Wednesday 7 September 2022

2022 TURKEY (2nd VISIT) BHG. 29 (Cleopatra Pool)

 Jun 2022

TURKEY (2nd VISIT)
Ankara, Istanbul, Denizli & Pamukkale

Bahagian 29: Pamukkale 5
CLEOPATRA POOL & HIERAPOLIS MUSEUM

HARI KESEMBILAN (4)

Part 65: Cleopatra Pool

Lawatan kita ke Hierapolis diteruskan lagi dengan melawat ke tempat-tempat yang bertanda kuning di dalam peta...

Peta yang menunjukkan lokasi Cleopatra Pool dan Hierapolis Museum
Bukan hanya rakyat biasa yang datang ke Hierapolis untuk memanfaatkan sumber air panas yang ada di sana. Ia juga menarik minat seorang Firaun Wanita Mesir yang bernama Cleopatra. Cleopatra ketika itu sedang bercinta dengan seorang Jeneral Tentera Rom yang bernama Marc Antony. Kolam Cleopatra yang dilihat pada hari ini dikatakan dibina oleh Marc Antony sebagai hadiah kepada Cleopatra.

Cleopatra Pool
Cleopatra terkenal sebagai seorang wanita yang sangat cantik. Oleh kerana diceritakan beliau sering berendam di dalam kolam ini untuk menjaga kecantikan, sehingga ke hari ini ramai yang turut datang berendam dengan harapan nak menjadi cantik macam Cleopatra.

Ramai yang datang berendam dengan harapan nak menjadi lawa macam Cleopatra
Kebanyakan yang datang berendam adalah orang-orang tua. Mungkin mereka mengharap nak jadi muda kembali selepas berendam dalam Kolam Cleopatra.
Air panas di Cleopatra Pool turut dikenali sebagai Champagne Water kerana ia mengeluarkan gas seperti air Champagne. Tak mengira dalam keadaan cuaca apa jua di luar sana, air kolam ini sentiasa kekal pada suhu 36'C.

Suhu air kolam ini sentiasa kekal pada 36'C.
Ada bayaran dikenakan kalau nak mandi di dalam kolam ini
Peralatan mandian seperti tuala tidak disediakan. Kena dibeli atau dibawa sendiri.
Ada bayaran dikenakan kalau nak berendam di dalam Cleopatra Pool. Tapi kalau sekadar nak berjalan-jalan menikmati suasana di sekitar, ia adalah percuma.

Taman berhampiran Cleopatra Pool
Duduk-duduk berehat di taman
Sewaktu Marc Antony membina kolam ini untuk dihadiahkan kepada Cleopatra, ia turut termasuk sebuah Roman Temple untuk menyembah Dewa Apollo. Kuil ini walau bagaimanapun rebah menyembah bumi dalam satu kejadian gempa bumi.

Batu-batu besar di dalam kolam ini berasal dari Kuil Apollo yang runtuh menyembah bumi dalam kejadian gempa bumi.
Bunga cantik di tepi kolam
Jambatan menyeberang kolam
Air di bahagian kolam ini sangat dalam. Tali turut dipasang di tepi kolam untuk membantu perenang.
Tumbuhan yang mekar ini mungkin turut mendapat manfaat dari air panas di kolam.
Air panas di dalam Kolam Cleopatra bukan sekadar bagus untuk meremajakan kulit. Ia juga selamat untuk diminum. Ada pam manual tradisional yang turut disediakan di tepi kolam untuk kemudahan pengunjung mengisi air ke dalam botol atau bekas-bekas minuman. Melalui cara ini adalah juga peluang untuk orang yang tidak berenang dalam kolam seperti kita untuk memanfaatkan khasiat air ini untuk menjadi cantik macam Cleopatra, kan?

Ali menerangkan khasiat air panas di dalam Cleopatra Pool
Ali membuat demonstrasi cara menggunakan pam
Ada beberapa pam yang disediakan sebenarnya
Air di dalam Cleopatra Pool sangat jernih. Kerana itulah kita dapat melihat dengan jelas serpihan bangunan yang runtuh dalam gempa bumi pada kurun ke-7 Masehi dahulu di dalamnya. Serpihan-serpihan bangunan ini jugalah yang memberikan satu lagi nama popular kepada Cleopatra Pool ~ Pamukkale Antique Pool.

Kesan runtuhan di dalam kolam
Bongkah-bongkah batu besar yang terjatuh ke dalam kolam
Sambil melawat sekitar Cleopatra Pool, apa kata kita imbau kisah percintaan tragis di antara Cleopatra dengan Marc Antony? Kisah tragis? Memang benar, kisah cinta keduanya tidak berakhir dengan happy ending.

Air kolam yang jernih kebiruan
Mengisi botol minuman dengan air dari Cleopatra Pool
Kisah cinta mereka bermula ketika Marc Antony yang merupakan seorang jeneral perang Kerajaan Rom bertemu dengan Cleopatra VII yang merupakan seorang Firaun Wanita Mesir untuk membincangkan tentang hala tuju pakatan di antara Mesir dan Rom selepas kematian Maharaja Rom yang bernama Julius Caesar. Kedua mereka menjalin hubungan sehingga dikurniakan sepasang anak kembar yang bernama Cleopatra Selene dan Alexander Helios.

Marc Antony sebenarnya tidak hanya mempunyai seorang isteri. Sepertimana dia mengahwini Cleopatra untuk mengukuhkan hubungan beliau dengannya, Marc Antony terlebih dahulu telah mengahwini seorang wanita bernama Octavia yang merupakan saudara perempuan kepada Maharaja Rom yang bernama Octavius.

Tindakan Marc Antony mengahwini Cleopatra menimbulkan kemarahan Octavius. Dia lebih marah bila mengetahui yang Marc Antony telah menyerahkan beberapa wilayah di Timur Tengah kepada Cleopatra sebagai hadiah perkahwinan mereka. Octavius akhirnya mengisytiharkan perang terhadap Marc Antony dan Cleopatra.

Tentera Marc Antony dan Cleopatra tewas teruk di dalam Pertempuran Actium yang berlaku pada tahun 31 SM. Kedua mereka berundur ke Alexandria di Mesir.

Selepas tewas dalam Pertempuran Actium, Marc Antony dan Cleopatra tidak dapat membina kembali kekuatan tentera mereka. Akibatnya, pasukan Octavius berjaya menembus masuk ke pintu kota. Marc Antony yang sedar bahawa dia tidak mungkin berjaya menewaskan Octavius, mengambil tindakan membunuh diri dengan menikam pedang kepada tubuhnya sendiri.

Menyedari yang dia juga telah kehilangan Kerajaan dan tidak mampu untuk bangkit kembali, Cleopatra VII juga membunuh diri pada 10 Ogos 30SM. Cleopatra membunuh diri dengan cara membiarkan ular berbisa menggigit dirinya bersama 2 orang pengawalnya. Walaupun maut pada usia 39 tahun, Cleopatra telah memerintah Egypt selama 20 tahun. Namanya turut tercatit sebagai salah seorang pemimpin terbaik Mesir pada zamannya.

Kafetaria di Cleopatra Pool yang bernama Apollon Emporium
Tempat duduk di Apollon Emporium
Gerai menjual jus oren
Kedai cenderamata
Lumpur air panas di sekitar Pamukkale juga sangat bagus untuk rawatan kulit. Ia turut dijual di sebuah kedai di sini.

Kedai menjual produk kecantikan yang dibuat dari lumpur mineral sekitar Pamukkale
Losyen yang dibuat dari clay mineral
Sabun mandi
Meninggalkan Cleopatra Pool

Part 66: Hierapolis Museum

Seterusnya kami dibawa oleh Ali melawat Hierapolis Museum. Muzium ini terletak di dalam bangunan lama Central Baths yang merupakan sebuah rumah mandi awam di zaman Rom. Selepas Hierapolis ditinggalkan akibat gempa bumi, bangunan ini tenggelam di dalam tanah sehingga 5 meter. Ia telah ditemui semula sewaktu kerja-kerja penggalian dilaksanakan pada tahun 1970-an. Bangunan ini direstorasi dan dijadikan Hierapolis Museum pada tahun 1984 untuk menempatkan penemuan-penemuan sejarah di Hierapolis serta kota-kota purba lain yang berhampiran.

Denizli Chicken yang merupakan simbol kota Denizli
Wajah Sang Ayam dari depan
Runtuhan bangunan lama
Hierapolis Museum yang sebenarnya adalah bangunan Central Baths yang telah direstorasi.
Rupa sebenar bangunan Central Baths sebelum direstorasi
Hierapolis Museum
Hierapolis Museum terdiri dari beberapa bahagian. Kita mulakan dengan melawat Section of Sarcophagi and Statues.

Section of Sarcophagi and Statues
Seksyen ini mempamerkan patung-patung dan keranda batu (sarcophagus atau plural: sarcophagi) yang ditemui di sekitar Hierapolis dan kota-kota purba lain yang berdekatan seperti Laodikeia.

Suasana di dalam Section of Sarcophagi and Statues
Pelbagai patung dan keranda batu yang dipamerkan
Kalau di Asia Tenggara kita sering menemui tinggalan sejarah yang berunsurkan Hindu-Buddha, tinggalan sejarah di Turkey pula banyak berunsurkan Greco-Roman. Walaupun dibina oleh Orang Rom, banyak pengaruh Greek ditemui pada artifak-artifak seperti patung yang dikumpulkan di muzium ini.

Patung Emperor Hadrian
Patung-patung wanita
Patung wanita dan sebuah keranda batu yang dipamerkan
Priestess of Isis
Attis
Berposing mengikut gaya Attis
Ukiran-ukiran gladiator
Seperti yang pernah Myself ceritakan sebelum ini, terdapat ramai juga pengunjung yang datang berubat di Hierapolis yang tidak dapat disembuhkan dan meninggal dunia. Mengikut cara masa itu, mereka dikebumikan di dalam keranda-keranda batu yang dinamakan sarcophagus. Kita dapat mempelajari tentang status si mati dan cara kehidupan di zaman itu dengan melihat kepada ukiran yang dibuat pada keranda.

Jangan bimbang, tak ada mayat di dalam keranda-keranda ini. Sewaktu ditemui di tapak pun mereka dah berusia beratus-ratus tahun dan mayat serta tulang-belulang di dalamnya telah pun reput dan hancur. Mereka juga semuanya telah dibersihkan sebelum dipamerkan di muzium ini.

Sarcophagus With Garland
Berdasarkan ukiran pada keranda ini, kita boleh membayangkan pemiliknya adalah seorang kaya dan penting seperti seorang pemimpin di zaman dulu.
Columned Sarcophagus ini pula memberikan kita gambaran tentang rupa sebenar bangunan-bangunan yang pernah berdiri di Hierapolis
Monumental Tomb
Monumental Tomb dari sisi
Ukiran yang juga menggambarkan kehidupan di zaman Rom Purba
Gambaran kota Hierapolis di zaman kegemilangannya
Bumbung bangunan muzium (Central Baths) yang telah direstorasi
Selepas itu kita melawat pula ke Section of Small Findings di mana artifak-artifak kecil seperti duit syiling dan sebagainya yang ditemui dipamerkan.

Section of Small Findings
Suasana di dalam Section of Small Findings
Pameran di dalam Section of Small Findings
Barangan tembikar
Pelbagai barangan tembikar yang dipamerkan
Sesetengah barangan ini ditemui dalam keranda batu kerana menjadi adat pada masa itu barangan seperti jag dan pinggan mangkuk turut ditanam bersama di mati untuk kegunaan di alam kematian.
Duit syiling purba
Satu lagi sudut di Section of Small Findings
Satu lagi seksyen pameran muzium ini adalah Section of Hierapolis Theatre Findings. Namun pintu masuknya terletak di sebelah sana bangunan. Kita perlu melalui sebuah taman dan sebahagian runtuhan Central Baths untuk mendapatkannya.

Taman kecil di Hierapolis Museum
Runtuhan Central Baths di kawasan taman
Ini rasanya adalah laluan pekerja di Central Baths di mana wap dari pembakaran stim disediakan untuk kegunaan pengunjung ke rumah mandi
Pemandangan runtuhan Central Baths dengan lebih dekat
Gambaran bagaimana Roman Baths berfungsi di masa silam (Gambar dari internet)
Pintu masuk ke Section of Hierapolis Theatre Findings terletak di sebalik runtuhan Central Baths ini.

Section of Hierapolis Theatre Findings
Pintu masuk ke Section of Hierapolis Theatre Findings
Perhiasan dan relief yang ditemui di Hierapolis Ancient Theatre dipamerkan di seksyen ini. Pada zaman Rom Purba, pementasan drama dan kesenian diadakan sebagai cara untuk menyembah dan menghormati dewa-dewa. Maka ukiran yang ditemui di bangunan Teater Hierapolis banyak memaparkan adegan dari kisah dewa-dewa.

Suasana di dalam Section of Hierapolis Theatre Findings
Festival of Dionysus adalah antara ukiran yang banyak ditemui di Ancient Theatre of Hierapolis. Festival ini diadakan 4 kali setahun sewaktu penduduk Rom berkumpul untuk menyembah Dewa Dionysus. Persembahan kepada Dionysus diadakan dalam bentuk nyanyian dan tarian. Sembelihan kambing dan jamuan wain secara besar-besaran turut diadakan dalam festival ini.

Gambaran Dionysus Festival
Dionysus Festival dimulakan dengan upacara perarakan Patung Dionysus dari kuil ke Theater. Perarakan ini sangat penting dan dihadiri oleh rakyat dari pelbagai lapisan. Setelah Patung Dionysus sampai ke bangunan teater, seluruh teater akan direnjis dengan darah babi sebagai ritual penyucian sebelum persembahan drama dimulakan.

Gambaran permulaan Dionysus Festival
Sebuah lagi ukiran yang menarik menggambarkan kisah Myth of Niobe. Niobe adalah seorang dewi yang berkahwin dengan Dewa Amphion. Mereka mempunyai 14 orang anak: 7 lelaki dan 7 perempuan. Niobe sangat berbangga memiliki anak yang ramai dan sering mengejek dan merendahkan Dewi Leto yang hanya mempunyai sepasang anak kembar yang terdiri dari seorang anak lelaki yang bernama Apollo dan seorang anak perempuan yang bernama Artemis. Apollo dan Artemis sangat marah kepada Niobe kerana sering merendahkan ibu mereka. Oleh yang demikian, Apollo membunuh kesemua anak lelaki Niobe dan Artemis pula membunuh kesemua anak perempuannya. Dewa Amphion yang kecewa melihat kesemua anaknya mati turut membunuh diri. Niobe melarikan diri menuju ke Mount Sipylus di mana dia bertukar menjadi batu. Batu ini dikenali sebagai Weeping Rock. Menurut kisahnya lagi, air hujan yang meresap masuk menerusi batu kapur kini melambangkan tangisan kesedihan Niobe.

Myth of Niobe
Kisah Dewa Poseidon turut ditemui di antara relief di Teater Hierapolis. Poseidon adalah dewa laut, gempa bumi, banjir, kemarau dan kuda. Seperti bapanya Dewa Zeus, Poseidon mempunyai kelemahan terhadap wanita. Walau bagaimanapun, disebabkan sikapnya yang kasar dan tidak romantik, Poseidon gagal memikat dewi yang diminati. Oleh yang demikian, dia menggunakan kekasaran untuk mendapatkan cinta dari tiga orang dewi: Amphirite, Demeter dan Gorgon Medusa.

Three Beauties & Poseidon
Ukiran yang menunjukkan sikap kasar Poseidon ke atas 3 orang dewi: Amphirite, Demeter dan Gorgon Medusa.
Di samping itu ada juga ukiran-ukiran lain yang turut dipamerkan di Section of Hierapolis Theatre Findings ini. Kalau kita banyak membaca dan mengkaji kisah mitologi Greek, mungkin banyak yang kita fahami. Kalau tidak, tengok sajalah relief-relief dan ukiran yang dipamerkan.

Console With Nike
Ukiran-ukiran lain

Pengunjung-pengunjung ke Section of Hierapolis Theatre Findings
Siti menunggu di luar muzium
Lawatan kami ke Hierapolis Museum dah tamat kini. Selepas melawat ke Hierapolis dan mempelajari tentang cara hidup penduduk di zaman Rom purba, jujur dikatakan yang Myself kini lebih memahami mengapa Allah menurunkan Agama Islam secara berperingkat. Semua manusia berasal dari keturunan Nabi Adam AS. Semakin manusia berkembang biak, semakin mereka menjauhi Allah, namun jauh di sudut hati naluri mereka tetap mencari petunjuk dari Pencipta. Setiap kitab yang diturunkan lebih awal dari Al Quran yang terdiri dari Zabur, Taurat dan Injil menghapuskan perlahan-lahan amalan yang bertakhta di hati manusia pada masa mereka.

Penyembahan berhala di zaman Greek dan Rom sangat melampau. Myself tak pernah tahu betapa melampaunya penyembahan mereka sehingga selepas melawat ke Hierapolis. Kerana itulah Allah menurunkan Nabi Isa AS sebagai Nabi di zaman mereka untuk memberikan sinar petunjuk. Kitab Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa memberi penekanan untuk menghapuskan kepercayaan melampau kepada berhala. Bila sampai ke zaman Nabi Muhammad SAW, manusia umumnya dah boleh menerima hakikat yang Dewa dan berhala adalah tidak berkuasa. Maka turunlah Al Quran menjadi petunjuk aturan hidup ke arah yang diredhai Allah SWT sehingga ke hari Kiamat.

Kerja-kerja penggalian masih berlangsung berhampiran Muzium Hierapolis
Tembok kota lama
Bekas kota lama
Pemandangan Hierapolis Museum dari luar pagar
Ancient Ruins


Bersambung ke Bahagian 30...


CATATAN PERJALANAN TURKEY (2nd VISIT) 2022:


No comments: