Jun 2014
BALI, INDONESIA (2nd Visit)
Bahagian 2: BARONG, TENGALALANG, TIRTA EMPUL & GOA GAJAH
HARI KEDUA
Part 7: Budaya Bali Sepintas Lalu
Pulau Bali terletak di hujung Pulau Jawa di mana letaknya ibu negara Indonesia, Jakarta. Sebahagian besar penduduk di pulau ini beragama Hindu dan amat kuat berpegang kepada ajaran agama mereka.
Jika di Malaysia, gelaran seperti Along, Angah, Alang dan Uda diberi untuk menunjukkan kedudukan di kalangan anak pertama, kedua, ketiga dan keempat; di Bali pula gelaran yang diberi adalah Wayan, Made, Nyoman dan Ketut. Misalnya nama sebenar pemandu pelancong kami adalah Sugiarta, tetapi dia lebih mesra dengan panggilan Pak Wayan kerana dia merupakan anak sulung dalam keluarganya.
Masyarakat Hindu Bali juga masih mengamalkan sistem kasta. Namun begitu, kasta ini kini lebih diamalkan dalam upacara keagamaan di kuil-kuil dan tidak di dalam kehidupan seharian. Ada 4 kasta Hindu di Bali: Brahmana, Ksatriya, Waisya dan Sudra. Pak Wayan berasal dari kasta yang paling rendah iaitu Sudra manakala pemandu kami pula, Pak Agung berasal dari kasta Ksatriya.
Menurut Pak Wayan, kasta telah ditentukan sejak lahir dan tidak boleh diubah. Kasta seorang anak mengikut kasta bapanya. Jika seorang wanita berkahwin dengan seorang kasta yang lebih tinggi, wanita tersebut dan anak mereka akan mendapat kasta yang tinggi mengikut bapanya. Sebaliknya juga, jika wanita berkahwin dengan seorang kasta yang lebih rendah berbanding dirinya, dia dan anaknya kelak akan menjadi kasta yang rendah mengikut kasta suaminya.
Menurut Pak Wayan, orang-orang dari kasta tinggi seperti Pak Agung tidak boleh makan bersama orang-orang dari kasta yang lebih rendah seperti beliau dalam upacara-upacara keagamaan di kuil. Malah jika Pak Agung mati kelak, mayatnya akan diarak dalam tandu yang lebih banyak tingkatnya (mungkin setinggi 9 tingkat) untuk dibawa ke upacara pembakaran berbanding Pak Wayan yang akan diarak dalam tandu yang hanya setinggi mungkin 4 tingkat sahaja.
Pak Wayan juga memberitahu kami yang mayat semua penganut Hindu akan dibakar mengikut kepercayaan agama mereka dan abu mayat akan dibuang ke dalam laut. Namun begitu, pembakaran mayat di Bali bukanlah sesuatu yang murah untuk dilaksanakan. Oleh yang demikian, sekiranya keluarga si mati tidak mampu untuk melaksanakan pembakaran mayat dengan segera, mayat akan ditanam untuk sementara waktu sehinggalah mereka mampu untuk melaksanakan pembakaran mayat kelak.
CANANG SARI
Setiap hari, penganut agama Hindu di Pulau Bali akan mempersembahkan Canang Sari kepada Dewa sebagai tanda terima kasih atas pemberian rezeki pada hari itu. Bekas persembahan dibuat dari daun pokok palma dan di atasnya diletakkan sedikit beras dan makanan-makanan lain yang ingin diucapkan kesyukuran pada hari tersebut. Malah sewaktu berjalan di Pantai Kuta, Myself pernah melihat wang kertas Rupiah turut diletakkan di dalam Canang Sari.
Penduduk Bali akan meletakkan Canang Sari ini di merata-rata tempat: depan rumah dan kedai perniagaan, dan juga di persimpangan-persimpangan jalan. Kalau berjalan di laluan pejalan kaki depan kedai-kedai di Bali, memang kita mudah sekali tak sengaja akan terpijak Canang Sari yang diletakkan di tempat-tempat tersebut.
|
Meletakkan Canang Sari di persimpangan jalan masuk ke rumah. |
|
Kalau melalui rumah-rumah kediaman di Bali terutamanya pada sebelah pagi, kita akan sering melihat wanita-wanita meletakkan persembahan Canang Sari di altar-altar yang dibina di depan rumah. |
PENJOR DAN HARI RAYA GALUNGAN
Sewaktu kami tiba di Bali, perayaan Hari Raya Galungan baru saja berlalu. Hari Raya Galungan ini dirayakan 6 bulan sekali atau setiap 210 hari mengikut kalendar Bali. Hari Raya Galungan terkini jatuh pada 21 Mei 2014 dan dirayakan selama sebulan oleh penduduk Bali yang beragama Hindu.
Bagi merayakan Hari Raya Galungan, setiap rumah, pejabat, kuil dan kedai-kedai perniagaan akan meletakkan Penjor (disebut pen-yor mengikut dialek Bali) yang diperbuat dari batang buluh yang tinggi dan dihiasi dengan daun-daun palma. Pemandangan ini kami lihat di mana-mana sahaja sewaktu berada di Pulau Bali kerana Hari Raya Galungan masih diraikan ketika itu.
|
Oleh kerana Hari Raya Galungan masih diraikan di Bali ketika itu, banyak penjor dapat diperhatikan di seluruh Bali. Perhatikan juga Canang Sari yang diletakkan di atas bumbung teksi di hadapan kenderaan kami ini. |
|
Penjor yang menghiasi rumah-rumah di perkampungan di Bali. |
|
Sebuah penjor yang mempunyai hiasan yang sangat elaborate di hadapan sebuah kedai di Bali. Oleh kerana ketika ini Kejohanan Bolasepak Piala Dunia 2014 sedang berlangsung di Brazil, hiasan penjor ini sentiasa kelihatan berselang-seli dengan bendera-bendera negara yang mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut. |
|
Kemeriahan Hari Raya Galungan dan pertandingan Bolasepak Piala Dunia |
Kira-kira 10 hari selepas Hari Raya Galungan, diadakan perayaan Kuningan (yang sedikit sebanyak seperti perayaan Chap Goh Meh selepas Tahun Baru Cina). Selepas meraikan Galungan dan Kuningan ini sebulan kemudian, satu upacara sembahyang untuk menurunkan penjor akan diadakan dan penjor-penjor ini kemudiannya akan dibakar mengikut adat Bali.
MAKANAN ISTIMEWA BALI
Sepanjang percutian di Bali juga kami sering melihat pelbagai iklan makanan yang dipamerkan di restoran-restoran di sini. Antara makanan yang kerap diperhatikan adalah Babi Guling.
|
Babi Guling adalah antara makanan yang paling popular di Bali. |
Selain Babi Guling, masakan itik juga sangat popular di Bali. Antara masakan itik yang sering dilihat ialah Bebek Bengil (Dirty Duck). Bebek Bengil mendapat nama begitu kerana kaki itik ini dikatakan selalu berlumur dengan lumpur.
|
Restoran Bebek Bengil |
|
Penggembala itik di tengah sawah di Bali. Itiknya tak kelihatan dalam gambar kerana terlindung di sebalik tanaman padi. |
|
Reban itik di tengah sawah |
|
Bebek-bebek bengil yang dilepaskan di tengah sawah. |
Kami juga diperkenalkan oleh Pak Wayan dengan Nasi Lawar. Hidangan nasi ini selalunya dihidang dengan daging dan darah mentah dari daging tersebut. Misalnya, kalau daging yang digunakan adalah daging babi maka darah mentah dari babi tersebut akan juga dilumur kepada nasi untuk menambahkan perisanya. Orang Islam diharamkan memakan babi dan darah. Jadi memang jelas makanan ini tidak Halal dimakan.
|
Warung Nasi Lawar |
Satu lagi makanan yang diperkenalkan kepada kami ialah Ayam Betutu. Ayam ini dibelah dan diisi dengan pelbagai bumbu di dalamnya. Kemudian ia dimasak dalam sekam api selama paling kurang 5 jam. Oleh kerana ia memakan masa yang panjang untuk dimasak, Ayam (dan juga Itik) Betutu dianggap masakan istimewa di Bali.
|
Warung Ayam Betutu Halal di Bali. Harga seekor Ayam Betutu yang dijual di warung ini ialah kira-kira RM20. |
Part 8: Tarian Barong
Sekali
lagi kami menonton persembahan Barong dalam lawatan ke Bali kali ini.
Persembahan Barong ini kami tonton di sebuah teater yang bernama Sila
Budaya.
|
Teater Sila Budaya di mana kami menonton persembahan Barong. |
|
Pura di Teater Sila Budaya |
|
Bergambar dengan penyambut tetamu di Teater Sila Budaya |
|
Bersedia untuk menonton persembahan Barong |
|
Pemuzik Gamelan yang mengiringi persembahan Barong |
Barong
adalah karekter mistik di Bali yang melambangkan roh kebaikan. Lawan
kepada Barong adalah Rangda yang melambangkan roh kejahatan. Ada banyak
versi pertunjukan Barong yang dipersembahkan di Bali. Jika kita tak
familiar dengan watak-watak dalam persembahan Barong, memang sukar nak
memahami apa yang ingin disampaikan dalam persembahan tersebut.
|
Barong bermain dengan seekor monyet |
|
Rangda bersama seorang ahli sihir wanita |
Part 9: Bali Bidadari Batik
Selepas menonton persembahan Barong, Pak Wayan membawa kami ke sebuah pusat perusahaan Batik yang bernama Bali Bidadari Batik.
Di samping melihat penghasilan kraf Batik dari dekat, pengunjung juga boleh membeli T-Shirt kosong dan meminta pelukis-pelukis Batik di sini melukis corak Batik pilihan mereka ke atas T-Shirt yang dibeli. Myself cukup kagum melihat bagaimana pelukis-pelukis Batik ini boleh membuat lukisan on-the-spot atas T-Shirt tersebut.
|
Pelukis Batik |
|
Membuat lukisan Batik on-the-spot atas T-Shirt yang dibeli oleh pengunjung |
|
Menenun kain batik |
|
Menjahit cenderamata-cenderamata kecil dari kain batik. |
Part 10: Dewi's Silver
Lawatan
seterusnya adalah ke sebuah pusat jualan kraftangan perak Dewi's
Silver. Selain sedikit kerja perak yang dipertontonkan kepada pengunjung
di luar pintu masuknya, tak ada yang menarik kepada kami di pusat ini.
|
Dewi's Silver |
|
Sedikit pekerjaan pembuatan perak yang dipertunjukkan kepada pengunjung di luar galeri pameran jualan. |
|
Pintu masuk ke galeri pameran jualan Dewi's Silver |
|
Pemandangan galeri jualan Dewi's Silver |
Kami sebaliknya lebih menghabiskan masa melihat pemandangan sawah padi di belakang pusat ini.
|
Menikmati keindahan sawah padi di belakang Dewi's Silver |
|
Taman di belakang pusat jualan Dewi's Silver |
Part 11: Restoran Puteri Minang
Bila
tengahari tiba, Pak Wayan membawa kami untuk makan tengahari di sebuah
restoran yang bernama Puteri Minang. Restoran ini terletak di kawasan
Ubud.
|
Restoran Puteri Minang |
|
Pemandangan di hadapan Restoran Puteri Minang |
Hiasan di restoran ini sangat simple tetapi makanan yang dihidangkan sangat menyelerakan. Sewaktu makan di sini, Husband meminta sudu dari pelayan untuk menceduk kuah, tetapi pelayan tersebut tidak faham apa yang diminta oleh Husband. Di sinilah kami mempelajari bahawa "sudu" dalam Bahasa Indonesia dipanggil "senduk".
|
Hidangan makanan tengahari kami - masakan Minang. |
|
Walaupun restoran ini sangat simple, kami perhatikan ramai pelancong Barat yang memilih untuk makan di restoran ini. |
|
Sajian pilihan makanan di Restoran Puteri Minang |
Sewaktu menunggu Pak Wayan dan Pak Agung menjemput kami selepas makan tengahari, kami sempat berbual dengan pemilik Restoran Puteri Minang. Beliau adalah seorang lelaki yang berasal dari Pariaman di Sumatera. Pemilik tersebut memberitahu kami yang beliau sendiri sentiasa memastikan makanan yang dijual di restoran ini adalah dari sumber yang Halal.
Part 12: Tengalalang
Selepas makan, kami meneruskan perjalanan untuk melawat teres padi Tengalalang. Perjalanan ke sana adalah melalui sebatang jalan yang dinamakan Monkey Forest Road. Di sini ada hutan yang dihuni oleh banyak monyet. Namun, kami diberitahu bahawa monyet di sini tidaklah agresif seperti monyet di Uluwatu semalam.
|
Monkey Forest Road banyak dihiasi dengan patung-patung monyet seperti ini. |
Jalan ke Tengalalang sempit dan sesak dengan kenderaan. Namun keletihan mengharungi kesesakan ini hilang sebaik melihat keindahan sawah padi di sini.
|
Kesesakan jalan menuju ke Tengalalang |
|
Tiba di Tengalalang |
Sebelum tiba di sini, Myself sering membaca tulisan orang-orang yang pernah berkunjung ke sini yang memuji keindahan teres padi Tengalalang. Setelah tiba sendiri di sini, Myself sangat bersetuju dengan pandangan mereka. Pemandangan sawah padi di sini sangat indah dan menarik.
|
Ramai orang berpandangan teres sawah padi di Tengalalang adalah antara teres padi tercantik di dunia. |
|
Pandangan dekat sawah padi di Tengalalang |
|
Ada juga pelancong (terutamanya dari Barat) yang hiking sampai ke seberang sana. Kata Pak Wayan, kita memerlukan masa sejam untuk berbuat demikian. |
|
Pasangan romantis di Teres Padi Tengalalang |
|
Aksi romantis di Tengalalang |
|
Pelancong-pelancong yang berkunjung ke Teres Padi Tengalalang |
|
Satu lagi pemandangan indah di Tengalalang |
|
Rombongan pelajar-pelajar sekolah dari Pulau Jawa |
Part 13: Tampaksiring
Kami
kemudian dibawa menuju ke Tampaksiring untuk mengunjungi Pura Tirta
Empul. Nama Tampaksiring berasal dari dua buah kata bahasa Bali, iaitu "tampak" dan "siring", yang masing-masing bermakna telapak dan miring. Menurut lagendanya, nama itu berasal dari bekas tapak kaki seorang raja yang bernama Mayadenawa.
Raja ini pandai dan sakti, namun kemudian menjadi sombong dan menganggap dirinya dewa, lalu menyuruh rakyat menyembahnya.
|
Pintu masuk ke Pura Tirta Empul di Tampaksiring |
|
Pejabat Tiket untuk masuk ke Pura Tirta Empul |
|
Patung Dewa Indra |
Seorang pendeta bernama Sang Kulputih merayu kepada Dewa Indra untuk memusnahkan Mayadenawa. Dewa Indra lalu mengirimkan bala tenteranya dan Mayadenawa lari masuk ke hutan.
Agar para pengejarnya kehilangan jejak, Mayadenawa berjalan dengan memiringkan
telapak kakinya. Dengan begitu dia berharap para pengejarnya tidak
mengenali jejak telapak beliau. Namun demikian, Mayadenawa dapat juga ditangkap oleh para pengejarnya. Kawasan hutan yang
dilalui Raja Mayadenawa dengan berjalan sambil memiringkan telapak
kakinya itu kini dikenali dengan nama Tampaksiring.
Sewaktu tentera Dewa Indra sedang tidur di waktu malam, Mayadenawa
dengan sisa kesaktiannya telah mencipta mata air
yang beracun. Bila tentera Dewa Indra bangun pada keesokan paginya dan
meminum air dari mata air tersebut, ramai yang jatuh sakit. Dewa Indra
kemudian
menghentak tombaknya ke tanah lalu menciptakan mata air yang lain
sebagai penawar air beracun itu yang
kemudian diberi nama "Tirta Empul" ("air suci").
|
Penganut-penganut Hindu yang baru sahaja selesai mandi di air suci Tirta Empul di Tampaksiring. |
|
Ada sebuah pura kecil di luar pintu masuk ke kolam Tirta Empul. Para penganut Hindu yang ingin mandi di Tirta Empul akan bersembahyang di sini terlebih dahulu sebelum memulakan pemandian. |
|
Bersembahyang sebelum memulakan pemandian |
|
Pokok buah Majapahit ini banyak ditanam di sekitar kawasan Tirta Empul. Buah ini hanya boleh dijadikan hiasan kerana ia mengandungi racun dan tidak boleh dimakan. |
|
Pemandangan dekat Buah Majapahit. |
Seperti juga di pura-pura yang lain, pengunjung yang memakai pakaian yang dianggap kurang sopan perlu memakai kain sarung sebelum masuk ke dalam. Batu tanda di depan Pura Tirta Empul mengingatkan pengunjung tentang adab sopan yang perlu dipatuhi sewaktu berkunjung ke sini.
|
Pak Wayan menunjukkan Canang Sari yang ditinggalkan sebagai persembahan di luar Pura Tirta Empul. |
|
Peringatan tentang adab sopan sewaktu berkunjung ke sini. |
|
Pak Wayan membantu Husband memakai kain sarung untuk masuk ke Tirta Empul. |
Mayadenawa dikatakan menjelma menjadi pelbagai objek dalam pelariannya. Namun begitu dia tidak dapat memperdayakan Dewa Indra. Sewaktu Mayadenawa menjelma menjadi batu, dia telah dipanah oleh Dewa Indra dan mati terbunuh. Darah mengalir dari batu tersebut lalu membentuk Sungai Petanu. Sungai ini dikatakan terkena sumpahan selama 1,000 tahun. Sawah yang diairi oleh sungai ini membesar dengan cepat, namun demikian padi yang dituai mengeluarkan darah dan bau busuk.
Kematian
Mayadenawa diraikan setiap 210 hari mengikut kalendar Bali sebagai Hari
Raya Galungan. Ia menggambarkan kejayaan kebaikan (dharma) mengatasi
kejahatan (adharma).
|
Sungai yang mengalir di depan pintu masuk ke kawasan Tirta Empul. Kalau tak salah, ini adalah Sungai Petanu yang disumpah 1,000 tahun lalu oleh Mayadenawa. |
Ada 15 pancutan air suci di Tirta Empul dan setiap satunya dipercayai mempunyai kelebihan tersendiri seperti menyucikan diri, menyembuhkan penyakit dan sebagainya. Penganut Hindu akan mandi di bawah setiap pancutan mengikut ritual yang tertentu bermula dari kiri ke kanan. Mereka perlu mandi di bawah 13 pancutan air. Dua pancutan air terakhir dikhususkan untuk memandikan mayat orang yang telah meninggal dunia.
|
Kolam Tirta Empul |
|
Ada 15 pancutan air semuanya di kolam Tirta Empul. Dua pancutan yang paling hujung dikhususkan untuk memandikan mayat. |
|
Canang Sari akan diletakkan selepas selesai mandi di setiap pancutan air. |
|
Ikan di dalam kolam Tirta Empul |
|
Kata Pak Wayan, pancutan air di kolam sebelah sana pula dipercayai membuatkan seseorang awet muda kalau mandi di situ. |
|
Pengunjung sedang menunggu giliran untuk mandi di pancutan air yang dikatakan boleh mengekalkan awet muda. |
Selepas mandi di kolam Tirta Empul, penganut Hindu akan bersembahyang untuk mengucapkan kesyukuran di ruang Pura di sebelah. Ruang ini dibuka hanya untuk orang yang ingin bersembahyang. Pengunjung lain hanya boleh melihat dari luar sahaja.
|
Ruang untuk penganut Hindu bersembahyang |
|
Penganut Hindu sedang bersembahyang di Pura Tirta Empul |
|
Pengunjung lain tidak dibenarkan masuk ke ruang sembahyang. Hanya boleh melihat dari luar sahaja. |
Di sebelah ruang sembahyang ini, ada sebuah kolam seperti Tirta Empul, tetapi saiznya lebih kecil dan tiada orang mandi di situ. Kami diberitahu inilah kolam racun yang dicipta oleh Mayadenawa.
|
Kolam kecil ini adalah pancutan air beracun yang dicipta oleh Mayadenawa |
|
Mungkin airnya tidak lagi beracun sekarang kerana ikan boleh hidup di dalamnya. |
Pak Wayan turut membawa kami melihat mata air Tirta Empul. Mata air ini terletak di dalam sebuah kolam yang dipenuhi dengan tumbuhan-tumbuhan air.
|
Kolam yang menempatkan mata air di Tirta Empul |
|
Kolam ini dipenuhi dengan tumbuhan-tumbuhan air |
|
Hanya kawasan di mana mata air memancut keluar dari bumi sahaja yang tidak dilitupi tumbuhan di dalam kolam ini. |
Sebelum keluar dari Pura Tirta Empul, kami melalui sebuah kolam lagi. Kolam ini tidak mempunyai pancutan air, hanya ikan-ikan yang cantik sahaja berenang di dalamnya. Kata Pak Wayan, ikan-ikan di Tirta Empul tidak mempunyai sebarang signifikan keagamaan. Mereka hanya dibela untuk perhiasan.
|
Kolam ikan di Tirta Empul |
|
Memberi makanan kepada ikan |
|
Botol plastik ini digunakan oleh penganut Hindu untuk membawa air suci Tirta Empul pulang ke rumah. |
|
Kedai-kedai cenderamata di pintu keluar Tirta Empul. |
Satu pemandangan lain yang menarik perhatian pengunjung di Tirta Empul ini ialah Bangunan Istana Negara yang dibina oleh Presiden Indonesia yang pertama dahulu, Soekarno. Kata Pak Wayan, keluarga Presiden Soekarno sering berkunjung ke sini kerana ibu Presiden berasal dari Bali.
|
Pemandangan Istana Negara yang dibina oleh Presiden Soekarno dari pintu masuk ke Tirta Empul
|
Part 14: Goa Gajah
Disebabkan
keletihan perjalanan ke Bali semalam masih belum hilang ditambah dengan
hari kedua di Bali yang penuh dengan aktiviti, Myself tertidur dalam
kereta sepanjang perjalanan dari Tirta Empul ke destinasi kami yang
seterusnya, Goa Gajah. Tak sedar langsung sehinggalah dikejutkan oleh
Husband setelah kami tiba di Goa Gajah.
|
Patung di tempat letak kereta Goa Gajah |
|
Selamat datang ke Goa Gajah |
Seperti juga di Tirta Empul, Husband perlu memakai kain sarung untuk masuk ke sini sebab dia berpakaian macam Orang Putih.
|
Bersedia untuk melawat Goa Gajah |
Goa Gajah sebenarnya terletak di dalam sebuah lurah. Untuk ke sana, kita terpaksa menuruni sebuah tangga yang boleh tahan juga tingginya.
|
Menuruni tangga ke Goa Gajah |
|
Pemandangan perkarangan Goa Gajah dari atas tangga. |
|
Batu-batu ini adalah runtuhan sebuah pura di sini yang musnah dalam satu kejadian gempa bumi. Oleh kerana batu-batu ini dianggap suci, ia hanya dilonggokkan sahaja di sini. |
|
Pemandangan di luar Goa Gajah selepas menuruni tangga |
Sebelum masuk ke Goa Gajah, Pak Wayan membawa kami melawat ke sebuah kolam yang terletak betul-betul di depan gua. Di dalam kolam ini terdapat patung 6 dewi Hindu. Kata Pak Wayan, sepatutnya patung ini ada 7 buah, tetapi patung yang ketujuh masih belum ditemui untuk diletakkan di sini. Mungkin ia masih berada di India, kata Pak Wayan. Enam patung ini merupakan simbol dari tujuh sungai suci di India, yang merupakan tempat kelahiran agama Hindu dan Buddha.
|
Patung dewi Hindu di dalam kolam di depan Goa Gajah |
|
Sepatutnya ada 7 buah patung dewi Hindu di sini tetapi patung ketujuh masih belum ditemui untuk diletakkan di sini. |
|
Pemandangan pintu Goa Gajah dari tepi kolam. |
Goa Gajah adalah sebenarnya sebuah Pura yang dibina di dalam sebuah gua. Pada muka gua, diukir muka raksasa yang kelihatan seperti Gajah. Kerana itulah agaknya gua ini dinamakan Goa Gajah.
|
Mulut Goa Gajah |
Di luar gua terdapat ukiran patung seorang wanita
yang memangku banyak anak. Pada mulanya wanita ini dikatakan gemar memakan daging manusia terutama daging kanak-kanak. Setelah beliau mempelajari ajaran agama, wanita ini akhirnya menjadi seorang yang sangat penyayang kepada kanak-kanak. Kata Pak Wayan, ramai penganut Hindu datang bersembahyang di sini untuk berdoa bagi mendapatkan anak.
|
Ramai penganut Hindu datang bersembahyang di patung ini untuk berdoa mendapatkan anak. |
Bahagian dalam Goa Gajah sebenarnya tidak besar dan berbentuk seperti huruf "T". Di setiap penjuru, terdapat patung-patung sembahan penganut Hindu. Gua ini juga dipenuhi bau setanggi yang dibakar untuk upacara keagamaan.
|
Pemandangan di dalam Goa Gajah |
Di tapak Goa Gajah ini juga, terdapat sebuah kuil Buddha yang terletak lebih jauh ke dasar lurah. Kami walau bagaimanapun tidak turun ke sana kerana memikirkan betapa payahnya nanti nak mendaki balik ke atas. Lagipun, kami berusaha menjimatkan masa ketika itu kerana ingin pulang awal ke Hotel, memandangkan kami masih belum bersolat jamak Zohor dan Asar.
|
Petunjuk arah ke Kuil Buddha di Goa Gajah |
|
Lurah yang perlu dituruni untuk sampai ke Kuil Buddha |
|
Kedai-kedai di pintu masuk ke perkarangan Goa Gajah.
|
Part 15: Restoran Pawon Pasundan
Sekembalinya dari Goa Gajah, kami terus ke Restoran Pawon Pasundan. Bila kami meminta Pak Wayan untuk membawa kami ke tempat di mana kami boleh menunaikan Solat, beliau mencadangkan supaya kami bersolat di restoran dinner kami, Pawon Pasundan di Kuta. Kata Pak Wayan, ramai tetamu-tetamu Muslimnya yang sering bersolat di sana. Sebaik kami tiba di sana, Pak Wayan terus membawa kami ke Musholla di restoran itu.
|
Restoran Pawon Pasundan di Kuta |
|
Pak Wayan menunjukkan kami ke Musholla untuk membolehkan kami bersolat di sana. |
|
Ruang solat yang terbuka di Restoran Pawon Pasundan. Walaupun kecil, ia selesa dan dilengkapi dengan tempat wuduk dan keperluan-keperluan yang lengkap untuk bersolat. |
|
Bersolat di Musholla Restoran Pawon Pasundan |
Restoran Pawon Pasundan menyediakan makanan Sunda. Makanan yang disediakan juga sedap dan menyelerakan. Landskap di restoran ini juga sangat cantik dan menarik.
|
Ruang makan di Restoran Pawon Pasundan |
|
Landskap indah di tengah restoran |
|
Hidangan masakan Sunda untuk Dinner hari kedua. Bungkusan selinder yang dibalut dengan daun pisang adalah nasi. |
|
Hidangan nasi setelah bungkusan daun pisang dibuka. |
Bersambung ke Hari Ketiga...
CATATAN PERJALANAN BALI 2nd VISIT (2014):