Friday 30 July 2021

2021 TRAVEL REVIEW 27 - ASIA BARAT (ARAB SAUDI 3 : MADINAH & MADAIN SALEH)

Julai 2021

Travel Review 27 - Asia Barat
ARAB SAUDI (Madinah & Madain Saleh)

Madinah

Madinah Al Munawwarah yang terletak lebih 500 km ke utara kota Makkah adalah bandar yang kedua suci di dalam agama Islam. Di sinilah Nabi Muhammad SAW mengembangkan agama Islam sehingga ke seluruh dunia selepas berhijrah dari Makkah. Di sinilah juga Rasullullah SAW wafat dan dikebumikan. Masjid Nabawi yang terletak di kota Madinah ini adalah masjid yang kedua suci di dalam agama Islam selepas Masjidil Haram.

 Masjid Nabawi
 Pintu masuk ke Masjid Nabawi
 Makam Rasullullah SAW terletak di bawah kubah ini
Payung yang berkembangan di perkarangan Masjid ini juga adalah ciri istimewa Masjid Nabawi
Kalau nak lebih memahami dan menghargai sejarah Masjid Nabawi, kenalah tahu terlebih dahulu keadaan asal masjid ini di zaman Nabi. Pada zaman Nabi, masjid ini dibina dari batu dan tanah liat dengan atap terbuka seperti ini...

 Gambaran rupa sebenar Masjid Nabawi di zaman Rasullullah SAW sebelum mendapat perintah untuk menukar arah kiblat dari Baitulmaqdis ke Baitullah.
 Ubahsuai yang dibuat oleh Nabi Muhammad SAW dengan para sahabat ke atas Masjid Nabawi selepas mendapat perintah pertukaran arah kiblat dari Baitulmaqdis ke Baitullah di Makkah.
Bila tengok gambar ini barulah kita faham sikit kedudukan sebenar Raudhah dan makam Rasullullah SAW yang kita lihat dalam Masjid Nabawi itu, kan? Myself pun mula faham selepas kita study sikit gambar ini yang Myself lihat di Refuge of Faith Museum di Masjid Quba' di Madinah ini. Selepas dah faham barulah terasa yang kunjungan ke Raudhah menjadi lebih bermakna.

 Kawasan Masjid Nabi yang asal ditandakan dengan tiang-tiang yang berwarna hijau di bahagian atas. Di sinilah letaknya dinding tanah liat masjid sewaktu di zaman Nabi dahulu.
 Pemandangan lebih dekat tiang penanda kawasan Masjid Nabi yang asal.
 Inilah salah sebuah pintu masuk ke Masjid Nabawi yang asal dibina di zaman Nabi dahulu.
 Di belakang pagar hijau sanalah letaknya Makam Rasullullah SAW dengan dua orang sahabatnya: Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Umar Al-Khattab
 Kedudukan makam dari kiri ke kanan: Nabi Muhammad SAW, Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Umar Al Khattab
Raudhah yang terletak di antara rumah Nabi Muhammad SAW dengan Mimbar Nabi adalah salah sebuah tempat makbul doa di dalam Masjid Nabawi. Kerana itulah tempat ini sentiasa sesak dengan manusia. Berbeza dengan karpet di bahagian lain masjid yang berwarna merah, karpet di kawasan Raudhah berwarna hijau untuk memudahkan ruangan ini dikenali.

Raudhah (Ihsan dari Google)
Kalau Makkah berbangga dengan Perkuburan Ma'ala, Madinah pula berbangga dengan Perkuburan Baqi' yang terletak betul-betul bersebelahan dengan Masjid Nabawi. Ada Hadis Nabi yang menyebut, ahli Perkuburan Baqi' adalah yang terawal dibangkitkan di Hari Kiamat kelak. Kedua-dua Perkuburan Baqi' dan Perkuburan Ma'ala tidak boleh dimasuki oleh perempuan. Tetapi kita tetap boleh melihat suasana di dalam perkuburan ini dari luar di beberapa tempat yang tertentu.

Pintu masuk ke Perkuburan Baqi'
 Perkuburan Baqi'
Madinah juga adalah lokasi bagi Masjid Quba' yang merupakan masjid yang keempat terpenting dalam agama Islam. (Masjid yang ketiga adalah Masjid Al Aqsa di Baitulmaqdis). Keistimewaan masjid ini seperti yang diceritakan di dalam sebuah Hadis Nabi adalah sesiapa yang berwuduk di rumah dan bersolat di masjid ini akan mendapat pahala seperti menunaikan Umrah.

Masjid Quba'
Di zaman permulaan Islam, orang Islam bersolat menghadap ke Baitulmaqdis. Perkara ini sangat tidak disenangi oleh Nabi Muhammad SAW kerana orang Yahudi dan Nasrani sering mencemuh dengan mengatakan walaupun umat Islam tidak menerima agama Yahudi dan Nasrani, namun tetap bersolat menghadap ke kiblat yang sama seperti mereka. Selepas berdoa selama 16 bulan lamanya, Allah SWT mengabulkan permohonan Nabi Muhammad SAW untuk mengubah arah kiblat umat Islam dari Baitulmaqdis ke Makkah. Peristiwa itu berlaku sewaktu Nabi Muhammad SAW dengan para sahabat sedang bersolat Zohor di Masjid Bani Salamah. Sebagai mengenang sejarah ini, Masjid Bani Salamah telah dinamakan semula sebagai Masjid Qiblatain (Masjid Dua Kiblat).

Masjid Qiblatain
Arah kiblat asal umat Islam yang menghadap ke Baitulmaqdis masih dikekalkan di Masjid Qiblatain sebagai satu kesan sejarah.
Jabal Uhud pula adalah lokasi satu-satunya peperangan di mana umat Islam tewas kepada tentera kafir Quraisy di bawah pimpinan Nabi Muhammad SAW. Punca kekalahan adalah kerana keingkaran sekumpulan tentera Islam ketika itu kepada arahan Nabi Muhammad SAW.

Jabal Uhud
Dalam Perang Uhud, Nabi Muhammad SAW telah menempatkan 50 orang pemanah dari pasukan tentera Islam di atas sebuah bukit yang bernama Bukit Rummat. Nabi telah berpesan supaya mereka tetap kekal di sana sehingga mendapat arahan untuk meninggalkannya. Malangnya, sebahagian besar mereka telah ingkar kepada perintah Nabi untuk kekal menunggu di atas bukit sewaktu melihat rakan-rakan mereka mengumpulkan harta rampasan perang di bawah. Kesempatan ini telah diambil oleh tentera kafir Quraisy untuk kembali menyerang dan seterusnya mengalahkan tentera Islam.

Bukit Rummat
Perang Uhud telah menyaksikan seramai 70 orang tentera Islam gugur syahid di Medan Perang. Di antara mereka adalah bapa saudara Nabi sendiri yang bernama Hamzah Bin Abdul Mutalib. Para syuhada ini sebenarnya telah dikebumikan langsung di tempat mereka terbunuh. Namun demikian, satu kejadian banjir besar telah mengeluarkan mayat-mayat ini dari tempat mereka dikebumikan. Kesemua mereka kemudiannya telah dikebumikan semula di satu kawasan yang dipagar di kawasan Bukit Uhud ini.

Makam Syuhada di Jabal Uhud
Perang Khandak (Perang Parit) adalah sebuah lagi perang besar yang berlaku di zaman Rasullullah SAW di mana umat Islam telah menggali parit di sekeliling kota Madinah bagi tujuan pertahanan. Umat Islam ketika itu telah dibahagikan kepada 7 buah kumpulan di bawah 7 orang sahabat termasuk Nabi Muhammad SAW sendiri untuk melaksanakan kerja-kerja penggalian parit tersebut. Parit ini tidak lagi dapat dilihat sekarang tetapi di tapak pos-pos penggalian ini telah dibina masjid-masjid kecil untuk memperingati peristiwa tersebut. Beberapa buah di antara binaan masjid ini masih dapat dilihat sekarang.

 Jalan raya di sekeliling bukit ini adalah bekas tapak parit yang dibina semasa Perang Khandak.
Sebuah masjid besar yang bernama Masjid Khandak (Masjid Tujuh) kini telah dibina di kawasan ini sempena 7 pos penggalian yang diketuai oleh para sahabat sewaktu Perang Khandak.
 Masjid Fatah di belakang Masjid Tujuh ini adalah pos penggalian yang diselia oleh Nabi Muhammad SAW sendiri. Di sinilah baginda berdoa kepada Allah SWT untuk memberikan kemenangan kepada Umat Islam dalam Perang Khandak.
 Pemandangan Masjid Salman Al Farisi dari Masjid Fatah. Salman yang berketurunan Farsi adalah sahabat yang telah mencadangkan penggalian parit pertahanan ini kepada Nabi Muhammad SAW.
Sewaktu di Madinah juga kami ditunjukkan beberapa tapak sejarah yang jarang ditunjukkan kepada Jemaah Umrah lain. Di antaranya termasuklah Masjid Ghamamah, Masjid Ijabah, Masjid Jumaah dan Bukit Tsaniyatul Wada'.

 Masjid Ghamamah adalah masjid di mana Nabi Muhammad SAW telah melaksanakan Solat Ghaib ke atas jenazah Raja Najasyi dari Habsyah yang telah meninggal dunia.
 Masjid Ijabah adalah tempat di mana Nabi Muhammad SAW telah bermohon kepada Allah SWT supaya umat baginda tidak dihancurkan dengan bencana kemarau, tenggelam dan permusuhan di antara mereka. Cuma doa baginda untuk menyelamatkan umat dari bencana kemarau dan tenggelam dalam banjir besar yang diterima.
 Masjid Jumaah adalah tempat di mana Nabi Muhammad SAW mendirikan Solat Jumaat yang pertama selepas berhijrah ke Madinah dari Makkah.
Bukit Tsaniyatul Wada' adalah tempat di mana penduduk Madinah menyambut kedatangan Nabi Muhammad SAW bersama Abu Bakar As-Siddiq selepas mereka berhijrah dari Makkah ke Madinah.
Kami juga dibawa melawat ke Sokaifat Bani Saedah di mana umat Islam berkumpul untuk mencari pengganti setelah kewafatan Nabi Muhammad SAW. Di sinilah umat Islam bersepakat melantik Abu Bakar As-Siddiq sebagai Khalifah yang pertama dengan mengambil kira fakta di mana Rasullullah SAW pernah meminta beliau mengimamkan solat sewaktu baginda sedang gering.

Sokaifat Bani Saedah
Bumi Madinah mengandungi 3 kali keberkatan berbanding bumi Makkah kerana ia didoakan oleh Nabi Muhammad SAW. Keberkatan bumi Makkah pula didoakan oleh Nabi Ibrahim AS sewaktu baginda meninggalkan isteri dan anaknya di sana. Dari maklumat yang pernah diberi kepada kami, udara dan tanah di Madinah adalah ubat. Oleh yang demikian, memang ramai Jemaah yang akan membeli Buah Kurma dari Madinah sebagai cenderamata untuk dibawa pulang ke tanah air. Salah sebuah spesis kurma ini yang dinamakan sebagai Kurma Ajwa (Kurma Nabi) telah diriwayatkan di dalam sebuah Hadis Nabi mampu menjadi penawar kepada racun.

Pasar Kurma di Madinah
Ladang Kurma

Madain Saleh

Sewaktu perjalanan Umrah kami yang kelima, Myself dan Husband berpeluang membuat satu perjalanan ke Madain Saleh yang terletak kira-kira 4 jam perjalanan dengan bas dari Madinah. Kawasan ini yang juga dikenali sebagai Al Hijr adalah tempat tinggal Kaum Tsamud yang disebutkan di dalam Al Quran.

 Perjalanan menuju ke Madain Saleh dari Madinah adalah merentas padang pasir gersang yang luas.
Kawasan bersejarah Madain Saleh telah mendapat pengiktirafan sebagai UNESCO World Heritage Site pada tahun 2008. Malah, ia adalah satu-satunya Tapak Warisan Dunia yang terdapat di Arab Saudi pada masa kini.
   
 Pengiktirafan Madain Saleh sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO
Selain kesan sejarah Kaum Tsamud, Madain Saleh juga adalah bekas persinggahan laluan keretapi Hijaz Railway yang dibina oleh Kerajaan Ottoman dari Turki pada masa dahulu. Laluan keretapi ini dirancang pembinaannya dari Damsyik di Syria sehingga ke Makkah untuk kemudahan rakyat Turki menunaikan Ibadah Haji. Pembinaannya walau bagaimanapun hanya sempat dilaksanakan sehingga sampai ke Madinah.

 Stesen Hijaz Railway di Madain Saleh
Suasana di dalam bengkel keretapi Hijaz Railway di Madain Saleh
Selain dari di Madain Saleh, ada juga beberapa buah stesen keretapi lama lain yang telah dijadikan muzium oleh Kerajaan Arab Saudi. Di Madinah juga ada stesen keretapi Hijaz Railway yang boleh dilawati. Walau bagaimanapun, dari maklumat yang Myself baca stesen di Madain Saleh ini adalah stesen keretapi yang terbesar.

Selepas melawat stesen keretapi Hijaz Railway ini barulah kami dibawa melawat ke tempat Kaum Tsamud yang terletak di belakangnya. Myself akui memang seram melawat Madain Saleh. Malah ada Hadis Nabi yang melarang kita bersuka-ria di sini disebabkan ada azab Allah yang sangat dahsyat pernah diturunkan di tempat ini. Jadi kalau berkunjung ke sini, jagalah fikiran dan janganlah berlebih-lebihan. Niatkan kedatangan kita hanya sekadar ingin melihat kesan sejarah dan mengambil iktibar dari kisah yang pernah terjadi kepada Kaum Tsamud di sini.

 Istana Kaum Tsamud
Rumah kediaman rakyat jelata Kaum Tsamud yang biasa pada masa dahulu
Tempat ini benar-benar seiras dengan Petra di Jordan yang pernah kami lawati sebelum datang ke sini. Ini adalah kerana Kaum Tsamud yang menetap di sini adalah juga Kaum Tsamud yang sama menetap di Petra. Cuma perbezaan yang ketara di antara keduanya ialah ukiran-ukiran dewa dan haiwan seperti burung helang pada binaan-binaan di sini telah dimusnahkan sehingga hampir tak nampak langsung rupa bentuknya di Madain Saleh. Myself tak tahu siapa sebenarnya yang telah memusnahkan ukiran-ukiran ini. Ada Myself terbaca yang Nabi Muhammad SAW pernah memerintahkan Saidina Umar Al Khattab memusnahkan kesemua patung dan ukiran di sini. Oleh yang demikian, mungkin kesemua ukiran patung ini telahpun dimusnahkan sejak dari zaman Nabi Muhammad SAW lagi.

Lubang seperti gua pada batu ini dinamakan Diwan. Ia pernah dipenuhi dengan patung-patung sembahan Kaum Tsamud pada masa dahulu.
 Tulisan Arab Moden pada hari ini adalah dikatakan evolusi dari tulisan Kaum Tsamud ini.
Nabi yang diutus untuk berdakwah kepada Kaum Tsamud adalah Nabi Saleh AS. Namun dakwah Nabi Saleh tidak diterima dengan baik oleh Kaum Tsamud. Sebagai bukti akan kebenaran ajaran Nabi Saleh, Allah SWT telah mengeluarkan seekor unta betina yang besar dari sebuah batu di situ. Kaum Tsamud dilarang dari menyakiti unta ini dan diberi amaran bahawa bala akan diturunkan sekiranya mereka ingkar. Kaum Tsamud tidak memperdulikan larangan Allah dengan membunuh unta betina tersebut. Akibatnya mereka dimusnahkan dengan bala gempa bumi yang Allah turunkan kepada mereka.

Dekat kawasan sembahan utama Kaum Tsamud yang dinamakan Diwan ada sebuah batu besar yang telah terpecah. Di hadapannya pula ada sebuah batu besar yang berbentuk seperti kepala unta. Tak ada sebarang keterangan tertulis di situ tetapi dikatakan dari batu inilah unta betina Nabi Salleh dikeluarkan oleh Allah SWT untuk menguji Kaum Tsamud.

Dari batu inilah dikatakan unta betina Nabi Salleh dikeluarkan oleh Allah SWT sebagai ujian untuk Kaum Tsamud.
Seronok dan lega bila kami akhirnya kembali ke Madinah selepas melawat Madain Saleh. Perasaan seronok melawat ke sini adalah kerana kita dapat melihat sendiri kebenaran secebis kisah yang tertulis di dalam kitab suci Al Quran. Rasa lega pula adalah kerana Myself memang merasa seram sewaktu berjalan di tempat Kaum Tsamud ini. Memang terasa sehingga kini kehebatan kesan azab yang Allah turunkan kepada Kaum Tsamud sewaktu melawat Madain Saleh. 

Kami pernah melawat ke Laut Mati di Jordan yang juga merupakan tempat di mana azab Allah diturunkan kepada Kaum Nabi Lut. Tapi tak adalah perasaan yang seram seperti melawat ke Madain Saleh sewaktu melawat ke sana walaupun kita tahu ada azab Allah yang besar juga pernah diturunkan di sana. Tapi ini cuma perasaan Myself sajalah, mungkin tak terasa pun pada orang lain yang melawat ke Madain Saleh. Kata Mutawif kami juga, bukan sesuatu yang luar biasa jika ada pengunjung yang demam semacam selepas kembali dari melawat Madain Saleh.

Satu pengalaman lain yang juga tidak dilupakan sewaktu pulang ke Madinah dari Madain Saleh adalah ketika berdepan dengan ribut pasir yang agak kuat. Meremang bulu roma bila melihat pasir berterbangan menghempas cermin tingkap bas dan jalan di hadapan mula dipenuhi dengan pasir. Perasaannya macam berdepan dengan hujan ribut yang kuat membawa banjir di Malaysia!

 Ribut pasir

Kisah penuh perjalanan kami di Arab Saudi boleh dibaca di sini:


TRAVEL REVIEW (1995 - 2020):

Friday 23 July 2021

2021 TRAVEL REVIEW 26 - ASIA BARAT (ARAB SAUDI 2: JEDDAH, MAKKAH & TAIF)

Julai 2021

Travel Review 26: Asia Barat
ARAB SAUDI (Jeddah, Makkah & Taif)

Jeddah

Jeddah adalah bandaraya terbesar di Arab Saudi dan sering menjadi pintu masuk umat Islam yang ingin menunaikan Haji dan Umrah. Setiap tahun dianggarkan 2 juta umat Islam datang menunaikan ibadah Haji dan sebahagian besar mereka menggunakan Lapangan Terbang King Abdul Aziz di Jeddah sebagai pintu masuk.

 King Abdul Aziz Airport di Jeddah
 Terminal Haji di King Abdul Aziz Airport
Kedudukan bandar Jeddah di tepi pantai Laut Merah juga menjadikan ia tempat persinggahan popular di kalangan jemaah Haji dan Umrah.

 Selamat Datang Ke Jeddah
 Pelabuhan Jeddah
Pemandangan Laut Merah di Jeddah
Arca ukiran di tepi pantai Laut Merah
Masjid Terapung di pinggir pantai Laut Merah adalah tempat persinggahan wajib bagi kebanyakan jemaah Umrah dan Haji. Nama sebenar masjid ini ialah Masjid Al Rahmah dan ia dikatakan didirikan oleh seorang wanita bagi membayar nazarnya.

Masjid Terapung di Jeddah
Pintu masuk ke Masjid Terapung
Pondok-pondok untuk berehat di tepi Masjid Terapung
Pantai Laut Merah di tepi Masjid Terapung
Walaupun kedudukannya berdekatan kota Makkah, Jeddah tidak terletak di dalam Tanah Haram. Jadi ada ramai orang bukan Islam yang berada di sini. Janganlah terkejut pulak bila melihat wanita-wanita yang kebanyakannya dari Filipina yang tidak menutup aurat dengan sempurna keluar-masuk ke pusat membeli-belah di Jeddah.

 Corniche Commercial Centre di Al Balad, Jeddah

Makkah

Kota Makkah adalah kota paling suci di dalam agama Islam. Menurut cerita yang pernah disampaikan kepada kami, setelah Nabi Ibrahim AS selesai membangunkan Kaabah bersama anakanda baginda Nabi Ismail AS, Malaikat Jibril telah menghentakkan kakinya ke tanah berhampiran Kaabah. Tanah di mana debu-debu pasir ini berterbangan dari hentakan kaki Jibril inilah yang menjadi Tanah Haram. Tanah Haram adalah kawasan larangan bagi orang kafir. Kerana itulah sempadan Tanah Haram dijaga rapi oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

Sempadan Kota Makkah
 Sempadan Tanah Haram dalam perjalanan menuju ke Jeddah
 Sempadan Tanah Haram di Tanaim berhampiran Masjid Siti Aisyah
 Sempadan Tanah Haram di Hudaibiyah
Masjidil Haram di Makkah adalah masjid paling utama dalam agama Islam kerana di sinilah letaknya Kaabah yang merupakan kiblat Orang Islam sewaktu bersolat. Masjid ini telah dibesarkan berkali-kali untuk menampung keperluan umat Islam sewaktu Umrah dan Haji dan projek pembesaran terkini telah dimulakan pada tahun 2006 yang lalu, sebaik kami selesai menunaikan Haji. Menurut jadualnya, projek pembesaran ini sepatutnya siap pada tahun 2020. Disebabkan sekarang dah pun tahun 2021, mungkin kerja-kerja ini telah siap sepenuhnya.

 Masjidil Haram
Kaabah
 Laluan tempat bertawaf di sekeliling Kaabah dinamakan Mataf
 Pintu Kaabah (dipanggil Multazam) dan Maqam Ibrahim adalah juga tempat-tempat makbul doa di Kaabah
Masjidil Haram adalah juga tempat di mana dua rukun Umrah dan Haji dilaksanakan: Tawaf dan Saei. Tawaf dibuat di sekeliling Kaabah manakala Saie pula dibuat di kawasan yang dinamakan Masa'a di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah.

Tempat Saie di Masjidil Haram yang dinamakan Masa'a
 Bukit Safa yang merupakan tempat permulaan Saie
Bukit Marwah yang merupakan tempat berakhir Saie
 Pemandangan tempat Saie dari luar Masjidil Haram
Saie adalah perbuatan di dalam ibadah Haji dan Umrah yang dilaksanakan sebagai mengenang ketabahan seorang wanita bernama Siti Hajar yang berlari-lari di antara 2 buah bukit yang bernama Safa dan Marwah sewaktu mencari air untuk anaknya Nabi Ismail AS. Nabi Ismail yang masih bayi kemudian menghentak-hentakkan kakinya ke tanah, lalu keluarlah mata air yang kini dikenali sebagai Perigi Zam Zam. Perigi ini sebenarnya terletak di bawah Mataf tetapi telah ditutup kepada orang awam sekarang. Walau bagaimanapun air dari perigi ini telah disalurkan kepada paip-paip di sekitar Masjidil Haram untuk kegunaan para Jemaah.

Tempat minum Air Zam Zam banyak terdapat di sekitar Masjidil Haram
Secara umumnya, Tanah Suci Makkah dan Madinah adalah tempat makbul doa. Kerana itulah kita sangat disarankan untuk menjaga kata-kata dan fikiran sewaktu berada di sini. Setiap kata dan amalan kita akan menjadi doa kerana memang ada ramai Malaikat yang akan mengaminkannya. Tetapi makbul atau tidaknya doa kita akan tetap bergantung kepada keikhlasan hati dan amalan seharian kita.

Teringat pulak satu kisah yang Myself alami sewaktu mengerjakan Haji dulu. Seperti yang telah Myself ceritakan di entry yang lepas, Myself dan Husband bertolak ke Makkah untuk menunaikan Haji melalui penerbangan peringkat akhir. Ketika kami tiba, kota Makkah memang sangat sesak dengan pengunjung, memang tak tipu kalau diceritakan kesesakannya sampai hampir tak nampak tanah tempat kita berpijak di sesetengah tempat.

 Suasana di jalanan kota Makkah seminggu sebelum Wukuf
Biasalah juga kalau di Musim Haji... menjadi rutin kita kena keluar awal ke masjid untuk mendapatkan tempat bersolat di dalam bangunan masjid. Kalau tidak, bersedia sajalah untuk bersolat di sebelah luar, itu pun kalau kita dapat menjejak ke sana. Memang cubaan sungguh kena duduk atas lantai di dalam masjid sehingga 2 jam sebelum solat bermula. Pada Musim Haji, semua karpet di dalam masjid yang selalu kita nampak semasa Umrah tidak dipasang. Nak bentang sejadah sendiri pun tidak mungkin kerana tidak ada ruang. Duduklah kita diam-diam di atas lantai yang sejuk itu sambil menahan kebas kaki dan punggung sewaktu menunggu solat bermula.

Syukurlah kita masih muda ketika Allah jemput untuk menunaikan Haji. Jadi memang kita punya ketahanan fizikal yang mantap masa itu. Memang kasihan melihat orang-orang tua yang datang berhaji. Terasa sangat kita nak membantu tetapi pada kebanyakan masa, memang kita tak punya keupayaan. Hanya dapat berdoa kepada Allah supaya kami semua diberi keupayaan dan kekuatan untuk mengharungi ujian begitu.

Tempat solat pun tak boleh nak pilih-pilih masa Haji. Di mana ada ruang yang dijumpa, di situ sajalah kita bersolat. Jadi Myself selalu saja mendapat tempat di tingkat bawah Masjidil Haram. Sewaktu menunggu solat bermula, kita selalu melihat pemandangan ruang atas masjid dari tempat kita duduk. Selalu saja terfikir di dalam hati, macam manalah rupa tempat solat kat atas sana? Macam mana kalau kita nak naik ke atas sana, sebab tak pernah pun terjumpa tangga di dalam Masjidil Haram ketika itu?

Setiap fikiran adalah juga satu doa di Masjidil Haram. Pada suatu hari, sewaktu selepas solat fardu, Myself mengikut arus orang ramai-ramai berjalan keluar dari masjid. Tanpa disedari, kita sebenarnya termasuk ke dalam ramp untuk orang kurang upaya naik ke tingkat atas. Sedar-sedar kita dah sampai ke tepi pintu keluar dari tingkat atas. Oh, begini rupanya suasana kat atas sana! Kita tak sesat tau masa itu, masih keluar dari pintu yang betul, cuma dari tingkat atas!

Masa Umrah pertama, teringat juga yang kita selalu berdoa di dalam Masjidil Haram semoga Allah murahkan rezeki supaya kita dapat mengembara ke seluruh dunia. Maklumlah, pada masa itu kita ada seorang Pakcik yang selalu travel bekerja di oversea. Bila time Hari Raya dia selalu buat slide show tunjuk kepada keluarga gambar-gambar tempat menarik di oversea yang dia telah kunjungi. (Maklumlah zaman itu masih belum ada social media lagi!) Disebabkan teringin tetapi kurang berkemampuan pada masa itu, bila berpeluang datang ke Masjidil Haram, kita pun berdoa kepada Allah semoga kita juga diberikan rezeki untuk selalu dapat travel ke oversea begitu. Alhamdulillah, Myself rasa inilah satu doa Myself yang Allah kabulkan. Kita bercerita bukan sebab riya' atau nak menunjuk-nunjuk, sekadar nak berkongsi pengalaman bagaimana doa yang kecil sekali pun, Allah akan makbulkan di Tanah Suci.

Ruang solat di tingkat atas Masjidil Haram. Kalau di Musim Haji, semua karpet yang ada itu dicabut keluar oleh Pengurusan Masjid.
 Ruang solat di bumbung Masjidil Haram
Jika orang yang telah berada di Tanah Haram ingin menunaikan Umrah, mereka perlu berihram di miqat yang terletak di luar Tanah Haram. Tiga tempat miqat yang paling popular di kalangan jemaah Umrah dan Haji adalah Masjid Siti Aisyah di Tanaim, Masjid Jaaranah dan Masjid Hudaibiyah.

 Masjid Siti Aisyah di Tanaim
 Masjid Jaaranah
 Masjid Miqat di Hudaibiyah
 Runtuhan Masjid Hudaibiyah Lama ini adalah tempat di mana Perjanjian Hudaibiyah dimeterai di antara Rasullullah SAW dengan Orang-orang Musyrikin Makkah.
Ladang unta di Hudaibiyah
Sewaktu di Makkah, Jemaah juga akan dibawa melawat ke kawasan yang dinamakan sebagai Masya'ir Haram yang merupakan tempat di mana rukun-rukun Haji di luar Masjidil Haram dilaksanakan. Dalam perjalanan ke sana juga kita akan ditunjukkan dengan 2 buah bukit yang bersejarah: Gua Tsur yang menjadi tempat persembunyian Nabi Muhammad SAW bersama Abu Bakar As-Siddiq sewaktu berhijrah dari Makkah ke Madinah dan juga Jabal Nur di mana letaknya Gua Hira', tempat di mana Nabi Muhammad SAW menerima wahyu yang pertama.

 Jabal Tsur yang merupakan tempat persembunyian Nabi Muhammad SAW bersama sahabat karibnya Abu Bakar As-Siddiq sewaktu berhijrah dari Makkah ke Madinah.
 Jabal Nur yang menempatkan Gua Hira' di mana Rasullullah SAW menerima wahyu yang pertama.
Tempat pertama di Masya'ir Haram yang akan ditunjukkan kepada para Jemaah adalah Padang Arafah, tempat di mana ibadah Wukuf dilaksanakan dalam Musim Haji. Padang Arafah memang sibuk di Musim Haji tetapi sepi sekali bila dilawat di luar musim ini.

Padang Arafah di mana ibadah Wukuf dilaksanakan dalam Musim Haji.
Satu persinggahan wajib di Padang Arafah ini adalah sebuah bukit kecil yang bernama Jabal Rahmah. Di bukit inilah dipercayai Nabi Adam AS telah bertemu semula dengan isterinya Siti Hawa selepas kedua mereka diusir ke bumi dari syurga.
 
Dari puncak Jabal Rahmah juga, kita dapat melihat sebuah masjid besar yang bernama Masjid Namirah. Masjid ini special kerana sebahagian bangunannya terletak di dalam kawasan Arafah manakala sebahagian lagi terkeluar dari kawasan Arafah. Kerana itulah Jemaah Haji Malaysia tidak digalakkan masuk ke dalam masjid ini sewaktu berwukuf kerana bimbang kita tidak mematuhi syarat Wukuf Di Arafah yang menjadi tonggak kepada Rukun Haji kalau kita duduk di bahagian masjid yang terletak di luar kawasan Arafah.

Jabal Rahmah
 Pemandangan Padang Arafah dari puncak Jabal Rahmah. Masjid besar yang kelihatan di depan sana adalah Masjid Namirah.
Muzdalifah yang berhampiran pula adalah sebuah tempat yang perlu disinggahi Jemaah Haji selepas berwukuf di Arafah.  Kita perlu berada di sini selepas separuh malam 10 Zulhijjah sehingga seketika sebelum terbit fajar. Kalau sekadar lalu dengan kenderaan pada tempoh waktu ini juga dibolehkan. Waktu buat Haji dulu, kami juga cuma lalu di sini dengan bas. 

Masjid di Muzdalifah
Dekat kawasan Muzdalifah ini juga, kita boleh melihat runtuhan saluran air lama yang dinamakan Ain Zubaidah. Saluran air ini dibina oleh isteri Khalifah Harun Al Rasyid untuk kegunaan Jemaah Haji pada masa dahulu.

 Runtuhan Ain Zubaidah berhampiran Muzdalifah
Dalam perjalanan dari Arafah ke Mina juga, kita akan melintasi sebuah lembah yang dinamakan Wadi Muhassir. Di sinilah peristiwa bersejarah di mana tentera bergajah Raja Abrahah dari Yaman yang hendak meruntuhkan Kaabah diserang dengan batu dari Neraka Sijjil yang dibawa oleh Burung Ababil. Peristiwa ini diceritakan di dalam Surah Al Fil di dalam Al Quran.

 Wadi Muhassir
Destinasi seterusnya bagi Jemaah Haji selepas berwukuf di Arafah adalah Mina di mana kita perlu melontar Jamrah. Lontaran perlu dibuat di 3 buah Jamrah (Ula, Wusta dan Aqabah) mengikut waktu dan peraturan yang tertentu. Sewaktu kami membuat Haji dulu, bangunan Jamrah ini cuma 2 tingkat. Sekarang, ia telahpun dibina semula setinggi 5 tingkat.

Mina
Binaan di atas bukit di belakang sana adalah tempat berlakunya peristiwa penyembelihan Nabi Ismail oleh ayahnya Nabi Ibrahim. Disebabkan ketaatan kedua beranak ini, Allah telah menggantikan sembelihan Nabi Ismail dengan seekor qibas.
Berdekatan kawasan Jamrah ini juga, kita dapat melihat Masjid Bai'ah Aqabah. Di sinilah Nabi Muhammad SAW telah bertemu dengan dua kumpulan jemaah dari Madinah yang telah memeluk agama Islam dan seterusnya membawa kepada penghijrahan baginda dari Makkah ke Madinah.

Masjid Bai'ah Aqabah
Di Makkah jugalah letaknya Pusara Ma'ala yang menempatkan jasad ramai para sahabat Nabi yang paling awal memeluk agama Islam yang termasuk di kalangan mereka isteri pertama Nabi Muhammad SAW yang bernama Siti Khadijah. Ada hadis Nabi yang menyebut Perkuburan Ma'ala adalah perkuburan kedua yang ahlinya akan dibangkitkan di Hari Kiamat selepas Perkuburan Baqi' di Madinah.

Perkuburan Ma'ala
Pemandangan di dalam Perkuburan Ma'ala

Taif

Taif adalah sebuah kota yang terletak di tanah tinggi tidak jauh dari kota Makkah. Disebabkan iklimnya yang nyaman ia menjadi tumpuan rakyat Saudi untuk bercuti.

Disebabkan Taif adalah tempat tumpuan percutian di kalangan rakyat Saudi, ada banyak pusat hiburan keluarga sebegini di sana.
Walaupun dikelilingi padang pasir yang gersang, tanah di sekitar Taif sangat subur sehingga menjadikan kota ini sebagai pusat tanaman buah-buahan dan bunga-bungaan. Kesuburan tanah di sekeliling Taif dikatakan berpunca dari keberkatan yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sewaktu baginda dipelihara oleh ibu susuan baginda yang bernama Halimatus Saadiah di kawasan ini.

Pasar buah-buahan di Taif
Taif juga menjadi tempat kediaman seorang ilmuwan dan perawi hadis yang terkenal bernama Abdullah bin Abbas. Dia adalah sepupu Nabi Muhammad SAW dan lebih dikenali sebagai Ibnu Abbas. Ibnu Abbas memilih untuk tinggal di Taif selepas kewafatan Rasullullah SAW dan dikebumikan di sini selepas kematiannya pada usia 71 tahun.

 Masjid Abdullah bin Abbas
Taif juga menjadi saksi pahit getir Rasullullah SAW dalam usaha baginda untuk mengembangkan agama Islam di zaman Jahiliyah. Baginda bersama pembantu yang bernama Zaid bin Harithah telah datang ke Taif untuk berdakwah kepada Bani Thaqif. Malangnya kedatangan baginda telah disambut dengan cacian dan penghinaan. Malah pemuka-pemuka Bani Thaqif telah mengarahkan pemuda-pemuda mereka untuk melempar batu kepada Rasullullah. Tempat baginda Rasullullah SAW berehat untuk membersihkan luka dari lemparan-lemparan batu ini kini telah didirikan sebuah masjid kecil yang dinamakan Masjid Ku' (Masjid Siku).

 Masjid Ku'
 Batu-batu besar di belakang Masjid Ku' ini dikatakan tergantung begini kerana ditahan oleh Malaikat dari mengenai Rasullullah SAW.
Taif juga adalah lokasi miqat Qarnul Manazil yang merupakan Miqat Haji dan Umrah bagi mereka yang datang dari negara seperti Malaysia. Selain miqat bagi penduduk yang datang dari arah seperti Malaysia, ia juga adalah miqat bagi sebahagian besar penduduk Arab Saudi sendiri. Oleh yang demikian, tidak hairanlah bila kita melihat tempat parking di Masjid ini jauh lebih besar dari bangunan masjidnya sendiri.

 Masjid Miqat Qarnul Manazil


TRAVEL REVIEW (1995 - 2020):