Saturday 9 August 2014

2014 TURKEY BHG. 07 (Bosphorus Cruise)

Ogos 2014

TURKEY
Istanbul dan Sanliurfa

Bahagian 7: Bosphorus Cruise
EMINONU & BOSPHORUS CRUISE

Part 23: Eminönü 

Program selepas makan tengahari adalah menaiki Bosphorus Cruise dari kawasan yang dinamakan Eminönü. Selain kami, cruise ini disertai oleh dua buah keluarga dari Amerika Syarikat dan seorang pelancong solo yang datang dari Thailand.

Eminönü adalah sebuah daerah di kawasan Old Istanbul. Di sinilah letaknya Spice Bazaar yang terkenal di Istanbul. Nama sebenar Spice Bazaar yang menjual pelbagai jenis rempah yang digunakan dalam masakan Turki ialah Egyptian Market kerana ia dibina menggunakan hasil kutipan cukai dari wilayah Egypt di masa pemerintahan Ottoman.

Spice Bazaar yang juga dikenali sebagai Egyptian Bazaar.
Malang sekali, Spice Bazaar ditutup pada hari itu kerana Pilihanraya Presiden Turki
Malang sekali, Spice Bazaar ditutup sewaktu kami berkunjung ke sana disebabkan hari itu adalah Hari Pilihanraya Presiden Turki. Sebagai ganti, Ali membawa kami ke sebuah kedai menjual rempah ratus yang dinamakan Istanbul Gourmet yang terletak bersebelahan dengan Spice Bazaar.

Istanbul Gourmet
Pelbagai rempah ratus yang dijual di Istanbul Gourmet.
Berdekatan dengan Spice Bazaar ini juga terdapat sebuah masjid yang dinamakan New Mosque (disebut Yeni Camii dalam Bahasa Turki). Masjid ini dibina pada tahun 1660, dan merupakan masjid terbaru dibina pada masa itu. Namun begitu, nama New Mosque terus melekat pada masjid ini sehinggalah ke hari ini.

New Mosque yang dibina pada tahun 1660.

Part 24: Bosphorus Cruise

Akhirnya, tibalah masa yang ditunggu ~ menaiki cruise di Selat Bosphorus. Kami memulakan cruise ini dari jeti di Eminönü.


Terowong yang menghubungkan Spice Bazaar dengan Jeti Eminönü.
Menunggu Ali membelikan tiket cruise.
Pemandangan unik di Jeti Eminönü.
Bot ini sebenarnya adalah sebuah restoran yang menjual teh Turki (Turkish Chay)
Kami menaiki cruise yang dikendalikan oleh syarikat Turyol. Cruise ini memakan masa satu setengah jam dan sangat menarik pada pandangan Myself.

Menaiki bot cruise di Jeti Eminönü.
Pemandangan di dalam bot cruise.
Pemandangan Galata Bridge dari atas bot di Jeti Eminönü. Jambatan ini dibina dua tingkat. Tingkat atas adalah jalanraya yang menghubungkan Old Istanbul dan New Istanbul. Tingkat bawahnya pula terdiri dari restoran-restoran yang kebanyakannya menjual menu ikan bakar.
Petugas di atas bot ini menjual makanan dan minuman dalam beberapa pusingan sepanjang cruise. Dalam Round Pertama ini, dia menjual fresh orange juice kepada penumpang.
Istanbul adalah sebuah port-of-call yang penting bagi kapal-kapal persiaran yang berlayar mengelilingi Laut Mediterranean. Di sinilah buat pertama kali dalam hidup Myself melihat kapal-kapal persiaran yang sangat besar secara dekat sedang berlabuh di pelabuhan.

Kapal-kapal persiaran yang besar sedang berlabuh di Istanbul Cruise Terminal.
Kapal ini jauh lebih tinggi dari kebanyakan bangunan di Istanbul. Dari dekat, ia memang benar-benar bagaikan hotel yang terapung di lautan.
Nampak tak penumpang kapal yang sedang bersantai di balkoni kabinnya tu?
Kapal penumpang Queen Elizabeth yang terkenal itu pun dapat kami lihat sedang berlabuh di Istanbul. Kapal ini berlayar ke Istanbul dari England.
Pandangan dekat kapal persiaran Queen Elizabeth.
Bosphorus Cruise juga membawa kami melalui beberapa mercu tanda Istanbul yang terletak di sepanjang Selat Bosphorus. Antara yang dilalui ialah Dolmabahçe Palace. Kami berkesempatan melawat istana ini dan pengalaman ini akan Myself ceritakan dalam satu entry nanti.

Nama sebenar Masjid Dolmabahçe Palace ini ialah Bezmi Alem Walide Mosque, sempena nama pembinanya iaitu bonda kepada Sultan yang membina istana ini.
Pemandangan Dolmabahçe Palace dari Selat Bosphorus. Presiden Turki yang pertama, Mustafa Kemal Ataturk juga pernah tinggal di istana ini selepas menggulingkan Kerajaan Ottoman dan menubuhkan Republik Turki.
Lupa pulak nak cerita yang istana-istana yang cantik di Istanbul seperti Dolmabahçe Palace ini dibina menggunakan batu marmar. Peralatan moden untuk memotong batu tidak ada pada masa tersebut. Makanya, batu-batu marmar ini dipotong menggunakan benang sutera. 

Disebabkan kami pernah berkunjung ke China dan melihat demonstrasi kekuatan benang sutera sewaktu di sana, kami percaya yang benang sutera benar-benar boleh memotong batu marmar ini mengikut bentuk-bentuk yang diingini. Untuk pengetahuan anda, benang sutera adalah bahan yang kedua terkuat di dunia selepas berlian.

Sebuah bot cruise lain yang melintasi bot kami.
Petugas di dalam bot cruise ini menjual Turkish Tea dalam Round Kedua jualannya.
Tidak jauh dari Dolmabahçe Palace, ada sebuah istana lagi yang dinamakan Çırağan Palace (disebut Sher-wan Palace). Istana ini dipajak dari Kerajaan Turki dan berfungsi sebagai sebuah hotel mewah sekarang.

Çırağan Palace yang kini berfungsi sebagai sebuah hotel mewah.
Bandaraya Istanbul juga mempunyai banyak universiti. Salah sebuah di antaranya, Galatasaray University terletak betul-betul di tepi Selat Bosphorus.

Galatasaray University
Masjid Ortaköy terletak betul-betul di bawah Jambatan Bosphorus yang menghubungkan Istanbul Asia dan Istanbul Eropah.

Pemandangan Masjid Ortaköy dengan berlatar belakangkan Bosphorus Bridge.
Round ketiga jualan - masih menjual Turkish Tea kerana banyak permintaannya. Dalam Round Keempat, dia menjual roti dan snacks pula.
Pemandangan dekat Masjid Ortaköy
Selepas melintasi Bosphorus Bridge, kami bertemu pula dengan pulau buatan manusia yang dinamakan Galatasaray Island. Pulau ini adalah sebuah pusat hiburan eksklusif yang mengenakan bayaran 70 Turkish Lira (RM 140) untuk masuk berhibur di dalamnya. Antara kemudahan yang terdapat di sini ialah kelab malam dan kolam renang terbuka.

Galatasaray Island
Bersantai di kolam renang Galatasaray Island
Suhu musim panas di Istanbul ketika kami berada di sana adalah sekitar 34 Celcius, memang panas sekali. Kerana itulah di mana-mana juga di tepian laut di Istanbul, ramai penduduknya yang terjun ke laut untuk berenang sambil menyejukkan badan.

Selepas gambar ini diambil, anjing yang di dalam gambar ini juga turut terjun ke dalam laut untuk berenang bersama tuannya.
Bersantai di tepi Selat Bosphorus.
Bosphorus Cruise membawa kami sehingga ke sebuah kota lama yang dinamakan Rumeli Fortress. Kota ini dibina oleh Sultan Mehmed II yang merampas Istanbul dari kekuasaan Roman Byzantine untuk mengawal pergerakan kapal dari Selat Bosphorus ke Laut Hitam.

Rumeli Fortress yang besar dan hebat ini dibina oleh Sultan Mehmed II dalam tempoh hanya 4 bulan 16 hari.
Pemandangan Rumeli Fortress dari dekat.
Jambatan kedua yang merentasi Selat Bosphorus dibina berdekatan dengan Rumeli Fortress. Ia dinamakan Fatih Sultan Mehmet Bridge.

Pemandangan lebih dekat Fatih Sultan Mehmet Bridge, jambatan kedua yang merentasi Selat Bosphorus di Istanbul.
Bosphorus Cruise berpatah balik ke Eminönü di sini dan mula merapat ke sebelah Istanbul Asia. Walaupun tanah di kiri dan kanan Selat Bosphorus adalah sebahagian dari negara Turki, Selat Bosphorus adalah perairan antarabangsa kerana ia merupakan satu-satunya laluan untuk ke Laut Hitam yang dikongsi oleh berbagai negara seperti Rusia, Bulgaria, Romania, Ukraine dan Iran.

Seperti penduduk-penduduk di sebelah Istanbul Eropah, penduduk di Istanbul Asia juga berenang di laut untuk menyejukkan badan dalam musim panas di Istanbul.
Pemandangan perumahan mewah di tepi Selat Bosphorus di Istanbul Asia yang berlatar belakangkan kembar Kota Rumeli di sebelah Asia. Kota Rumeli di sebelah Asia ini jauh lebih kecil dari Kota Rumeli di sebelah Eropah.
Kolej Tentera di Istanbul Asia.
Pemandangan dari Selat Bosphorus Beylerbeyi Palace yang kami kunjungi pada pagi tadi.
Bosphorus Bridge - jambatan pertama yang dibina menghubungkan Istanbul Asia dan Eropah berdekatan Beylerbeyi Palace.
Kami kemudiannya melintasi Maiden Tower yang dibina di atas sebuah pulau di tengah-tengah Selat Bosphorus. Maiden Tower ini pernah berfungsi sebagai rumah api pada masa dahulu. Namun demikian, ia lebih popular dengan lagenda yang dikaitkan dengan pembinaannya.

Mengikut lagenda, seorang saudagar yang kaya telah bermimpi bahawa puteri kesayangannya akan mati digigit ular. Terganggu dengan mimpi tersebut, beliau membina Maiden Tower dan menempatkan puterinya di sana untuk mengelakkan beliau dari digigit ular yang dikatakan banyak terdapat di Istanbul ketika itu. Seorang pelayan lelaki ditugaskan untuk membawa makanan kepada puteri tersebut setiap hari. Namun tanpa disedari, seekor ular berjaya menyelinap masuk ke dalam bakul makanan pelayan tadi untuk sang puteri. Bila puteri membuka bakul tersebut, dia mati dipatuk sang ular. Kesimpulannya, tak siapa boleh melawan takdir mereka yang ditentukan oleh Tuhan.

Maiden's Tower
Rumah api di Maiden Tower ini kini telah menjadi sebuah restoran.
Perjalanan cruise kami berakhir bila bot kami tiba semula di Jeti Eminönü. Dari sini, semua ahli kumpulan kami dihantar kembali ke hotel masing-masing.

Pemandangan New Mosque di Eminönü dari laut. Rata-rata, masjid-masjid besar di Istanbul mempunyai rekabentuk yang hampir sama menyebabkan kita sangat mudah keliru dengan nama mereka.
Pemandangan Jeti Eminönü dari laut.


Bersambung ke Bahagian 8..


CATATAN PERJALANAN TURKEY (2014):