Showing posts with label PORTUGAL (2024) - Lisbon. Show all posts
Showing posts with label PORTUGAL (2024) - Lisbon. Show all posts

Monday 29 July 2024

2024 ANDALUSIA BHG. 36 (Portugal)

Mei 2024

NORTHERN AFRICA & SOUTHERN EUROPE
Morocco, Spain & Portugal
[PORTUGAL: Lisbon]

Bahagian 36: Portugal
PORTUGAL

HARI KELAPAN (4)

Part 103: Menuju Ke Sempadan Portugal
 
Perjalanan kami diteruskan lagi dari Mérida menuju ke sempadan Portugal yang terletak cuma 80 km dari situ.

Kawasan Rehat di Mérida
Naik bas kembali nak menuju ke Portugal
Satu pemandangan yang berlainan kami saksikan sewaktu menghampiri negara Portugal adalah ladang Pokok Gabus (Cork) yang ditanam dengan begitu banyak. Portugal adalah negara pengeluar gabus yang terbesar di dunia. Gabus ini kebanyakannya digunakan sebagai penyumbat botol wain. Disebabkan kawasan Spain yang di sebelah sini berdekatan dengan sempadan Portugal, pokok gabus turut ditanam dengan banyaknya.
 
Ladang Pokok Gabus berhampiran sempadan Portugal
Pokok-pokok Gabus
Plaza Tol di Mérida
Toll Booth
Menghampiri sempadan Portugal
Excited sebab kita dah nak masuk ke negara Portugal
Pemandangan saujana mata memandang
 Makan Potato Chips dalam perjalanan ke Portugal
Menuju ke sempadan Portugal

Part 104: Selamat Datang Ke Portugal

Spain dan Portugal dipisahkan oleh Sungai Guadiana. Kedua-duanya adalah negara Schengen, oleh yang demikian tidak ada pemeriksaan passport sewaktu melintasi sempadan antarabangsa.

Sungai Guadiana yang memisahkan Spain dan Portugal
Lusitania Bridge
Bem vindo a Portugal! Welcome to Portugal! Kami selamat masuk ke sempadan Portugal pada pukul 5 petang (6 petang waktu di Spain). Sebaik masuk ke sempadan Portugal, pemandu bas kami berhenti sebentar di sebuah perhentian kecil di Elvas untuk reset sistem bas kepada sistem Portugal. Maklum sajalah semua bas di sini mempunyai tracking system dan waktu di Portugal adalah lewat sejam berbanding Spain. Maksudnya usia kita pun muda sejam bila kita melawat Portugal dari Spain. Hahaha!!

Berhenti sebentar di Elvas, Portugal sebaik meninggalkan sempadan Spain untuk membolehkan pemandu bas reset semula sistem bas kepada sistem Portugal
Meneruskan perjalanan ke Lisbon
Banyak panel solar diperhatikan sepanjang perjalanan ke Lisbon kerana Portugal adalah antara negara di dunia yang paling banyak menggunakan renewable energy.
Disebabkan kita dah masuk ke negara Portugal sekarang, eloklah kita berkenalan pula dengan negara ini...

Portugal
Portugal adalah negara kuasa maritim yang pertama di dunia dan tempat lahir beberapa penjelajah terkemuka dunia. Pada zaman Age of Discoveries, pelayar Portugis Ferdinand Magellan menjadi orang yang pertama berjaya mengelilingi dunia walaupun dia berkhidmat dengan Kerajaan Spain. Bartholomew Diaz pula menjadi orang Eropah yang pertama berlayar sehingga ke penghujung selatan benua Afrika yang dinamakannya sebagai Cape of Good Hope manakala Vasco da Gama menjadi orang Eropah yang pertama menemui laluan laut ke India. Selepas itu Álvares Cabral dan pelayar-pelayar yang lain pula berjaya menemui tanah-tanah baru termasuk Brazil, sebahagian Afrika dan Timur Jauh yang dituntut sebagai jajahan Portugal.

Empayar Kolonial Portugal yang bertahan sepanjang 600 tahun adalah empayar Eropah moden yang terpanjang dalam sejarah. Sewaktu kemuncaknya, Empayar Portugal meliputi 53 buah negara yang berbeza. Brazil mendapat kemerdekaan pada tahun 1822 manakala semua jajahan Portugis di Afrika mendapat kemerdekaan menjelang tahun 1975. Tanah jajahan Portugis yang terakhir, Macau diserahkan kembali kepada China pada tahun 1999 selepas dijajah selama 442 tahun.

Pembahagian penjelajahan dunia di antara Spain dan Portugal di bawah Treaty of Tordesillas 1494
Pada satu ketika, Portugal memiliki separuh bahagian dunia manakala Spain pula memiliki sebahagian yang lain. Sewaktu kemuncak perlumbaan penjelajahan dunia yang dinamakan Age of Discoveries pada tahun 1494, Portugal dan Spain telah menandatangani sebuah perjanjian yang dinamakan sebagai Treaty of Tordesillas yang membahagikan dunia kepada Timur dan Barat. Mengikut perjanjian ini, Portugal mendapat hak untuk menakluk kawasan-kawasan di sebelah Timur manakala Spain pula mendapat hak untuk menakluk kawasan Barat. Titik rujukan yang digunakan dalam perjanjian ini adalah Cape Verdes Islands di Lautan Atlantik.

Disebabkan dunia telah diketahui berbentuk bulat ketika itu, sebuah lagi perjanjian ditandatangani di antara Spain dan Portugal untuk pembahagian kawasan Timur dan Barat di Lautan Pasifik. Perjanjian tersebut yang dinamakan Treaty of Zaragoza 1529 menetapkan titik rujukan pembahagian di sekitar Kepulauan Maluku di Indonesia sekarang. Kedua-kedua perjanjian ini walau bagaimanapun hanya diiktiraf oleh Portugal dan Spain sahaja dan tidak oleh kuasa-kuasa lain di dunia.

São Vicente e Ventosa
Pemandangan bandar di Portugal sedikit berbeza dengan pemandangan bandar di Spain
Satu fakta menarik yang perlu kita ketahui ialah Portugal wujud sebagai sebuah negara merdeka disebabkan perbalahan di antara seorang ibu dengan anaknya. Sebelum merdeka, Portugal hanyalah County of Portugal di bawah Kingdom of León & Castille (yang kemudiannya menjadi sebahagian dari negara Spain). Selepas kematian Count of Portugal yang bernama Henry, isterinya yang bernama Theresa mengambilalih tampuk pemerintahan County of Portugal bagi pihak anak dan pewaris Henry yang bernama Afonso. Bila gerakan kemerdekaan dari León & Castille semakin memuncak, Theresa bergabung dengan Galicia untuk memastikan kekal berkuasa.

Namun demikian, anak Theresa yang bernama Afonso Henriques tidak bersetuju dengan tindakan ibunya yang bergabung dengan Galicia. Menyedari kewujudan dan masa depan Portugal berada di dalam tangannya, tentera Afonso bertempur dengan tentera ibunya dalam peperangan yang dinamakan Battle of São Mamede pada tahun 1128. Portugal akhirnya mendapat kemerdekaan dari León & Castille pada tahun 1143 dan Afonso Henrique ditabalkan menjadi King of Portugal yang pertama.

Pemandangan di Portugal
Lebuhraya
Ladang pertanian
Perkampungan Portugis
Menuju ke kota Lisbon
Ibukota bagi negara Portugal adalah Lisbon. Namun demikian, sebelum gelaran ibukota Portugal ini dipegang oleh Lisbon, ada beberapa bandar yang pernah menjadi ibukotanya. Guimarães adalah ibukota County of Portugal sebelum mendapat kemerdekaan dari Kingdom of León & Castille. Selepas ditabalkan menjadi King of Portugal yang pertama, Afonso Henriques menjadikan Coimbra sebagai ibukota Portugal pada tahun 1131. Secara teknikal, Coimbra masih merupakan ibukota Portugal sehingga sekarang kerana dokumen yang mengesahkan perpindahan ibukota ke Lisbon tidak pernah ditandatangani.

Ibukota Portugal juga pernah berada di luar tanah Portugis sendiri. Ini adalah kerana ibukota pemerintahan ditakrifkan sebagai bandar yang menjadi tempat kediaman raja yang memerintah. Kota Angra do Heroísmo di Pulau Terceira dalam Kepulauan Azores pernah menjadi ibukota di bawah 2 pemerintah Portugal: António, Prior do Crato dan Maria II. Rio de Janeiro di Brazil juga pernah menjadi ibukota Portugal apabila Keluarga Diraja Portugal melarikan diri ke sana sewaktu penaklukan Perancis ke atas Portugal.

Portugal adalah juga negara yang tertua di Eropah. Portugal yang kita kenali hari ini menjadi sebuah negara beraja (kingdom) pada tahun 1139. Sempadan Portugal juga masih kekal seperti sekarang semenjak perjanjian yang ditandatangani di antara Spain dan Portugal pada tahun 1297. Portugal terus menjadi negara beraja selama 800 tahun berikutnya sebelum menjadi sebuah republik pada tahun 1910.

Portugal turut memegang rekod pemerintahan yang tersingkat di dunia. Crown Prince Luis Felipe diangkat menjadi King of Portugal untuk tempoh selama 20 minit selepas ayahnya King Carlos I dibunuh pada 1 Februari 1908. Selepas menderita akibat kecederaan yang dialami dalam serangan yang sama membunuh ayahnya, Luis Felipe turut meninggal dunia. Gelaran King of Portugal kemudiannya diserahkan kepada Manuel II yang merupakan King of Portugal yang terakhir.

Titik paling barat di Continental Europe terletak di Cabo da Roca yang merupakan sebuah tanjung di bandar Sintra di Portugal. Kalau kepulauan Eropah diambil kira, titik paling barat Eropah masih berada di Portugal, iaitu di Capelinhos Volcano yang terletak di kepulauan Azores. Namun demikian, titik paling barat European Union tidak terletak di Portugal. Ia sebaliknya terletak di pulau Saint-Martin di Laut Caribbean yang masih ditadbir oleh negara France.

Dari takrif geografi pula, tahukah anda yang Portugal adalah sebahagian dari Amerika Utara? Ini adalah kerana Monchique Islet yang merupakan sebahagian Kepulauan Azores yang dimiliki Portugal terletak di North American Plate.

Ladang Pokok Gabus di Portugal
Lebuhraya menuju ke Lisbon
Haiwan ternakan meragut rumput di celah Pokok Gabus
Pokok-pokok Gabus
Ladang ternakan
Perjanjian Anglo-Portuguese Alliance di antara United Kingdom dan Portugal pada tahun 1373 adalah perjanjian tertua yang masih berkuatkuasa di dunia sehingga sekarang. Di bawah perjanjian tersebut, United Kingdom dan Portugal berjanji untuk saling membantu dan tidak menyerang satu sama lain.

Portugal adalah juga negara Eropah yang pertama melibatkan diri dalam perdagangan hamba abdi merentas Atlantik. Portugal ketika itu membekalkan hamba abdi dari tanah jajahannya di Afrika Barat ke Amerika Syarikat. Namun demikian, ia turut menjadi kuasa penjajah yang pertama di dunia mengharamkan perdagangan hamba abdi, kira-kira 50 tahun lebih awal berbanding Britain, Spain, France dan USA.

Agama terbesar di Portugal adalah Kristian Roman Katholik yang dianuti 81% penduduknya. Agama Kristian mula bertapak di Portugal sewaktu negara ini menjadi sebahagian dari Empayar Rome. Walaupun gereja dan pemerintahan diasingkan, sistem moral dan perundangan Portugal masih berasas kepada kepercayaan Roman Katholik. 

Kesan dari penjajahan lampau juga, Bahasa Portugis masih menjadi bahasa rasmi di 9 buah negara selain Portugal: Angola, Brazil, Cabo Verde, Timor Leste, Equatorial Guinea, Guinea-Bissau, Macau, Mozambique serta Sāo Tomé and Principe. Bahasa Portugis kini adalah bahasa keenam terbesar di dunia dengan seramai 220 juta penutur sebagai bahasa ibunda. Tetapi tahukah anda dari jumlah 220 juta penutur ini, cuma 5% sahaja yang tinggal di Portugal? Sebahagian besar penutur Bahasa Portugis berada di negara Brazil.


Part 104: Hentian Rehat Di Vendas Novas
 
Bas kami sekali lagi membuat perhentian rehat di tepi lebuhraya di Vendas Novas. Memandangkan ini adalah perhentian pertama kami di Portugal, masing-masing excited nak turun memijak bumi Portugal buat pertama kali. Memang bangga rasanya bila dapat memijak bumi Portugal. Terasa yang Orang Malaysia juga boleh menjajah Portugis dan bukan Portugis sahaja yang boleh menjajah negara kita dahulu. Hahaha!!

Perhentian rehat di Vendas Novas
Replika wine barrel di perhentian rehat Vendas Novas
Seperti di Spain juga, ada restoran dan kedai serbaneka di perhentian rehat ini. 

Restoran di perhentian rehat Vendas Novas
Memang di mana juga perhentian rehat di lebuhraya, Myself dan Husband akan lebih berminat untuk masuk ke kedai serbaneka berbanding restoran. Maklum sajalah, bukan ada makanan Halal pun yang dijual di restoran-restoran ini.

Lebih memilih untuk masuk ke kedai serbaneka berbanding restoran...
Suasana di dalam kedai serbaneka
Banyak wain dijual di sini kerana Portugal adalah antara negara pengeluar wain yang terbesar di dunia. Wain yang paling terkenal dari Portugal dinamakan sebagai Port Wine.
Seperti Seville di Spain, Portugal juga terkenal dengan jubin azulejo. Banyak barangan cenderamata di sini dibuat dengan mengambil ilham dari corak jubin azulejo.
Sewaktu di perhentian rehat ini jugalah Zarina memperkenalkan kepada Myself dan Husband souvenir yang popular dari Portugal ~ ikan sardin dalam tin. Tidak seperti ikan sardin dalam tin di Malaysia yang direndam dalam sos tomato, ikan sardin ini direndam dalam minyak zaitun. Disebabkan teruja dengan penerangan dari Zarina dan ikan sardin ini Halal untuk dimakan, kita belilah juga satu set Portuguese Vintage Collection yang terdiri dari 4 perasa: Spiced Sardines in Olive Oil, Sardines in Olive Oil, Sardines in Tomato Sauce dan Sardines in Hot Vegetable Oil. Satu set ini dijual pada harga Euro 25 (RM 126).

Sardin dalam tin yang merupakan souvenir popular dari Portugal
Set Sardin Portuguese Vintage Collection yang berharga Euro 25 (RM 126)
Kami dah cuba memakan sardin ini bila balik ke Malaysia. Tetapi disebabkan lidah kami memang lidah orang Malaysia, terasa sangat yang sardin dalam tin di Malaysia jauh lebih sedap rasanya. Hahaha!!


Bersambung ke Bahagian 37...


CATATAN PERJALANAN (MOROCCO, SPAIN & PORTUGAL 2024):