Monday 6 August 2018

2018 MANADO BHG. 06 (Pasar Ekstrim)

Julai 2018

SULAWESI UTARA, INDONESIA
Manado & Minahasa

Bahagian 6: Minahasa (3)
PASAR BERIMAN TOMOHON

HARI KEDUA (3)

Part 19: Pasar Beriman Tomohon

Semalam sewaktu kami tiba di Manado, kami ada bertanya kepada Pak Tommy tentang makanan istimewa di sini. Ada tak makanan macam Babi Guling seperti yang kami lihat di Bali? Kata Pak Tommy, tak ada Babi Guling di Manado, tapi ada Babi Putar. Dia juga memberitahu selain dari babi, orang Minahasa gemar memakan makanan yang ekstrim seperti daging anjing dan kelawar.

Makanan istimewa di Manado ~ Babi Putar
Pak Tommy memberitahu di kota Tomohon ada sebuah pasar tradisional yang menjual daging ekstrim. Dia boleh membawa kami melawat ke sana jika kami ingin berbuat begitu. Mulanya bimbang juga nak menerima pelawaan Pak Tommy, tapi memikirkan ini satu pengalaman unik yang akan kami perolehi di sini, kami bersetuju. "Tapi jangan lama-lama, Pak. Takut pengsan nanti dalam Pasar," kata kami kepada Pak Tommy. "Tak perlu lama. 20 menit dah cukup," kata Pak Tommy. 

Maka selepas melawat pembuatan Rumah Panggung di Desa Woloan, Pak Tommy membawa kami ke Pasar Beriman Tomohon yang lebih dikenali sebagai Pasar Ekstrim.

Kereta kuda di Tomohon. Kereta kuda dipanggil Delmas di sini.
Pusat bandar Tomohon
Perjalanan menuju ke Pasar Beriman Tomohon sangat sesak dengan kenderaan kerana penduduk di sini sedang membuat persiapan untuk meraikan Hari Kesyukuran Minahasa esok. Dalam perjalanan sekali lagi Pak Tommy bertanya sama ada kami benar-benar nak melawat Pasar Ekstrim kerana suasana di pasar terlebih sesak pada hari ini disebabkan perayaan itu. Pak Tommy bimbang kami akan tergesel dengan benda-benda Haram dalam pasar. "Tak apa Pak, kita masuk ke dalam tapi kita tengok dari jauh saja," kata kami kepada Pak Tommy.

Perjalanan ke pasar macet dengan kenderaan kerana semua nak membuat persiapan menyambut Hari Kesyukuran Minahasa esok.
Perhentian bas awam Terminal Beriman Tomohon di sebelah pasar.
Berjalan di celah-celah kenderaan menuju ke pintu masuk Pasar Beriman Tomohon.
Ada banyak penjaja berjual sehingga ke luar kawasan pasar hari ini. Kata Pak Tommy, jualan besar-besaran begini biasanya berlaku pada hujung minggu seperti ketika kami di sana. Kebanyakan penjaja yang berjual di luar kawasan pasar ini menjual sayur-sayuran.

Pada hujung minggu seperti ini, bilangan penjaja berjual lebih ramai sehingga ke kawasan di luar pasar.
Suasana di sini sama seperti pasar-pasar terbuka di Malaysia juga.
Sayur-sayuran untuk jualan
Sesuatu yang Myself perhatikan di sini ialah suasana pasar di sini lebih bersih dan teratur dari pasar-pasar yang pernah dilihat di Pulau Jawa.
Masih berjalan menuju ke pintu masuk
Berdebar-debar di hati bila terpandang pintu masuk sebenar ke Pasar Beriman Tomohon. Seperti nama pasar ini, memang kena kuat iman bila nak masuk ke sini kerana ada banyak kejutan yang menanti di dalam. Sebenarnya di pintu masuk lagi Myself dah mendapat satu kejutan bila terpandang secara tak sengaja seorang wanita memegang segugus tikus hutan yang masih berbulu dan nampak macam hidup untuk dijual. Disebabkan terperanjat dan sibuk nak mengikut Pak Tommy dan Husband melintas jalan, terlupa pulak nak snap gambar.

Pintu masuk ke Pasar Beriman Tomohon
Gerai pisang
Di bahagian depan pasar, masih ramai penjual yang menjual sayur-sayuran dan buah-buahan. Bila kita menjenguk satu-persatu gerai yang ada, terperanjat bila terlihat buat pertama kali...

Ehh, apa tu?
Tikus Panggang!!
Terkejut wehh, tengok tikus panggang ni. Kata Pak Tommy, tikus-tikus panggang ini adalah tikus hutan. Hanya tikus hutan yang dimakan dan bukan tikus rumah. Tikus hutan boleh dibezakan dengan tikus rumah kerana ekornya berwarna putih sedangkan ekor tikus rumah pula berwarna hitam. Tikus-tikus yang dijual memang dikekalkan ekornya untuk menunjukkan yang mereka memang tikus hutan.

Ikan Salai Cakalang Fufu
Pemandangan lebih dekat Cakalang Fufu
Pasar Beriman Tomohon ini sebenarnya terbahagi kepada beberapa bahagian. Bahagian depan pasar menjual sayur-sayuran dan buah-buahan. Tapi di celah-celah gerai sayur dan buah-buahan ini terselit juga beberapa gerai tikus panggang.

Penjual sayur dan buah-buahan
Ramai juga kami perhatikan penjual Muslim yang berjual di sini. Malah ada satu bahagian yang dikhaskan untuk menjual daging-daging Halal.

Rempah dan bahan-bahan masakan juga dijual di sini
Pakaian
Timun
Makanan kering hasil laut
Gerai ikan
Ikan Air Tawar
Bersungguh Pak Tommy menjaga kebajikan kami sewaktu berada di pasar ini. Dia sentiasa berjalan di depan untuk memastikan tak ada benda-benda haram dalam laluan kami. Kalau ternampak apa-apa kemungkinan bersentuhan dengan yang haram tu, cepat-cepat dia memberitahu dan membawa kami mengelak mengikut laluan lain.

Pak Tommy sentiasa berjalan di depan untuk memastikan laluan kami selamat dari benda-benda haram.
Bahagian pasar yang menjual daging ekstrim sebenarnya terletak di belakang. Walau bagaimanapun, Pak Tommy tak membawa kami terus ke sana kerana laluan singkatnya memang melalui tengah-tengah pasar. Bimbang betul dia kalau kami tergesel daging haram yang dibawa oleh pembeli-pembeli di sini. Bersusah-payah dia bertanya dan berbincang dengan peniaga-peniaga di pasar untuk menentukan 'laluan selamat' bagi kami. 

Oleh kerana pasar ini sering menerima kunjungan pelawat seperti kami, peniaga-peniaga dan pengunjung tempatan di sini sangat membantu. Bukan setakat Pak Tommy, semua peniaga dan pengunjung yang Kristian dan Non-Kristian (istilah yang biasa digunakan di sini) turut membantu memberi amaran kepada kami bila ada benda-benda haram kepada Orang Islam berada di dalam laluan.

Tikus panggang lagi
Culture shock paling besar bagi kami di pasar ini ialah bila melihat Anjing Panggang. Memang terkejut melihat anjing seekor-seekor masih lengkap dengan kepala terdampar kat tanah begitu.

Huk Ala! Terperanjat tengok pemandangan ini buat kali pertama.
Ini adalah makanan istimewa penduduk bukan Islam di kawasan ini.
Daging apa pulak ni?
Hulamak ! Babi hutan ! Tapi kepalanya dah tak ada.
Kata Pak Tommy, dia nak menunjukkan kepada kami tempat menjual daging ekstrim yang lain. Dia dah identify satu spot yang bagus untuk kami melihat tempat ini.

Tergelak Uncle di sebelah kanan ni bila melihat kami terperanjat melihat daging yang dijual. Tahu tak daging apa ni?
Anjing!
Selepas berbincang dengan beberapa peniaga di pasar ini, Pak Tommy membawa kami ke satu penjuru pasar. Kat situ boleh lihat pemandangan bagus, katanya.

Jual-beli sayur
Ikan air tawar
Menyiang ikan
Ayam
Proses mencabut bulu ayam. Masih menggunakan kaedah tradisional.
Kuih-kuih tempatan.
Tak kenal kuih-kuih yang dijual
Kacang-kacang dan bawang-bawang
Pak Tommy terus membawa kami menyusuri pinggir pasar. Tiba-tiba ramai pengunjung dan penjual yang kecoh memberi amaran kepada kami. Pak Tommy pun bersungguh menyuruh kami ke tepi. Ada babi besar nak lalu rupanya...

Ramai yang kocoh-kocoh menyuruh kami ke tepi di sini.
Rupa-rupanya babi besar ni nak lalu...
Babi besar berlalu pergi...
Kami kemudiannya masuk ke kawasan menjual daging Halal. Memang lega bila masuk ke kawasan ini.

Ayam Halal
Daging lembu Halal. Lembu di sini dipanggil Sapi.
Kawasan menjual daging Halal.
Pak Tommy membawa kami melintasi kawasan menjual Daging Halal ini sehingga sampai ke satu penjuru. Tiba di sana dia suruh kami berhenti dan skodeng dengan lens kamera ke gerai-gerai di depan sana. Nak tahu apa yang kami nampak?

Skodeng dengan kamera ke gerai-gerai kat depan sana...
Ular Sawa !
Terkejut wohh, tengok ada Ular Sawa kena gantung kat situ! Selama ini kita sangka Ular Sawa makan orang, kat sini dia pulak jadi makanan orang! Kata Pak Tommy, Ular Sawa ini selalunya datang dari Gorontalo. Harganya mahal. Secebis daging Ular Sawa sebesar tapak tangan dijual dengan harga Rp 100,000 (lebih kurang RM 30). Dari apa yang Myself baca, daging ular ini selalunya dimasak pedas.

Tengah sibuk skodeng ular, tiba-tiba sekali lagi pasar menjadi kecoh. Rupa-rupanya babi besar tadi sedang diangkat untuk dibawa masuk ke dalam pasar.

Babi besar dibawa masuk ke dalam pasar.
Oh mak, kau! Terperanjat bila babi besar dihempas kat depan mata...
Terperanjat sekali lagi bila babi besar ini dihempas ke atas meja di depan mata. Merecik habis darah babi ni! Nasib baik kita berada kat safe distance, kalau tidak jenuh pulak nak menyamak diri dan pakaian. Babi ni besar, dekat 100 kilo beratnya agaknya. Tu yang bergegar dan merecik habis darah bila dia dihempas ke atas meja.

Kemudian kita teruskan skodeng ke gerai-gerai lain kat sana. Kali ini kita dapat pulak melihat daging kelawar. Daging kelawar ini dipanggil paniki.

Kelawar
Kelawar yang dijual masih berbulu
Aduh !! Tak tahan nak melihatnya.
Yang paling tak tahan kami melihat dan mendengarnya di pasar ini ialah lolongan dari anjing-anjing yang ketakutan melihat rakan mereka dibunuh untuk dijadikan lauk. Tak tergamak nak melihat dan menangkap gambar anjing-anjing ini. Tersayat-sayat hati rasanya. Terus kami meminta Pak Tommy membawa kami keluar. 

"Jangan lalu tempat jual kucing, Pak" kata Husband kepada Pak Tommy. Kalau nampak kucing dalam sangkar macam anjing-anjing tu, boleh meraung sedih kami dalam pasar tu! Lebih-lebih lagi sebab kami membela kucing kat rumah. Nasib baik Pak Tommy kata kucing tak dijadikan makanan di sini!

Penjual Gula Merah
Gula Merah
Kata Pak Tommy, selain apa yang kami lihat, daging monyet juga dijual di dalam pasar ini. Tapi daging monyet tak dijual secara terbuka kerana penjualannya adalah illegal kerana monyet adalah haiwan yang dilindungi.

Pasar Beriman Tomohon unik kerana ia adalah satu-satunya pasar dalam kawasan bandar yang menjual daging-daging ekstrim. Tak ada pasar bandar lain yang menjual daging begini. Tapi pasar-pasar di pedalaman banyak yang menjual daging begini.

Kami juga bukan pelanggan Muslim pertama yang dibawa oleh Pak Tommy ke sini. Dia pernah membawa seorang tetamu wanita Muslim dari Jakarta ke sini. Kakak itu lagi hebat! Sanggup berdiri kat tengah-tengah pasar daging ekstrim ambil gambar. Bila Pak Tommy bertanya kalau dia tak bimbang terkena daging haram, "Tak apa, boleh dicuci," katanya.

Bumbu-bumbu masakan
Ikan yang macam Ikan Bilis ini bernama Ikan Nike (bukan kasut Nike, tau!)
Berjalan keluar menuju ke pintu masuk semula
Ayam hidup untuk jualan
Penjaja sayur di bahagian depan pasar
Keluar dari Pasar Beriman Tomohon


 Bersambung ke Bahagian 7...


CATATAN PERJALANAN MANADO (2018):