Tuesday 12 August 2014

2014 TURKEY BHG. 10 (Dolmabahce Palace)

Ogos 2014

TURKEY
Istanbul & Sanliurfa

Bahagian 10: Istanbul (6)
DOLMABAHÇE PALACE


Part 31: Kabataş

Perancangan asal pada hari ini adalah untuk menaiki Big Bus Tour sekali lagi dengan mengikut laluan Blue Line. Namun begitu, disebabkan hari itu adalah hari Jumaat, jalan raya di Istanbul mengalami kesesakan yang teruk sehingga menyebabkan jualan tiket Big Bus Tour diberhentikan buat seketika.

Untuk tidak membuang masa menunggu perkhidmatan Big Bus Tour pulih kembali, kami menukar rancangan untuk melawat Dolmabahçe Palace kerana tempat ini boleh dikunjungi dengan menaiki perkhidmatan keretapi dari Taksim.

Untuk ke Dolmabahçe Palace, kami menggunakan perkhidmatan Funicular yang seperti keretapi Bukit Bendera di Pulau Pinang yang bergerak di dalam terowong di bawah tanah. Ia hanya menghubungi dua buah stesen: Taksim dan Kabataş (disebut Kabatash). Tambang yang dikenakan ialah 4 Lira (RM8) sehala.

Funicular menghubungkan cuma 2 buah stesen: Taksim dan Kabataş. Perjalanan antara kedua-dua stesen tak sampai 5 minit.
Stesen Funicular di Taksim
Kabel yang menarik Funicular turun-naik antara Stesen Taksim dan Stesen Kabataş. Stesen Taksim terletak di atas bukit manakala Stesen Kabataş pula terletak di tepi laut.
Tiket Funicular boleh dibeli dari mesin Jetonmatik di kedua-dua stesen.
Pemandangan Stesen Taksim dari dalam Funicular
Bergambar dalam Funicular
Stesen Funicular Kabataş
Pemandangan Stesen Kabataş dari luar.
Masjid Dolmabahçe yang merupakan sebahagian dari Dolmabahçe Palace dapat dilihat sebaik kami keluar dari Stesen Kabataş. Pintu masuk ke Dolmabahçe Palace terletak bersebelahan dengan Masjid ini.

Pemandangan Masjid Dolmabahçe dari Stesen Kabataş.
Kami terlepas pintu masuk ke Dolmabahçe Palace ini pada mulanya kerana terlalu ramai orang berkumpul di depan masjid ini. Kami agak hairan kerana waktu Solat Jumaat telah berlalu. Rupa-rupanya pada hari itu ada kematian seorang tokoh sukan Turki yang bernama Suleyman Seba dan upacara penghormatan akhir serta solat jenazah untuk beliau dilaksanakan di Masjid Dolmabahçe.

Orang ramai berkumpul di depan Masjid Dolmabahçe untuk memberi penghormatan akhir kepada tokoh sukan mereka, Suleyman Seba.
Poster penghormatan untuk Suleyman Seba dari Kelab Jimnastik Besiktas.
Penjual teh Turki di pengkebumian Suleyman Seba.
Walaupun kita tak mengenali Suleyman Seba, nyata dia sangat disayangi oleh rakyat Turki sehingga pengebumiannya diberi liputan langsung oleh TV Turki.
Beratur untuk memberi penghormatan akhir kepada Suleyman Seba.

Part 32: Dolmabahçe Palace

Dolmabahçe Palace (disebut Dolma-bah-chay Palace) adalah istana pusat pemerintahan Kerajaan Ottoman Turki pada satu masa dahulu. Ia dibina oleh Sultan Abdulmecid I.

Sebelum Istana Dolmabahçe dibina, Sultan Abdulmecid dan keluarganya tinggal di Istana Topkapi. Merasakan Istana Topkapi sangat ketinggalan berbanding istana-istana Eropah yang lain, Sultan Abdulmecid kemudiannya mengarahkan supaya sebuah istana baru yang setaraf dengan istana-istana Eropah dibina untuk kediaman beliau dan keluarganya.

Istana ini pernah didiami oleh 6 orang Sultan sebelum sultan yang terakhir, Sultan Abdulmecid Efendi digulingkan dan dibuang negeri ke Switzerland. Presiden Turki yang pertama, Mustafa Kemal Ataturk juga menggunakan sebahagian istana ini sebagai Istana Presiden sewaktu pemerintahannya dan dia juga meninggal dunia di istana ini pada 10 November, 1938.

Pintu masuk pelawat ke Dolmabahçe Palace dihiasi dengan sebuah Menara Jam.
Pemandangan Masjid Dolmabahçe dari pintu masuk ke istana. Masih sesak dengan orang ramai yang datang untuk memberikan penghormatan akhir kepada Suleyman Seba.
Pemandangan Menara Jam dan Masjid Dolmabahçe
Istana Dolmabahçe terdiri dari beberapa bahagian: Selamlik, Harem, Painting Museum dan Clock Museum. Tiket masuk boleh dibeli untuk melawat seluruh istana ataupun bahagian-bahagian yang tertentu sahaja. Kami membeli tiket untuk melawat ke seluruh istana yang berharga 40 Lira (RM80) seorang.

Kaunter jualan tiket terletak di luar pintu masuk ke istana (di sebelah kiri dalam gambar).
Tiket boleh dibeli untuk melawat seluruh istana atau bahagian-bahagian yang tertentu sahaja mengikut pilihan pelawat.
Pemandangan pintu masuk pelawat dari luar.
Pemandangan pintu masuk pelawat dari bahagian dalam.
Taman yang cantik di hadapan bangunan istana.
Kalau dalam musim bunga, dah pasti taman ini penuh dengan bunga-bunga tulip. Walaupun bunga tulip terkenal di Belanda pada masa kini, ia sebenarnya berasal dari Turki.
Pancutan air di hadapan bangunan istana.
Tempat ini sebenarnya lebih cantik dari dalam gambar ini.
Tambatan kapal di Istana Dolmabahçe.
Komponen yang boleh dilawati di Istana Dolmabahçe

SELAMLIK WING

Tempat pertama yang kami kunjungi di Dolmabahçe Palace ialah Selamlik Wing yang merupakan pejabat rasmi Sultan. Seperti juga di Beylerbeyi Palace, istana ini hanya boleh dikunjungi secara Guided Tours dan fotografi tak langsung dibenarkan di dalam istana. Jadi gambar-gambar yang digunakan dalam blog ini diambil dari pelbagai sumber sebagai kenangan.

Selamlik Wing - pejabat pemerintahan Sultan Ottoman pada masa dulu.
Pintu berhampiran Selamlik Wing ini pasti digunakan sebagai pintu masuk rasmi untuk tetamu-tetamu sultan pada masa dulu.
Pengunjung dibawa secara berkumpulan melawat beberapa bilik penting yang terdapat di dalam istana. Oleh kerana istana ini besar dan dibina pada masa dahulu, ia tidak mempunyai penghawa dingin. Lawatan ke Selamlik Wing ini memakan masa 45 minit. Suhu musim panas 30 darjah Celcius di luar menyebabkan kami berpeluh-peluh ketika berada di dalam istana. 

Medhal Hall 

Tetamu yang dijemput ke Istana Dolmabahçe akan masuk menerusi Medhal Hall. Medhal bermaksud Entry dalam Bahasa Turki. Tetamu-tetamu ini akan disambut oleh pegawai istana untuk dibawa ke ruang-ruang tertentu mengikut urusan masing-masing.

Tetamu ke istana akan masuk menerusi dewan ini
Bilik-bilik di ruangan ini juga digunakan oleh pegawai-pegawai istana.

Writing Room

Writing Room adalah bilik di mana semua surat-menyurat rasmi istana disediakan. Di bilik ini juga ada sebuah lukisan yang menggambarkan suasana sebuah rombongan sedang balik dari menunaikan Haji di Makkah. 

Pada masa dahulu, adalah menjadi adat supaya semua rombongan Haji yang dihantar oleh Sultan Ottoman akan membawa sesuatu untuk dijadikan perhiasan Kaabah. Bila mereka kembali, mereka akan membawakan sesuatu untuk dihadiahkan kepada Sultan Ottoman pula.

Writing Room di mana surat-menyurat rasmi istana disediakan.
Lukisan rombongan Haji ini dilukis oleh seorang pelukis Itali.

Worship Preparation Room 

Worship Preparation Room digunakan oleh Sultan dalam membuat persediaan untuk beribadah. Elemen yang menarik di sini ialah peralatan wuduk Sultan.

Worship Preparation Room
Cermin di Worship Preparation Room.
Peralatan untuk Sultan berwuduk

Mescid

Dalam Bahasa Turki, Mescid (disebut: Mesjid) bermaksud Surau manakala Masjid sebenar pula dipanggil Jamii. Mescid di Istana Dolmabahçe adalah surau tempat Sultan beribadah.

Mescid
Sejadah yang digunakan Sultan untuk beribadah
Hiasan di dalam Mescid

Crystal Staircase

Kebanyakan bilik urusan rasmi terletak di tingkat atas Dolmabahçe Palace. Para tetamu akan dibawa ke tingkat atas istana menggunakan tangga yang diperbuat dari kristal.

Laluan masuk menuju ke Tangga Kristal
Pemandangan keseluruhan tangga kristal untuk masuk ke Selamlik Wing di Istana Dolmabahçe
Tiang tangga sahaja yang diperbuat dari kristal. Bahagian selebihnya diperbuat dari kayu.

Ambassadors Hall

Ambassadors Hall digunakan untuk pertemuan-pertemuan rasmi dengan duta-duta asing. Bilik ini dihias dengan sangat mewah untuk menunjukkan kemewahan Kerajaan Ottoman kepada para duta asing. Bilik menunggu Ambassadors ini berlapis-lapis dan setiap satunya juga dihias dengan cantik.

Bilik pertemuan dengan Duta Asing ini dihias untuk menggambarkan kemewahan Kerajaan Ottoman kepada mereka.
Piano di dalam bilik ini dihiasi dengan monogram (lambang rasmi) Sultan Abdulmecid.
Chandelier di Ambassadors Hall.
Hiasan siling di Ambassadors Hall
Hiasan mewah di Ambassadors Hall untuk menunjukkan kemewahan Kerajaan Ottoman kepada para Duta Asing.
Ruang Menunggu Para Duta. Permaidani di bilik ini diimport dari Iran.

Privy Chamber

Bilik ini dikhususkan untuk kegunaan peribadi Sultan. Ia juga digunakan oleh Sultan untuk jamuan berbuka puasa dan mengadakan Solat Terawih di dalam bulan Ramadan.

Privy Chamber
Perhiasan di Privy Chamber

Library

Perpustakaan Sultan dipenuhi dengan buku dalam pelbagai bahasa.
 
Perpustakaan Sultan Abdulmecid

Remembrance Hall

Pengunjung ke Dolmabahçe Palace akan juga dibawa ke Remembrance Hall di mana potret-potret Sultan yang pernah menduduki istana ini dipamerkan. Sultan pertama yang menduduki istana ini ialah Sultan Abdulmecid I manakala Sultan terakhir pula ialah Sultan Abdulmecid Efendi.

Potret Sultan-sultan yang pernah menduduki Istana Dolmabahçe

Ceremonial Hall 

Ceremonial Hall dah pasti merupakan bilik yang paling Grand di Istana Dolmabahçe. Di sinilah semua upacara rasmi dan keagamaan diadakan. Ceremonial Hall ini juga bersambung dengan Harem yang merupakan kediaman rasmi keluarga Sultan untuk memudahkan seluruh ahli keluarga menyertai upacara-upacara yang berlangsung di sini.

Ceremonial Hall di Dolmabahçe Palace. Balkoni di atas dewan ini dikhaskan untuk wanita istana mengikuti upacara yang berlangsung di dewan ini.
Hiasan di kubah Ceremonial Hall
Chandelier di bilik ini adalah chandelier yang paling besar di seluruh istana dan dihadiahkan oleh Queen Victoria dari England.

HAREM 

Kami tak berkesempatan masuk ke Harem sewaktu melawat Topkapi Palace tempoh hari. Jadi peluang melawat ke Harem di Dolmabahçe Palace ini tidak kami lepaskan.

Lawatan individu juga tidak dibenarkan di dalam Harem. Semua lawatan adalah secara Guided Tours dan memakan masa 25 minit sahaja. Seperti juga di Selamlik Wing, fotografi tidak dibenarkan di dalam Harem.

Laluan menuju ke Harem
Barisan pengunjung yang ingin memasuki Harem
Kafetaria di tepi Harem
Harem (yang berasal dari perkataan Arab Haram) adalah kawasan kediaman Sultan dan keluarganya. Perhiasan di kawasan ini kurang mewah berbanding dengan perhiasan di Selamlik Wing tadi.

Jika Sultan "berkuasa" di  Selamlik Wing, Queen Mother (ibu Sultan yang juga dipanggil Valide Sultan) pula "berkuasa" di Harem. Segala-gala di Harem perlu mengikut telunjuk Queen Mother.
 

Harem Entry and Exit Hall 

Pengunjung masuk dan keluar dari Harem menerusi sebuah dewan. Disebabkan kita dah melawat Selamlik Wing yang hebat tu sebelum ke sini, terasa dewan Harem ni nampak macam kurang cantik.

Dewan Keluar Masuk ke Harem.
Satu lagi pemandangan di Dewan Keluar Masuk Harem.

Red Room

Red Room yang dihiasi dengan motif berwarna merah adalah bilik tetamu rasmi di Harem.

Red Room
Pendiang api di Red Room.

Blue Hall

Blue Hall digunakan oleh Sultan untuk menerima ucapan selamat dari ahli-ahli keluarga pada hari-hari perayaan. (Mungkin di sinilah Sultan menerima ucapan "Happy Birthday" dari ahli-ahli keluarga agaknya pada hari lahir baginda..)

Blue Hall
Cantik dan menyejukkan pandangan.
Pemandangan keseluruhan Blue Hall

Harem Bath

Pengunjung juga ditunjukkan bilik mandi keluarga Sultan yang dinamakan Harem Bath. Harem Bath ini dibuat dari marmar dan kita hanya boleh menjenguk dari luar pintu sahaja kerana pengunjung tak dibenarkan masuk ke dalam.


Pintu masuk ke Harem Bath
Paip air di Harem Bath
Siling di Harem Bath

Japanese Room

Japanese Room ini digunakan oleh Queen Mother dan dihiasi dengan hiasan bertemakan bunga matahari dan motif-motif Jepun.

Japanese Room

Bedroom 

Pengunjung juga dibawa melihat bilik-bilik tidur keluarga Sultan. Gambar yang ditunjukkan di bawah ini adalah salah sebuah bilik tidur di Harem yang digunakan untuk tetamu Queen Mother.


Bilik tidur tetamu Queen Mother di Harem
Perabot di bilik tidur.
Siling di bilik tidur
Langsir di Bilik Tidur

Bilik Tidur Queen Mother 

Ini pula bilik tidur orang yang paling berkuasa di Harem ~ Queen Mother. Ia terletak betul-betul di sebelah bilik tidur tetamunya.

Katil Queen Mother. Bilik tidur ini menghadap ke Selat Bosphorus.
Perabot di Bilik Tidur Queen Mother.

Bilik Pengasuh

Pengunjung juga ditunjukkan bilik untuk pengasuh anak-anak Sultan.


Bilik Pengasuh Anak-anak Sultan

Mother of Pearl Room

Bilik ini dinamakan Mother of Pearl Room kerana Mother of Pearl digunakan pada hiasan perabotnya.

Bilik Mother of Pearl. Perhatikan cengkerang-cengkerang yang dinamakan Mother of Pearl digunakan pada hiasan perabotnya seperti di meja.

Pink Hall 

Pink Hall dikhaskan untuk kegunaan Queen Mother. Di sinilah Queen Mother akan melayan para tetamu jemputannya. Upacara-upacara khusus untuk kaum wanita juga akan diadakan di sini.
 
Pink Hall.
Hiasan di siling Pink Hall.

Kediaman Ataturk
 
Presiden Kemal Ataturk  juga tinggal di Istana Dolmabahçe di akhir hayatnya. Namun disebabkan beliau dikatakan amat membenci kemewahan yang ditunjukkan oleh Sultan-sultan Ottoman, beliau memilih untuk tinggal di sebuah ruang yang simple di Harem. Di sinilah beliau meninggal dunia pada 10 November 1938 pada usia 57 tahun. Jam di bilik di mana Ataturk meninggal dunia dikekalkan pada pukul 9.05 pagi sehingga ke hari ini, iaitu waktu beliau menghembuskan nafas yang terakhir.

Bilik Bacaan Ataturk
Pintu ke Bilik Mandi Ataturk
Bilik Mandi Ataturk
Katil di mana Presiden Mustafa Kemal Ataturk meninggal dunia pada 10 November, 1938.

PAINTING MUSEUM 

Sebelum meinggalkan Istana Dolmabahçe, kami mengambil kesempatan untuk melawat Painting Museum. Tiada Guided Tours disediakan untuk melawat muzium ini, tetapi fotografi tetap tidak dibenarkan.


Antara lukisan yang dipamerkan di Painting Museum
Kami tersilap arah sewaktu keluar dari Painting Museum yang menyebabkan kami terus terkeluar dari Istana Dolmabahçe. Oleh yang demikian, kami membuat keputusan untuk terus balik ke hotel.

Rakyat Turki sangat menyanjungi presiden mereka yang pertama, Mustafa Kemal Ataturk. Gambar Ataturk diabadikan di sepanjang jalan ini di hadapan Dolmabahçe Palace.
Dalam perjalanan balik ke Kabataş, kami melalui Pintu Utama Istana Dolmabahçe. Sewaktu kami tiba pada tengahari tadi, kawasan ini dipenuhi dengan kenderaan polis yang berkawal sempena upacara penghormatan akhir kepada jenazah Suleyman Seba. Tapi kini, keadaan telah kembali normal dan ada pengawal yang berkawal di sini.

Pengawal yang berkawal dalam kotak kaca di hadapan Pintu Masuk Utama ke Dolmabahçe Palace. Pintu ini walau bagaimanapun, tidak dibuka kepada pelawat ke Dolmabahçe Palace.
Pandangan dekat pengawal yang berkawal di hadapan Dolmabahçe Palace.

Part 33: Kabataş Pier 

Sebelum balik ke hotel, kami bersiar-siar seketika di Kabataş Pier. Seperti Eminönü di Old City, Kabataş juga adalah pangkalan feri yang sibuk di Istanbul. Masjid Dolmabahçe yang tadinya sibuk dengan upacara pengebumian Suleyman Seba juga telah kembali tenang.

Masjid Dolmabahçe
Pemandangan dekat pintu masuk ke Masjid Dolmabahçe.
Inilah nama rasmi Masjid Dolmabahçe.
Pemandangan Masjid Dolmabahçe dari Kabataş Pier.
Itik berenang di tepi laut berhampiran Masjid Dolmabahçe.
Tak tahu nama spesis itik ini, tapi mereka memang banyak terdapat di tepi laut di Istanbul.
Kucing liar di Kabataş Pier.
Bot dan feri yang sedang berlabuh di Kabataş Pier.
Berehat di tepi Kabataş Pier.
Penjual roti di Kabataş Pier.
Pemandangan berhampiran Stesen Funicular Kabataş.

 Bersambung ke Bahagian 11...


CATATAN PERJALANAN TURKEY (2014):