Sunday 3 January 1999

1999 NAGOYA & TOKYO, JAPAN

November 1999

JAPAN - 1st. VISIT
Nagoya & Tokyo
 
Kali pertama berkunjung ke Jepun adalah kerana mengikuti kursus "Industrial Waste Recycling" anjuran Association of Overseas Technical Scholarship (AOTS). Kursus selama 3 minggu ini diadakan di Chubu Kenshu Center, Toyota City dan dihadiri oleh peserta dari 3 buah negara: Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Part 1: Chubu Kenshu Center (CKC) 

Chubu Kenshu Center (CKC) terletak di Toyota City, tidak jauh dari Nagoya yang merupakan bandar keempat terbesar di Jepun. Pusat latihan ini lengkap dengan bilik-bilik seminar dan asrama.

Chubu Kenshu Center, Toyota City
Antara kenangan yang tidak dilupakan di CKC adalah mengalami gempa bumi. Sewaktu kami tiba di CKC, peserta diajar apa yang patut dilakukan sekiranya berlaku gempa bumi. Antara tindakan yang boleh diambil ialah menyorok di dalam almari pakaian untuk mengelakkan benda-benda yang mungkin terjatuh sewaktu gempa bumi tertimpa di atas kepala.

Ketika itu Myself baru saja bersiap untuk tidur. Tiba-tiba semua benda yang berada di bilik bergegar. Ketika sedang teragak-agak nak bersembunyi dalam almari, gegaran tadi berhenti. Namun selepas peristiwa itu, memang fobia sewaktu nak melelapkan mata setiap malam selama berada di CKC.


Bilik penginapan di CKC
AOTS menganjurkan kursus kepada peserta-peserta yang datang dari seluruh dunia. Maka, tidak hairanlah sekiranya mereka amat memahami budaya dan agama setiap peserta.

Kaunter receptionist di Chubu Kenshu Center
Masih ingat lagi rasa agak kaget sewaktu kakitangan AOTS menyerahkan pamplet waktu solat kepada Myself sewaktu mula tiba di CKC. Mungkin staf tersebut dapat mengagak Myself beragama Islam kerana memakai tudung kepala.

Kafetaria di CKC mempunyai satu seksyen yang khusus menyediakan makanan Halal untuk peserta yang beragama Islam.
Disebabkan kedudukannya yang agak terpencil, CKC turut menyediakan perkhidmatan shuttle kepada mana-mana student yang nak berkunjung ke pusat bandar Toyota City ataupun Josui Station.

Toyota City
Stesen Keretapi Josui berdekatan CKC. Dari stesen inilah kami menaiki keretapi ke Nagoya.
Bandar Toyota City adalah lokasi ibu pejabat bagi syarikat pembuat kereta Toyota. Di sekitar Toyota City, terdapat kilang-kilang kecil sederhana yang membekalkan barang-barang untuk dipasang dalam kereta Toyota. Sewaktu berkursus, kami turut berpeluang melawat kilang membuat kereta Toyota Camry.

Gambar pemandangan di dalam kilang Toyota. Sebenarnya fotografi tak dibenarkan dalam kilang. Jadi gambar ini diambil dari internet.

Part 2: Nagoya

Bandar Nagoya adalah bandar keempat terbesar di Jepun selepas Tokyo, Osaka dan Yokohama. Ia terkenal sebagai bandar perusahaan automobil kerana di sinilah letaknya ibu pejabat bagi Toyota, Honda dan Mitsubishi Motors.

Daerah Sakae di Nagoya. Di sini terdapat pusat-pusat membeli-belah yang mewah dan mahal.
Pada hari kedua di Nagoya, peserta kursus menjalani program orientasi untuk mengenali bandaraya Nagoya. Kami dibawa menaiki keretapi dari stesen Josui di Toyota City menuju ke Shiyakusho yang terletak di tengah-tengah bandar Nagoya, berdekatan dengan City Hall.

Stesen Shiyakusho (City Hall)
Di stesen ini, kami diberikan peta dan panduan keretapi di mana kami perlu mencari sendiri tempat-tempat menarik yang ditetapkan di Nagoya.

NAGOYA CASTLE

Istana Nagoya (Nagoya Castle) dibina oleh  Oda Nobunaga, seorang shogun yang terkenal di Jepun.


Nagoya Castle. Terdapat ukiran dolphin emas di bumbung istana.


Pintu masuk ke dalam istana.
Tembok luar Nagoya Castle dibina slanting untuk menyukarkan musuh memanjat masuk ke dalam istana.

Muzium di dalam Istana Nagoya
Replika Dolphin Emas yang dipasang di bumbung istana.
Di luar istana, terdapat sebuah taman yang cantik, lebih-lebih lagi dengan pemandangan daun yang berwarna-warni pada musim luruh. Taman ini dinamakan Ninomaru Gardens.

Ninomaru Gardens di perkarangan Nagoya Castle.
Sewaktu di Ninomaru Gardens juga, kami berkesempatan mencuba Japanese Tea Ceremony. 

OSU KANNON

Osu Kannon adalah pasar membeli-belah yang menjadi tumpuan kami sewaktu di Nagoya. Pelbagai barangan dijual di sini. "Kannon" adalah perkataan Jepun yang merujuk kepada patung Buddha, dan kawasan ini dinamakan Osu Kannon sempena nama sebuah kuil Buddha yang terdapat di sini.

Kuil Buddha Osu Kannon
Menurut lagendanya, di kuil ini terdapat sebuah patung Buddha yang ditemui oleh 2 orang nelayan di Nagoya. Patung Buddha ini dengan tidak semena-mena termasuk ke dalam jaring tangkapan ikan mereka sewaktu menjala. Patung tersebut kemudiannya dihadiahkan kepada kuil ini. 

Kami walau bagaimanapun tak jenguk masuk ke dalam kuil ini. Cukup sekadar melihat dari luar saja sambil makan nasi yang dibeli di 7-Eleven berhampiran.


Osu Kannon Shopping Street

NAGOYA CENTRAL PARK 

Nagoya Central Park terletak di tengah bandar Nagoya. Pada hujung minggu kawasan ini dipenuhi dengan remaja-remaja Jepun bermain muzik ala-ala di Harajuku, Tokyo. Memang bingit telinga kerana muzik dimain dengan sekuat hati.

Pintu masuk ke Nagoya Central Park. Ada underground shopping center di sini.
Pada hujung minggu, ramai remaja Jepun berkumpul bermain muzik di Central Park.
Pemandangan indah di Central Park, Nagoya.

Part 3: Tokyo 

Salah satu program sewaktu berkursus adalah lawatan ke bandaraya Tokyo. Jarak di antara Tokyo dan Nagoya adalah lebih 300 km, jadi kami dibawa ke sana dengan menaiki keretapi peluru yang dinamakan Shinkansen dalam bahasa Jepun.

Shinkansen Hikari yang membawa kami dari Nagoya ke Tokyo.
Kami diberitahu terdapat 3 kelas perkhidmatan Shinkansen: Nozomi, Hikari dan Kodama. Kami ke Tokyo dengan menaiki Shinkansen Hikari di mana perjalanan sejauh lebih 300 km ini hanya memakan masa kira-kira 2 jam. Jika Shinkansen Nozomi digunakan, perjalanan yang sama hanya memakan masa kira-kira 45 minit. Lajunya!!

Disebabkan kelajuannya, sukar sekali untuk menikmati pemandangan di sepanjang perjalanan keretapi dari Nagoya ke Tokyo. Untuk mengelak dari terkena migrain, pandangan perlu ditumpukan kepada objek yang jauh di luar tingkap. Antara pemandangan menarik yang dilihat dalam perjalanan adalah Gunung Fuji. Walaupun ketika itu masih musim luruh, kemuncak Fujiyama telah mula diliputi salji yang memutih.


Pemandangan Gunung Fuji dilihat dari Shinkansen dalam perjalanan dari Nagoya ke Tokyo
Di Tokyo, kami menginap di Ark Hotel yang terletak di daerah Shibuya. Hotel ini amat sempit, membayangkan betapa mahalnya nilai hartanah di bandaraya terbesar di dunia ini.

Pintu masuk ke Ark Hotel, Tokyo
Pemandangan dalam bilik Ark Hotel. Inilah pandangan lebar keseluruhan bilik - hanya semuat satu katil single sahaja.

TOKYO TOWER

Kami dibawa ke Tokyo Tower yang merupakan mercu tanda bagi bandaraya Tokyo.


Pemandangan Tokyo Tower dari bawah
Nama rasminya adalah Nippon Denpato (Menara Pemancar Radio Jepun) Ia didirikan bagi keperluan penyiaran stesen-stesen TV di Tokyo.

Pintu masuk ke Tokyo Tower
Rekabentuk Menara Tokyo dibuat mengikut Menara Eiffel di Paris, Perancis.  Bahagian atas menara direka untuk menahan kekuatan angin kencang hingga  100 m per saat, manakala bahagian bawah menara menahan kekuatan angin kencang hingga  80 m per saat.  

Menara ini dicat dengan warna oren dan putih untuk mematuhi peraturan keselamatan penerbangan.


Lif untuk naik ke Menara
Pemandangan dari dalam lif ketika naik ke Observation Deck
Menara ini mempunyai dua Observation Deck dan AOTS hanya menaja kami meninjau Observation Deck di bawah sahaja. Sekiranya cuaca cerah, anda dapat melihat pemandangan seluruh kota Tokyo sehingga ke Gunung Fuji. Namun disebabkan cuaca berkabus sewaktu kami berada di sana, hanya pemandangan sebahagian kota Tokyo dapat dilihat.

Pemandangan bandaraya Tokyo dari Tokyo Tower

ASAKUSA

Lawatan seterusnya adalah ke Asakusa yang terkenal dengan Sensoji Temple.  

Menurut ceritanya, Sensoji Temple dibina oleh 2 beradik yang bekerja sebagai nelayan. Pada suatu hari mereka menemui patung Buddha (yang dinamakan Kannon) dalam pukat yang mereka pasang. Walau bagaimana sekalipun mereka mencuba memulangkan patung ke dalam sungai, ia tetap kembali kepada mereka. Maka untuk menghormati patung itu, dibinalah Sensoji Temple.

Pintu masuk ke Sensoji Temple
Burung merpati di perkarangan Temple
Bersebelahan kuil ini ada sebuah arked membeli- belah yang dinamakan Nakamise Shopping Street. Di sini banyak dijual barangan cenderamata yang menarik.

Nakamise Shopping Street

PENGAKHIR KATA ..

Demikianlah sedikit sebanyak coretan kenangan kunjungan pertama ke Negara Matahari Terbit pada Musim Luruh 1999. Tidak terlintas pun di fikiran ketika itu bahawa Jepun akan menjadi antara negara yang paling kerap dikunjungi kelak.. 



CATATAN PERJALANAN LAIN (JAPAN):