Oktober 2025
JAWA, INDONESIA
Jakarta, Bandung & Yogyakarta (2nd Visit)
Bahagian 25: Jawa Tengah
YOGYAKARTA [Candi Prambanan]
HARI KELIMA (5)
Part 67: Candi Prambanan
Kompleks Candi Prambanan adalah kompleks Candi Hindu terbesar di Indonesia dan yang kedua terbesar di dunia selepas Angkor Wat di Cambodia. Dibina pada kurun ke-9 Masehi, ia direkabentuk untuk melambangkan Gunung Meru yang merupakan tempat kediaman para Dewa Hindu. Candi Prambanan telah menerima pengiktirafan sebagai UNESCO World Heritage Site pada tahun 1991.
Candi-candi ini dikatakan dibiayai dan didirikan oleh penguasa daerah sebagai tanda bakti dan persembahan kepada Raja. Ada juga pendapat yang mengatakan 4 baris Candi Perwara melambangkan 4 kasta dan hanya orang-orang anggota kasta itu sahaja yang boleh memasuki dan beribadah di dalamnya. Baris paling dalam hanya boleh dimasuki oleh kasta Brahmana dan seterusnya sehingga baris paling luar yang dikhaskan untuk kasta Ksatriya, Waisya dan Sudra. Pernah juga kami diberi penerangan tentang perbezaan kasta-kasta ini sewaktu melawat ke Bali dulu.
 |
| Runtuhan candi di bahagian luar yang dinamakan sebagai Candi Perwara |
 |
| Candi Perwara ini dikatakan telah didirikan oleh penguasa daerah sebagai tanda bakti dan persembahan kepada Raja. |
 |
| Sebahagian besar Candi Perwara ini telah runtuh. Hanya beberapa sahaja struktur Candi Perwara yang masih kekal berdiri |
 |
| Melihat runtuhan Candi Perwara dengan lebih dekat |
Candi Prambanan yang dibina pada tahun 850 Masehi adalah peninggalan Dinasti Sanjaya yang merupakan pemerintah Hindu Kerajaan Mataram di Jawa Tengah. Ia juga dikatakan telah dibangunkan untuk menyaingi Candi Borobudur yang merupakan sebuah candi Buddha yang telah dibina beberapa dekad lebih awal oleh Dinasti Sailendra.
Selepas digunakan selama 8 dekad, Candi Prambanan mula ditinggalkan setelah pusat pemerintahan Kerajaan Mataram berpindah ke Jawa Timur pada tahun 929 Masehi. Sebuah kejadian gempa bumi besar pada kurun ke 16 Masehi turut meruntuhkan struktur candi ini. Abu dari letusan Gunung Merapi semakin membuatkan struktur Candi Prambanan tertimbus. Sebahagian batu candi juga telah diambil dan digunakan untuk penduduk di kawasan sekitar untuk membina rumah kediaman mereka.
Projek pemuliharaan candi yang pertama dimulakan oleh pemerintah kolonial Belanda pada tahun 1918. Namun begitu ia terpaksa diberhentikan setelah Perang Dunia Kedua meletus. Kerja pemuliharaan diteruskan selepas Indonesia mencapai kemerdekaan pada tahun 1949 dan masih berterusan sehingga sekarang.
 |
| Kompleks utama Candi Prambanan |
 |
| Pemandangan di tengah-tengah kompleks utama Candi Prambanan |
 |
| Satu lagi pemandangan di tengah-tengah kompleks utama Candi Prambanan |
Tiga candi terbesar di kompleks Prambanan ini dibina untuk menghormati 3 dewa utama Hindu: Brahma (Pencipta), Wisnu (Vishnu - Pemelihara) dan Siwa (Shiva - Pemusnah). Setiap candi boleh dimasuki tetapi dengan bilangan pengunjung yang dihadkan untuk tujuan keselamatan.
 |
| Tiga candi yang terbesar dibina untuk menghormati 3 dewa utama Hindu: Brahma (Pencipta - kiri), Siwa (Pemusnah - tengah) dan Wisnu (Pemelihara - kanan) |
Di antara ketiga-tiga candi ini, candi yang terbesar adalah Candi Siwa. Ini adalah kerana penduduk Jawa kuno pada masa dahulu sangat takut kepada kemusnahan yang disebabkan oleh Gunung Merapi dan gempa bumi yang dikatakan berpunca dari kemarahan Siwa. Dewa Siwa ini dikenali sebagai Shiva di kalangan penganut Hindu di Malaysia.
 |
| Candi Siwa yang merupakan candi yang terbesar di Kompleks Candi Prambanan |
 |
| Bilangan pengunjung yang dibenarkan masuk ke Candi Siwa adalah 44 orang pada satu-satu masa. |
Seperti juga di Candi Borobudur tadi, ada ukiran relief dibuat pada dinding candi. Oleh kerana ini adalah Candi Siwa, relief-relief ini menceritakan kisah mengenai beliau.
 |
| Relief ukiran di luar Candi Siwa |
 |
| Ukiran singa di luar Candi Siwa menggambarkan kenderaan kenaikan isterinya Dugra. Ukiran pokok di kiri dan kanan singa menggambarkan pokok yang boleh mengabulkan hajat (wish yielding tree). |
Ada petugas yang berdiri mengawal kemasukan pengunjung ke Candi Siwa. Kebetulan sewaktu Myself lalu, pintu ke Candi Siwa sedang dibuka untuk batch pengunjung yang baru masuk ke dalam. Disebabkan curious nak tahu apa yang ada di dalam candi ini, Myself terus mengambil kesempatan memanjat tangga naik ke atas. Husband tidak mengikut masuk sebab lututnya dah tak kuat nak memanjat naik ke Candi Siwa pula selepas memanjat Candi Borobudur pagi tadi.
Semasa kami datang ke sini pada tahun 2013 dulu, semua pengunjung yang ingin masuk ke Candi Siwa diwajibkan memakai hard hat disebabkan pembaikan struktur yang rosak akibat gempa bumi masih berjalan ketika itu. Peraturan mengenai pemakaian hard hat ini telah tidak dikenakan sekarang.
 |
| Tangga naik ke Candi Siwa sedang dibuka |
Setibanya di pintu, Myself cuma menjenguk ke dalam. Tak berani nak masuk sebab suasana di dalamnya sangat gelap gelita. Mujurlah ada juga pengunjung lain yang datang bersama ketika itu. Yang nampak cuma bayang-bayang patung yang samar-samar, jadi kita terus sahaja menghulur kamera ke dalam untuk mengambil gambar. Inilah hasilnya...
 |
| Bergambar dengan 3 candi utama di Prambanan |
 |
| Candi Brahma. Dewa Brahma inilah yang disembah sebagai Four Faced Buddha di Thailand. |
 |
| Candi Wisnu |
Bukan sahaja candi-candi ini dibina untuk dewa-dewa, ada juga candi-candi kecil yang dibina untuk haiwan tunggangan mereka. Candi-candi haiwan tunggangan ini dibina setentang dengan candi dewa yang berkenaan, mungkin bertujuan memudahkan dewa untuk menggunakannya. Misalnya, Garuda adalah haiwan tunggangan Dewa Wisnu. Maka Candi Garuda dibina bertentangan dengan Candi Wisnu.
 |
| Candi Garuda yang merupakan haiwan tunggangan Dewa Wisnu. Teringat kat patung Dewa Wisnu menunggang Garuda yang pernah kami lihat di Bali. |
 |
| Candi Nandi (Lembu) yang merupakan haiwan tunggangan Dewa Siwa. Penganut Hindu tidak memakan daging lembu kerana ia adalah haiwan tunggangan Dewa Siwa. |
 |
| Candi Angsa yang merupakan haiwan tunggangan Dewa Brahma |
Selain itu ada 2 jenis candi lagi yang boleh dilihat di Kompleks Prambanan ini. Mereka adalah Candi Apit dan Candi Kelir. Candi Apit merujuk pada dua candi kembar (Utara dan Selatan) yang berfungsi sebagai pelengkap candi-candi utama. Candi Kelir pula adalah 4 candi kecil yang terletak di depan empat pintu masuk ke kompleks utama Candi Prambanan. Fungsi utamanya adalah sebagai penghalang untuk mencegah semangat negatif memasuki kawasan utama candi.
 |
| Candi Apit |
 |
| Candi Kelir yang dikatakan dapat menangkis semangat negatif masuk ke kawasan candi |
Pada 27 Mei 2006, sebuah gempa bumi berukuran 5.9 skala Richter telah melanda Yogyakarta dan Candi Prambanan turut terkesan. Banyak kerosakan teruk berlaku di sekitar Candi Prambanan. Untuk memperingati peristiwa itu, sebuah monumen kecil telah didirikan di lokasi tempat jatuhnya ratna kemuncak Candi Apit Utara dari kedudukan asalnya.
 |
| Monumen Gempa Bumi 27 Mei 2006 |
 |
| Monumen ini didirikan di tempat ratna kemuncak Candi Apit Utara jatuh dari kedudukan asalnya |
 |
| Berjalan keluar dari Candi Prambanan |
Selain dari candi-candi yang kita lawati tadi, ada juga beberapa candi kecil lain yang terletak di Taman Wisata Candi Prambanan ini. Ada shuttle yang disediakan dari Candi Prambanan untuk melawat ke candi-candi ini yang terdiri dari Candi Lumbung, Candi Bubrah dan Candi Sewu. Kami walau bagaimanapun tidak berkunjung ke sana kerana kompleks Candi Prambanan dah hampir ditutup ketika itu. Sewaktu datang ke sini pada tahun 2013 dulu, kami sempat berkunjung ke Candi Sewu. Candi Sewu ini terkenal dengan cerita legenda Roro Jonggrang.
 |
| Laluan keluar dari Candi Prambanan |
 |
| Gerai-gerai makanan di Candi Prambanan |
 |
| Gerai-gerai cenderamata di pintu keluar Candi Prambanan |
 |
| Meninggalkan Candi Prambanan |
Bersambung ke Bahagian 26...
CATATAN PERJALANAN JAWA, INDONESIA (2025)
No comments:
New comments are not allowed.