Wednesday 14 October 2020

2020 KUALA TERENGGANU BHG. 13 (Taman Tamadun Islam 2)

September 2020

TERENGGANU, MALAYSIA
Kuala Terengganu

Bahagian 13: Cultural Terengganu 8
TAMAN TAMADUN ISLAM (2)

HARI KEDUA (8)

Part 23: Taman Monumen @ Taman Tamadun Islam (2)

Lepas dah mendapatkan gambaran keseluruhan Taman Monumen di Taman Tamadun Islam ini dengan menaiki tram tadi, kita berjalan kaki pula melihat dengan lebih dekat satu persatu monumen kat sini. Kalau orang lain berjalan keliling taman melawan pusingan jam ikut laluan tram, kita buat anti-sosial ikut pusingan jam.

Peta Taman Tamadun Islam
Myself perhatikan landskap di Taman Monumen memang terjaga rapi tapi monumen-monumennya banyak yang dah rosak dan berada dalam keadaan sad state. Myself rasa pengurusan Taman patut memberi perhatian tentang perkara ini. Taman Monumen memang menarik untuk dilawati tapi janganlah ambil ringan tentang persepsi pengunjung ke sini. Tapi kan, bila difikir-fikirkan balik, monumen-monumen yang dipamerkan pun memang sebenarnya merupakan bangunan-bangunan lama yang dah berusia beratus-ratus tahun yang memang sesetengahnya truly nampak antik. Mungkinkah juga Pihak Taman sengaja nak membiarkan monumen-monumen ini supaya kelihatan antik begitu?

Walau apapun, jangan jadikan ini pematah semangat anda untuk melawat ke Taman Monumen kerana konsep pameran yang diketengahkan memang unik dan menarik. Ada keterangan ditulis berhampiran setiap monumen tapi sekali lagi, boring sungguh fakta-fakta yang tertulis di situ. Hampir setiap monumen ini sebenarnya mempunyai fakta-fakta serta kisah menarik dan unik yang pernah Myself baca sebelum melawat ke sini. Untuk menjadikan pengalaman ke Taman Monumen ini lebih menarik, tak perlu rely kepada keterangan yang tertulis di situ. Kita kongsi cerita-cerita menarik monumen ini di sini...

MASJID KUL SHARIF

Masjid Kul Sharif adalah masjid yang terbesar di Russia. Ia adalah salah sebuah masjid utama di wilayah Tatarstan dan dinamakan sempena seorang pahlawan Tatar yang bernama Kul Sharif. Malangnya Masjid Kul Sharif yang sebenar musnah dalam serangan seorang raja yang bernama Ivan The Terrible. Tapak masjid pun tak tinggal dalam serangan ini.

Masjid Kul Sharif di Kazan, Russia
Masjid ini seperti yang dilihat sekarang telah didirikan semula oleh kerajaan Wilayah Kazan di Russia pada tahun 1995. Pembinaannya dimulakan pada tahun 2005 dan siap dibina pada tahun 2008. Masjid ini boleh memuatkan 1,500 orang jemaah dan courtyard luarnya boleh menampung tambahan 10,000 orang jemaah.

Pintu masuk ke Masjid Kul Sharif
Pemandangan dari sisi
Macam nak kesat air mata sedih melihat replika Masjid Kul Sharif ini. Nak tahu kenapa? ... Kerana ia adalah cita-cita kami yang tidak kesampaian di tahun 2020. Myself dan Husband sebenarnya memang merancang nak travel ke Russia pada pertengahan tahun ini dan Masjid Kul Sharif dah termasuk dalam salah sebuah tempat yang kami nak lawat di sana. Namun apa kan daya... tak dapat tengok Masjid Kul Sharif di Russia, tengok kat sini pun jadilah. Hahahaha!!

MASJID BESAR AGADEZ

Masjid Agadez yang sebenar terletak di negara Niger di benua Afrika. Masjid ini unik kerana ia dibina sepenuhnya dari tanah liat. Malah masjid ini masih memegang rekod sebagai bangunan tanah liat yang terbesar di dunia.

Masjid Besar Agadez
Agadez adalah perhentian karavan yang penting di Gurun Sahara pada kurun ke-11M. Di samping menjadi pusat dagangan utama, ia juga adalah pusat pengajian Islam yang penting sebelum ditakluk oleh Perancis. Itulah sebabnya masjid ini dibina oleh puak Tuareg yang merupakan penduduk asal di Agadez. Masjid ini dibina dari tanah liat kerana kawasan sekitar Agadez yang terletak di Gurun Sahara tidak mempunyai batu-bata yang mencukupi untuk membina masjid sebesar ini ketika itu.

Binaan kayu yang berceracak pada menara Masjid Agadez
Selain dari dibina menggunakan tanah liat, bangunan masjid ini terkenal dengan kayu-kayu yang berceracak pada bangunannya. Disebabkan masjid ini dibina dari tanah liat, ia sangat mudah rosak bila terkena hujan lebat. Maka Orang Tuareg menggunakan kreativiti mereka memasang kayu-kayu yang berceracak ini untuk kemudahan memanjat memperbaiki bahagian masjid yang rosak.

MENARA KALYAN

Menara Kalyan yang sebenar membentuk sebahagian dari kompleks Masjid Pol-I-Kalyan di Bukhara, Uzbekistan pada hari ini. 

Menara Kalyan
Ia juga digelar Tower Of Death kerana pesalah yang dihukum mati akan dihumban ke bawah dari puncak menara sehingga patah tengkuk. Mengikut rekod sejarah, hukuman mati ini yang terakhir berlaku sewaktu Revolusi Russia pada tahun 1920.

Pesalah yang dihukum bunuh dihumban keluar dari atas menara ini pada masa dahulu
Menara ini juga pernah dilawati oleh Genghis Khan yang datang menakluk Bukhara sekitar 100 tahun setelah siap pembinaannya. Menurut ceritanya, topi Genghis Khan tersangkut lalu terjatuh sewaktu dia memanjat naik ke Menara Kalyan. Disebabkan kagum dengan "keberanian" menara ini "menguis" topi besinya sehingga terjatuh, Genghis Khan dikatakan telah memberi arahan kepada bala tenteranya supaya tidak memusnahkan Menara Kalyan. Begitulah kisahnya bagaimana Menara Kalyan dapat kekal berdiri sehingga ke hari ini.

Kesenian binaan Menara Kalyan
Macam susah je nak control basikal yang naik ramai-ramai begini. Banyak kali juga kami lihat basikal ini terbabas keluar dari jalan.

ALHAMBRA

Alhambra adalah monumen peninggalan Islam yang terkenal di Andalusia, Sepanyol. Ia dibina sebagai kubu dan kota kediaman Sultan Granada pada tahun 1333. Replika Alhambra ini tak boleh dimasuki kerana sedang dalam pembaikan. Kata Husband masa dia datang dengan kawannya 2 tahun yang lepas pun, Alhambra ini ditutup untuk pembaikan. Takkan tak siap-siap lagi kot?

Alhambra yang ditutup untuk lawatan
Tembok Alhambra dari luar

MASJID SULEYMAN

Dari Sepanyol kita mengembara ke Turki pula untuk melihat Masjid Suleyman. Masjid ini yang dibina di zaman Ottoman adalah salah sebuah hasil senibina arkitek yang terkenal di zaman itu yang bernama Sinan.

Masjid Suleyman mempunyai acoustics yang sangat hebat. Ini adalah antara ciri-ciri common dalam binaan masjid pada masa dahulu.  Maklumlah, mikrofon masih belum dicipta lagi ketika itu. Jadi arkitek seperti Sinan perlu mencari jalan bagi membolehkan Jemaah mendengar dengan jelas khutbah dan bacaan Imam di dalam solat.

Bercerita tentang acoustics yang hebat dalam masjid-masjid yang dibina pada zaman dulu, Myself nak kongsi pengalaman sewaktu melawat ke Masjid Sultan Hasan di Cairo, Mesir pada satu ketika dulu. Kami telah melihat sendiri demo bagaimana bunyi azan yang dilaungkan di dalam masjid melantun-lantun dibalikkan pada setiap sisi dinding masjid. Bunyi ini juga dapat didengar dengan jelas, tanpa bantuan sebarang peralatan moden seperti mikrofon.

Ada satu kisah yang menarik mengenai acoustics di Masjid Suleyman. Sewaktu pembinaan masjid ini hampir selesai, Sultan Suleyman telah mendapat aduan yang Sinan tidak lagi mengambil berat terhadap tugasnya untuk menyiapkan masjid ini. Untuk memastikan kesahihan aduan yang diterima, maka berangkatlah Sultan Suleyman ke masjid tersebut untuk menyiasat. Setibanya di sana, baginda mendapati Sinan memang sedang duduk menghisap shisha. Betullah aduan tersebut, fikir Sultan. Sebenarnya, shisha yang dihisap oleh Sinan tidak berisi tembakau. Dia sedang menggunakan bunyi buih yang terhasil dari shisha untuk menguji acoustics pada bangunan masjid!


MASJID BESAR QAIRAWAN

Masjid Besar Qairawan yang dilihat di Tunisia hari ini dibina oleh Dinasti Aghlabid pada kurun ke-9M. Ia juga dikenali sebagai Masjid Sidi Okba, sempena nama pengasas kota Qairawan yang juga telah membina masjid yang pertama pada tahun 670M. Menara masjid ini adalah menara masjid yang tertua di kawasan sebelah barat dari Makkah.

Masjid Besar Qairawan di Tunisia
Salah sebuah pintu masuk ke masjid
Tembok yang mengelilingi Masjid Besar Qairawan
Ini cuma replika, tembok masjid yang sebenar pasti lebih hebat
Masjid ini dikelilingi dinding seperti tembok pertahanan di sekelilingnya. Courtyard di bahagian dalamnya pula dibina sebagai takungan air hujan yang mencerun menghala ke sebuah lubang. Dari sana air yang terkumpul dialirkan pula ke sebuah cistern di bawah masjid. Begitulah hebatnya pemikiran arkitek Islam di zaman dulu! Bukan sekadar tempat untuk mengumpulkan air hujan, lubang tempat pengumpulan air hujan ni juga direkabentuk dengan sistem penapis debu untuk memastikan air yang terkumpul benar-benar bersih.

Pemandangan menara Masjid Besar Qairawan
Menara masjid ini adalah menara masjid yang tertua di sebelah barat dari Makkah
Satu lagi pemandangan kota masjid yang impressive

MASJID NABAWI

Masjid Nabawi di Madinah adalah masjid yang kedua suci di dalam Islam. Ada Hadis Nabi yang berkata pahala bersolat di masjid ini adalah 10,000 kali lebih baik dari pahala bersolat di masjid lain. Hadis yang lain pula menyebut keistimewaan orang yang bersolat 40 waktu berturut-turut di masjid ini yang akan terselamat dari siksaan api neraka.

Ciri binaan yang paling menonjol di masjid ini adalah bangunan dengan kubah hijau yang asalnya merupakan rumah kediaman baginda Rasulullah SAW. Bangunan ini sekarang menempatkan makam baginda Rasullullah SAW.


MASJID MOHAMED ALI

Kemudian kita macam revisit kembali masjid yang pernah kami lawat 2 tahun lepas ~ Masjid Mohamed Ali di Cairo, Egypt. Masjid ini sebenarnya terletak di dalam Citadel of Cairo, kota pertahanan yang didirikan oleh Sultan Salahuddin Al Ayubi sewaktu zaman Perang Salib dulu. Ia dibina oleh seorang Panglima Perang dari Albania yang bernama Mohamed Ali. Mohamed Ali pada mulanya berkhidmat untuk tentera Ottoman dari Turki. Selepas berjaya menakluk Mesir, dia mengisytiharkan dirinya bebas dari kerajaan Ottoman dan membentuk pemerintahannya sendiri di Mesir.

Rekabentuk masjid ini dibina dengan mengambil ilham dari Masjid Biru di Istanbul, Turki. Ia juga dinamakan sebagai Masjid Alabaster kerana ia dibina dari bahan binaan tersebut. Jenazah Mohamed Ali Pasha yang juga pembina masjid ini turut disemadikan di satu sudut di dalam masjid ini.


CITADEL OF ALEPPO

Citadel of Aleppo adalah sebuah kubu kota yang terletak di tengah-tengah kota Aleppo di Syria. Ia  didirikan oleh Orang Seleucid dan pernah menjadi kediaman seorang anak kepada Sultan Salahuddin Al-Ayubi yang bernama Al-Zaher Ghazi.

Citadel of Aleppo dibina di atas sebuah bukit semulajadi yang tinggi. Sebahagian bukit ini juga telah diperkukuhkan dengan pembinaan kota kubu ini. Cerun bukit yang curam dan ditambah dengan pemasangan jubin-jubin licin membantu pertahanan kota ini dari serangan penakluk.

Selain tembok luarnya yang tebal dan tinggi, ia juga mempunyai berlapis-lapis sistem pertahanan di dalamnya. Laluan tunggal untuk masuk ke kota ini adalah melalui menara luar yang terletak di bahagian selatan. Pintu yang dipasang rapat kepada dinding turut dibina ruang tertutup di sekelilingnya supaya musuh tidak mempunyai ruang untuk menghentak pintu jika berhajat untuk membukanya secara paksa. Sekiranya musuh dapat masuk sekali pun ke dalam kota ini, kemaraan mereka masih dapat dilengahkan dengan laluan dalaman yang dibina berbentuk zig-zag.

Selepas beratus-ratus tahun, kemegahan Citadel of Aleppo akhirnya pudar setelah diserang sebanyak 2 kali oleh tentera Mongol di bawah pimpinan Hulagu dan Timur Khan. Kota Aleppo juga kemudian mula berkembang di bahagian luar dari kota kubu ini.

Ada juga Myself terbaca yang Citadel of Aleppo ini mengalami kerosakan teruk dalam perang saudara yang sedang berlangsung di Syria sekarang. Harapan Myself janganlah monumen hebat yang menjadi kebanggan umat Islam ini menjadi mangsa kepada persengketaan. Semoga Syria akan segera kembali aman dan kita dapat berkunjung ke sana untuk melihat monumen-monumen dan kesan sejarah Islam yang begitu banyak terdapat di sana sebagaimana kita dapat berkunjung ke Bosnia-Herzegovina pada hari ini. Bosnia-Herzegovina juga satu ketika dulu pernah terlibat dalam kancah perang saudara yang dahsyat setelah keruntuhan negara Yugoslavia.


MASJIDIL HARAM

Replika monumen-monumen yang telah kita lawati bermula dari Masjid Kul Sharif tadi sehingga ke Citadel of Aleppo semuanya dibina sekelompok. Sekarang kita berjalan sikit melalui tepi tasik untuk melawat kelompok replika monumen yang seterusnya. Perjalanan kita diteruskan menuju ke replika Masjidil Haram.

Masjidil Haram adalah masjid yang paling suci dalam agama Islam. Ia terletak di kota Makkah di Arab Saudi. Di dalam masjid inilah letaknya Kaabah yang menjadi arah tumpuan umat Islam setiap kali bersolat. Hadis Nabi Muhammad SAW ada menyebut yang pahala bersolat di masjid ini adalah 100,000 kali lebih baik dari bersolat di masjid yang lain.

Bangunan utama Masjidil Haram asalnya mempunyai 6 buah menara. Bila Masjid Biru dibina oleh Sultan Ahmet di Istanbul, rakyat Turki merasa kurang senang kerana masjid itu juga mempunyai 6 buah menara sehingga dikatakan cuba menyaingi Masjidil Haram. Untuk mengatasi masalah perasaan kurang puas hati rakyat ini, baginda telah mengarahkan arkitek yang membina Masjid Biru yang bernama Mehmet Aga pergi ke Makkah untuk menambah satu lagi menara kepada Masjidil Haram. Begitulah kisah di sebalik 7 buah menara yang terdapat di Masjidil Haram.

Binaan di dalam Masjidil Haram yang menjadi Kiblat umat Islam ketika bersolat ini pertama kali dibina oleh Nabi Adam AS. Binaan yang terlihat sekarang telah dibina kembali oleh Nabi Ibrahim AS dengan bantuan anaknya Nabi Ismail AS. Binaan Kaabah juga ditutup dengan kain Kiswah yang berwarna hitam. Peraturan supaya Kiswah hanya berwarna hitam ini dibuat sewaktu pemerintahan khalifah Abbasiyah. Sebelum itu, Kaabah pernah ditutup dengan Kiswah yang berwarna merah, putih dan hijau.

Memang rindu nak berkunjung ke Masjidil Haram lagi bila melihat replika ini. Memang terasa ketika ini betapa kita hanya boleh berkunjung ke Tanah Suci jika Allah SWT menjemput kita ke sana. Sesuatu yang tak pernah kita terbayangkan selama ini telah pun berlaku pada tahun 2020 ~ hanya 1,000 orang istimewa sahaja yang telah dijemput oleh Allah SWT untuk menunaikan ibadah Haji pada tahun ini disebabkan wabak Covid-19. Marilah kita bersama berdoa semoga Allah akan menarik semula wabak ini dari muka bumi agar kita dapat berkunjung kembali ke rumah-Nya di Makkah dan juga ke tempat-tempat yang lain di dunia.

Disebabkan Masjidil Haram adalah tempat suci yang utama bagi umat Islam, ada ruang pameran yang khusus tentangnya di bawah replika ini. Kami walau bagaimanapun sekadar menjenguk sebentar saja kerana banyak lagi nak melawat ke monumen-monumen lain di sini.

Pintu masuk ke ruang pameran mengenai Masjidil Haram


   Bersambung ke Bahagian 14...


CATATAN PERJALANAN KUALA TERENGGANU (2020):