Monday 30 June 2014

2014 BALI 2nd VISIT BHG. 04 (Kuta Beach & Legian)

Jun 2014 

BALI, INDONESIA (2nd Visit)

Bahagian 4: KUTA BEACH, LEGIAN & PULANG 

HARI KEEMPAT

Part 23: Kuta Beach

Hotel penginapan kami, Best Western Hotel terletak hanya 10 minit berjalan kaki ke Pantai Kuta. Namun demikian, kami hanya berkesempatan berkunjung ke Pantai Kuta pada hari ketiga dan keempat sahaja.

Kalau sewaktu berkunjung ke Yogyakarta dulu kami memahami maksud sebenar perumpamaan "Bagai Padang Jarak Padang Terkukur" sewaktu melihat kawasan perkampungan yang dimusnahkan oleh gunung berapi Merapi, di Bali pula kami memahami maksud sebenar perumpamaan "Bagai Ombak Menghempas Pantai". Ombak di Pantai Kuta sangat kuat sehingga membolehkan pengunjung bermain luncur ombak (surfing) di sini. 

Kumpulan peluncur ombak dari Korea ini sedang bersiap-sedia untuk pergi surfing.
Mengekori peluncur-peluncur ombak ke Pantai Kuta
Ada beberapa pantai yang sesuai untuk bermain surfing di Bali. Peluncur ini mungkin hendak pergi surfing di pantai yang jauh dari Kuta.
Ada beberapa pintu masuk ke Pantai Kuta. Ini adalah pintu yang paling dekat dengan hotel kami.
Pemandangan awal pagi di Pantai Kuta
Pemandangan Pantai Kuta menghala ke arah Legian
Ombak sangat kuat pada hari ini. Oleh itu bendera merah dipasang di Pantai Kuta sebagai amaran supaya tidak berenang di sini.
Pemandangan matahari terbit di Pantai Kuta
Pengunjung Pantai Kuta yang datang dari seluruh dunia
Ombak yang tinggi dan bergulung ini sangat sesuai untuk meluncur ombak. Rasa macam melancong ke Hawaii pulak bila melihat ombak begini.
Bersantai di Pantai Kuta
Selfie di Pantai Kuta
Berjogging di Pantai Kuta
Setiap pagi ada banyak anjing bermain di Pantai Kuta, tetapi kita tidak perlu bimbang kerana mereka semua menemani tuan masing-masing melakukan pelbagai aktiviti di sini.
Melihat surfers bermain ombak di Pantai Kuta
Peluncur-peluncur berenang jauh ke tengah lautan mencari ombak yang sesuai untuk bermain surfing.
Memang seronok melihat aksi peluncur ombak profesional di Pantai Kuta yang sebahagian besar mereka datang dari Australia dan Jepun.
Belajar surfing di Pantai Kuta.
Peluncur-peluncur profesional dari Jepun.
Inilah rahsia kenapa peluncur-peluncur ombak tak pernah kehilangan surfboard mereka bila dipukul ombak kuat ~ surfboard sebenarnya diikat kepada kaki mereka.
Instructor surfing di Pantai Kuta
Nampak macam adegan dalam Baywatch pulak.
Airport Ngurah Rai terletak di hujung Pantai Kuta di seberang sana.
Bermain ombak dengan berlatar belakangkan pesawat Air Asia yang hendak mendarat.

Part 24: Monumen Pengeboman Bali 

Pengeboman Bali berlaku pada 12 Oktober 2002 di Kuta, mengorbankan 202 orang dan mencederakan 240 yang lain, yang kebanyakannya merupakan pelancong asing. Dalam perjalanan menuju ke Airport untuk pulang ke Malaysia, Pak Wayan membawa kami singgah di Monumen Pengeboman Bali yang terletak di Jalan Legian.

Pemandangan di Jalan Legian, tempat berlakunya peristiwa pengeboman Bali pada tahun 2002.
Jalan Legian sangat happening dan menjadi tumpuan pelancong Barat kerana di sini banyak terdapat kelab-kelab hiburan.
Jalan Legian menjadi tumpuan pelancong-pelancong Barat terutamanya dari Australia kerana di sini terdapat banyak kelab-kelab hiburan. Kata Pak Wayan, berdasarkan pengalaman beliau, orang-orang Australia sangat gemar pergi clubbing kalau berkunjung ke Bali. Ini sangat berbeza dengan pelancong-pelancong yang datang dari Malaysia yang lebih suka bersiar-siar di Bali. Tak kiralah apa juga keturunan pelancong yang datang dari Malaysia, jarang sekali mereka berkunjung ke kelab-kelab hiburan seperti pelancong Australia.

Kedai Tattoo milik orang Australia di Jalan Legian
Pada 12 Oktober 2002 pukul 11.30 malam sewaktu kelab-kelab hiburan sedang memulakan perniagaan, seorang pengebom berani mati telah masuk ke Paddy's Pub dan meletupkan bom yang dibawa di dalam backpack yang dibawanya. Letupan tersebut menyebabkan para pelanggan meluru keluar dari kelab tersebut dalam usaha menyelamatkan diri. 

Beberapa saat kemudian, ketika orang ramai sedang berada dalam keadaan terpinga-pinga, sebuah bom yang lebih kuat yang disembunyikan di dalam sebuah kenderaan yang diletakkan di Jalan Legian diletupkan oleh seorang lagi pengebom berani mati. Ledakan kedua inilah yang mengorbankan banyak nyawa di luar Sari Club. 

Kesan kemusnahan letupan bom kenderaan ini sangat dahsyat sehingga beberapa buah bangunan di sekitar kawasan kejadian mengalami kerosakan teruk dan tingkap-tingkap bangunan di sekitar turut pecah. Ledakan ini juga meninggalkan kawah sedalam 1 meter di tengah Jalan Legian.

Monumen Pengeboman Bali 2002 di Jalan Legian, Kuta
Tapak Monumen ini adalah bekas Paddy's Bar yang musnah dalam kejadian Pengeboman Bali 2002
Nama-nama korban kejadian pengeboman Bali yang diabadikan di Monumen ini. Sebahagian besar mangsa adalah rakyat Australia yang merupakan pengunjung-pengunjung bar dan rakyat Indonesia sendiri yang kebanyakan mereka bekerja di Paddy's Bar.
Gambar 2 orang mangsa pengeboman yang diletakkan di Monumen ini.
Di tengah jalan inilah sebuah bom yang lebih besar diletakkan di dalam kenderaan dan diletupkan sehingga meninggalkan kawah sedalam 1 meter.
Tanah lapang ini adalah bekas Kelab Sari yang juga musnah dalam kejadian bom.
Kawasan pengeboman ini kini lebih dikenali sebagai Ground Zero.
Husband bergambar kenangan bersama Pak Wayan di pintu masuk ke monumen.
Kata Pak Wayan, seluruh kawasan ini terjejas teruk dalam kejadian bom tersebut. Anggota-anggota badan manusia yang terkorban berkecai dan bersepah di serata tempat dan mengambil masa hampir setahun untuk dipulihkan.

Kerajaan Indonesia mengadakan upacara untuk memperingati mangsa-mangsa yang terkorban dalam serangan bom ini sehingga tahun 2012 (ulangtahun pengeboman yang ke-10). Upacara ini kini tidak lagi diadakan kerana ramai anggota keluarga mangsa yang terlibat tidak mahu lagi mengingati peristiwa sedih tersebut.

Kawasan sekitar Ground Zero juga kini telah pulih sepenuhnya dan dipenuhi dengan pelbagai pusat hiburan yang digemari oleh pelancong-pelancong khususnya dari Barat.

Kelab-kelab hiburan baru kini banyak muncul di sekitar kawasan Ground Zero.

Part 25: Patung Satria Gatotkaca 

Sebelum kenderaan kami masuk ke perkarangan Bandara Ngurah Rai, Pak Wayan dan Pak Agung membawa kami singgah di Patung Satria Gatotkaca. Patung ini terletak betul-betul di luar pintu masuk ke Lapangan Terbang.

Patung Satria Gatotkaca di luar pintu masuk ke Ngurah Rai Airport
Patung ini menggambarkan Gatotkaca sedang bertempur melawan Adipati Karna yang tengah mengenderai kereta kuda sambil membidik senjata. 

Patung ini menggambarkan Satria Gatotkaca sedang berperang dengan Adipati Karna
Tidak jauh dari patung ini, Pak Wayan menunjukkan kepada kami satu lagi bukti toleransi agama yang tinggi di Bali di mana sebuah masjid, gereja dan kuil Hindu dibina bersebelahan satu sama lain dan berkongsi pagar yang sama.

Gereja, masjid dan kuil Hindu yang dibina bersebelahan satu sama lain dan berkongsi kawasan pagar yang sama berhampiran Patung Satria Gatotkaca.

Part 26: Pulang

Penerbangan pulang kami ke Kuala Lumpur adalah dengan pesawat Penerbangan Malaysia MH 714 yang dijadualkan berlepas dari Bali pada pukul 12.50 tengahari.

Lapangan Terbang Ngurah Rai
Tempat letak kereta di Lapangan Terbang Ngurah Rai mengambil ilham dari teres-teres padi di Bali.
Bangunan Terminal Antarabangsa Lapangan Terbang Ngurah Rai
Pak Wayan hanya dapat menghantar kami sehingga ke sini. Semoga berjumpa lagi di satu hari nanti.
Pada awal pagi tadi, kami telah mendapat SMS dari travel agent di Malaysia yang memaklumkan pesawat pulang kami mengalami kelewatan 45 minit. Namun begitu, pada monitor Airport tidak pula dinyatakan kelambatan ini. Walau bagaimanapun, bila kami bertanya kepada pegawai MAS di kaunter Check-in, mereka mengesahkan maklumat yang kami terima.

Oleh kerana pesawat MH714 mengalami kelewatan selama 45 minit, pegawai di Kaunter Check-in tak dapat memastikan nombor Gate Pelepasan kami. Kenalah rajin-rajin kami refer ke monitor Airport untuk maklumat terkini.
Kaunter pembayaran Airport Tax sebanyak IDR 200,000 (RM56). Tak tahu mengapa Airport Tax ini tidak disekalikan dengan tiket dalam setiap penerbangan keluar-masuk ke Indonesia.
Semua penumpang "diwajibkan" untuk melalui Kedai Duty Free ini untuk pergi ke Gate Perlepasan.
Disebabkan pesawat kami mengalami kelewatan, kami mencari sandwich untuk melapik perut sehingga pesawat tiba. Mujurlah makanan Halal kini cukup mudah didapati di Bali berbanding kunjungan kami ke sini dulu.

Simple Lunch di Airport Bali
Makanan tengahari untuk melapik perut sementara menunggu pesawat tiba.
Pesawat Malaysia Airlines tiba di Bali dari Kuala Lumpur. Selepas penumpang-penumpang turun, kami dibenarkan masuk ke dalam pesawat.
Berjalan masuk ke dalam pesawat
Seperti juga perjalanan datang dulu, pesawat pulang ini juga dipenuhi dengan ramai warga asing. Kalau masa datang dulu majoriti penumpang adalah Mat Salleh, kali ini majoriti penumpang nampaknya datang dari India. Pesawat kami berlepas dari Bali pulang ke Kuala Lumpur pada pukul 2.00 petang. Cuaca sangat baik sepanjang perjalanan selama 3 jam ini.

Menunggu giliran untuk terbang pulang ke Malaysia
Pemandangan di dalam Malaysia Airlines MH714. Seperti penerbangan datang dulu, sebahagian besar penumpang adalah warganegara asing.
Bila ramai warga India dalam penerbangan, banyaklah permintaan Special Meal yang perlu ditangani oleh anak kapal. Jadi lewatlah sikit kami mendapat makanan dalam penerbangan pulang ini.

Peramugari Malaysia Airlines yang begitu profesional melayan penumpang dalam penerbangan ini.
Sajian penerbangan dalam perjalanan pulang - Chicken Lasagna yang sangat sedap.
Cuaca sangat baik sepanjang penerbangan pulang.
Pesawat kami akhirnya tiba di KLIA pada jam 5.00 petang, lewat sejam dari jadual. Alhamdulillah, Home Sweet Home!

Selamat tiba di KLIA
Penumpang bersiap-sedia untuk keluar dari pesawat.


CATATAN PERJALANAN BALI 2nd VISIT (2014):

CATATAN PERJALANAN LAIN (INDONESIA)