Showing posts with label MIDDLE EAST 04 - Jordan : Amman / Petra. Show all posts
Showing posts with label MIDDLE EAST 04 - Jordan : Amman / Petra. Show all posts

Friday 6 August 2021

2021 TRAVEL REVIEW 28 - ASIA BARAT (JORDAN)

Ogos 2021

Travel Review 28 - Asia Barat
JORDAN (Amman & Petra)

Selain Arab Saudi, Jordan juga adalah Bumi Anbiya'. Ia pernah menjadi kediaman ramai para Nabi, terutamanya yang berasal dari keturunan Bani Israel.

Jordan
Myself dan Husband telah berkesempatan berkunjung ke Jordan melalui satu program Umrah dan Ziarah pada tahun 2013. Kami tidak hanya berdua dalam perjalanan ini. Kami turut disertai oleh seorang Ibu Saudara sewaktu membuat Umrah dan Ziarah ini.

Amman

Amman adalah ibu negara Jordan yang dibuka oleh Orang Rom kira-kira 2,000 tahun yang lalu. Nama asalnya adalah Philadelphia, sempena nama seorang Maharaja Rom yang bernama Philadelphus. Mungkin disebabkan kami tiba di Amman pada Musim Bunga, pemandangan di Amman sangat indah dengan rumput yang tumbuh di celah-celah gunung batunya.

Amman
Ada Hadis Nabi yang menyebut semua Nabi pernah menjadi penggembala kambing. Memang tidak sukar kita membayangkan pekerjaan para Nabi menjadi penggembala kambing bila melihat rupabumi negara Jordan. Padang rumput yang tumbuh di celah-celah batu masih dipenuhi dengan kambing-kambing gembalaan sehingga ke hari ini.

 Tak sukar untuk kita membayangkan pekerjaan para Nabi di zaman dulu sebagai penggembala kambing bila melihat pemandangan sebegini di Jordan.
 Kambing-kambing gembalaan
Banyak tempat bersejarah Islam yang disebut di dalam Al Quran dapat dilihat di sekitar Amman. Antara yang paling popular adalah Gua Ashabul Kahfi, tempat persembunyian 7 orang pemuda beriman yang diceritakan di dalam Surah Al Kahfi di dalam Al Quran. Di gua inilah 7 orang pemuda tersebut bersama anjing mereka tertidur selama 309 tahun sewaktu melarikan diri dari seorang raja yang zalim demi menjaga keimanan mereka.

Gua Ashabul Kahfi
Berdasarkan penerangan yang diberi kepada kami, Gua Ashabul Kahfi juga dikatakan berada di Ephesus, Turki. Walau bagaimanapun, gua yang terletak berhampiran Amman di Jordan ini dikatakan lebih diyakini sebagai gua sebenar yang diceritakan di dalam Al Quran kerana keadaan di sekitarnya lebih menyerupai ciri-ciri yang diceritakan di dalam kitab suci ini.

 Mendengar penerangan mengenai kisah pemuda Al Kahfi dari seorang petugas di Gua Ashabul Kahfi
Memandangkan Jordan adalah bumi para Anbiya', ada banyak makam Nabi yang terdapat di serata tempat di negara ini. Kami walau bagaimanapun hanya sempat dibawa berkunjung ke Makam Nabi Syuaib AS.

Makam Nabi Syuaib
 Mendengar penerangan tentang sejarah Nabi Syuaib AS

Laut Mati

Sebuah tempat yang pasti akan disinggahi oleh sesiapa saja yang berkunjung ke Jordan adalah Laut Mati. Satu ketika dulu, ia adalah lokasi 2 buah bandar yang bernama Sodom dan Gomorrah (Sadum dan Amurah) yang didiami oleh kaum seorang utusan Allah SWT yang bernama Nabi Lut AS. Kaum Nabi Lut mengamalkan cara hidup songsang dan tidak menghiraukan dakwah dan ancaman bala Allah yang disampaikan baginda. Akibatnya tanah tempat bandar mereka tinggal ini disauk oleh Malaikat dan diterbalikkan sehingga memusnahkan mereka. Kesan bandar yang telah dimusnahkan inilah yang menjadi Laut Mati. Ia kini juga menjadi titik paling rendah di muka bumi ~ 728 meter di bawah permukaan laut.

 Lembah yang dalam yang perlu dituruni untuk sampai ke Laut Mati. Kota Amman terletak di atas bukit sana.
 Perbandingan aras Laut Mediterranean dengan Laut Mati
Laut Mati dikongsi bersama oleh Jordan dan Israel. Kelebaran laut yang memisahkan kedua-dua negara ini cuma 5 km tetapi disebabkan kawalan ketat tentera di kedua-dua negara terutamanya di sebelah Israel, tak sesiapa pun boleh berenang sehingga ke seberang. Di kawasan sekeliling Laut Mati juga ada banyak pos kawalan tentera dan banyak larangan fotografi.

 Pemandangan Laut Mati dari Amman Beach. Tanah daratan di seberang sana adalah negara Israel.
Laut Mati adalah laut yang termasin di dunia. Kemasinannya dikatakan 8 kali ganda berbanding Laut Mediterranean yang terletak berhampiran. Disebabkan kemasinannya, tak ada benda yang dapat hidup dan tenggelam di dalam laut ini. Cubalah berdiri di dalam Laut Mati, pasti anda akan terasa air masin ini akan cuba mengapungkan anda. Pengalaman ini telah Myself rasakan sendiri sewaktu berdiri di dalam Laut Mati.

Berenang di Laut Mati
Kepingan garam di dasar Laut Mati
Kita dilarang menyelam di dalam Laut Mati kerana kemasinan airnya boleh mencederakan mata.
Lumpur dari Laut Mati dikatakan bagus untuk rawatan kulit
 Tangan cukup melekit bila direndam di dalam air Laut Mati
 Kawasan di sekitar Laut Mati banyak ditanam dengan kebun sayur-sayuran. Di sebalik kebun sayur ini di sebelah sana adalah negara Israel.
Pemandangan dari bas ketika mendaki semula lurah untuk kembali ke Amman

Petra

Sewaktu di Jordan, kami juga berkesempatan melawat ke kawasan peninggalan penempatan Kaum Tsamud yang dinamakan Petra. Petra terletak berhampiran sebuah bandar Wadi Musa yang dikatakan pernah menjadi persinggahan Nabi Musa AS pada masa dahulu.

Bandar Wadi Musa berhampiran Petra
Pintu masuk ke Petra
Petra juga pada masa dahulu didiami oleh Kaum Tsamud yang sama tinggal di Madain Saleh di Arab Saudi. Menurut fakta sejarah moden, negara yang menempatkan kedua-dua kota Petra dan Madain Saleh ini bernama Greater Syria Empire. Petra dipercayai adalah ibukota Greater Syria Empire ini.

Tidak seperti Madain Saleh yang boleh dimasuki dengan kenderaan sehingga betul-betul ke binaan-binaan peninggalan Tsamud, kita perlu berjalan kaki sejauh 2 km di tengah padang pasir untuk sampai ke Petra. Kalau tak larat nak berjalan kaki, ada perkhidmatan kereta kuda yang boleh dinaiki sehingga 2 orang ke dalam sana. Tapi bayarannya mahal, USD 30 (RM 124) bagi sewaan sebuah kereta kuda kalau tak silap. Kuda tunggangan juga ada disediakan, tetapi kuda tunggangan ini hanya boleh digunakan separuh jalan sahaja sehingga ke As Siq, tidak seperti kereta kuda yang boleh masuk sehingga ke 'pusat bandar' Petra.

 Laluan di tengah padang pasir sejauh 2 km yang perlu ditempuhi untuk masuk ke Petra.
Laluan masuk ke Petra dibahagi kepada 2 bahagian: 1 untuk pejalan kaki dan 1 lagi untuk kegunaan kuda dan kereta kuda.
Kira-kira 600 meter yang terakhir sebelum sampai ke 'pusat bandar' Petra, kita perlu melalui sebuah lorong di celah tebing batu tinggi yang bernama As Siq. Kuda tunggangan tidak dibenarkan masuk ke dalam As Siq. Kalau naik kuda tunggangan, perlu turun di pintu masuk As Siq dan sambung perjalanan ke dalam dengan berjalan kaki atau naik kereta kuda pulak.

 Permulaan As Siq
 Perlu berhati-hati ketika berjalan di As Siq kerana sebahagian lorong ini sempit dan kereta-kereta kuda pula dipandu dengan cukup laju keluar-masuk ke dalam.
 Pemandangan di dalam As Siq
Pusat bandar Petra dipenuhi dengan bangunan-bangunan yang diukir langsung dari tebing-tebing batu. Ukirannya memang mengkagumkan. Kepandaian Kaum Tsamud membuat ukiran dari batu ini juga ada diceritakan di dalam Al Quran.

Al Khazneh ini adalah bangunan ukiran Tsamud yang paling popular di Petra
Laluan menuju ke Street of Facade di Petra
Petra sebenarnya sangat besar. Disebabkan kekurangan stamina, kami hanya terdaya berkunjung sehingga ke sebuah laluan yang dinamakan sebagai Street of Facade. Seperti namanya, laluan ini dipenuhi ukiran-ukiran bangunan seperti istana.

Street of Facade
Pengunjung-pengunjung ke Petra
 Rumah-rumah kediaman rakyat Tsamud yang biasa
 Bergambar di depan rumah rakyat biasa Kaum Tsamud
Di sini juga ada sebuah amphiteater peninggalan Roman zaman dahulu. Menurut sejarahnya Petra pernah diserang oleh orang Rom. Malah saluran air minum rakyat Petra turut diracun oleh Orang Rom ketika itu. Amphiteater ini mungkin dibina oleh Orang Rom pada zaman itu untuk meraikan kemenangan mereka menakluk Petra.

 Runtuhan Amphiteater Roman di Petra

Muktah

Lawatan seterus kami adalah ke Muktah yang menjadi saksi pertempuran terakhir tentera Islam melawan tentera Rom di zaman Rasullullah SAW. Di sini kami dibawa melawat ke makam 3 orang sahabat Nabi yang gugur di dalam pertempuran ini: Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abi Talib dan Abdullah bin Rawahah.

Muktah
Bangunan yang menempatkan makam Zaid bin Harithah dan Jaafar bin Abi Talib
Makam Abdullah bin Rawahah

Lembah Jordan

Destinasi terakhir kami adalah ke Lembah Jordan yang seperti Laut Mati, terletak di bawah aras laut serta dikongsi bersama oleh Jordan dengan Israel. Lembah Jordan juga sangat subur sehingga digelar sebagai Fruit Basket of Jordan.

 Kawasan Lembah Jordan yang dikongsi bersama oleh Jordan dan Israel
The Fruit Basket of Jordan
Di Lembah Jordan juga terdapat makam beberapa orang nabi seperti Nabi Khidir dan Nabi Ilyas tetapi kami tidak dibawa melawat ke sana. Kami sebaliknya dibawa melawat ke makam 2 orang Sahabat Nabi yang bernama Dirar bin Azwar dan Abu Ubaidah. Abu Ubaidah adalah salah seorang dari 10 Sahabat Nabi yang dijanjikan masuk ke syurga.

 Makam Dirar bin Azwar. Walaupun dia seorang yang hebat di medan perang, Dirar bin Azwar mati syahid kerana penyakit taun.
 Makam Sahabat Nabi Abu Ubaidah yang juga syahid kerana penyakit taun.
Lawatan kami terakhir di Lembah Jordan adalah melihat dari luar kota Roman di Jerash. Kota peninggalan Roman ini sangat sempurna sehingga membolehkan ia menerima gelaran sebagai A Rome Away From Rome.

 Peninggalan kota Roman di Jerash
 Hadrian's Gate yang dinamakan sempena seorang Maharaja Rome
 Roman Amphiteater
 Bekas Pasar Roman yang dinamakan Cardio Maximus
 Gelanggang Perlumbaan Chariot

Kisah penuh perjalanan kami ke Jordan boleh dibaca di sini:


TRAVEL REVIEW (1995 - 2020):