Showing posts with label MIDDLE EAST 12 - In Brief. Show all posts
Showing posts with label MIDDLE EAST 12 - In Brief. Show all posts

Friday 1 October 2021

2021 TRAVEL REVIEW 36 - IN BRIEF (TIMUR TENGAH)

Oktober 2021

Travel Review 36: In Brief
TIMUR TENGAH

Bila disebut Timur Tengah, perkara pertama yang terlintas di fikiran kita dah pasti padang pasir yang terbentang luas. Kemudian terbayang pula yang rantau ini penuh dengan keganasan kerana itulah yang sering dilaporkan di media. Bagi kebanyakan orang juga, Timur Tengah hanya Arab Saudi kerana di sinilah letaknya kota suci Islam: Makkah dan Madinah. Ini jugalah yang terlintas di fikiran Myself pada satu ketika dahulu. Tak pernah tahu pun tentang negara-negara lain yang juga berada di Timur Tengah.

Padang pasir seluas mata memandang di Semenanjung Arab
Timur Tengah (Middle East) secara umumnya adalah negara-negara Arab. Adalah juga beberapa negara bukan Arab seperti Turki, Iran dan Israel yang juga dikategorikan sebagai Timur Tengah. Walau penghuninya bukan berbangsa Arab, budaya mereka mempunyai banyak persamaan dengan budaya Arab menyebabkan mereka sering dianggap sebagai orang Arab juga. Rantau yang dikatakan Timur Tengah juga sangat besar, bermula dari Iran di sebelah barat sehinggalah ke bahagian utara benua Afrika yang sebahagian besar penduduknya berpegang teguh dengan agama Islam. 

Myself pernah terbaca sebuah penulisan yang menarik tentang corak makanan penghuni benua Asia. Menurut penulis itu, kalau kita mengembara merentas Asia dari Barat ke Timur, semakin liberal corak makanan penghuninya. Disebabkan penghuni benua Asia di sebelah Barat majoriti beragama Islam, memang penghuni di sebelah Barat banyak pantang-larang dalam makanan. Semakin menuju ke sebelah timur pula seperti di negara China sana, mereka langsung tak punya larangan tentang makanan. Apa saja yang boleh dikunyah, boleh menjadi makanan.

Rantau Timur Tengah

Jejak Anbiya' Dan Para Salihin Di Timur Tengah

Dalam banyak-banyak kota di dunia, Allah SWT telah memilih kota Makkah di Arab Saudi sebagai kota yang paling istimewa kerana di sinilah letaknya Baitullah yang menjadi Kiblat Umat Islam di seluruh dunia. Kota Madinah yang terletak kira-kira 500 km ke utara kota Makkah di Arab Saudi pula menjadi pilihan Allah SWT untuk menempatkan jasad manusia yang paling agung di dunia: Nabi Muhammad SAW.

Baitullah di Makkah
 Makam Rasulullah SAW di Madinah
Timur Tengah juga adalah sebuah rantau yang istimewa kerana kebanyakan para Nabi besar juga diturunkan di rantau ini. Pengalaman istimewa kami sewaktu merantau ke Timur Tengah adalah melihat peninggalan para Nabi yang diturunkan sebelum Nabi Muhammad SAW di Turki, Mesir, Jordan dan Arab Saudi. Terasa sangat dekat dengan Allah SWT dan perjuangan para Nabi ini bila kita dapat melihat sendiri kesan-kesan peninggalan mereka.

Makam Nabi Syuaib di Jordan
Makam Nabi Harun di Mesir
Memang kagum melihat bangunan-bangunan yang diukir oleh kaum Tsamud di Petra dan Madain Salih. Sayu melihat Jabal Nur (di mana letaknya Gua Hira') di Makkah dan Gunung Tursina di Mesir di mana kitab-kitab Allah Al Quran dan Taurat diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dan Nabi Musa AS. Sangat terserlah keberanian Nabi Ibrahim AS bila melihat tasik bekas tempat baginda dibakar Raja Namrud di Turki. Keinginan untuk memiliki kesabaran seperti Nabi Ayub AS membara di hati bila melihat gua dan kediaman beliau di Turki. Keberkatan usaha Nabi Yusuf AS sebagai Menteri Kewangan Mesir masih terserlah bila melihat kesuburan kawasan pertanian di Fayoum.

Petra, Jordan
Madain Saleh, Arab Saudi
Jabal Nur berhampiran Makkah di Arab Saudi yang menempatkan Gua Hira' di mana Al Quran pertama kali diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW
Kawasan berhampiran Gunung Tursina di Sinai, Egypt yang merupakan tempat di mana Kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Musa AS
Bekas unggun api besar yang disediakan oleh Raja Namrud untuk membakar Nabi Ibrahim AS dulu kini menjadi sebuah tasik yang bernama Balikli Gol di Sanliurfa, Turki
Perigi Nabi Ayub yang terletak berhampiran gua kediamannya sewaktu diserang penyakit kulit berhampiran Sanliurfa, Turkey
Kawasan pertanian subur di Fayoum, Mesir yang asalnya ditadbir oleh Nabi Yusuf AS sewaktu baginda menjadi Menteri Kewangan Mesir di zaman Firaun
Hati juga sangat dekat dengan orang-orang salih yang diberi penghormatan oleh Allah SAW sehingga kisah mereka diceritakan di dalam Al Quran sewaktu kita melawat ke Gua Ashabul Kahfi di Jordan dan melawat makam Luqman Al Hakim di Mesir. Kisah-kisah mereka terkandung di dalam Surah Al Kahfi dan Surah Luqman di dalam Al Quran.

Gua Ashabul Kahfi di Amman, Jordan
Makam  Luqman Al Hakim (kiri) dan Makam Nabi Daniel (kanan) di Alexandria, Mesir
Pengalaman melihat kesan kemusnahan manusia yang dilaknat Allah SWT juga menimbulkan kesan yang mendalam di hati kita. Seram melihat mayat Firaun yang membina megah Piramid terbaring menjadi mumia di Egyptian Museum di Mesir. Tak pernah terbayang di fikiran Myself jumlah sebenar harta milik Qarun yang dibenamkan ke dalam bumi sebelum melihat betapa besarnya saiz Tasik Qarun di Mesir. Dan tak pernah terfikir betapa hebatnya kuasa Malaikat menyauk tanah di sekitar Laut Mati di Jordan sewaktu menjalankan perintah Allah SWT untuk memusnahkan kaum Nabi Lut AS yang ingkar kepada aturan-Nya.

Piramid di Giza
Mumia Firaun Ramses II yang menentang Nabi Musa AS di Egyptian Museum di Cairo (Gambar dari internet)
Tasik Qarun di Mesir
Laut Mati di Jordan

Kegemilangan Pemerintah Islam Silam 

Kekuasaan dan kegemilangan pemerintah Islam di zaman dahulu juga dapat dilihat melalui kesan peninggalan mereka yang masih terpelihara sehingga kini. Kota Rumeli yang dibina oleh Sultan Mehmet Fatih II masih berdiri megah di tepi Selat Bosphorus di Istanbul. Baginda memiliki keperibadian pemerintah Islam yang tinggi sehingga pernah disebut di dalam sebuah Hadis Nabi Muhammad SAW sebagai pembuka kota Constantinople jauh lebih awal sebelum kejayaan baginda.

Sultan Mehmet Fatih II yang telah menawan kota Constantinople dari pemerintahan Kristian Byzantine
Kota Rumeli di pinggir Selat Bosphorus di Istanbul yang telah dibina oleh Sultan Mehmet Fatih II
Citadel of Saladin di Cairo pula menjadi bukti kehebatan Sultan Salahuddin Al Ayubi melawan tentera Kristian dalam Perang Salib. Baginda juga adalah raja yang berjasa menghapuskan ajaran Syiah dan membawa sinar ajaran Sunnah Wal Jamaah ke Syam, Mesir dan Afrika Utara. Sikap Salahuddin sewaktu menghadapi musuh juga wajar menjadi tauladan kepada umat Islam. Dia pernah menghantar doktor peribadinya untuk merawat musuhnya King Richard The Lion Hearted bila mendengar baginda sedang gering sekalipun mereka sebenarnya sedang berperang.

Citadel of Saladin di Cairo yang dibina oleh Sultan Salahuddin Al Ayubi
Masjid Mohammad Ali Pasha di dalam Citadel of Saladin
Raja-raja Ottoman di Turki juga berjasa mengembangkan syiar Islam sehingga sampai ke Eropah. Namun kegemilangan yang dimiliki menyebabkan mereka semakin hanyut dari ajaran agama dan akhirnya ditewaskan oleh musuh. Istana-istana mewah yang pernah mereka miliki di Turki kini boleh dilawati untuk mengenangkan betapa hebatnya kekuasaan mereka pada satu ketika dulu.

Istana Dolmabahce di Istanbul
Kemewahan hiasan dalaman Istana Dolmabahce (Gambar dari internet)

Kesan Perang Moden

Perang Yom Kippur di antara pakatan Negara Arab menentang Israel berlaku pada tahun 1973. Walaupun pakatan Negara Arab tewas kepada Israel dalam peperangan ini, Mesir mendapat kemenangan moral apabila dapat menawan kembali Semenanjung Sinai dari Israel. Sebuah kubu Israel yang berjaya ditawan tentera Mesir masih berdiri megah berhampiran laluan masuk ke Terusan Suez di Mesir.

Kubu Israel yang ditawan oleh Tentera Mesir di Semenanjung Sinai
Pemandangan kapal-kapal yang sedang berlayar masuk ke Terusan Suez dari Kubu Israel
Perang yang lebih moden dan terkini pula berlaku di Kuwait pada tahun 1990. Perang yang dikenali sebagai Perang Teluk (Gulf War) ini bermula apabila tentera Iraq melanggar dan menawan Kuwait. Tentera Gabungan Antarabangsa yang diketuai oleh Amerika Syarikat akhirnya berjaya membebaskan Kuwait pada tahun 1991. Kesan perang yang menyayat hati ini dapat dilihat di Al Qurain Martyr Museum sewaktu kami melawat Kuwait pada tahun 2016.

Al Qurain Martyr Museum ini adalah rumah kediaman yang menjadi markas Kumpulan Al Messilah yang berjuang mempertahankan Kuwait dari Tentera Iraq
Kereta kebal Iraq yang membedil rumah kediaman markas Kumpulan Al Messilah di Kuwait

Kekayaan Yang Melampau

Kebanyakan negara di Timur Tengah adalah negara yang kaya dengan hasil minyak. Bukti kekayaan yang melampau ini dapat kita lihat melalui bangunan-bangunan pencakar langit yang extravagant seperti di Doha dan Dubai.

Doha, Qatar
Dubai, UAE
Di sebalik kekayaan yang melampau ini, ada budaya peninggalan jahiliyah yang masih wujud di Timur Tengah. Suatu yang dapat Myself rasakan adalah layanan kepada wanita. Wanita dalam budaya tradisi Timur Tengah memang sangat terkongkong. Sewaktu mengikut Husband dan rakannya makan di sebuah restoran tradisional di Kuwait, kami tak boleh makan di ruang yang terbuka kerana ada seorang wanita dalam group kami (Myselflah tu..). Kami sebaliknya dibawa makan di sebuah bilik sempit yang terkurung.

Makan dalam bilik sempit dan terkurung di sebuah restoran di Kuwait City
Di Arab Saudi juga, tak semua restoran boleh dikunjungi oleh wanita untuk makan di dalamnya. Hanya restoran yang mempunyai family service sahaja yang boleh dimasuki oleh wanita. Wanita juga tak bebas bergerak bersendirian di negara-negara tradisional di Timur Tengah. Bila berada lama di negara-negara ini, memang Myself terasa yang lelaki Arab beranggapan bahawa kaum wanita tak pandai nak menjaga diri. Hanya di negara-negara yang agak liberal seperti Turki, UAE dan kota-kota tertentu di Egypt sahaja kita boleh melihat wanita-wanitanya bebas bergerak, sehingga pemandangan ini menjadi satu kejanggalan kepada kita pulak.

Wanita Arab yang berpakaian moden banyak dilihat di kawasan-kawasan tumpuan pelancongan seperti Dahab di Egypt
Terlalu banyak sebenarnya kisah yang boleh ditulis dari pengalaman yang kami kutip mengembara ke beberapa buah negara di Timur Tengah. Sebelum tiba di sini, memang tak pernah terlintas langsung di fikiran betapa padang pasir yang gersang dapat menyimpan kisah yang tak mungkin habis dicerita walau sehingga 1,001 malam...



TRAVEL REVIEW (1995 - 2020):