Tuesday 23 April 2024

2024 LABUAN BHG. 07 (Taman Damai & Pantai Layang-Layangan)

Februari 2024

LABUAN, MALAYSIA

Bahagian 7: Perang Dunia Kedua Di Labuan
TAMAN DAMAI & PANTAI LAYANG-LAYANGAN

HARI KEDUA (6)

Part 17 : Taman Damai

Selepas sudah melawat Tapak Perkuburan Perang, Husband melawat pula ke Taman Damai yang juga mempunyai perkaitan dengan sejarah hitam Perang Dunia Kedua di Labuan.

Taman Damai
Tempat letak kereta di Taman Damai
Pintu masuk ke Taman Damai
Taman Damai (Peace Park) dibina oleh Kerajaan Jepun pada tahun 1982 sebagai sebuah memorial kepada kemanan dan kedamaian. 

Jom masuk ke dalam...
Suasana di Taman Damai
Peta Taman Damai
Keindahan landskap di taman ini memang sangat mendamaikan. Terasa juga kepedihan kesan Perang Dunia Kedua dulu sewaktu kita berjalan di sini.

Di tengah taman ada sebuah tugu peringatan batu yang simple. Ia didirikan oleh Pertubuhan Ikatan Pasifik Selatan Jepun pada September 1976 untuk memperingati tentera dan orang awam yang menjadi mangsa Perang Dunia Kedua.

Tugu Peringatan Kedamaian
Pada tugu ini tertera perkataan: Peace Is The Best
Batu peringatan yang didirikan oleh Pertubuhan Ikatan Pasifik Selatan Jepun
Tulisan pada batu ini telah pudar dimamah usia...
... Maka sebuah tugu baru berserta inskripsi didirikan berdekatan dengannya.
Pengharapan perdamaian dari Pertubuhan Ikatan Pasifik Selatan Jepun
Jom kita jalan lagi ke sebelah sana untuk menuju ke Surrender Point pula...

Jom jalan ke sebelah sana...
Pemandangan menghala ke pintu masuk
Plak keterangan tentang Surrender Point
Sejarah Surrender Point
Sewaktu Perang Dunia Kedua, tapak Taman Damai sekarang adalah markas ibu pejabat pasukan Tentera Bersekutu dan Tentera Australia 9th Division bagi kawasan British Borneo. Maka di sinilah upacara penyerahan kalah Tentera Jepun kepada Tentera Bersekutu berlangsung pada 9 September 1945. Surat penyerahan diri Tentera Jepun ditandatangani oleh Lieutenant Masao Baba, komander 37th Japanese Army dan disaksikan oleh Major General George F. Wooten, komander Australian 9th Division Army.

Surrender Point
Sebuah memorial di tapak sebenar di mana penyerahan diri Tentera Jepun kepada Tentera Australia telah didirikan oleh Kerajaan Australia pada tahun 2024.

Tapak sebenar di mana upacara penyerahan diri Tentera Jepun berlangsung
Dedikasi dari Kerajaan Australia
Sebuah lagi pintu masuk ke Taman Damai
Kita berjalan lagi menikmati keindahan dan kedamaian suasana di Taman Damai...

Di tengah taman ada sebuah bukit kecil yang didirikan oleh Kerajaan Jepun. Sekali imbas ia kelihatan seperti perkuburan Cina yang biasa kita lihat di Malaysia. Tak ada sebarang keterangan diberi tentang bukit kecil ini tetapi Myself rasa ia adalah sebenarnya penghormatan simbolik dari Kerajaan Jepun untuk tenteranya yang terkorban sewaktu Perang Dunia Kedua.

Jepun dianggap sebagai sebuah negara musuh oleh negara-negara Barat sewaktu Perang Dunia Kedua. Oleh yang demikian, sebarang usaha untuk mengagungkan Tentera Jepun pasti akan ditentang oleh negara-negara Barat, terutama Australia dalam kes ini kerana mereka berperang secara langsung dengan Jepun di Labuan. Demi menjaga sensitiviti inilah Myself rasa tiada sebarang keterangan ditulis tentang bukit kecil ini, walaupun Taman Damai keseluruhannya dibina oleh Kerajaan Jepun.

Bukit kecil di tengah taman
Tiada sebarang keterangan ditulis tentang bukit ini
Pandangan dari bucu
Di depan bukit ini tertera peringatan yang berbunyi: In memory of those who sacrificed their lives on land and at sea and around Borneo during World War II and in dedication to world peace. Memorial ini dibina oleh Kerajaan Jepun dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah pada 30 September 1982.

Memorial peringatan
Batu yang berbentuk seperti keranda ini bagaikan simbolik peringatan kepada mereka yang terkorban sewaktu Perang Dunia II.
Awan di Labuan memang cantik
Bukit yang disirami mentari
Walaupun taman ini tidak begitu besar, ia sangat mendamaikan. 

Disebabkan taman ini dibina oleh Kerajaan Jepun juga, ciri-ciri Jepun memang terasa di taman ini. Taman Jepun sering dibina dengan menerapkan konsep Zen di mana kita boleh menikmati keindahan keseluruhan taman dengan hanya berdiri di sebuah tempat sahaja. Konsep ini juga diterapkan di sini.

Sewaktu Husband melawat ke Taman Damai ini, Myself juga sebenarnya lalu di tepi taman ini menuju ke tempat event kami diadakan. Walau setakat dipandang dari luar sahaja, suasana di taman ini nampak mendamaikan. Sebab itu kita seronok bila Husband menunjukkan gambar-gambar yang beliau ambil di taman ini. Terasa macam kita pun berjalan-jalan juga di sana tadi.

Melihat gambar tempat-tempat Perang Dunia Kedua seperti di Taman Damai ini mengingatkan Myself kepada tempat-tempat serupa yang pernah kami lawati sebelum ini. Dalam banyak-banyak tempat tersebut, Kanchanaburi di Thailand adalah tempat yang paling menyayat hati. Hati memang tersentuh bila kami dibawa melawat ke tempat pembinaan landasan Keretapi Maut Thailand-Burma di sana. Seperti di Labuan, Tentera Bersekutu yang paling ramai menjadi mangsa di sana juga adalah Tentera Australia.

Dalam siri Perang Dunia II, Jepun pertama kali menyerah kalah kepada pasukan Tentera Amerika Syarikat yang turut menganggotai pasukan Tentera Bersekutu selepas peristiwa pengeboman bandar Hiroshima dan Nagasaki dengan bom nuklear di Jepun. Upacara penyerahan kalah ini berlangsung di atas kapal perang Amerika MSS Missouri yang sedang berlabuh di Teluk Tokyo. Peristiwa ini berlaku pada 2 September 1945. Penyerahan kalah Tentera Jepun kepada pasukan Tentera Australia di Labuan pula berlangsung 8 hari kemudian, pada 10 September 1945.


Suasana petang semakin menjelang dan matahari semakin terbenam. Salah sebuah tempat popular bagi menikmati pemandangan keindahan sunset di Labuan adalah Pantai Layang-Layangan yang terletak tidak jauh dari Taman Damai. Maka ke sanalah pula Husband melangkah...

Part 18: Pantai Layang-Layangan

Disebabkan Labuan adalah sebuah pulau, kita boleh melihat pemandangan matahari terbit dan terbenam di pantai-pantainya yang tertentu. Pantai Layang-Layangan adalah antara lokasi terbaik untuk melihat pemandangan matahari terbenam disebabkan kedudukannya yang terletak di sebelah barat.

Sunset di Pantai Layang-Layangan
Pemandangan di Pantai Layang-Layangan
Seperti juga di Sabah, matahari di Labuan terbit dan tenggelam sejam lebih awal berbanding Semenanjung Malaysia. Teringat pengalaman pertama Myself berkunjung ke Sabah dengan seorang rakan pada waktu muda-muda dahulu. Ketika itu kami memang tak tahu yang matahari di Sabah terbit sejam lebih awal berbanding Kuala Lumpur. Terperanjat besar kami bila bangun tidur pada pukul 6 pagi dan melihat matahari dah tegak naik di atas langit. Hahaha!!! Al-Fatihah untuk rakan tersebut yang telah meninggal dunia kerana penyakit buah pinggang pada usia 38 tahun.

Menikmati keindahan matahari terbenam
Pantai yang berpasir
Bersiar-siar di tepi pantai
Betapa indahnya ciptaan Tuhan
Ada sebuah kafe di Pantai Layang-Layangan ini. Husband walau bagaimanapun tidak singgah minum-minum di situ.

Jambatan kecil menuju ke kafe
Pemandangan dari atas jambatan
Lagi pemandangan dari atas jambatan
Pemandangan indah menghala ke Laut China Selatan
Bayang-bayang
Layangan Sunset Cafe
Pantai Layang-Layangan, Labuan
Kita minum dulu!!
Kemudian barulah kita benar-benar menikmati keindahan pemandangan matahari terbenam di Pantai Layang-Layangan.

Menikmati keindahan matahari terbenam di Pantai Layang-Layangan, Labuan
Bendera Wilayah Persekutuan


Bersambung ke Bahagian 8...



No comments: