittinggi di Sumatera Barat.

Peta Pelancongan Sumatera Barat. Tumpuan perjalanan kami kali ini adalah di sekitar kota Bukittinggi yang terletak ke utara kota Padang.
Seperti juga banyak program perjalanan kami yang sebelumnya, kami merancang mengembara ke tempat lain, namun akhirnya berakhir ke destinasi lain. Begitu jugalah yang berlaku kali ini.

Pada asalnya, kami merancang nak berkunjung ke Chiangmai di Thailand pada musim cuti Tahun Baru Cina. Namun begitu selepas membuat semakan, kami dapati tiket penerbangan ke Thailand sangat mahal pada ketika itu. Begitu juga dengan second choice kami untuk berkunjung ke Ho Chi Minh City di Vietnam. Walaupun harga tiket kapalterbang ke Ho Chi Minh masih okay pada musim perayaan Tahun Baru Cina, sewa hotelnya pula sangat mahal kerana Vietnam juga meraikan perayaan Tahun Baru mereka serentak dengan Tahun Baru Cina. 

Setelah menimbangkan pelbagai faktor, kami akhirnya memilih untuk berkunjung ke Sumatera Barat di Indonesia. Selain dari faktor kos yang murah, jarak perjalanan yang dekat juga menjadi kelebihan. Kami juga menukar rancangan untuk berkunjung ke sana pada waktu cuti hujung minggu yang panjang sempena perayaan Hari Wilayah dan Thaipusam (tak jadilah cadangan nak travel masa Tahun Baru Cina).

Myself sebenarnya pernah berkunjung ke Padang dan Bukittinggi 18 tahun yang lalu bersama arwah ibu yang tercinta. Malah Padang dan Bukittinggi adalah antara destinasi pengembaraan terawal yang pernah Myself kunjungi semenjak memulakan hobi travelling ini. Namun kunjungan ini adalah yang pertama bagi Husband. Memandangkan kita pun dah ingat-ingat lupa apa yang berada di sana, eloklah juga kita revisit kembali Sumatera Barat ini. Lagipun lawatan yang dulu tu 18 tahun dulu, mungkin banyak dah berubah.

Part 2: Naik Air Asia Terbang Ke Padang

Satu-satunya syarikat penerbangan yang membuat penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Padang ketika ini ialah Air Asia. Air Asia membuat dua penerbangan sehari ke Padang, berlepas pada pukul 7.50 pagi dan 1.55 tengahari.

Untuk perjalanan ini, kami memilih terbang dengan pesawat yang berlepas pada pukul 7.50 pagi dari Terminal KLIA2. Namun untuk memudahkan urusan Bag Drop, makan pagi dan solat Subuh dengan selesa, kami terpaksalah keluar seawal pukul 4.00 pagi dari rumah.

Sebelum Subuh lagi kami dah sampai di KLIA2
Jika sebulan lepas sewaktu kami berlepas ke Bandung, KLIA2 dihiasi dengan pokok krismas sempena perayaan Hari Natal, kali ini pula KLIA2 dihiasi dengan tanglung sempena perayaan Tahun Baru Cina.
Suasana awal pagi di KLIA2.
Jadual perlepasan pesawat di KLIA2.
Kaunter Bag Drop juga sangat lapang di awal pagi begini. Memang jelas tak ramai orang memilih terbang dengan penerbangan awal-awal pagi.
Pesawat kami AK 403 ke Padang dijadualkan berlepas dari Pintu Q17 pada pagi ini.
Waktu Solat Subuh masuk sangat lewat pada awal bulan Februari seperti ini (sekitar pukul 6.10 pagi). Jadi selepas membuat Bag Drop dan menunggu masuk waktu Solat Subuh, kami bersarapan pagi dulu di Restoran Alessio di KLIA2. Pada awal pagi begini, memang tak banyak restoran yang telah dibuka. Jadi, kalau malas nak menunggu lama, masuk sajalah ke mana-mana restoran yang telah memulakan operasi ketika itu.

Restoran Alessio adalah salah sebuah restoran yang beroperasi pada awal pagi di KLIA2.
Restoran ini menghidangkan pilihan makanan Western.
Kami memilih untuk bersolat Subuh di surau berdekatan Pintu Perlepasan. Pengalaman melalui Terminal KLIA2 sewaktu terbang ke Bandung sebulan dulu membuatkan kami tidaklah terasa sangat terpaksa menapak jauh ke Pintu Perlepasan kali ini.

Pesawat yang akan menerbangkan kami ke Padang telah bersedia di Pintu Q17.
Anak-anak kapal sedang berjalan menaiki pesawat.
Sebaik mentari pagi muncul di KLIA2, penumpang-penumpang Air Asia AK 403 tujuan Padang dipanggil untuk menaiki pesawat.

Panggilan Akhir untuk penumpang-penumpang Air Asia AK 403 dari Kuala Lumpur ke Padang.
Berjalan masuk ke dalam pesawat.
Demonstrasi penggunaan peralatan keselamatan oleh anak kapal sebelum berlepas.
Tepat pada pukul 7.50 pagi, pesawat kami berlepas dari KLIA2 dan terbang ke arah Barat Daya menuju ke Padang yang terletak di pantai barat Pulau Sumatera. Alhamdulillah, cuaca sepanjang penerbangan pada pagi itu sangat baik sekali walaupun musim tengkujuh di Malaysia masih belum betul-betul berakhir.

Meninggalkan Malaysia yang tercinta menuju ke Pulau Sumatera, Indonesia.
Walaupun penerbangan dari Kuala Lumpur ke Padang dijadualkan memakan masa 1 jam 10 minit, masa penerbangan sebenarnya lebih singkat lagi. Selepas terbang kira-kira 50 minit sahaja, kami dah tiba di Padang. Kesian tengok peramugara dan peramugari dalam penerbangan yang singkat ini .... kelam-kelibut mereka menjual makanan dan mengemaskan kembali kabin sebagai persediaan sebelum mendarat.

Sajian penerbangan Myself.
Sedang terbang  melintasi Banjaran Bukit Barisan di Pulau Sumatera.
Alhamdulillah, selamat tiba di Padang, Indonesia.
Ketika ini, pesawat sedang terbang di atas Lautan Hindi untuk mencari sudut yang sesuai untuk membuat pendaratan di airport Padang. Inilah laut yang sama di mana pesawat MH370 disyaki terhempas pada bulan Mac 2014 yang lalu.
Masih sempat berwefie sewaktu pesawat hampir nak mendarat.
Sedang membuat penerbangan turun di Airport Padang.
Selamat mendarat di Bandar Udara Internasional Minangkabau di Padang, Sumatera Barat.
Tourist Guide merangkap pemandu kami yang bernama Muslim telah sedia menanti di Airport. Dari sana, kami terus dibawa menaiki kenderaaan menuju ke Bukittinggi yang terletak kira-kira 90 km dari Padang. Walaupun jaraknya hanya 90 km, perjalanan biasa memakan masa 2-3 jam kerana di sini tidak ada lebuhraya seperti di Malaysia.

Pemandangan dari hadapan bangunan terminal Bandar Udara Internasional Minangkabau.
Sumatera Barat juga dikenali dengan nama Ranah Minang (Tanah Minang) kerana sebahagian besar penduduknya berketurunan Minangkabau yang sangat teguh berpegang dengan ajaran agama Islam. Kota terbesar di wilayah ini ialah kota Padang dan kota wisatanya yang terkenal adalah Bukittinggi. 

Islam dibawa ke wilayah ini oleh pedagang-pedagang dari Gujerat di India. Kedatangan Islam menghapuskan secara langsung kesan-kesan anutan agama yang sebelumnya. Kerana itulah di Sumatera Barat hari ini, tiada langsung peninggalan pura-pura Hindu dapat diperhatikan seperti di Pulau Jawa. 

Pemandangan di kiri kanan jalan juga dipenuhi dengan sawah-sawah padi. Pemandangan jalan utama yang menghubungkan Padang dengan Bukittinggi adalah jalan 2 lorong seperti Jalan Persekutuan di Malaysia sebelum Lebuhraya Utara-Selatan siap dibina pada tahun 1988.


Pemandangan sebaik meninggalkan perkarangan Lapangan Terbang Minangkabau di Padang.
Jalan utama yang menghubungkan Padang dengan Bukittinggi.
Sepanjang perjalanan dari Airport Minangkabau ke sebuah bandar yang bernama Padang Panjang dalam perjalanan ke Bukittinggi, kami melihat rel-rel keretapi yang tidak lagi digunakan. Menurut Muslim, perkhidmatan keretapi ini telah lebih 15 tahun dihentikan kerana kos operasinya yang tinggi tidak lagi mampu ditanggung oleh Kerajaan.

Rel keretapi yang dilihat sepanjang perjalanan dari Padang ke Padang Panjang, sewaktu dalam perjalanan menuju ke Bukittinggi.
Sayang sungguh melihat rel keretapi yang telah ditinggalkan ini. Kalau ada usaha untuk membangunkannya semula, pasti ia akan menjadi tarikan pelancong yang popular kerana pemandangan di Sumatera Barat ini memang sangat cantik.
Terdapat banyak pemandangan sawah padi yang indah yang kami temui dalam perjalanan di Sumatera Barat ini.
Pekan Lubuk Alung yang dilalui dalam perjalanan ke Bukittinggi.
Sepanjang pengembaraan kami di Sumatera Barat, kami sering dibawa mengunjungi kawasan-kawasan yang mempunyai pemandangan yang sangat indah (panorama viewpoints). Panorama viewpoint yang pertama kami kunjungi adalah Puncak Kiambang. Walaupun di Malaysia juga ada banyak sawah padi, pemandangannya tidak seindah begini. Keindahan sawah padi di Bali juga bagai lenyap dari ingatan kami bila melihat keindahan sawah padi di Sumatera Barat ini.

Pemandangan indah dari Puncak Kiambang.
Satu lagi pemandangan dari Puncak Kiambang
Pengangkutan awam di Sumatera Barat
Inilah pemandangan tipikal sebahagian besar jalan raya utama yang menghubungkan kota Padang dengan Bukittinggi. Jalan rayanya semakin mengecil sewaktu semakin menjauh dari kota Padang.

Part 3 : Lembah Anai

Satu persinggahan wajib bagi semua pengunjung ke Bukittinggi ialah Lembah Anai. Di sini terdapat sebuah air terjun yang terletak betul-betul bersebelahan dengan jalan raya. Kata Muslim, jika kita berkunjung ke sini dalam musim hujan, kita akan dapat melihat aliran airnya akan mengenai dan membasahi jalan raya.


Air Terjun Lembah Anai.
Tangga menuju ke air terjun.
Kalau dalam musim hujan, aliran airnya sangat hampir ke tepi jalan.
Landasan keretapi di Lembah Anai ini juga tidak lagi digunakan sejak 15 tahun dulu.
Kenangan di Lembah Anai. Pemandangan di sini masih sama seperti ketika berkunjung ke sini 18 tahun yang lampau.
Kolam air terjun di Lembah Anai. Airnya sejuk sekali. Kata penduduk tempatan, kita akan awet muda kalau kita selalu membasuh muka dengan air yang sejuk ini.
Pemandangan sewaktu berjalan kembali ke kenderaan.
Kata Muslim, kawasan sekitar Lembah Anai ini telah diisytiharkan sebagai Cagar Alam (Hutan Simpan). Ia adalah sebahagian dari "paru-paru" dunia (seperti hutan di kawasan Amazon di Brazil). Sebahagian besar hutan di negara Indonesia telah dimusnahkan dan diteroka untuk pertanian dan pembangunan. Kawasan hutan semulajadi yang masih tebal kini hanya wujud di Sumatera, Kalimantan dan sebahagian Sulawesi dan menjadi sebahagian "paru-paru" dunia.

Part 4: Padang Panjang

Padang Panjang adalah sebuah bandar yang dilalui dalam perjalanan ke Bukittinggi. Ia terletak tidak jauh dari Lembah Anai dan laluan masuk ke kota ini dihiasi dengan sebuah pintu gerbang yang cantik.


Jambatan keretapi lama yang dilalui sebelum memasuki kota Padang Panjang.
Pintu gerbang ke kota Padang Panjang. Gelaran bagi kota ini ialah Kota Serambi Mekah ~ sama seperti bandar Kota Bharu di Malaysia.
Pemandangan jambatan keretapi lama yang diperhatikan dari luar pintu gerbang.
Sesuai dengan gelaran Kota Serambi Mekah yang diberi kepada kota Padang Panjang, jalan raya utama di kota ini dihiasi dengan Nama-nama Allah. Secara tidak langsung, kita juga akan berzikir sambil melalui jalan ini ketika membaca Nama-nama Allah yang diletakkan di sepanjang jalan.

Part 5: Minangkabau Village

Selain Lembah Anai, satu tarikan pelancongan yang menarik di Padang Panjang ialah Pusat Dokumentasi dan Informasi Kebudayaan Minang yang lebih popular dengan nama Minangkabau Village.


Laluan Masuk ke Pusat Dokumentasi dan Informasi Kebudayaan Minang yang lebih dikenali sebagai Minangkabau Village.
Di tengah-tengah Minangkabau Village ini dibina sebuah Rumah Adat besar yang dinamakan Rumah Gadang. Di Rumah Gadang ini, kami disambut oleh seorang petugas di sana yang menerangkan kepada kami tentang Adat Perpatih yang diamalkan oleh masyarakat Minangkabau.

Rumah Gadang di Minangkabau Village. Di sinilah semua pengunjung diberi informasi tentang Adat Perpatih yang diamalkan oleh masyarakat Minangkabau.
Tangga masuk ke Rumah Gadang.
Konsep Rumah Gadang sama seperti konsep Rumah Panjang yang dibina oleh masyarakat Iban di Sarawak. Rumah besar ini tidak dihuni oleh satu keluarga sahaja, malah didiami bersama oleh beberapa keluarga dalam satu suku.

Pemandangan umum di dalam Rumah Gadang. Pintu di sebelah kanan adalah bilik-bilik kediaman keluarga. Jadi kalau ada orang luar berkunjung, mereka akan diberi tempat duduk yang menghala ke luar tingkap dan membelakangkan bilik-bilik kediaman.
Terdapat 2 jenis Rumah Gadang: yang beranjung bertingkat dan beranjung rata. Datuk (Ketua) Rumah Gadang yang beranjung bertingkat mengamalkan Adat Temenggung manakala Datuk Rumah Gadang yang beranjung rata pula mengamalkan Adat Perpatih.

Adat Perpatih bersifat demokrasi manakala Adat Temenggung pula bersifat autokrasi. Jika Datuk Temenggung meninggal dunia, tempatnya digantikan oleh anak lelaki sulung. Namun sebaliknya jika Datuk Perpatih yang meninggal dunia, penggantinya akan dilantik melalui mesyuarah yang tak semestinya akan melantik pengganti dari anaknya sendiri.


Salah sebuah Anjung di Rumah Gadang. Anjung bertingkat seperti ini menandakan penghuni rumah ini mengamalkan Adat Temenggung yang bersifat autokratik.
Petugas ini memberi penerangan tentang senibina Rumah Gadang dan Adat Perpatih yang diamalkan oleh Orang Minangkabau.
Rumah Gadang juga terdapat beberapa buah bilik yang setiap satunya dihuni satu keluarga. Ada tiang-tiang dibina di luar setiap bilik untuk mengasingkan ruang bagi setiap keluarga. Walaupun dapur Rumah Gadang dikongsi bersama, setiap keluarga ada ruang memasak masing-masing di dapur tersebut. 

Bilik-bilik juga hanya dihuni oleh ibu dan bapa serta anak-anak yang masih kecil. Bila mencecah usia 5 tahun, anak-anak lelaki akan tidur di surau sambil belajar agama manakala anak-anak perempuan pula dari seluruh keluarga di Rumah Gadang akan tidur bersama di ruang yang dikhaskan untuk mereka.

Bilik yang paling kiri dikhususkan untuk ahli keluarga yang paling baru berkahwin. Semua keluarga akan berpindah ke bilik semakin ke kanan untuk memberi ruang kepada pengantin baru. Bila dah sampai ke bilik yang paling hujung di sebelah kanan, itu bermakna keluarga tersebut perlu bersedia untuk berpindah keluar dari Rumah Gadang.

Setiap bilik di Rumah Gadang dihuni oleh keluarga yang berasingan. Pintu-pintu yang kelihatan dalam gambar ini adalah 2 bilik yang berasingan di dalam Rumah Gadang.
Pemandangan di dalam salah sebuah bilik di Rumah Gadang.
Tiang-tiang didirikan di luar setiap bilik untuk menandakan kawasan untuk setiap keluarga.
Ukiran pada tiang ini dinamakan Kucing Lalok sebab ia diilhamkan dari kucing yang sedang tidur. Ukiran ini mengandungi falsafah yang mengaitkan orang malas bekerja, dengan mengharapkan rezeki datang bergolek. Jadi penghuni Rumah Gadang dinasihatkan untuk tidak bersikap demikian.
Rumah Gadang juga dibina condong. Segala-galanya condong di dalam Rumah Gadang: dindingnya condong ke luar, malah tingkapnya juga dibina condong. Binaan condong ini ternyata dapat menahan gempa bumi yang sering melanda Wilayah Sumatera Barat ini. Ini terbukti sewaktu Gempa Bumi besar melanda wilayah ini pada tahun 2007 dan 2009 di mana tak ada sebuah pun Rumah Gadang yang rosak. Malah Orang Minangkabau ada perpatah yang berbunyi Condong nan indak membawa rabah (Condong yang tidak membawa rebah).

Binaan Rumah Gadang yang condong ini mampu menahan gempa bumi.
Masyarakat Minangkabau juga sangat menjaga kerabat mereka. Segala-galanya dikongsi bersama. Di luar Rumah Gadang didirikan beberapa rumah kecil untuk menyimpan padi yang dinamakan Rangkiang.  

Ada 4 jenis Rangkiang yang didirikan yang setiap satunya mempunyai maksud masing-masing: Rangkiang untuk kegunaan adat seperti majlis perkahwinan, Rangkiang untuk membantu penduduk fakir miskin, Rangkiang untuk kegunaan makanan harian penduduk Rumah Gadang dan Rangkiang untuk pembangunan kampung di mana beras yang disimpan di Rangkiang ini akan dijual untuk mendapatkan wang bagi membiayai pembinaan masjid, jalan dsb.


Rangkiang tempat penyimpanan padi di luar Rumah Gadang. Setiap Rangkiang mempunyai fungsinya yang tersendiri.
Rangkiang berkaki enam di sebelah kiri menyimpan padi untuk kegunaan makanan harian penghuni Rumah Gadang. Rangkiang di sebelahnya yang bertiang sembilan dikhaskan untuk beras yang akan dijual untuk kegunaan pembangunan kampung seperti membina masjid, jalan raya dan sebagainya.
Ramai orang beranggapan Adat Perpatih mementingkan kaum perempuan kerana harta pusaka diberi kepada mereka. Sebenarnya terdapat dua jenis harta dalam Adat Perpatih: harta pusaka tinggi dan harta pusaka rendah. Kaum perempuan sebenarnya hanya diberi harta pusaka tinggi yang tidak boleh dijual. Ini bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia yang ditetapkan oleh Allah swt di mana kaum lelaki diwajibkan untuk menyara keluarga. Oleh yang demikian, kaum lelaki akan mengembara keluar dari desa untuk mencari harta manakala kaum perempuan yang tinggallah yang akan menjaga harta seperti rumah keluarga (yang merupakan sejenis harta pusaka tinggi).

Harta pusaka tinggi juga tidak boleh dijual dengan sewenang-wenang. Jika terdapat keperluan untuk berbuat begitu (seperti jika berlaku kematian dan keluarga tidak mempunyai wang untuk membeli kain kafan jenazah), harta pusaka tinggi ini hanya boleh dijual kepada kerabat terdekat untuk memudahkan ia ditebus semula nanti. 

Di Minangkabau Village ini juga pengunjung boleh menyewa pakaian tradisional Minangkabau untuk bergambar. Kami juga tidak melepaskan peluang untuk berbuat begitu.


Permaisuri dan Raja Minang sedang diandam. Myself sengaja memilih perhiasan kepala yang dinamakan "Tanduk" untuk kelihatan lebih "Minang".
Raja dan Permaisuri Minang di depan Rumah Gadang.
Puteri Minang Bertanduk Duo.

Part 6: Rumah Makan Pak Datuk 

Kami kemudiannya dibawa ke sebuah restoran yang bernama Rumah Makan Pak Datuk untuk makan tengahari. Restoran ini terletak di tengah bandar Padang Panjang.


Rumah Makan Pak Datuk.
Sajian makanan yang dihidangkan di Restoran Pak Datuk.
Makanan tradisional Minang lebih dikenali dengan nama Nasi Padang. Secara tradisinya, semua lauk di restoran akan dihidangkan kepada pengunjung di atas meja dan pengunjung hanya perlu membayar makanan yang dimakan sahaja.

Pemandangan di dalam Rumah Makan Pak Datuk.
Pengalaman makan di Rumah Makan Pak Datuk adalah pengalaman pertama kami makan di restoran Nasi Padang yang authentic ini. Sebaik kami duduk di meja makan, 8 jenis lauk dihidangkan kepada kami. Walaupun lauknya banyak dan tak terhabis oleh kami, semuanya telah dibayar menerusi pakej pelancongan yang kami tempah. Jadi cuih-cuih saja lauk yang dihidang untuk merasai semua lauk yang dihidangkan..

Hidangan Nasi Padang yang authentic di Rumah Makan Pak Datuk. Makanan yang dihidangkan memang sangat sedap.
Jus Oren yang dipanggil Jus Jeruk di Indonesia. Ada cerita di sebalik Jus Jeruk ini...
Disebabkan cuaca yang panas ketika itu, kami telah memesan Jus Oren yang tidak termasuk dalam pakej makanan tengahari di Rumah Makan Pak Datuk. Tapi kami terlupa nak membayar harga jus yang dipesan. Bila dah jauh meninggalkan Rumah Makan Pak Datuk barulah teringat yang kami masih belum membayar harga jus ini... 

Lega hati kami bila Muslim memberitahu yang kami akan melalui semula Rumah Makan Pak Datuk sewaktu dalam perjalanan pulang ke Padang nanti. Beriya-iya kami berpesan kepada Muslim supaya singgah kembali ke Rumah Makan Pak Datuk nanti supaya kami boleh membayar Jus Oren yang diminum tadi..

Part 7: Persekitaran Di Bukittinggi

Bukittinggi terletak 930 meter di atas aras laut. Cuacanya sejuk seperti di Cameron Highlands di Malaysia. Semakin kami menghampiri Bukittinggi, cuaca semakin berkabus.


Cuaca semakin berkabus ketika menghampiri Bukittinggi
Kincir air yang digunakan untuk mengisar padi.

PUTRI MINANG

Disebabkan masih terlalu awal untuk kami check-in ke hotel penginapan, Muslim membawa kami berkeliling di Bukittinggi. Persinggahan pertama kami ialah sebuah kedai kain dan sulaman yang bernama Putri Minang.


Kedai Putri Minang
Bunga-bungaan yang ditanam di dalam pasu di hadapan kedai Putri Minang.
Pakaian dan kain-kain sulaman yang dijual di kedai Putri Minang.
Telekung yang dijual di sini memang sangat cantik dan menarik.

PANDAI SIKEK

Kami seterusnya dibawa berkunjung ke Pandai Sikek, sebuah perkampungan di mana penduduk-penduduk di sini masih mengusahakan beberapa kraftangan tradisional.


Simpang masuk ke Pandai Sikek
Pemandangan di perkampungan Pandai Sikek
Kawasan pertanian di Pandai Sikek
Gunung Merapi jelas kelihatan dari perkampungan Pandai Sikek
Penduduk di Pandai Sikek masih melaksanakan perusahaan kraftangan tradisional yang diwarisi turun-temurun dari keluarga mereka.
Bengkel perusahaan ukiran kayu
Pemilik bengkel sedang membuat ukiran kayu.
Kami diberitahu bahawa penduduk lelaki di perkampungan ini diajar seni pertukangan dan ukiran kayu semenjak dari kecil lagi. Bagi perempuan pula, mereka diajar menenun kain songket.

Gedung Satu Karya di Pandai Sikek yang menjual kain tenunan songket
Pintu masuk ke Gedung Satu Karya
Demonstrasi tenunan songket di gedung Satu Karya. Wanita ini sedang menenun selendang songket dan menurut beliau sehelai selendang songket tenunan tangan ini memakan masa 3 bulan untuk disiapkan.

SULAM & BORDIR OKE 

Selepas berkunjung ke Pandai Sikek, kami dibawa ke sebuah lagi kedai kain sulaman yang bernama Sulam & Bordir Oke. Memanglah kain sulaman yang dijual cantik belaka, tapi takkanlah pulak kita nak beli semua kain sulaman yang dijual kepada kita di setiap kedai yang disinggahi.

Sulam & Bordir Oke
Kain sulaman yang dijual di Sulam & Bordir Oke.
Kami tiba di Bukittinggi pada hari Sabtu yang merupakan hari persekolahan di Indonesia. Sewaktu berkunjung ke Sulam & Bordir Oke ini, dapat jugalah kami melihat bagaimana kanak-kanak di Indonesia bersekolah di hadapan gedung ini.

Sekolah di depan Sulam & Bordir Oke.
Terdapat 3 peringkat persekolahan di Indonesia: Sekolah Dasar (Sekolah Rendah), Sekolah Menengah Pertama (Sekolah Menengah Rendah) dan Sekolah Menengah Atas. Myself tak pasti pelajar-pelajar ini berada di peringkat sekolah yang mana.

BIKA TALAGO

Muslim juga memperkenalkan kami dengan sejenis kuih tradisional di sini yang bernama Bika. Bika diperbuat dari ubi kayu dan kelapa dan dibakar di atas kayu api. Bika yang kami nikmati di sebuah kedai yang bernama Bika Talago ini memang enak.

Kolam berhampiran kedai Bika Talago
Bika yang dijual di kedai Bika Talago ini memang sangat sedap.
Bika di kedai ini masih dimasak menggunakan kaedah tradisional.
Bika dimasak dengan cara meletakkannya di antara dua lapisan bara api - di sebelah atas dan di sebelah bawah.
Bika yang sangat sedap di kedai Bika Talago.
Kayu api yang digunakan untuk memasak Bika.

KOTOGADANG DAN LEMBAH SIANOK

Jika Pandai Sikek terkenal dengan perusahaan ukiran kayu dan kain tenunan, Kotogadang pula terkenal dengan perusahaan perak. Sesuatu yang diperhatikan di Indonesia ini ialah tempat-tempat yang berbunyi macam Kotogadang ini memang merupakan pusat perusahaan perak (kalau di Yogyakarta dulu, pusat perusahaan peraknya dipanggil Kotagede).


Kotogadang
Batu-batu permata yang dijual untuk dipasangkan kepada cincin perak.
Cincin perak yang dipasangkan dengan batu-batu permata seperti ini adalah trend kegilaan terbaru di Indonesia kini.
Ukiran Rumah Minangkabau yang dibuat dari perak ini memakan masa 6 bulan untuk disiapkan. Ia dijual dengan harga RM16,000.
Perak yang dihasilkan di Sumatera berkualiti tinggi kerana peratus ketulenannya ialah 97.2%, berbanding perak di Bali yang ketulenannya hanya 92%.

Cincin perak untuk jualan.
Seperti juga banyak perkampungan lain di Sumatera Barat, Kotogadang juga dibina di tengah kawasan sawah padi yang indah. Seperti juga di perkampungan lain di sini, sebahagian besar penanaman padi masih dilaksanakan secara tradisional dengan menggunakan khidmat kerbau.

Seperti kebanyakan tempat lain di Sumatera Barat, petani-petani di sini masih menggunakan khidmat kerbau untuk membajak sawah.
Pemandangan sawah padi seluas mata memandang di Kotogadang.
Kerbau berkubang di tengah sawah dengan ditemani burung-burung bangau.
Dari Kotogadang, kami dibawa ke bandar Bukittinggi melalui Lembah Sianok yang terletak betul-betul di bawah Ngarai Sianok yang terkenal di Bukittinggi. Memang takjub melihat keindahan kawasan perkampungan ini.

Lembah Sianok
Pemandangan indah yang menakjubkan di Lembah Sianok.
Bandar Bukittinggi juga dipenuhi dengan terowong peninggalan tentera Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua dulu. Kami juga melintasi salah sebuah pintu terowong ini dalam perjalanan menuju ke bandar Bukittinggi.

Terowong peninggalan Jepun di Bukittinggi.

Part 8: Menghadiri Majlis Perkahwinan Minangkabau

Disebabkan kami tak punya apa-apa program di Bukittinggi pada petang itu, Muslim mengajak kami menyertai beliau dan isterinya menghadiri sebuah majlis perkahwinan temannya pada petang itu. Pada mulanya, kami sangsi juga nak pergi ke majlis perkahwinan ini kerana kami bukanlah tetamu yang dijemput. Namun si Muslim ni beriya-iya mengajak.

Kata Muslim, dia dan isterinya dijemput ke majlis ini. Jadi mengikut adat orang di sana, dia boleh membawa tetamu bersama dengannya hadir ke majlis tersebut. Kata Muslim lagi, ini majlis perkahwinan orang Minangkabau di kampung. Tuan rumah akan berbesar hati jika ramai tetamu yang hadir ke majlisnya. Mengikut adat kampung Orang Minangkabau, jika sesuatu majlis keramaian tak ramai orang yang hadir, tuan rumah akan merasa sedih kerana itu bermakna penduduk rumah itu sedang dipulaukan.

Bandar Bukittinggi
Hotel penginapan kami di Bukittinggi, The Hills.
Welcome Drink di The Hills Hotel.
Majlis perkahwinan ini diadakan di sebuah kampung yang bernama Palapuh. Kata Muslim, dalam dialek tempatan Palapuh disebut Palapuah. (Tapi sebelum itu, bila Myself bertanya kepada isteri Muslim yang loghat Minangnya Myself rasa lebih pekat, dia berkata tempat ini disebut Palapuih). Ia terletak kira-kira sejam perjalanan dari Bukittinggi.

Meninggalkan Bukittinggi menuju ke Palapuh
Pemandangan rumah sewa tipikal di Bukittinggi. Tak seperti sewa rumah di Malaysia yang perlu dibayar bulanan, sewa rumah seperti ini dikontrakkan selama setahun kepada penyewa dengan bayaran IDR 5 juta (kira-kira RM 1,500 setahun).
Pemandangan jalan menuju ke Palapuh. Jalan ini juga menuju ke Bonjol, pekan yang dilintangi oleh Garisan Khatulistiwa. Namun kami tidak sampai ke sana.
Lagi pemandangan sawah padi yang indah berhampiran Bukittinggi dalam perjalanan menuju ke Palapuh.
Jurang gunung yang sangat dalam. Bagi Myself rupa bumi ini sangat jelas menunjukkan bahawa tempat ini adalah sebenarnya plat tektonik bumi yang sekiranya pergeseran plat berlaku di sini, pasti akan menyebabkan gempa bumi.
Rumah majlis perkahwinan di Palapuh.
Memang benar seperti kata Muslim. Walaupun Myself dan Husband orang asing yang langsung tidak dikenali sesiapa pun di sini, tuan rumah tetap mengalu-alukan kedatangan kami ke majlis perkahwinan anak mereka. Pengalaman hadir ke majlis perkahwinan ini juga sangat menarik kerana ia memberikan kami peluang mengenali budaya masyarakat Minangkabau di sini dengan lebih dekat.

Hiasan di pintu masuk ke rumah pengantin seperti bunga manggar di Malaysia.
Poster pasangan pengantin di pintu masuk ke rumah.
Pemandangan di khemah yang didirikan dihadapan rumah untuk menyambut para tetamu.
Pentas hiburan di tepi rumah.
Khemah yang didirikan di depan rumah untuk menyambut para tetamu.
Tetamu yang datang akan memberikan wang sumbangan (diletakkan dalam sampul) kepada tuan rumah. Sampul berisi duit ini akan dimasukkan ke dalam kotak berbentuk rumah Minangkabau yang beratap hijau ini.
Tetamu yang datang juga akan bersedekah beras kepada tuan rumah. Beras dibungkus dengan bekas yang diikat dengan kain seperti ini. Bila tetamu pulang, tuan rumah akan menggantikan beras yang diberi dengan sedikit makanan untuk dibawa pulang dalam bekas beras ini.
Pelamin didirikan betul-betul di pintu masuk hadapan rumah. Mengikut adat di sini, pengantin akan bersanding di sini dari pagi sampai ke malam.
Bergambar kenangan dengan pasangan pengantin.
Pada mulanya, Myself merasa segan juga nak pergi ke Majlis Perkahwinan ini kerana Myself tak membawa baju yang sesuai untuk hadir ke majlis seperti ini. Tetapi sesuatu yang diperhatikan di majlis ini ialah semua pengunjung datang dengan berpakaian kasual. Malah, ramai teman-teman pengantin yang perempuan datang dengan memakai seluar jeans! Kalau tetamu perempuan datang ke majlis perkahwinan dengan memakai blaus dan seluar jeans seperti ini di Malaysia, pasti dah dipandang semacam oleh semua yang hadir.

Tuan rumah beriya-iya menjemput kami masuk ke dalam rumah untuk makan. Myself nampak macam gergasi pulak dalam gambar ini kerana orang-orang kampung Minangkabau ini memang bersaiz comel-comel belaka.
Majlis perkahwinan yang kami hadiri ini benar-benar majlis kampung. Makanan untuk para tetamu dihidangkan di dalam rumah pengantin sendiri. Nasi dan lauk-pauk masih dihidangkan full-spread kepada semua tetamu walaupun jam ketika itu menunjukkan pukul 5.30 petang.

Cara hidangan kenduri mereka pun sangat berbeza dengan di Malaysia. Kalau dalam majlis kenduri di Malaysia, makanan dihidangkan di atas lantai di dalam rumah, di sini makanan dihidangkan atas meja panjang yang rendah macam meja makan Jepun.

Makanan dihidangkan di atas meja rendah yang panjang di dalam rumah. Semua tetamu makan sambil bersila di tepi meja.
Hidangan makan tengahari masih disediakan secara full-spread kepada tetamu yang datang walaupun ketika itu telah pukul 5.30 petang.
Lemang (dipanggil Lamang di sini) juga dihidangkan. Namun begitu lemang ini dimakan dengan pisang dan bukan dengan rendang seperti di Malaysia.
Bilik Pengantin.
Pelamin tempat pengantin bersanding.
Tetamu di majlis perkahwinan.
Kalau tak salah, Kakak ini sedang menguruskan beras pemberian tetamu yang hadir.
Persembahan nyanyian untuk menghiburkan tetamu yang hadir ke majlis perkahwinan. Kebanyakan lagu yang dinyanyikan adalah lagu Dangdut.
Penyanyi yang menghiburkan tetamu yang hadir.
Seronok sungguh melihat gelagat kedua-dua Pakcik ini menari mengikut irama Dangdut.
Kanak-kanak pun ikut sama menari.

Part 9 : Makan Malam di Restoran Sederhana

Selepas menghabiskan masa kira-kira sejam di rumah pengantin di Palapuh, kami kembali ke Bukittinggi. Walaupun sebenarnya masih kenyang makan di rumah pengantin, kami masih pergi makan malam. Maklumlah kalau makan di rumah pengantin tadi dikira makan malam, ia terlalu awal. Risau pulak nanti kalau-kalau kelaparan di tengah malam. Lagi pula kami diberitahu oleh Muslim yang kebanyakan kedai di Bukittinggi ditutup pada pukul 8.00 malam (waktu Maghrib di sini masuk kira-kira pukul 6.40 petang).

Makan malam disediakan di Restoran Sederhana di Bukittinggi. Macam sewaktu makan tengahari di Restoran Pak Datuk tadi, banyak lauk dihidangkan kepada kami mengikut style restoran masakan Padang yang lain. Malah bilangan lauk yang dihidangkan lebih banyak dari di Restoran Pak Datuk tadi...

Restoran Sederhana di Bukittinggi
Pintu masuk ke Restoran Sederhana.
Pemandangan di dalam Restoran Sederhana.
Lauk yang dihidangkan kepada kami untuk makan malam.
Menu yang disediakan di Restoran Sederhana
Husband dah kekenyangan lepas makan malam..


Bersambung ke Bahagian 2...


CATATAN PERJALANAN SUMATERA BARAT, INDONESIA (2015):