Showing posts with label MIDDLE EAST 01 - Arab Saudi : Umrah / Haji. Show all posts
Showing posts with label MIDDLE EAST 01 - Arab Saudi : Umrah / Haji. Show all posts

Friday 16 July 2021

2021 TRAVEL REVIEW 25 - ASIA BARAT (ARAB SAUDI 1: UMRAH & HAJI)

Julai 2021

Travel Review 25 - Asia Barat
ARAB SAUDI (Umrah & Haji)

Arab Saudi memang tak perlu diperkenalkan lagi kepada umat Islam di seluruh dunia kerana di negara inilah letaknya 2 buah kota suci kita: Makkah dan Madinah. Ia terletak di Asia Barat, di persimpangan jalan di antara Asia dengan benua Eropah dan Afrika.

Kingdom of Saudi Arabia (KSA)
Alhamdulillah, Myself dah berkesempatan berkunjung ke Arab Saudi sebanyak 5 kali sehingga kini: 4 kali kerana membuat Umrah dan sekali kerana menunaikan Haji yang menjadi kewajiban sekali dalam seumur hidup bagi setiap umat Islam yang berkemampuan. Kalau dikira satu persinggahan transit sewaktu dalam perjalanan menuju ke Cairo di Mesir, dah 6 kali Myself menjejakkan kaki di negara ini. Di samping Makkah dan Madinah yang merupakan destinasi wajib dalam pakej Umrah, Myself dan Husband juga telah Allah SWT kurniakan kesempatan untuk berkunjung ke destinasi lain di negara ini seperti Jeddah, Taif dan Madain Saleh.

KISAH UMRAH & HAJI

Umrah Pertama (1998)

Myself pertama kali menunaikan Umrah pada tahun 1998 bersama Emak, Ayah, adik Emak yang Myself panggil Mak Andak serta suaminya Pak Andak. Waktu itu kita masih young and single dan memang Myself akui, sekadar mengikut parents membuat Umrah. Tak ada persediaan langsung dibuat ketika itu, kursus Umrah pun tak pergi. Cuma sekadar mengikut tunjuk ajar dari Emak dan Mak Andak yang pernah membuat Haji sebelum itu.

Sesuatu yang pasti, kedatangan kita ke Tanah Suci adalah sebenarnya atas jemputan dari Allah SWT. Pada tahun 1998, handphone baru diperkenalkan. Tak ramai orang yang memiliki handphone ketika itu. Myself mungkin boleh dikategorikan sebagai antara orang terawal di Malaysia yang memiliki handphone. Maklum sajalah sebab kita ini boleh dikira sebagai Minah Gadget semasa muda-muda dulu. Pantang dengar ada gadget baru, mesti tak mahu ketinggalan. Seminggu sebelum berangkat ke Makkah, bersusah payah kita pergi ke pejabat Maxis untuk mendaftar membuat roaming di luar negara. Maklumlah, urusan roaming pada ketika itu tidaklah semudah sekarang.

Waktu itu Myself dah pun bekerja di Kuala Lumpur. Parents dan keluarga Mak Andak pula tinggal di Perak. Sepatutnya boleh saja Myself join mereka terus di KLIA untuk berlepas ke Jeddah. Tapi kita balik jugalah ke Perak atas arahan Emak untuk bersama-sama memulakan perjalanan ke Tanah Suci dari rumah lagi.

 Bergambar keluarga di depan rumah sebelum berlepas ke Lapangan Terbang Ipoh
Perjalanan kami ketika itu bermula dengan menaiki Malaysia Airlines dari Ipoh ke Kuala Lumpur sebelum menaiki sebuah pesawat Malaysia Airlines lain yang lebih besar dari Kuala Lumpur menuju ke Jeddah.

Dalam perjalanan menuju ke Jeddah
 Pertama kali menjejak di Madinah (1998). Ketika ini baru turun dari bas selepas tiba dari Jeddah.
Makkah (1998)
Rupa-rupanya ada sebab Allah bukakan hati Myself mengikut parents, Pak Andak dan Mak Andak ke Tanah Suci ketika itu. Kami berangkat di saat seorang Makcik lain yang Myself panggil Mak Yah (adik kepada Emak dan Mak Andak) sedang berjuang melawan penyakit kanser. Malah antara sebab utama Emak dan Mak Andak membuat keputusan pergi ke Makkah adalah kerana ingin mendoakan kesihatan Adik mereka ini.

 Kenangan di depan Hotel Zuhdi di Madinah sebelum berangkat menunaikan Umrah di Makkah. Kekok sungguh pertama kali memakai telekung begini berjalan kat luar masa itu.
Allah takdirkan Myself mengalami uzur syarie sehari sebelum kami berangkat ke Makkah dari kota Madinah. Jadi terpaksalah Myself membuat Umrah Bersyarat. Dalam bas sewaktu dalam perjalanan ke Makkah inilah, handphone Myself berdering. Kami mendapat pemakluman dari keluarga di Malaysia yang Mak Yah telah pergi menghadap Ilahi. Disebabkan Emak dan Mak Andak adalah orang tua dalam keluarga, tak putus-putus mereka menghubungi kami melalui handphone Myself. Disebabkan perbezaan waktu di antara Malaysia dengan Arab Saudi, panggilan ini juga selalu datang sewaktu Emak dan Mak Andak berserta Ayah dan Pak Andak berada di Masjid. Kita yang uzur syarie sajalah yang berada di bilik hotel menjawab semua panggilan ini dan menjadi perantara dengan keluarga di Malaysia.

 Masjid Miqat Bir Ali berhampiran Madinah (1998). Selepas meninggalkan masjid inilah kami mendapat berita mengenai pemergian Mak Yah ke Rahmatullah.
Masih ingat lagi bagaimana Emak, Mak Andak, Ayah dan Pak Andak mengatur tahlil bersama Mutawif dan pelajar-pelajar di Makkah ketika itu untuk arwah Mak Yah. Walau tak dapat menatap wajah adik mereka buat kali terakhir sewaktu Mak Yah dikebumikan di tanah air, Emak dan Mak Andak memang puas dapat menguruskan sendiri doa dan sedekah untuk arwah adik kesayangan mereka di Tanah Suci. Mereka juga cukup puas dapat bercakap sendiri tentang urusan perlu bersama ahli keluarga di Malaysia secara langsung menggunakan handphone Myself. Banyak betul jasa handphone Alcatel Myself ketika itu. Macam dah tak jumpa telefon brand Alcatel ini sekarang tetapi itulah antara handphone yang paling trendy pada masa itu. Sebaik selepas semua urusan berkaitan Mak Yah selesai, Allah takdirkan barulah Myself suci kembali. Maka dapatlah kita menyelesaikan Umrah dengan bantuan dan panduan dari Emak dan Ayah serta beribadat bersama di Masjidil Haram.

Kami menunaikan Umrah dengan menggunakan pakej Tabung Haji Travel ketika itu. Ada 2 jenis pakej yang ditawarkan: 10 Hari dan 14 Hari. Pada mulanya Myself meminta Emak supaya mengambil pakej yang 10 Hari saja. Maklumlah, kita bekerja dan nak berjimat cuti masa itu. Tapi Mak Andak insist supaya kami mengambil pakej 14 Hari. Memanglah Myself marah sikit ketika itu. Tapi ternyata disebabkan Pakej 14 Hari inilah Myself dapat menunaikan Umrah dengan sempurna. Maklumlah, kita terkena uzur syarie waktu di Makkah. Kalau ambil Pakej 10 Hari saja waktu itu, memang tak sempat nak selesaikan Umrah. Terima kasih kepada Mak Andak. Setinggi kesyukuran kepada Allah yang membuka pintu hati Mak Andak yang insist kami membuat Umrah 14 Hari.

Bila Myself renungkan kembali, memang banyak hikmah sewaktu Allah menjemput Myself ke Tanah Suci buat pertama kali pada usia pertengahan 20-an ketika itu ~ untuk membantu keluarga memberikan urusan terbaik kepada arwah Mak Yah. Teringat kata-kata seorang staff yang bertugas di kaunter Money Changer di KLIA sewaktu Myself membuat pertukaran wang Saudi Riyal di sana: "Bertuah sungguh Adik dapat buat Umrah masa muda-muda. Abang sampai sekarang belum sampai lagi ke sana". Alhamdulillah, nak menitik air mata bila terkenangkannya. Semua urusan juga Allah aturkan yang terbaik kepada kami seperti membuka pintu hati Mak Andak yang insist kami mengambil pakej Umrah 14 Hari. Kata Mak Andak ketika itu, dia nak pergi 14 Hari sebab itu mungkin Umrahnya yang terakhir. Memang benar, Mak Andak pergi meninggalkan kami selepas itu kerana penyakit barah hati. Semua ini menjadi kenangan bagi Myself kerana kesemua mereka kini ~ Emak, Ayah, Mak Andak, Pak Andak dan Mak Yah ~ telah kembali ke Rahmatullah. Semoga roh kesemua mereka ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Amin.

 Kenangan di Jabal Rahmah. Al Fatihah buat kesemua mereka yang telah tiada lagi di dunia.

Umrah Kedua (2002)

Pada tahun 2001, Myself telah menghidap ketumbuhan yang memerlukan pembedahan. Terasa macam langit nak runtuh sewaktu menerima kenyataan itu. Memang takut nak membuat operation kerana teknologi perubatan belum secanggih sekarang. (Selepas pembedahan ini Myself telah melalui 3 operation lain pulak, atas sebab-sebab yang berlainan). Keluarga terdekat pun tak ada yang pernah membuat operation ketika itu ~ kitalah yang pertama. Myself akhirnya membuat pembedahan selepas mendapat kata perangsang dari Emak ~ dah ada benda busuk dalam badan, kenalah dibuang, kata Emak. Pembedahan ini yang pada mulanya dijangka memakan masa 30 minit, bertukar menjadi pembedahan panjang selama 3 jam akibat komplikasi yang dialami. 

Kita juga mendapat cuti sakit yang sangat panjang ~ selama 6 minggu selepas membuat pembedahan. Didorong rasa syukur kerana berjaya melalui pembedahan yang rumit itu, Myself membuat nazar ingin membuat Umrah ke Tanah Suci selepas sembuh. Dengan keizinan Allah, Myself dan Husband berangkat menunaikan Umrah kedua ke Tanah Suci pada pertengahan tahun 2002. Umrah ini juga adalah yang pertama bagi Husband.

Disebabkan pengalaman membuat Umrah yang pertama dulu, Myself lebih bersedia sewaktu membuat Umrah kedua ini. Kalau dulu Myself tak pergi kursus Umrah, Myself mengajak Husband bersama mengikut kursus kali ini. Husband cuma menurut kerana dia memang tak tahu langsung apa-apa tentang Umrah waktu itu.

Kami menyertai Pakej Umrah anjuran Triways Travel dan berlepas ke Tanah Suci menggunakan penerbangan Emirates. Pada tahun 2002, penerbangan Emirates tidaklah hebat seperti sekarang. Malah kami terpaksa membuat transit di Dhaka, Bangladesh dan Dubai sebelum tiba di Jeddah. Technically, bolehlah dikatakan yang Myself dan Husband sebenarnya dah pernah sampai ke Bangladesh. Hahaha!! Masih ingat lagi yang selain kami, penerbangan ini juga penuh dengan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang dihantar pulang ke Bangladesh oleh Kerajaan Malaysia. Kebetulan salah seorang pramugara Emirates itu adalah juga seorang Bangla. Teruk dia kena buli dengan PATI-PATI yang ada di dalam flight itu.

 Kenangan sewaktu transit di Dubai. Secara kebetulan, ahli kumpulan pada umrah kedua kami ini memang ramai yang muda-muda.
Mungkin disebabkan niat kami amat suci menunaikan Umrah ketika itu, Allah permudahkan segala urusan bagi kami. Ketika kami mendaftar nak membuat Umrah, we have no idea langsung yang sebenarnya tarikh pemergian yang kami pilih adalah hari ketiga Kerajaan Arab Saudi membuka Umrah untuk tahun tersebut. Memang tak ramai orang di Makkah ketika itu. Percaya tak, saf solat di depan Kaabah cuma kurang 10 baris pada masa itu? Macam gambar yang kita lihat sewaktu di musim Covid-19 sekarang. Cukup mudah nak beribadat.

Bergambar di depan Masjid Nabawi
 Saf Solat yang sedikit di depan Kaabah seperti di waktu Covid-19 ini juga pernah kami alami sewaktu menunaikan Umrah Kedua pada tahun 2002 dulu.
Sesuatu yang Myself tidak lupakan dalam Umrah Kedua ini adalah bila mendapat peluang yang cukup mudah untuk mencium Hajaral Aswad. Masih ingat lagi bagaimana ketika itu Myself sedang lalu di depan Kaabah bersama Husband selepas selesai mengerjakan Umrah. Tiba-tiba, polis yang menjaga Hajaral Aswad menjerit memanggil: "Hajjah! Hajjah!" Rupa-rupanya mereka sedang menyekat jemaah lelaki untuk memberi peluang kepada jemaah-jemaah perempuan untuk mencium Hajaral Aswad. Apa lagi, berkejarlah kita ke sana!

 Sewaktu melihat gambar Perdana Menteri mencium Hajaral Aswad ini, teringat yang kita juga pernah diberi laluan mudah oleh Allah SWT untuk berbuat begitu. Syukur Alhamdulillah, Ya Allah.
Itu adalah kali terakhir Myself dapat mencium Hajaral Aswad sehingga sekarang. Walau dapat berkunjung ke Tanah Suci 3 kali lagi selepas itu, Myself tidak lagi mendapat kesempatan begitu. Maklumlah, memang sukar untuk kita yang perempuan ini berebut-rebut dengan pengunjung lelaki yang ramai bertolak-tolak di depan Kaabah. Sebenarnya, Myself juga dapat mencium Hajaral Aswad sewaktu membuat Umrah kali pertama dulu. Waktu itu, Myself dijaga dan dilindungi oleh arwah Ayah dan arwah Pak Andak untuk mencium Hajaral Aswad. Kita pun masih muda belia dan memang licik nak mencelah-celah ketika itu. Walau apapun, memang bersyukur dengan dua kesempatan mencium Hajaral Aswad yang telah Allah kurniakan kepada Myself ini.

 Melawat Pasar Sembelihan di Makkah sewaktu membuat Umrah Kedua
Pemandangan keseluruhan Pasar Sembelihan di Makkah

Haji (Disember 2005 - Januari 2006) / Umrah Ketiga

Selepas kembali dari Umrah kedua, Myself dan Husband terus mendaftar untuk menunaikan Haji. Tak sampai 5 tahun kemudian (pada awal tahun 2005), Myself mendapat surat Terpilih untuk menunaikan Ibadah Haji. Tapi peliknya Husband cuma mendapat surat berada di dalam Senarai Standby. Disebabkan perkara ini, kami pergi ke Pejabat Tabung Haji untuk membuat rayuan bagi Husband. Maklum sajalah, macam mana Myself nak pergi Haji kalau Husband tak ikut sebagai Muhrim?

Pegawai Tabung Haji yang menguruskan rayuan kami menasihatkan kami supaya bersabar dan berdoa. Haji adalah ibadah yang penuh dengan dugaan. Beliau juga memberitahu kami satu open secret ~ setiap tahun 20% orang-orang yang terpilih membuat Haji akan menarik diri atas berbagai sebab ~ sakit, kemalangan, terhalang dan juga meninggal dunia, misalnya. Selalunya kes-kes rayuan seperti Husband akan diambil untuk mengisi kekosongan ini.

Surat pengesahan Terpilih Menunaikan Fardu Haji
Seperti yang diberitahu oleh pegawai di Tabung Haji, tidak lama kemudian Husband mendapat pengesahan yang beliau terpilih untuk mengerjakan Haji. Maka mudahlah kami membuat urusan seterusnya bersama-sama ~ membuat Passport Haji (waktu itu Jemaah Haji masuk ke Makkah menggunakan Passport Haji dan bukan Passport Antarabangsa seperti sekarang), membuat pemeriksaan kesihatan, mengambil suntikan Menangitis dan juga mengambil tag pengenalan diri. Teringat juga yang Myself hampir-hampir tak lepas pemeriksaan kesihatan disebabkan tekanan darah tinggi. Nervous sangat berdepan dengan doktor agaknya masa itu. Lebih-lebih lagi sebab kita ada apa yang dikatakan oleh doktor sebagai White Coat Syndrome. Namun syukur Alhamdulillah, Allah permudahkan juga segalanya.

 Passport Haji yang digunakan oleh semua Jemaah Haji Malaysia pada tahun 2006
Kandungan Passport Haji
 Gelang pengenalan yang perlu dipakai semua Jemaah Haji Malaysia pada tahun 2006. Myself walau bagaimanapun tak boleh nak memakai gelang ini kerana kita alergi pada nikel. Habis gatal-gatal kulit bila memakainya. Gelang ini dah diganti dengan gelang plastik sekarang.
Selalunya kita mendapat tawaran Haji sewaktu simpanan dalam Tabung Haji mencapai 60-70% dari kos haji keseluruhan. Sampai satu ketika dalam bulan Ramadan, semua bakal Haji diminta untuk membuat pembayaran penuh. Myself akui, sewaktu mendapat tawaran menunaikan Haji ini usia Myself cuma di pertengahan 30-an. Manalah ada banyak sangat duit simpanan pada masa itu. Bila diminta untuk membuat pembayaran penuh Haji, memang kering habis duit simpanan kita. Walau segalanya dah berbayar menerusi Pakej Haji, Pegawai Tabung Haji tetap menasihatkan kami supaya membawa RM 2,000 dalam tangan untuk kegunaan emergency. Mana pulak nak cari RM 2,000 masa itu? Dalam hati memang dah terfikir nak pinjam duit dari Emak. 

Tapi bila sampai di rumah, tergerak hati nak check surat dalam postbox. Tengok-tengok ada surat dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Bila dibuka surat itu, ada sekeping cek di dalamnya, bayaran balik lebihan cukai. Nak menangis bila tengok jumlah yang tertera pada cek itu ~ RM 2,000. Bila kita ikhlas nak buat Haji kerana Allah SWT, memang Allah akan permudahkan usaha kita dengan cara yang tidak disangka-sangka. Syukur Alhamdulillah. Ini kisah benar yang diceritakan di sini supaya menjadi inspirasi kepada semua bakal Haji yang mungkin mengalami masalah yang sama seperti Myself dulu.

Sewaktu kami menunaikan Haji pada tahun 2006, pemergian Jemaah Haji ke Tanah Suci adalah melalui Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya. Kami mengambil Pakej Haji anjuran Tabung Haji Travel. Kenangan melalui proses pemergian Haji ini masih segar di ingatan. Tapi sayang, kami tak ambil pun gambar untuk kenangan waktu itu. Maklumlah bersemangat nak buat Haji sampai terlupa hal-hal duniawi macam nak ambil gambar! Gigih kita Google kat internet mencari gambar-gambar yang boleh dijadikan kenangan suasana pada masa itu. Jumpalah juga beberapa keping gambar yang boleh diabadikan sebagai kenangan dalam blog ini.

 Proses pendaftaran tempat penginapan jemaah di Tanah Suci di Kompleks Haji Kelana Jaya
 Proses Check-in bagasi selepas pendaftaran tempat penginapan di Tanah Suci. Ada beberapa kaunter check-in macam kat airport di Kelana Jaya ketika itu.
 Beratur nak naik bas ke KLIA
Nombor penerbangan kami ke Tanah Suci ketika itu adalah KT74 (Saudi Arabian Airlines dari Kuala Lumpur - Jeddah) yang merupakan penerbangan pada hari kedua atau ketiga terakhir untuk musim Haji tahun itu, kalau tak silap. Penerbangan Haji sewaktu itu cuma disediakan oleh 2 buah syarikat penerbangan: Malaysia Airlines dan Saudi Arabian Airlines. Kita cuma boleh memilih sama ada nak pergi ke Tanah Suci melalui penerbangan Awal / Pertengahan / Akhir sahaja. Jadual sebenar penerbangan dan syarikat penerbangan yang akan membawa kita ke Jeddah / Madinah ditentukan oleh pihak Tabung Haji. Kena redha dengan apa juga jadual dan syarikat penerbangan yang diberi. Dalam kes kami, Myself dan Husband sengaja memilih penerbangan akhir kerana kami nak terus masuk ke Makkah. Abang dan Kakak Ipar yang juga membuat Haji pada musim yang sama dengan kami memilih penerbangan awal. Mereka juga mendapat penerbangan Saudi tetapi direct dari Kuala Lumpur ke Madinah. Kami dapat bertemu dengan mereka di Makkah sebelum bertolak untuk wukuf di Arafah dan juga sewaktu di kawasan perkhemahan di Arafah sendiri.

Penerbangan sewa khas Jemaah Haji memang tak sama dengan penerbangan komersil biasa. Sebagai Tetamu Allah, ada 9-10 buah bas disediakan untuk membawa kami dari Kelana Jaya dengan escort dari Polis Trafik bagi setiap penerbangan. Bas membawa kami direct sehingga ke tangga kapalterbang di KLIA kerana semua urusan dokumentasi dan pemeriksaan passport telah pun diselesaikan di Kelana Jaya.

Suasana dalam bas yang membawa Jemaah Haji dari Kelana Jaya ke KLIA. Ini sebenarnya adalah Jemaah yang memilih penerbangan Awal / Pertengahan kerana mereka akan masuk ke Madinah terlebih dahulu. Kalau bas kami dulu, memang semua jemaah dah siap-siap memakai ihram sewaktu di Kelana Jaya lagi kerana kami akan terus masuk ke Makkah.
Semua Jemaah Haji boleh memilih membuat Haji mengikut kaedah Tamattuk / Qiran / Ifrad, tanpa mengira sama ada kita tiba dengan penerbangan awal / pertengahan / akhir. Sebahagian besar Jemaah akan memilih Haji Tamattuk. Sesiapa yang memilih Haji Tamattuk dan Qiran akan dikenakan Dam, tetapi tak perlu risau kerana urusan Dam ini diuruskan oleh Tabung Haji / Agensi Haji yang membawa kita ke sana. Kaedah Haji yang paling afdal adalah Haji Ifrad yang mana mereka yang memilih kaedah ini tidak dikenakan Dam. Nasihat Myself, jangan suka-suka memilih nak membuat Haji Tamattuk / Qiran / Ifrad ini kerana setiap satu ada syarat yang perlu dipatuhi. Pilihlah kaedah yang sesuai dengan keupayaan kita. Haji adalah ibadah yang dituntut cuma sekali seumur hidup, jadi jangan sia-siakan ibadah ini dengan berbuat sesuka hati tanpa ilmu. 

Myself dan Husband membuat Haji Ifrad. Suatu ujian yang mungkin agak berat kepada mereka yang memilih Haji Ifrad adalah Tempoh Ihram yang panjang, terutama bagi mereka yang kurang kawalan diri. Tempoh Ihram yang dilalui Husband adalah 11 Hari tetapi bagi Myself pulak, Tempoh Ihram yang dilalui adalah 15 Hari. Nak tahu kenapa Tempoh Ihram Myself lebih panjang dari Husband? Sebab Myself terkena uzur syarie sehari sebelum kami bertolak membuat Wukuf di Arafah! Walaupun Tempoh Ihramnya sangat panjang, Alhamdulillah, kami berjaya melaluinya. Pengalaman membuat Umrah sebelum datang membuat Haji juga banyak membantu ketika itu.

 Hotel Firdous Makkah yang merupakan hotel penginapan kami sewaktu menunaikan Haji di Makkah. 
 Pemandangan Pintu King Fahd di Masjidil Haram dari depan Hotel Firdous Makkah
Semua Jemaah Haji Malaysia selalunya akan berada di Tanah Suci sekitar 45-55 hari, tetapi pelaksanaan Ibadah Haji yang sebenar hanyalah kira-kira seminggu, bergantung kepada ketekunan kita untuk melaksanakannya. Tempoh berada di Tanah Suci yang panjang adalah sebenarnya disebabkan menunggu giliran kapalterbang yang membawa kita pergi dan kembali dari Tanah Suci. Disebabkan tak mudah untuk kita sampai ke Tanah Suci dalam keadaan biasa, gunakanlah kesempatan ini untuk beribadah dengan sebanyak-banyaknya di kedua-dua Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.

Cara melaksanakan Haji dan Umrah umumnya adalah serupa, kecuali ada tambahan Wukuf di Arafah dan Melontar 3 Jamrah di Mina yang dibuat di luar Masjidil Haram. Kalau Umrah pula, selain berniat di Miqat, semua rukun dibuat di dalam Masjidil Haram sendiri. Wukuf di Arafah adalah rukun yang sangat penting dalam ibadah haji di mana kita perlu berada di Padang Arafah walaupun hanya sesaat ketika masuk waktu Zuhur pada 9 Zulhijjah sehingga sebelum subuh pada 10 Zulhijjah. Haji akan terbatal jika perkara ini tidak dilaksanakan. Ada satu saat di antara waktu Zuhur dengan Maghrib di mana Allah akan membuka pintu langit seluas-luasnya untuk mendengar rintihan dari hamba-hambaNya. Pada waktu itu, Allah akan mengampunkan dosa hamba-hamba yang merayu memohon ampun kepadaNya dan Allah akan mengkabulkan segala doa daripada hamba-hambaNya pada waktu itu.

Pemandangan khemah Haji sewaktu Melontar Jamrah di Mina. Pemandangan khemah ketika Berwukuf di Arafah pun sama begini juga. Ada khemah berasingan yang disediakan untuk Jemaah Lelaki dan Perempuan.
Pemandangan dalam khemah lelaki
 Pemandangan di dalam khemah wanita.
 Mengorek pasir di bawah karpet di dalam khemah di Arafah untuk mencari batu sebagai persediaan untuk Melontar Jamrah di Mina kelak.
Masih ingat betapa sedihnya perasaan Myself kerana tak dapat nak menyertai Solat Zohor secara berjemaah ketika Wukuf di Arafah disebabkan sedang uzur syarie. Sewaktu jemaah lain bersolat berjemaah, kami yang 'senasib' duduk di luar khemah sambil berdoa dan berzikir. Yang menjadi pegangan kami ketika itu adalah nasihat dari pembimbing Haji supaya redha dengan keuzuran yang dialami sebagai ujian. Keuzuran yang kami lalui juga datang dari Allah dan pasti ada ganjaran yang serupa dengan mereka yang diberi kesempatan berjemaah Solat Zohor di saat yang istimewa itu.

 Abang bergambar di tempat melontar Jamrah di Mina. Pada tahun 2006, binaan Jamrah hanya setinggi 2 tingkat, bukan 5 tingkat seperti sekarang.
Walau penuh dengan dugaan, Ibadah Haji memang satu saat yang istimewa dalam hidup seorang Muslim. Bagi yang berkemampuan, kita dituntut mengerjakannya hanya sekali seumur hidup. Nasihat Myself kepada bakal-bakal Haji, jangan ponteng Kursus Haji walau sekali pun. Pelajarilah setiap sudut Ibadah Haji ini dengan sesungguhnya untuk mendapat Haji Yang Mabrur.

Doa untuk semua Bakal Haji


Kisah perjalanan Haji kami boleh dibaca di sini:

Umrah Keempat (2013)

Perjalanan Umrah Keempat kami didorong rasa rindu kepada Tanah Suci selepas 7 tahun menunaikan Haji. Kami memilih untuk mengikut Pakej Umrah dan Ziarah ke Jordan anjuran Andalusia Travel.

 Perjalanan Umrah menggunakan Pakej Umrah & Ziarah Ke Jordan anjuran Andalusia Travel
Kami membuat ziarah 4 hari di Jordan terlebih dahulu sebelum membuat Umrah. Dari Jordan, kami terbang ke Jeddah dan masuk ke Madinah terlebih dulu sebelum pergi ke Makkah. Disebabkan kali terakhir kami ke Tanah Suci sebelum itu adalah sewaktu menunaikan Ibadah Haji, sangat terasa yang kota Madinah tidak sesibuk seperti di Musim Haji dulu.

 Kota Madinah yang dirasakan kurang sibuk berbanding sewaktu di Musim Haji dulu.
Di Makkah pula, kerja-kerja pembesaran Masjidil Haram sedang giat dilaksanakan ketika itu menyebabkan sebahagian besar masjid ditutup. Kren yang berceracak adalah pemandangan biasa. Bangunan-bangunan yang kami kenali sewaktu menunaikan Ibadah Haji dan Umrah dahulu tidak lagi kelihatan. Di tempat mereka kini berdiri megah bangunan Al Abraj yang menempatkan Jam Besar Makkah dan Bangunan Al Safwah Tower yang menempatkan hotel-hotel mewah di dalamnya. Suasana di Masjidil Haram juga sangat sesak dengan pintu masuk utama yang dibuka hanyalah Pintu King Abdul Aziz.

 Pemandangan kren-kren yang berceracak di Masjidil Haram
 Bangunan Al Abraj dan Al Safwah ini adalah tapak bekas hotel penginapan kami sewaktu menunaikan Haji dan Umrah sebelum ini.
Selain menziarah Bumi Anbia' di Jordan, perjalanan Umrah Keempat ini hanya perjalanan Umrah yang biasa. Tetapi suatu yang Myself rasakan ialah sangat penat bila membuat Umrah yang disekalikan dengan Ziarah begini. Memang terasa yang itinerari di Makkah dan Madinah terutamanya menjadi agak rushing.

Umrah Kelima (2017)

Perjalanan Umrah Kelima kami adalah perjalanan Umrah yang sangat berkesan di hati Myself sehingga kini. Kami memilih Pakej Umrah Khas anjuran Mursyid Alharamain Travel & Tours yang membawa kami menyusuri dengan lebih mendalam tempat-tempat bersejarah di sekitar Makkah dan Madinah di samping mengerjakan Umrah.

Seperti perjalanan Haji kami dulu, perjalanan Umrah Kelima ini juga bermula di kota Makkah. Mutawif yang membimbing kami menunaikan Umrah adalah seorang personaliti TV Tanyalah Ustaz yang bernama Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman.

 Husband bergambar dengan Ustaz Husni di KLIA sebelum berlepas ke Jeddah
Pada tahun 2017 seperti ketika itu, kerja-kerja pembesaran Masjidil Haram mungkin telahpun 80% siap. Pemandangan kren-kren besar yang berceracak seperti sewaktu kedatangan kami dalam tahun 2013 telah pun berkurangan. Pengalaman istimewa bagi Myself dalam Umrah ini juga adalah mengikut Kuliah Subuh setiap hari di bumbung Masjidil Haram.

Masjidil Haram
 Berkuliah Subuh di bumbung Masjidil Haram
Selain melawat tempat-tempat yang biasa dikunjungi dalam pakej Umrah, kami dibawa melawat ke Taif untuk menyelusuri sejarah awal pengembangan Islam oleh junjungan kita, Nabi Muhammad SAW.

 Masjid Ku' di Taif di mana Nabi Muhammad SAW berehat selepas dibaling dengan batu oleh pemuda-pemuda Bani Thaqif. Batu-batu besar di belakangnya dikatakan tergantung begitu setelah ditahan oleh Malaikat dari mengenai Baginda Rasullullah SAW.
Satu pengalaman lain yang sangat Myself hargai juga adalah peluang berkunjung ke Madain Saleh yang terletak kira-kira 4 jam perjalanan dari Madinah untuk menyelusuri sejarah Nabi Salleh AS yang berdakwah kepada Kaum Tsamud di sana.

 Kota bersejarah Madain Saleh
 Batu Unta yang dikatakan sebagai tempat Unta Betina dikeluarkan oleh Allah SWT sebagai ujian kepada Kaum Tsamud
Bagi Myself, perjalanan umrah kelima ini adalah umrah yang terbaik bagi kami. Memang banyak yang kami pelajari melalui umrah ini. Walau bagaimanapun, Myself tidak recommend perjalanan umrah sebegini untuk sesiapa yang membuat umrah kali pertama kerana ada beberapa hari yang kita perlu miss dari berkunjung ke Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Kalau anda dah pernah membuat Haji atau membuat umrah sekali dua sebelum ini, perjalanan umrah sebegini memang bagus untuk menambah ilmu.



TRAVEL REVIEW (1995 - 2020):