Showing posts with label ARAB SAUDI (2024) - Makkah / Madinah. Show all posts
Showing posts with label ARAB SAUDI (2024) - Makkah / Madinah. Show all posts

Thursday 22 February 2024

2024 UMRAH KE-6 BHG. 01 (Perjalanan Bemula)

Februari 2024

ARAB SAUDI (UMRAH KE-6)
Makkah & Madinah

Bahagian 1: Kuala Lumpur - Jeddah
PERJALANAN KE TANAH SUCI

Part 1: Lambaian Kaabah Kali Keenam

Masa berlalu dan dah sampai masa bagi Husband mencecah usia bersara. Perkara pertama yang menjadi hasrat Husband setelah bersara adalah menunaikan Umrah di Tanah Suci. Disebabkan dia dah boleh mengeluarkan simpanan KWSP, dia berhasrat nak sponsor isteri juga menunaikan Umrah bersama. Alhamdulillah, Allah SWT merestui hasrat murni Husband. Maka pada bulan Februari 2024, kami bersama-sama menunaikan Umrah lagi ke Tanah Suci.

Panggilan Umrah 2024 (Kredit: Freepik)
Kebanyakan orang akan memilih untuk menunaikan Umrah dengan berkunjung terlebih dahulu ke kota Madinah. Walau bagaimanapun disebabkan pengalaman menunaikan ibadah Haji pada tahun 2006 dulu, Myself dan Husband lebih selesa kalau perjalanan Umrah kami bermula dari Makkah dan berakhir di Madinah. Inilah juga yang telah kami laksanakan dalam perjalanan Umrah kami yang sebelum ini pada tahun 2017. 

Satu perkara lain yang perlu kami ambilkira dalam perjalanan Umrah pada kali ini adalah jarak hotel ke masjid. Jika sebelum ini jarak hotel 300-600 meter dari masjid tidak menjadi masalah, pada usia emas begini ia menjadi masalah. Oleh yang demikian, kami memilih hotel yang berjarak kira-kira 50 meter dari masjid. Bak kata seorang rakan, macam golek-golek dah terus sampai masjid. Hotel yang dekat begini memanglah hotel yang super mahal, tetapi terima sajalah hakikat ini disebabkan ia dah menjadi satu keperluan. Tapi betulkah golek-golek dah terus sampai masjid? Kita tengoklah nanti...

Dengan begitu banyak consideration, pemilihan pakej perjalanan Umrah kami kali ini menjadi mencabar. Dalam banyak-banyak kriteria itu, yang paling mencabar ialah nak mencari pakej Umrah yang masuk terus ke Makkah dan bukan ke Madinah dahulu. Ini adalah kerana bagi mana-mana agensi jua boleh dikatakan dari setiap 50 perjalanan Umrah, cuma 1 saja yang membuat perjalanan masuk terus ke Makkah terlebih dahulu. Namun bila niat kita suci, Allah akan mempermudahkan usaha itu. Setelah mencari-cari kami bertemu dengan Pakej Umrah Safwah anjuran syarikat Azzuha yang berlangsung dari 2-12 Februari 2024.

Pejabat Syarikat Azzuha di Bandar Seri Putera
Suasana di dalam pejabat Azzuha
Berurusan dengan staff di pejabat Azzuha yang sangat membantu
Tidak seperti perjalanan ke tempat lain, perjalanan Umrah adalah perjalanan rohani. Jadi persediaan nak membuat perjalanan Umrah berbeza dengan persediaan perjalanan ke tempat lain. Jika perjalanan ke destinasi yang lain kita boleh main redah saja tanpa sebarang ilmu pengetahuan tentang tempat tersebut, kita tidak boleh berbuat begitu kalau nak membuat Umrah. Kita kena tahu apa rukun dan syarat-syarat wajib Umrah kerana sekiranya rukun dan syarat-syarat ini dilanggar, mungkin kita akan berdosa sepanjang hayat. Oleh yang demikian, berusahalah untuk hadir ke Kursus Umrah terutama untuk orang yang pertama kali sampai ke Makkah dan Madinah. Bagi orang seperti kami yang dah pernah membuat Haji dan dah berkali-kali membuat Umrah juga, tidak seharusnya memandang ringan kehadiran ke Kursus Umrah ini kerana manusia bersifat pelupa. Kena refresh balik semua ilmu yang pernah dipelajari.

Kursus Umrah yang kami hadiri di Surau Al Amin, Taman Alam Indah, Seksyen 33, Shah Alam
Satu keperluan juga untuk membuat Umrah adalah memohon visa dari Kerajaan Arab Saudi. Pada masa sekarang ada 2 jenis visa yang disediakan: Visa Umrah dan Visa Pelancong. Kebanyakan agensi akan berusaha seboleh-bolehnya untuk mendapatkan Visa Umrah untuk tetamu mereka. Ini adalah kerana pemegang Visa Umrah akan mendapat kelebihan seperti boleh menerima rawatan percuma di hospital Kerajaan di Arab Saudi dan juga mendapat kebenaran untuk membawa pulang Air Zamzam ke Malaysia. Pemegang Visa Pelancong tidak mendapat kelebihan ini. Satu pengalaman menarik sewaktu membuat permohonan ini adalah kita perlu mendaftarkan kesemua 10 jari kita menggunakan apps yang disediakan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Panduan mendaftar cap jari untuk Visa Umrah
Memang mencabar nak mendaftar kesemua 10 cap jari dalam Saudi Visa Bio Apps ini. Mujurlah Myself mendapat consultation dari seorang rakan yang baru balik menunaikan Umrah yang juga dah pernah menggunakan apps tersebut. Itu pun tetap hampir 2 jam dan selepas 6 percubaan baru berjaya. Macam nak terpele'ot tangan dan jari kita dibuatnya. Selepas mendapat confirmation berjaya, terus rasa macam nak buat kenduri, hahaha!!

Selepas kita dah berjaya, kita tolong pulak menjadi consultant kepada Husband mendaftar cap jari selepas balik dari ofis. Sekali percubaan saja dan tak sampai pun setengah sejam, terus dia berjaya. Tak adil sungguh!

Confirmation berjaya mendaftar cap jari
Satu lagi yang kami lakukan ialah mengambil suntikan Menangitis Menangococcal. Suntikan ini adalah wajib diambil sewaktu kami membuat Haji dulu tetapi sekarang macam dah tak lagi diwajibkan. Kami walau bagaimanapun tetap mengambil suntikan ini secara sukarela berdasarkan pengalaman membuat Haji dulu. Maklum sajalah kita akan bersesak-sesak dengan jemaah yang datang dari seluruh dunia yang kita tak tahu tahap kesihatan mereka serta ditambah dengan wabak Covid yang semakin membuat kemunculan semula. Disebabkan vaksin Covid baru belum ada dalam stok di Malaysia sewaktu kami pergi Umrah kali ini, kita ambil sajalah dulu vaksin influenza untuk perlindungan tambahan.

Suntikan Menangitis Menangococcal
Seperti juga dalam perjalanan Umrah yang terdahulu, penantian Visa Umrah adalah satu penyiksaan. Bila dimaklumkan yang Visa Umrah kita dah lulus, barulah bersemangat kita nak packing bagasi. Semoga perjalanan kita dipermudahkan dan dijauhkan dari sebarang halangan dan keuzuran.

Dua hari sebelum berlepas juga pihak Azzuha mengatur satu video conference taklimat perjalanan di antara semua peserta dengan Pembimbing Umrah kami, Ustaz Azli. Kami juga diberi penerangan yang jelas mengenai perjalanan yang akan kami lalui.

Part 2: Perjalanan Ke KLIA

Penerbangan Umrah kami Saudia SV 841 dijadualkan berlepas pada Hari Jumaat, 2 Februari 2024 @ 2.15 pagi. Maka, semua peserta rombongan diminta berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 1 Februari 2024 @ 9 malam. Dengan mengambilkira kemudahan untuk dinner serta Solat Jamak Maghrib dan Isyak di KLIA sendiri, perjalanan kami dari rumah pula terpaksa bermula pada pukul 5.30 petang.

Naik Grab ke KLIA
Perjalanan ke KLIA
Dalam Grab ke KLIA
Pak Haji naik Grab nak pergi KLIA
Perjalanan dari rumah kami merentas KL menuju ke KLIA memakan masa lebih kurang sejam. Perjalanan agak selesa kerana hari itu (1 Februari 2024) adalah cuti umum Hari Wilayah bagi Kuala Lumpur. Kata pemandu Grab kami, sejak sehari dua ini dia memang mendapat banyak trip membawa penumpang yang nak membuat Umrah ke KLIA. Dia juga berharap mendapat berkat dan akan turut dijemput membuat Umrah bila membantu membawa Jemaah Umrah ke KLIA. Insyaallah, kami turut doakan.
 
Tiba di KLIA
Pak Haji nak posing kat depan KLIA
Mak Haji pun nak posing kat depan KLIA
Disebabkan perayaan Tahun Baru Cina semakin menjelang, KLIA dihias dengan tema sempena perayaan tersebut. Perhiasan Naga dapat dilihat di sana sini kerana Tahun 2024 adalah Tahun Naga dalam kepercayaan masyarakat Cina.

Hiasan sempena perayaan Tahun Baru Cina di KLIA
Spring Theme sempena Tahun Baru Cina
Hiasan Cherry Blossom
Sultan dan Sultanah Johor yang baru dilantik sebagai Yang Dipertuan Agong yang baru
Bagi memudahkan urusan, kami merancang early dinner hari ini. Oleh yang demikian, tujuan pertama kami sewaktu tiba di KLIA adalah menuju ke Food Garden.

Food Garden KLIA
Suasana di Food Garden
Lagi suasana di Food Garden
Pilih tempat duduk yang menghadap stesen bas dan Grab Pick-up Area di Aras 1 KLIA hari ini.
Myself pilih Nasi Ayam untuk dinner hari ini
Husband pilih Nasi Goreng
Teh O Ais
Naga Emas yang menjadi perhiasan di Food Garden KLIA

Part 3: Perjalanan Bermula

Seperti yang dimaklumkan dalam Jadual dan Taklimat Perjalanan, kami bergerak ke Pintu 5 Aras Perlepasan untuk berkumpul di sana. Panik sikit sebab petugas Azzuha yang ditugaskan mengurus perlepasan kami terlewat sikit tiba.

Jemaah Umrah dari berbagai agensi yang berkumpul untuk berlepas pada malam itu.
Petugas Azzuha sedang memberi taklimat perjalanan
Tanda nama dan bag tag yang diberi kepada Jemaah Azzuha
Nombor kakitangan pentadbiran Azzuha yang bertugas di Makkah dan Madinah untuk membantu para jemaah mereka
Husband berbincang dengan petugas Azzuha
Di KLIA juga kami bertemu dengan kesemua 45 orang ahli Jemaah Umrah kami yang berasal dari seluruh Semenanjung Malaysia. Kami juga bertemu buat pertama kali Mutawif kami yang bernama Ustaz Azli Nasron.

Petugas Azzuha memperkenalkan Mutawif kami
Mutawif kami, Ustaz Azli Nasron
Menurut Mutawif kami, disebabkan perjalanan kami bermula pada Hari Jumaat, kami dijangka tiba di kota Makkah pada waktu tengahari. Memandangkan jalan-jalan berhampiran Masjidil Haram ditutup awal untuk Solat Jumaat, beliau menjangka kami tidak dapat masuk ke Makkah untuk Solat Jumaat pada hari itu. Oleh yang demikian, aturan akan dibuat supaya kami akan bersolat Jumaat di Masjid Siti Aisyah di Tana'im yang juga merupakan Miqat bagi penduduk Makkah yang ingin membuat Umrah.
 
Disebabkan perjalanan Umrah kami juga bermula terus ke Makkah, Ustaz Azli turut mengingatkan para Jemaah supaya memakai pakaian ihram sebaik-baiknya dari KLIA. Ini adalah kerana kami akan melalui Miqat Qarnul Manazil sewaktu dalam penerbangan lagi sebelum mendarat di Jeddah. Ustaz turut mengingatkan kami supaya tidak memakai perfume kerana ia adalah larangan dalam ihram.

Selepas selesai penerangan dari Ustaz Azli, kami diminta terus check-in di kaunter Saudia. Myself dan Husband memang tabik kepada petugas Azzuha di sini kerana mereka telah menyiapkan boarding pass semua jemaah sebelum kami beratur lagi untuk check-in. Petugas mereka juga ada di mana-mana untuk membantu para jemaah.

Petugas Azzuha dah sedia menanti di kaunter check-in Saudia di KLIA
Sesuatu yang kami nak puji juga tentang pengurusan Azzuha ialah mereka telah siap-siap mengatur tempat duduk setiap jemaah mengikut pasangan dan kumpulan kecil masing-masing. Seperti yang Myself ceritakan di awal tadi, ini adalah perjalanan Umrah kami yang ke-6. Dalam 5 perjalanan Umrah sebelum ini, tiket disediakan oleh agensi umrah secara Group Ticket yang mana tempat duduknya pasti akan bertaburan secara rawak. Selepas itu, pandai-pandailah kita kena mengatur semula seat untuk duduk bersama pasangan atau keluarga masing-masing. Dengan Azzuha, semuanya telah siap teratur dari mula sewaktu penerbangan pergi dan kembali.

Beratur untuk check-in
Boarding Pass dari KL ke Jeddah
Husband bergambar dengan petugas Azzuha
Perlepasan Antarabangsa
Menuju Pemeriksaan Imigresen


Bersambung ke Bahagian 2...


CATITAN PERJALANAN UMRAH KE-6 (2024):