Saturday 20 April 2024

2024 LABUAN BHG. 04 (Muzium Labuan 1)

Februari 2024

LABUAN, MALAYSIA

Bahagian 4: Bersiar-siar Di Labuan
MUZIUM LABUAN (1)

HARI KEDUA (3)

Part 11 : Financial Park (Ujana Kewangan)

Destinasi seterusnya bagi Husband selepas melawat Muzium Marin Labuan adalah Muzium Labuan. Untuk ke sana, dia berjalan kaki melintasi bangunan Financial Park yang juga dikenali sebagai Ujana Kewangan.

Berjalan ke Muzium Labuan
Financial Park
Selain menempatkan pelbagai pejabat di dalamnya, Financial Park juga adalah satu-satunya shopping mall yang terdapat di Labuan.

Bangunan Financial Park menempatkan pelbagai pejabat dan sebuah shopping mall di dalamnya.
Bangunan di sebelah kanan adalah Hotel Grand Dorset yang terletak bersebelahan dengan Financial Park

Part 11 : Muzium Labuan

Muzium Labuan adalah muzium yang memfokuskan kepada tema sejarah dan kebudayaan di Wilayah Persekutuan Labuan. Ia dibuka secara rasmi pada 8 Oktober 2004.

Muzium Labuan
Bangunan yang menempatkan Muzium Labuan ini dibina pada tahun 1950-an dan pada asalnya merupakan Pejabat Pentadbiran Kolonial British pada ketika itu. Selepas tahun 1963, ia menempatkan Pejabat Daerah Labuan dan seterusnya menempatkan Pejabat Majlis Perbandaran Labuan pada sekitar  tahun 1980-an.

Muzium Labuan yang dikelolakan oleh Jabatan Muzium Malaysia
Pintu Masuk ke Muzium Labuan
Kaunter Informasi
Ruang pameran Muzium Labuan terdiri dari dua aras. Kita mulakan lawatan di aras bawah...

Kita mulakan lawatan di Aras Bawah
Jom masuk...
Segmen Pengenalan
Pameran di Aras Bawah memperkenalkan kita sepintas lalu dengan sejarah Labuan bermula dari zaman pra-sejarah sehinggalah kepada pengisytiharan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan pada 16 April 1984.

Segmen Pengenalan di Muzium Labuan
Kronologi Sejarah Labuan
Disebabkan kedudukannya yang strategik di utara Pulau Borneo, Labuan pernah menjadi jajahan beberapa kuasa Barat dan Timur
Peralatan tradisional yang pernah digunakan di Pulau Labuan
Pulau-pulau kecil di sekitar Labuan banyak mempunyai kesan sejarah
Selepas belajar mengenai Sejarah Labuan secara sepintas lalu, kita lihat pameran mengenai Era Pra Sejarah di Labuan.

Era Pra Sejarah
Pada tahun 1960 dan 1972, beberapa artifak dan kesan peninggalan manusia telah ditemui di Pulau Burong dan Pulau Enoe di persisiran pantai Labuan hasil kajian arkeologi oleh Mr. Tom Harrison yang merupakan kurator Muzium Sarawak ketika itu. Mr. Harrison ini juga adalah orang yang berjasa menemui kesan arkeologi di Gua Niah, Sarawak.

Pameran Era Pra Sejarah Labuan
Kajian arkeologi menunjukkan Pulau Burong di Labuan pernah menjadi tempat kediaman manusia purba.
Penemuan kepingan-kepingan seramik di Pulau Enoe berhampiran Labuan juga menunjukkan perdagangan Labuan dengan Kerajaan Maharaja China pernah berlangsung pada masa dahulu.

Penemuan serpihan seramik yang menunjukkan Labuan pernah berdagang dengan Kerajaan China Purba di masa lalu
Peta laluan perdagangan Labuan dengan Kerajaan Maharaja China
Pecahan seramik yang ditemui di Pulau Enoe
Peta lama yang menunjukkan Labuan sebagai tempat persinggahan pedagang yang ingin menuju ke Brunei
Labuan turut menjadi sebahagian dari Kesultanan Brunei yang merupakan sebuah kerajaan yang kuat pada masa dahulu. Menurut catatan sejarah, Kesultanan Brunei di bawah Sultan Bolkiah pernah menakluk seluruh Pulau Borneo dan Filipina bermula 1485 - 1542.

Pameran mengenai sejarah Brunei di bawah Kesultanan Brunei
Meriam yang digunakan oleh Kesultanan Brunei
Islam juga berkembang di Labuan menerusi pedagang-pedagang dari Melaka yang berdagang dengan Kesultanan Brunei ketika itu.

Kisah Kemasyhuran Kesultanan Brunei
Empayar Kesultanan Brunei 1485 - 1524
Sejarah Labuan di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei
Kekuasaan Kesultanan Brunei ke atas Labuan walau bagaimanapun berakhir bila Sultan Brunei yang bernama Sultan Omar Ali Saifuddin II menyerahkan Brunei kepada British menerusi sebuah perjanjian dengan Kapten G. Rodney Mundy.

Pameran Era Pentadbiran Kerajaan British
Dengan penguasaan British ke atas Pulau Labuan, nama pulau ini ditukar kepada Victoria Island, sempena nama pemerintah British ketika itu, Queen Victoria. Bendera British dikibar secara rasmi di Pulau Labuan pada 24 Disember 1846.

Permulaan pemerintahan British di Labuan 
Diorama upacara pengibaran bendera British di Labuan
Sultan Brunei turut dipaksa untuk menyaksikan upacara ini
Labuan pada mulanya ditadbir oleh Syarikat Hindia Timur (East India Company) Inggeris sehingga diambilalih sepenuhnya oleh Kerajaan British pada 22 Januari 1848. Perlombongan arang batu menjadi sumber utama ekonomi Labuan ketika itu. Namun demikian, kejayaan ekonomi menerusi perlombongan arang batu ini tidak dapat bersaing dengan kemakmuran ekonomi Singapura dan Sarawak. Keadaan ini menyebabkan pentadbiran Labuan diserahkan oleh British kepada Syarikat Berpiagam Borneo Utara (North Borneo Chartered Company) pada tahun 1890.

Kisah Labuan di bawah pentadbiran British
Replika batu nisan pusara peringatan rakyat British yang meninggal dunia di Labuan
Rajah British di Sarawak, Sir James Brooke adalah juga Gabenor British di Labuan yang pertama.
Sekalipun Labuan telah diserahkan kepada Syarikat Berpiagam Borneo Utara pada tahun 1890, ia masih kekal sebagai sebuah tanah jajahan British. Segala keputusan dan undang-undang yang dibuat oleh Syarikat berkenaan perlu dirujuk kepada Kerajaan British. Keadaan ini menyebabkan Syarikat Berpiagam Borneo Utara sering bertelingkah dengan Kerajaan British sehingga akhirnya Labuan diserahkan semula kepada Kerajaan British. British kemudiannya menjadikan Labuan sebagai sebahagian dari pentadbiran Negeri-Negeri Selat yang turut meliputi Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Sebahagian besar perbelanjaan tahunan Labuan terpaksa dibantu oleh Singapura yang merupakan Ibu Pejabat Negeri-Negeri Selat.

Pameran Labuan di bawah pentadbiran British
Ada satu ruang di Muzium Labuan yang dikhaskan untuk kisah perlombongan arang batu di zaman British. Arang batu yang dilombong di Labuan ketika itu dieksport ke Singapura selain untuk kegunaan kapal-kapal tentera laut.

Peralatan yang sering digunakan oleh pegawai-pegawai British yang terlibat di dalam perlombongan arang batu
Peralatan lain yang digunakan dalam perlombongan arang batu di Labuan
Matawang dan duit syiling yang digunakan di Labuan di bawah pentadbiran British
Setem pos yang digunakan di Labuan di bawah pentadbiran British
Seperti juga di tempat-tempat lain di Malaysia, British turut membantu melaksanakan pembangunan fizikal di Labuan sewaktu di bawah penajajahan mereka.
Sewaktu Perang Dunia Kedua, Jepun memulakan penguasaan mereka di Malaysia dengan menakluk bandar Kota Bharu di Kelantan pada 8 Disember 1941. Penaklukan Jepun ke atas Pulau Borneo pula bermula di Miri pada 16 Disember 1941 melalui pangkalan tentera Jepun di Cam Ranh, Vietnam. Labuan dan Beaufort di Sabah ditawan Jepun pada 1 Januari 1942. Nama Labuan ditukar kapada Maedashima (Pulau Maeda) di bawah pentadbiran Jepun.

Pameran Era Perang Dunia Kedua
Pameran perluasan kuasa Jepun di Asia Tenggara dan pendudukan Jepun di Labuan
Pameran Operasi Ketenteraan Tentera Jepun
Perluasan kuasa Jepun di Asia Tenggara
Disebabkan kedudukannya yang strategik, Labuan telah dijadikan sebagai pangkalan operasi Tentera Jepun di Borneo Utara
Banyak pertempuran sengit di antara Tentera Jepun dengan Tentera Bersekutu berlaku di Labuan sewaktu Perang Dunia Kedua. Akibatnya, banyak kemusnahan harta benda dan jiwa terjadi. Penjajahan Jepun berakhir bila Jepun menyerah kalah dalam satu serangan mengejut Tentera Australia di bawah panji Tentera Bersekutu pada 10 Jun 1945. Dengan kekalahan Tentera Jepun, Labuan kembali menjadi sebuah jajahan British.

Pameran kemusnahan dalam Perang Dunia Kedua di Labuan
Gambaran kemusnahan yang berlaku dalam Perang Dunia Kedua di Labuan
Pameran pembebasan Labuan dari penjajahan Jepun pada 10 Jun 1945
Sebahagian senjata yang digunakan oleh Tentera Australia sewaktu menewaskan Tentera Jepun
Senjata Anti-Kapalselam
Selepas melihat pameran kemusnahan yang dialami Labuan sewaktu Perang Dunia Kedua, kita lihat pula pameran mengenai Labuan pada Era Pasca Perang.

Pameran Era Pasca Perang
Sebahagian peralatan yang digunakan oleh Tentera Australia untuk membebaskan Labuan
Selepas kemerdekaan dari British, Labuan ditadbir pula sebagai sebahagian pentadbiran Negeri Sabah.

Labuan ditadbir sebagai British Crown Colony selepas tamat perang. Selepas kemerdekaan, Labuan menjadi sebahagian dari Negeri Sabah
Pameran Personaliti Unggul di Labuan
Syarif Kedah adalah Tokoh Agama yang berjasa mengembang dan menyebarkan agama Islam di seluruh Labuan, Sabah dan Sarawak serta hampir keseluruhan kawasan Borneo
Kisah mengenai sebuah telaga luar biasa di Oya, Sarawak yang mempunyai perkaitan dengan Syarif Kedah
Pameran terakhir yang dilihat di Aras Bawah ini adalah pengisytiharan Labuan sebagai sebuah Wilayah Persekutuan pada 16 April 1984. Pada tarikh tersebut, ribuan penduduk Labuan telah menyaksikan upacara menandatangani Perjanjian Labuan di antara Perdana Menteri Malaysia YAB Datuk Seri Mahathir bin Mohamad dengan Ketua Menteri Sabah YB Datuk Harris bin Mohd. Salleh yang menukarkan status Labuan kepada sebuah Wilayah Persekutuan.

Pengisytiharan Labuan sebagai sebuah Wilayah Persekutuan pada 16 April 1984.
Meja dan Kerusi Rasmi yang digunakan sewaktu upacara menandatangani Perjanjian Labuan
Tempat-tempat menarik di Labuan


Bersambung ke Bahagian 5...


No comments: