Wednesday 6 August 2014

2014 TURKEY BHG. 04 (Hagia Sophia)

Ogos 2014

TURKEY
Istanbul & Sanliurfa

Bahagian 4: Full Istanbul Tour (1)
HIPPODROME, HAGIA SOPHIA & GRAND BAZAAR



Part 9: Melawat Old Istanbul 

Sewaktu di Istanbul, Myself dan Husband turut menyertai program Guided Tour melawat ke kota lama Istanbul. Program ini dikendalikan oleh Karavan Travel secara sit-in coach dan disertai oleh 21 orang yang berasal dari pelbagai negara: Malaysia, Armenia, Pakistan, USA dan Australia.

Menunggu kedatangan Guide kami untuk Full Istanbul Tour
Sebelum memulakan lawatan, bas kami singgah di beberapa buah hotel di sekitar Istanbul untuk mengambil peserta-peserta yang telah mendaftar untuk mengikut lawatan ini.
Kawasan ini yang terletak tidak jauh dari Taksim Square dianggap Red Light District bagi Istanbul. Banyak aktiviti gelap yang dilaksanakan di kawasan ini.
Menyeberang Golden Horn menuju ke Old City.

Part 10: Istanbul Old City 

Kebanyakan tempat bersejarah di Istanbul bertumpu di Old Istanbul yang sebahagian besar kedudukannya tidak jauh dari Dataran Sultanahmet. Old Istanbul dibina di atas 7 buah bukit. Jalan di sini sangat sempit dan curam. Bak kata Tourist Guide kami yang bernama Sinan, pemandu-pemandu di Istanbul adalah pemandu yang paling cekap di dunia. Mereka bukan sahaja mahir memandu kereta di lorong-lorong yang sempit, bahkan mereka juga sangat arif tentang kepanjangan dan kelebaran kereta masing-masing jika berselisih di lorong yang sempit.

Valens Aqueduct ini dibina oleh pemerintah Byzantine untuk membekalkan air kepada Constantinople (nama lama Istanbul). Ia terus digunakan oleh pemerintah Ottoman selepas mereka menawan Constantinople dari Kerajaan Byzantine.
Istanbul City Hall
Pemandangan jalan yang sempit dan berbukit di Old Istanbul. Ada ketikanya jalan ini turut berkongsi laluan dengan tram.

Part 11: Hippodrome 

Tempat tumpuan lawatan kami yang pertama ialah Hippodrome, sebuah kawasan lapang di Sultanahmet yang terletak di antara Masjid Biru dan Hagia Sophia.


Pemandangan sebahagian Hippodrome di Dataran Sultanahmet
Pada masa dahulu sewaktu pemerintahan Roman Byzantine, Hippodrome adalah sebuah gelanggang lumba kereta kuda (chariot).  Di tengah-tengah Hippodrome pada ketika itu dihiasi dengan patung-patung kuda dan pelumba-pelumba chariot yang terkenal pada masa dahulu dan 3 mercu tanda terkenal yang dinamakan Column of Theodosius, The Serpentine Column dan Column of Constantine. Perlumbaan-perlumbaan kuda akan mengelilingi barisan mercu tanda ini di dalam Hipoodrome.

Rupa sebenar Hippodrome sewaktu di zaman Roman Byzantine
Perlumbaan chariot yang pada mulanya berlangsung dengan aman, lama-kelamaan mula dipengaruhi oleh 2 pihak yang bertentangan pendapat politik yang mana satu pihak menyokong Emperor Justinian yang memerintah Constantinople ketika itu dan satu pihak lagi menentang baginda. Untuk mendamaikan kedua-dua pihak, Emperor Justinian telah menghantar seorang wakil menjadi orang tengah bagi mendamaikan kedua-dua pihak. Walau bagaimanapun, orang tengah ini tidak disukai oleh kedua-dua pihak yang bertelagah, menjadikan Emperor Justinian tidak lagi dihormati.

Menyedari pengaruh baginda semakin berkurangan di kalangan penduduk Constantinople, Emperor Justinian membuat pengumuman bahawa baginda akan turun takhta. Kedua-dua pihak yang bertelagah datang berkumpul di Hippodrome dengan harapan pemerintah baru akan dilantik di kalangan mereka.

Rupa-rupanya, tindakan Emperor Justinian hanyalah satu helah untuk menghapuskan mereka yang menentang baginda. Setelah Hippodrome dipenuhi dengan kedua-dua pihak, Justinian mengarahkan pintu-pintu Hippodrome dikunci dan tentera-tentera beliau membunuh semua orang yang berada di sana. Pembunuhan beramai-ramai ini menyebabkan 30,000 dari sejumlah 150,000 penduduk kota Constantinople ketika itu terbunuh. Baginda kemudiannya membangunkan Gereja Hagia Sophia sebagai tanda bertaubat di atas perbuatan baginda melaksanakan pembunuhan beramai-ramai itu.

Hippodrome kini hanyalah sebuah dataran lapang yang luas. Bangunan stadium ini telah lama roboh dan yang tinggal kini hanyalah Column of Theodosius, The Serpentine Column dan Column of Constantine yang dulunya terletak di tengah-tengah gelanggang, tempat chariot-chariot ini berpusing dalam perlumbaan.

Tinggalan di Hippodrome: Column of Theodosius (belakang) dan The Serpentine Column (di hadapan, yang dikelilingi dengan pagar)
Hippodrome tidak lagi digunakan sewaktu pemerintahan Ottoman dan banyak bangunan-bangunan baru didirikan di sekitarnya. Kedalaman tambakan untuk binaan berbanding aras asal Hippodrome dapat dilihat pada dasar Serpent Column ini.
Kumpulan kami mendengar dengan begitu teliti akan penerangan yang diberikan oleh Sinan tentang sejarah Hippodrome.
Di penghujung Hippodrome berdiri megah sebuah pancutan air berkubah yang dinamakan German Fountain. Fountain ini dihadiahkan oleh seorang Raja Jerman, Emperor Wilhelm II sebagai tanda persahabatan beliau dengan Kerajaan Ottoman.

German Fountain di Hippodrome
Cuaca yang terang-benderang bertukar mendung dengan disertai hujan sewaktu kami berada di Hippodrome. Atas cadangan Sinan, kumpulan kami beredar ke Masjid Biru yang berhampiran untuk berlindung. Dia bercadang untuk membawa kami melawat Masjid Biru sementara menunggu hujan reda. Tapi, memandangkan barisan pengunjung yang ingin masuk ke Masjid Biru sangat panjang ketika itu, Sinan menukar fikiran dan membawa kami melawat ke Hagia Sophia.

Langit tak selalu cerah.... Hujan turun dengan tiba-tiba sewaktu kami berada di Hippodrome.
Berlindung sebentar di Courtyard Masjid Biru yang terletak betul-betul bersebelahan dengan Hippodrome sebelum bergerak ke Hagia Sophia.

Part 12: Hagia Sophia 

Hagia Sophia pada asalnya adalah sebuah gereja yang dibangunkan oleh Emperor Justinian bagi menebus dosa beliau melakukan pembunuhan beramai-ramai penduduk Constantinople yang menentang beliau di Hippodrome. Setelah Constantinople ditawan tentera Ottoman yang menukarkan nama kota tersebut kepada Islambol (yang kemudiannya disebut Istanbul), gereja ini ditukar fungsinya menjadi sebuah Masjid. Namun namanya masih dikekalkan sebagai Hagia Sophia yang bermaksud Holy Wisdom.

Hagia Sophia
Mujur ada disposable raincoat yang dibawa dari Malaysia. Jadi, boleh jugaklah tersenyum waktu berjalan dari Masjid Biru ke Hagia Sophia di dalam hujan.
Hagia Sophia dan Masjid Biru dibina bertentangan, dan senibinanya dari luar hampir-hampir sama dan sukar untuk dibezakan.

Oleh kerana pada asalnya Hagia Sophia dibangunkan sebagai sebuah gereja, ciri-ciri gerejanya sangat ketara, terutama di galeri luar sebaik masuk ke dalam bangunan.

Galeri luar Hagia Sophia yang suasana di sini bagaikan melangkah masuk ke sebuah gereja.
Hiasan di siling galeri luar Hagia Sophia
Sewaktu Hagia Sophia berfungsi sebagai sebuah masjid di zaman pemerintahan Kerajaan Ottoman, lukisan-lukisan Kristian yang terdapat pada seluruh bangunan telah ditampal dengan plaster. Namun demikian, Presiden Republik Turki yang pertama, Mustafa Kemal Ataturk telah menukarkan masjid ini menjadi sebuah muzium dan mengarahkan supaya plaster yang menutupi lukisan ini ditanggalkan untuk menunjukkan ciri gerejanya yang sebenar.

Pemandangan di Dewan Utama Hagia Sophia. Sebahagian dewan ini sedang ditutup ketika itu untuk kerja-kerja baikpulih.
Pemandangan siling di Dewan Utama Hagia Sophia.
Lukisan gambaran malaikat mengikut agama Kristian pada siling Hagia Sophia.
Lukisan Virgin Mary dan Jesus Christ yang dikembalikan sewaktu Hagia Sophia ditukarkan fungsi menjadi muzium.
Omphalion - di sinilah upacara pertabalan Raja-raja Roman Byzantine dilaksanakan pada masa dahulu.
Sewaktu dibina sebagai sebuah gereja Kristian, bangunan Hagia Sophia dibuat menghadap ke Jerusalem. Kerana itulah Mihrab Hagia Sophia senget 6 darjah kerana kedudukan Makkah dan Jerusalem berbeza sejauh 6 darjah.
Mengikut kepercayaan Kristian, wajah malaikat dilindungi oleh kepak kerana tidak tahan dengan cahaya Tuhan yang sangat terang-benderang.
Perpustakaan Sultan Mahmud I di dalam Hagia Sophia
Tangga kayu yang digunakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan bangunan Hagia Sophia pada masa dahulu.
Selepas puas melawat di tingkat bawah, kami turut meninjau Hagia Sophia dari tingkat atas. Walaupun hanya dua tingkat, bangunan tua ini sangat tinggi.

Mujurlah arkitek yang membina Hagia Sophia ini bijak orangnya. Tiada tangga disediakan untuk naik ke tingkat atas, hanya ramp yang bercerun landai yang dibina dari batu seperti yang terdapat di jalan-jalan di kawasan tua Istanbul. Hasilnya, bangunan ini dapat dinaiki dengan mudah sekalipun oleh pengunjung moden yang menggunakan kerusi roda pada hari ini.

Namun demikian, disebabkan ketinggiannya dan ruang mendaki yang terhad, ramp ini dibina berlingkar-lingkar dan hampir pening kepala kita berpusing-pusing dalam ramp sehingga kita akhirnya tiba di tingkat atas.

Pintu masuk ke ramp untuk naik ke tingkat atas.
Pemandangan dalam ramp untuk naik ke tingkat atas.
Lantai ramp - sama dengan jalan-jalan di kota lama Istanbul.
Pada masa dahulu, agama Kristian tidak membenarkan wanita beribadat bersama kaum lelaki di gereja. Kerana itulah galeri di tingkat atas Hagia Sophia ini dinamakan Empress Lodge, kerana dari sinilah isteri Maharaja Roman Byzantine akan menyertai upacara-upacara yang diadakan di gereja.

Empress Lodge di tingkat atas Hagia Sophia.
Pemandangan dari Empress Lodge. Sewaktu berfungsi sebagai masjid, Hagia Sophia dihiasi dengan nama-nama Allah swt, Nabi Muhammad saw, keempat-empat khalifah: Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali serta nama 2 cucu Nabi Muhammad saw: Hassan dan Hussin yang masih dapat dilihat pada hari ini.
Lukisan Kristian di Empress Lodge. Sebahagian besar lukisan ini telah rosak dimamah usia.
Satu lagi lukisan agama Kristian yang terdapat di Empress Lodge. Ia menggambarkan Emperor Justinian dan isterinya sedang menderma kepada gereja.
Suasana di dalam Hagia Sophia gelap dan anda memang memerlukan kamera yang canggih untuk mengambil gambar yang cantik di dalamnya. Untuk mereka yang tak punya kamera canggih, boleh menangkap gambar dari poster-poster yang disirami cahaya lampu seperti ini yang diletakkan di merata tempat di Hagia Sophia untuk kenangan.
Ramp untuk turun ke bawah bangunan Hagia Sophia adalah berasingan dari ramp naik ke atas.
Kedai cenderamata di penghujung ramp turun ke bawah.
Pemandangan di luar bangunan Hagia Sophia
Kesan-kesan runtuhan Hippodrome di perkarangan Hagia Sophia
Hujan masih turun sewaktu kami meninggalkan Hagia Sophia

Part 13: Gordes Carpet 

Hujan masih renyai sewaktu kami meninggalkan Hagia Sophia. Untuk menghabiskan waktu sambil menunggu hujan reda, Sinan membawa kami ke sebuah gedung permaidani yang terletak tidak begitu jauh dari Hagia Sophia yang bernama Gordes Carpets.

Gordes Carpets
Dewan penerangan Gordes Carpets
Sewaktu di sini, kami dilayan sendiri oleh pemilik gedung ini yang bernama Sayid. Di sini, kami ditunjukkan demonstrasi penghasilan permaidani Turki yang teknik pembuatannya berbeza dengan permaidani-permaidani lain yang dihasilkan di negara jiran seperti Iran dan Mesir.

Demonstrasi pembuatan permaidani oleh Sayid dan pekerjanya.
Demonstrasi memintal benang untuk dijadikan corak permaidani
Pekerja pembuat permaidani dibayar mengikut kualiti dan bilangan corak benang yang dipintal setiap hari.
Semua permaidani yang dijual di Gordes adalah permaidani buatan tangan yang dipintal dari benang sutera. Permaidani-permaidani di Gordes mengambil masa antara 6 sehingga 14 bulan untuk dihasilkan berdasarkan saiz mereka. Setiap satunya juga mempunyai corak yang tersendiri. Menurut Sayid, generasi baru kini yang tidak mempunyai kesabaran untuk duduk berjam-jam memintal benang membuat permaidani juga menjadi faktor pembuatan permaidani menjadi kesenian yang semakin pupus.

Permaidani yang diperbuat dari benang sutera asli akan bersinar dengan terang di dalam cahaya gelap.
Sayid juga memberitahu, penghasilan permaidani Turki adalah kesenian yang dijangka akan pupus tidak lama lagi bila negara Turki menjadi sebahagian daripada European Union (EU). Ini adalah kerana bila Turki menjadi sebahagian dari EU, ia terikat dengan kos gaji minima yang ditetapkan oleh EU dan ini pasti meningkatkan kos penghasilan permaidani sehingga tidak lagi mampu ditanggung oleh pengusaha-pengusaha tempatan.

Kami juga dihidangkan dengan Apple Tea di sini. Semenjak dari itu, Apple Tea menjadi antara minuman favourite kami di Istanbul selain jus delima dan limonata (lemonade).
Antara permaidani yang dijual di Gordes Carpets
Porselin buatan tangan turut dijual di Gordes.

Part 14: Grand Bazaar 

Grand Bazaar adalah antara tarikan pelancong utama di Istanbul. Ia adalah salah sebuah pasar tertutup yang terbesar di dunia. Terdapat 16 lorong dan lebih 3,000 kedai persendirian di dalamnya.


Berjalan kaki dari Gordes Carpets ke Grand Bazaar
Sebelum tiba di Grand Bazaar, kami melalui sebuah masjid lama yang bernama Nuruosmaniye Mosque.

Ingatkan ini pintu Grand Bazaar.. Rupa-rupanya pintu masuk ke Masjid Nuruosmaniye yang terletak betul-betul di luar Pintu No.1 Grand Bazaar.
Masjid ini masih aktif digunakan sehingga sekarang.
Husband pantang jumpa kucing yang minta dimanja.... Mesti nak pegang.
Kami masuk ke Grand Bazaar melalui Pintu No. 1. Tak tahulah berapa banyak sebenarnya pintu masuk ke Grand Bazaar ni.

Pintu No.1 Grand Bazaar
Pemandangan di dalam Grand Bazaar sebaik masuk menerusi pintu No.1
Fakta-fakta sejarah mengenai Grand Bazaar tertera di siling sepanjang laluan Grand Bazaar. Pada asalnya setiap lorong dipenuhi dengan kedai-kedai yang menjual barangan yang sama. Tapi kini, ia tidak lagi begitu.
Dalam Grand Bazaar ada banyak lorong yang bersimpang-siur (dan berbukit-bukit yang sangat curam macam di luar sana). Disebabkan kami takut tersesat, kami cuma berjalan lurus ke depan.
Mungkin disebabkan ramai orang Malaysia pernah berkunjung di sini, pekedai-pekedai di sini cukup kenal dengan orang Malaysia seperti kami. Tapi ramai juga yang confuse membezakan antara orang Malaysia/Indonesia.
Kami diberitahu ada sebuah masjid di dalam Grand Bazaar ini, tapi tak nampaklah pulak kat mana. Yang kami jumpa cuma fountain ini yang digunakan oleh pekedai dan orang awam untuk mengambil wuduk.
Kami tak membeli apa-apa di Grand Bazaar, cuma berjalan lurus terus ke depan sambil memerhati suasana keliling. Sedar-sedar dah sampai ke Pintu No.7.
Suasana di luar Pintu No.7
Pemandangan dari luar Pintu No.7
Polis wanita yang berkawal di Pintu No.7
Berjalan balik semula mengarah ke Pintu No.1
Sayang kami tak punya banyak masa di sini. Kalau tidak, mungkin habis satu Grand Bazaar ni kami ronda.
Keluar dari Pintu No.1 Grand Bazaar.


Bersambung ke Bahagian 5...


CATATAN PERJALANAN TURKEY (2014):