Friday 16 June 2023

2023 ITALY & SWISS BHG. 17 (Duomo)

Mei 2023

NORTHERN ITALY & SWITZERLAND (2nd Visit)
[NORTHERN ITALY: Milan, Pisa, Cinque Terre, Venice & Lake Como]

Bahagian 17 : Italy
MILAN (Milan Cathedral)

HARI KELIMA (3)

Part 41: Milan Cathedral

Kami tak berkesempatan masuk melawat ke dalam San Marco Basilica sewaktu di Venice. Kami juga tak berkesempatan nak masuk melawat Pisa Cathedral sewaktu di Pisa. Maka disebabkan kami mempunyai banyak waktu semasa di Milan, Myself dan Husband masuk melawat ke dalam Milan Cathedral.

Bergambar di depan Milan Cathedral
Milan Cathedral (Duomo di Milano dalam Bahasa Itali) mula dibina pada kurun ke-15 Masehi di bawah arahan Duke of Milan yang bernama Gian Galeazzo Visconti. Sebelum pembinaannya, telah terdapat dua buah gereja dan sebuah baptistery di tapak ini yang dibina oleh patron saint of Milan, Saint Ambrose. Kesemuanya telah diruntuhkan untuk memberi laluan kepada pembinaan gereja yang baru ini.

Gian Galeazzo Visconti ingin membina sebuah gereja yang unik menggunakan marmar dari kuari Candoglia berhampiran Lake Maggiore. Marmar ini belum pernah digunakan dalam sebarang binaan lain sebelumnya. Marmar ini diangkut menggunakan bot dari Lake Maggiore melalui Sungai Ticino sehingga ke sebuah kolam bernama Laghetto yang terletak hanya beberapa ratus meter dari bangunan gereja.

Pemandangan menghala ke atas bangunan Milan Cathedral dari luar.
Nama rasmi Milan Cathedral adalah Metropolitan Cathedral-Basilica of the Nativity of Saint Mary. Tiket diperlukan untuk masuk melawat ke dalam Milan Cathedral. Pejabat jualan tiketnya walau bagaimanapun terletak di sebuah bangunan lain yang berasingan di belakang bangunan gereja.

Pusat Penerangan Milan Cathedral
Bangunan di sebelah kiri adalah Milan Cathedral. Pejabat tiket terletak di bangunan di sebelah kanan dalam gambar ini.
Beratur nak membeli tiket
Pengunjung-pengunjung yang beratur di depan kami untuk membeli tiket
Pintu masuk ke pejabat tiket
Suasana di dalam pejabat tiket
Kita diberi nombor giliran bila masuk ke pejabat tiket dan akan berurusan membeli tiket di kaunter di mana nombor giliran kita dipamerkan.
Ada berbagai jenis tiket lawatan disediakan di sini. Kami membeli tiket yang paling basic hanya sekadar untuk melawat ke dalam bangunan gereja. Tiket ini berharga Euro 8 (RM 40) seorang.

Maklumat pakej tiket yang boleh dibeli
Kami membeli tiket hanya untuk melawat ke dalam bangunan gereja sahaja
Muka hadapan tiket yang dibeli
Berjalan balik menuju ke bangunan gereja selepas membeli tiket
Milan Cathedral yang boleh memuatkan 30,000 orang di dalamnya adalah gereja Kristian yang kedua terbesar di dunia selepas Gereja St. Peter's di Vatican City. Ia juga adalah gereja yang mempunyai bilangan patung yang terbanyak pada bangunannya. Secara keseluruhannya terdapat lebih 3,000 patung yang diukir di luar dan di dalam bangunan gereja ini. Sambil kita berjalan menuju ke pintu masuk, kita lihat-lihat patung yang diukir pada bangunan ini di bahagian luar hadapan gereja.

Antara patung yang diukir di luar bangunan gereja
Macam-macam patung ada...
Bumbung Milan Cathedral di atas sana juga boleh dilawati tetapi memerlukan tiket yang berasingan.
Kami bernasib baik kerana tak perlu nak beratur panjang untuk masuk ke dalam gereja. Di pintu masuk ke dalam gereja walau bagaimanapun ada pemeriksaan sekuriti. Semua beg pengunjung akan diperiksa untuk memastikan tiada barang larangan dibawa masuk bersama.

Laluan ke pintu masuk gereja
Patung-patung berhampiran pintu masuk
Perhatikan betapa tingginya bangunan gereja ini. Ia mempunyai ketinggian 45 meter (setara ketinggian bangunan 18 tingkat).
Pemandangan Piazza Duomo dari hadapan pintu masuk ke gereja
Sebaik masuk ke bangunan gereja, kita akan melihat tiang-tiang yang sangat besar yang menyokong binaan gereja ini. Secara keseluruhan, terdapat 52 buah tiang di dalam Milan Cathedral. Pelawat juga diminta untuk membuka topi bila masuk ke gereja sebagai tanda hormat. Ini adalah sebenarnya amalan biasa bila masuk ke gereja-gereja Roman Katholik. Kami juga pernah diminta untuk membuka topi sewaktu melawat ke Cave Church di Budapest dulu.
   
Tiang-tiang besar di dalam gereja
Tiang di bahagian tengah gereja mempunyai ketinggian hampir 25 meter
Pemandangan menghala ke siling gereja
Ukiran patung pada tiang-tiang gereja
Salib di dinding gereja
Pandangan salib dengan lebih dekat
Keseluruhan bangunan gereja termasuk lantainya dibina dari batu marmar. Dari kejauhan, corak lantai ini bagaikan permaidani yang terhampar.

Lantai yang cantik di dalam bangunan gereja
Corak pada lantai
Panjang bangunan gereja ini adalah 153 meter, iaitu sepanjang 1 ½ ukuran padang bolasepak. Ia dibina mengikut bentuk salib dan ukuran pada bahagiannya yang paling lebar ialah 93 meter. Disebabkan asas bangunan ini sangat dalam, ia sering mengalami masalah disebabkan terowong dan gegaran keretapi di bawah tanah.
 
Bangunan gereja ini mempunyai kepanjangan 153 meter.
Siling di bahagian tepi gereja
Suasana di bahagian belakang gereja berdekatan dengan pintu masuk
Seperti juga gereja-gereja besar yang lain di Eropah, Milan Cathedral turut dihiasi dengan tingkap-tingkap besar yang dibuat dari stained glass berwarna-warni. Tingkap-tingkap ini dihiasi dengan lukisan-lukisan yang menggambarkan kisah dari Bible yang merupakan kitab suci penganut agama Kristian.

Tingkap-tingkap stained glass yang menghiasi Milan Cathedral
Corak-corak pada tingkap ini semakin menyerlah bila disinari cahaya matahari
Pandangan lebih dekat tingkap-tingkap stained glass
Lukisan-lukisan pada stained glass tingkap
Warna-warna pada tingkap ini dibuat dari berbagai bahan. Salah sebuah di antaranya ialah saffron. Menurut kisah yang popular, saffron yang digunakan pada tingkap di gereja inilah yang membuatkan ia menjadi terkenal dan turut digunakan dalam masakan-masakan Itali terutamanya Risotto.

Selepas melawat bahagian belakang gereja, kita lihat pula bahagian tepi gereja. Di sini ada beberapa tempat persemadian beberapa orang terkemuka di Milan pada masa dahulu.

Pemandangan di bahagian tepi gereja
Kotak-kotak kayu di tepi gereja ini adalah Confession Box di mana penganut-penganut Roman Katholik boleh membuat pengakuan dosa untuk pengampunan oleh gereja.
Lukisan Saint Agatha Visited in Prison by Saint Peter
Seluruh gereja juga dihiasi dengan lukisan-lukisan cantik yang menggambarkan kepercayaan Kristian. Salah sebuah di antaranya yang dilihat di bahagian tepi gereja ini adalah Saint Agatha Visited in Prison by Saint Peter yang dilukis oleh Federico Zuccari.

Dalam kepercayaan Kristian, Saint Agatha adalah seorang wanita cantik yang mengabdikan diri hanya kepada Jesus Christ. Agatha memberitahu khalayak yang dia hanya akan berkahwin dengan Jesus Christ. Disebabkan pengabdian ini, Agatha telah menolak untuk berkahwin dengan seorang lelaki berkuasa yang bernama Quintianus. 

Quintianus yang marah telah menangkap Agatha dan memenjarakannya. Tidak cukup dengan itu, Agatha turut disiksa dengan cara dipotong payudara beliau. Namun demikian, keajaiban telah berlaku di mana Agatha telah dilawat oleh Apostle Saint Peter sewaktu di penjara. Semua kesakitan Agatha akibat kesiksaan oleh Quintianus telah dipulihkan oleh Saint Peter. Namun demikian, Quintianus tetap membunuh Agatha pada tahun 251. Saint Agatha kini telah diangkat oleh Gereja Roman Katholik sebagai patron saint bagi Sicily, pesakit-pesakit kanser payudara dan mangsa-mangsa rogol.

Tempat persemadian Andrea Carlo Ferrari yang pernah berkhidmat sebagai Archbishop of Milan 1894 - 1921.
Penganut-penganut Kristian memberi penghormatan kepada Archbishop Andrea Carlo Ferrari
Archbishop Andrea Carlo Ferrari
Kotak derma untuk gereja
Tempat persemadian seorang lagi Archbishop of Milan yang bernama Alfredo Ildefonso Schuster
Plak-plak penghormatan untuk mereka yang disemadikan di dalam gereja
Funerary monument untuk Gian Giacomo Medici
Chapel of the Madonna dell’Albero
Tingkap stained glass di belakang Chapel of the Madonna dell’Albero
Sebuah patung yang sangat terkenal di dalam Milan Cathedral adalah Saint Bartholomew. Patung ini menggambarkan seorang lelaki yang hanya terdiri dari otot-otot di dalam badan sedang memegang seakan pakaian. Saint Bartholomew digambarkan sedemikian rupa kerana semasa hayatnya dia telah dibunuh dengan cara dipancung dan kulitnya disiat keluar. 

Patung Saint Bartholomew
Saint Bartholomew adalah seorang pengikut Jesus Christ yang taat. Dia telah merawat anak perempuan King Polymius of Armenia dari penyakit gila sehingga menyebabkan seluruh keluarga raja memeluk agama Kristian. Adik raja yang bernama Prince Astyages takut akan kehilangan kuasa setelah abangnya memeluk agama Kristian. Beliau telah membunuh Saint Bartholomew dengan cara dipancung dan disiat kulitnya. Disebabkan sejarahnya, Saint Bartholomew telah diangkat oleh Gereja Roman Katholik sebagai patron saint bagi penyembelih daging.

Patung Saint Bartholomew digambarkan tidak mempunyai kulit kerana telah disiat oleh adik seorang Raja Armenia yang marah kerana abangnya telah memeluk agama Kristian.
Sebagai penghormatan kepada kisah Saint Bartholomew, patung beliau di Milan Cathedral yang diukir oleh Marco da Agrate pada tahun 1562 ini digambarkan sebagai tidak mempunyai kulit. 'Pakaian' yang dipegang oleh patung ini adalah sebenarnya kulit beliau sendiri yang telah disiat keluar oleh Prince Astyages. 

Pandangan patung Saint Bartholomew dari sisi. 'Pakaian' yang dipegang adalah sebenarnya kulit beliau yang telah disiat.
Otot yang digambarkan dengan begitu detail pada patung Saint Bartholomew ini menunjukkan bahawa ilmu anatomi manusia telah difahami pada kurun ke-16 dulu sewaktu patung ini diukir.
Selepas melihat patung Saint Bartholomew, kita melawat pula ke bahagian Main Altar gereja. Di sinilah Archbishop of Milan akan berdiri memimpin upacara-upacara keagamaan yang berlangsung di dalam gereja.

Main Altar
Pemandangan Main Altar dengan lebih dekat
Main Altar ini dihiasi dengan siri lukisan yang dinamakan sebagai Quaroni of San Carlo Borromeo. San Carlo Borromeo adalah Achbishop of Milan pada kurun ke-16 yang berjasa kepada Gereja Roman Katholik kerana menentang fahaman Protestant. Antara episod penting kehidupan San Carlo Borromeo yang digambarkan dalam lukisan ini ialah sacraments to the sick pada zaman wabak Black Plague melanda, pertemuan dengan Princes of Savoy di Turin dan pengebumian beliau di dalam gereja ini sendiri.

Lukisan-lukisan yang dipasang pada tiang-tiang di Main Altar ini dinamakan sebagai Quadroni of San Carlo Borromeo
San Carlo Borromeo
Organ adalah instrument penting di gereja kerana ia mengiringi nyanyian-nyanyian keagamaan dalam upacara sembahyang. Organ di belakang Main Altar ini yang mempunyai 15,600 pipe adalah pipe instrument yang terbesar di Italy dan di antara top ten yang terbesar di seluruh dunia. Alat muzik ini telah difurbish pada tahun 2019 dan masih digunakan sehingga ke hari ini.

Organ di Main Altar Milan Cathedral
Pandangan organ dengan lebih dekat
Organ ini adalah salah sebuah dari 10 organ yang terbesar di dunia
Dari sini, kita berjalan ke arah belakang Main Altar. Di sinilah letaknya Crypt di mana lebih ramai tokoh agama Kristian Roman Katholik yang berjasa kepada gereja ini disemadikan, termasuklah San Carlo Borromeo.

Pintu masuk ke Crypt di belakang Main Altar
Pasti ini juga adalah patung seorang Archbishop di gereja pada masa dahulu. Ia terletak di seberang pintu masuk ke Crypt
Patung Pope Pius XI yang dipaksa untuk menyerahkan kuasa sekular kepada Kerajaan Italy pada tahun 1929. Selepas penyerahan ini, Pope di Holy See Vatican hanya memberikan fokus kepada isu-isu keagamaan.
Crypt sebenarnya terletak di bawah tanah. Kami tak turun melawat ke sana namun sebahagian suasananya boleh dilihat menerusi tingkap yang dibina di belakang Main Altar.

Mengintai ke dalam Crypt dari tingkap di tepi pintu masuk
Antara tempat persemadian di dalam Crypt yang dapat dilihat
Ukiran-ukiran di atas tingkap Crypt
Sebelum keluar dari gereja, kita berjalan balik ke arah pintu masuk untuk melihat sesuatu yang dianggap istimewa pada Altar ini dari sana...

Berjalan balik ke arah pintu masuk dari Main Altar...
Pemandangan lukisan Saint Agatha yang kita lihat tadi dari tengah gereja
Ini pula adalah pemandangan tempat persemadian Archbishop of Milan dari tengah gereja
Pengunjung-pengunjung ke Milan Cathedral
Tempat duduk untuk bersembahyang (pews) di dalam gereja
Pemandangan ke arah patung Saint Bartholomew dari bahagian tengah gereja
Tiba di bahagian belakang gereja
Pemandangan di bahagian belakang gereja
Dari sini, tumpukan perhatian ke arah siling gereja di belakang Main Altar... Pasti kita akan dapat melihat sebuah salib yang dipasang pada dinding dan dihias dengan lampu yang berwarna merah.

Pemandangan menghala ke Main Altar dari belakang gereja
Perhatikan kain yang tergantung di tengah tiang dan lampu yang berwarna merah pada dinding atas tingkap di depan sana...
Kain yang tergantung di tengah tiang sana dikatakan telah lama berada di situ. Tak siapa tahu bila dan bagaimana ia boleh berada di sana. Menurut ceritanya kain yang tergantung ini hanya akan jatuh pada hari kiamat.

Lampu merah yang dipasang pada salib yang digantung pada dinding berhampiran siling pula menandakan tempat simpanan sebatang paku yang digunakan untuk menyalib Jesus Christ dulu. Paku ini yang digelar sebagai Holy Nail dikatakan telah ditemui oleh Empress Helena, ibu kepada Emperor Constantine yang mengasaskan kota Constantinople di Turkiye dulu sewaktu beliau melawat Palestine.

Pandangan salib yang menyimpan Holy Nail
Pandangan lebih dekat salib yang menyimpan Holy Nail
Holy Nail ini dibawa turun untuk tatapan umum setiap tahun selama 3 hari pada upacara yang dinamakan sebagai Rite of the Nivola. Sehingga kurun ke-15 dulu, paku ini dibawa turun dengan menggunakan tangga. Antara mereka yang diberi tugasan untuk menurunkan paku ini ialah pencipta terkenal dari Itali yang bernama Leonardo da Vinci. Dari pelaksanaan tugasan inilah Leonardo da Vinci mendapat ilham untuk mencipta lif hidraulik yang pertama di dunia.

Untuk mengelakkan kesesakan, ada pintu berasingan yang ditetapkan untuk pengunjung masuk dan keluar dari gereja. Selepas dah melihat Holy Nail, barulah kita berjalan keluar dari gereja menerusi pintu keluar di tepi bangunan gereja...

Pintu keluar dari gereja terletak di sebelah kanan berhampiran patung Saint Bartholomew ini


Bersambung ke Bahagian 18...


CATATAN PERJALANAN (NORTHERN ITALY & SWITZERLAND (2nd VISIT) [2023]:


No comments: