Sunday, 22 May 2022

2022 BATU GAJAH BHG. 01 (Pekan Batu Gajah)

Mei 2022

PERAK, MALAYSIA
Batu Gajah

Bahagian 1: Batu Gajah 1
PEKAN BATU GAJAH

Dah banyak bercerita tentang tempat-tempat menarik di Malaysia dan overseas yang pernah kami kunjungi, tak pernah pun buat entry tentang kampung halaman Myself. Jadi di kesempatan ini sementara belum ada tempat baru yang Myself dan Husband kunjungi, Myself nak bercerita tentang kampung halaman Myself ~ Batu Gajah di negeri Perak Darul Ridzuan.

Peta lokasi Batu Gajah di negeri Perak
Pada yang tak tahu di mana letaknya Batu Gajah, bandar ini terletak kira-kira 20 km di selatan bandaraya Ipoh. Kalau berkunjung ke Batu Gajah dari arah selatan menggunakan Lebuhraya PLUS, kena keluar di exit Gopeng. Kalau menggunakan PLUS dari arah utara pula, kena keluar di Simpang Pulai.

Selamat Datang Ke Batu Gajah
Jika Selangor dan Kuala Lumpur berbangga dengan adanya Lembah Klang yang makmur, negeri Perak pula berbangga dengan adanya Lembah Kinta. Bersama Bandaraya Ipoh dan Kampar, Batu Gajah juga terletak di dalam Lembah Kinta di Negeri Perak. Disebabkan kedudukannya yang tidak begitu jauh dari Ipoh, Batu Gajah sering dianggap berkembar dengan Ipoh. Malah sewaktu Ipoh dinaiktaf menjadi bandaraya pada tahun 1988, penduduk Batu Gajah bimbang jika kami juga dimasukkan menjadi sebahagian dari bandaraya itu. Maklum sajalah, kalau dah jadi bandaraya memang tinggilah cukai yang kena dibayar. Sehingga kini ada ramai penduduk di sekitar Batu Gajah yang berulang-alik setiap hari bekerja di bandaraya Ipoh.

Menara Jam Batu Gajah
Tempat Menarik di Batu Gajah
Jom melancong ke Batu Gajah...

Part 1: Sejarah Batu Gajah

Batu Gajah bermula sebagai sebuah pusat perlombongan bijih timah berhampiran Sungai Kinta. Kekayaan bijih timah yang dimiliki menyebabkan ia menjadi bandar yang penting di zaman penjajahan British dahulu. Sejarah Batu Gajah secara ringkas boleh dilihat menerusi mural-mural menarik di Laman Komuniti yang terletak di tengah-tengah pekan Batu Gajah.

Laman Komuniti Batu Gajah
Pemandangan di Laman Komuniti
Suasana di Laman Komuniti Batu Gajah
Mengikut sejarahnya, Batu Gajah sudah wujud sekitar tahun 1870-an. Resident British yang pertama di Perak, J.W.W Birch pernah melawat Batu Gajah pada 30 April 1875. Birch ada menyebut di dalam diarinya tentang Batu Gajah sebagai sebuah kampung yang besar di tepi Sungai Kinta dan terdapatnya sebuah relau yang besar untuk melebur bijih timah. 

Suasana sewaktu Birch datang melawat ke Batu Gajah pada tahun 1875.
Perkampungan Melayu di tepi Sungai Kinta
Gambaran Perahu (disebut British sebagai Prau) di pekan lama yang menjadi tempat memunggah barangan serta hasil bijih timah sehingga sistem pengangkutan dimajukan.
Anak Jati Batu Gajah
Orang Melayu di Batu Gajah sudah giat menjalankan kegiatan perlombongan bijih timah sejak kurun ke-19 lagi. Bijih timah juga membawa kemasukan Orang Cina ke Batu Gajah. Ketika itu, terdapat Orang Cina menjadi pekerja di kawasan perlombongan bijih timah kepunyaan Orang Melayu. Pembukaan ladang getah pula membawa masuk Orang India ke sini. 

Sejarah perlombongan bijih timah di Batu Gajah
Buruh-buruh di lombong bijih timah
Kapal Korek yang digunakan dalam perlombongan bijih timah
Disebabkan kekayaan hasil bumi di Batu Gajah, terdapat penduduk yang berbilang kaum iaitu Melayu (dari suku kaum Mendaling, Rawa, Talu, Acheh, Jawa dan lain-lain), Cina, India, Ceylon, Punjabi, Parsi, Arab dan lain-lain yang menetap di sini. Classmate kita sewaktu di sekolah rendah di Batu Gajah dulu juga ada yang berasal dari keturunan Pakistan, Ceylon dan Eurasian selain Melayu, India dan Cina yang biasa kita jumpa. Dengan adanya penduduk yang berbilang kaum ini, penduduk Batu Gajah dapat memahami dan menyesuaikan diri dengan corak kehidupan pelbagai kaum sehingga dapat melahirkan suasana yang aman damai.

Suasana di pekan Batu Gajah
Jalan Besar di pekan Batu Gajah ini dikenali sebagai River Road di zaman British
Masjid Toh Puan Hatijah, Batu Gajah yang dinamakan sempena Bonda Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbudin Shah
Sejak tahun 1880-an lagi Batu Gajah menjadi tempat pertemuan pembesar-pembesar Melayu pada masa itu. Di Batu Gajah ketika itu ada Gelanggang Lumba Kuda (Race Course). Kuda-kuda didatangkan dari Pahang dan Johor untuk berlumba di sini. Ada terdapat sebuah kelab tempat perjumpaan dan riadah bagi pegawai kerajaan dan pembesar-pembesar negeri. Arwah Ayah pernah bercerita yang dia dan rakan-rakannya pernah menyaksikan lumba kuda di race course ini sewaktu mereka remaja.
 
Gambaran Batu Gajah yang pesat membangun di zaman pemerintahan British
Penjajahan British telah menyebabkan hak wibawa pembesar Melayu untuk mengutip cukai dan mentadbir kawasan masing-masing dimansuhkan. Batu Gajah dijadikan pusat pentadbiran British di Jajahan Kinta pada tahun 1892. Sepanjang tahun 1890-an sehingga 1900-an, pembangunan di Batu Gajah agak pesat. Pentadbiran British telah mendirikan Pejabat Daerah, Mahkamah Majistret dan Pejabat Tanah dan Galian pada tahun 1892.

Bangunan kedai lama di Pekan Batu Gajah
Di lorong belakang kedai-kedai yang tidak jauh dari Laman Komuniti, ada mural menarik mengenai perkhidmatan perbandaran di Batu Gajah bermula dari tahun 1970-an sehingga sekarang. Maklumlah, disebabkan bandar ini menjadi tumpuan pemerintahan British sebelum merdeka, sistem perbandarannya sangat maju mengikut standard pada masa itu berbanding bandar-bandar lain di sekitar. Legasi itu masih diteruskan selepas Malaysia mencapai kemerdekaan dari Britain pada tahun 1957.

Mural di lorong belakang ini menceritakan tentang sejarah perkhidmatan perbandaran di Batu Gajah sejak dulu sehingga sekarang.
Pada tahun 1970-an sistem pembetungan moden seperti yang digunakan pada masa sekarang belum ada. Tandas-tandas dibekalkan dengan tong untuk mengumpulkan najis buangan.
Setiap hari akan ada pekerja seperti ini yang datang mengumpulkan najis dari rumah ke rumah untuk dibuang ke tempat yang ditetapkan.
Sistem tandas menggunakan tong najis masih berlaku di sekitar tahun 1980-an. Pengumpulan najis dan pelupusan oleh buruh-buruh perbandaran dilakukan pada waktu malam sewaktu penghuni kediaman sedang tidur. 
Sistem pembetungan moden seperti yang ada sekarang diperkenalkan pada tahun 1990-an. Pengangkutan najis secara manual ditamatkan dengan adanya sistem pembetungan yang moden ini.
Perkhidmatan perbandaran lain seperti kutipan sampah berjadual juga mula diperkenalkan pada tahun 1990-an.
Perkhidmatan pembersihan bandar
Kalau anda berkesempatan berkunjung ke Batu Gajah, datanglah melihat mural ini. Timbul keinsafan bila kita melihat pengorbanan buruh-buruh kasar yang terlibat dengan perkhidmatan perbandaran pada masa itu. Sememangnya kita bersyukur kerana dengan adanya teknologi seperti sistem pembentungan moden, tak ada lagi buruh-buruh kasar yang membuat pekerjaan yang sangat tidak hygienic seperti mengangkut tong najis pada masa dulu. Di sebalik semua itu, pekerjaan seperti inilah yang membolehkan orang-orang generasi dulu meneruskan kehidupan kerana peluang pekerjaan dan pendidikan sangat terhad ketika itu.

Tak dinafikan pengorbanan buruh-buruh kasar dalam perkhidmatan perbandaranlah yang membolehkan rakyat yang berkemampuan hidup dengan lebih selesa.
Lorong belakang yang penuh dengan kisah keinsafan hidup...
Kalau berjalan menuju ke arah Pejabat Pos dari Laman Komuniti, kita dapat pula melihat mural gajah yang menceritakan asal usul nama Batu Gajah. Ada banyak versi cerita yang pernah Myself dengar sewaktu kecil-kecil dulu tentang asal-usul nama Batu Gajah. Namun versi yang paling popular adalah tentang sekeluarga gajah yang sedang menyeberang sungai ditegur oleh seorang sakti bernama Sang Kelembai dan bertukar menjadi batu. Menurut ceritanya batu berbentuk gajah itu dapat dilihat di Sungai Kinta tetapi kini telah hilang akibat hakisan dan kegiatan perlombongan. Kisah legenda ini tidak pernah disahkan benar atau sebaliknya.

Seronok kan melawat Batu Gajah? Macam-macam mural kita boleh lihat di pekan Batu Gajah.

Part 2: Bangunan Legasi British Di Batu Gajah

Disebabkan Batu Gajah pernah menjadi pusat pemerintahan penjajah British pada masa dulu, bandar ini juga mempunyai beberapa bangunan legasi peninggalan mereka. Setanding tahu dengan Penang! Mari kita lihat beberapa bangunan tersebut di sini...

BANGUNAN PEJABAT DAERAH KINTA

Bangunan British yang paling hebat di Batu Gajah adalah Bangunan Pejabat Daerah Kinta yang satu ketika dulu digunakan sebagai mahkamah sewaktu pemerintahan British.

Kompleks Pentadbiran Daerah Kinta
Sebahagian bangunan di dalam kompleks pentadbiran ini dibina pada zaman pemerintahan British
Bangunan Mahkamah Lama yang dibina di zaman British
Disebabkan bangunan ini masih berfungsi sebagai pejabat kerajaan, ia tidak bebas untuk dilawati. Walau bagaimanapun sewaktu berurusan dengan Pejabat Tanah di sini pada satu ketika dahulu, Myself dan Husband telah meminta dan diberi kebenaran untuk melawat ke dalam bangunan mahkamah lama British ini. Kagum sungguh kami melihat suasana di dalam bangunan ini...

Pintu masuk ke bangunan Mahkamah Lama
Bangunan ini dibina pada tahun 1892
Bangunan ini kini masih menempatkan beberapa buah pejabat Kerajaan
Myself dan Husband sebenarnya sekadar nak melihat-lihat bangunan yang bersejarah ini. Maklumlah, senibinanya cantik dan unik. Kami memang tak sangka yang pegawai Pejabat Daerah yang mengiringi kami itu bermurah hati membawa kami masuk melawat ke Bilik Mahkamah Lama British yang masih kekal utuh di situ...

Suasana di dalam bangunan mahkamah lama
Senibina yang memikat mata yang memandang
Tangga sebegini juga pernah kami lihat sewaktu melawat ke Colombo City Hall di Sri Lanka yang juga dibina oleh orang British.
Myself akui memang kami terkejut melihat ada bilik mahkamah lama yang dijaga dengan cukup baik di sini. Tak sangka weyy kat kampung kita sendiri ada peninggalan sejarah hebat macam ini... Sayang sungguh bangunan ini tak dibuka untuk lawatan orang awam. Kalau tidak pasti ia akan menjadi tarikan pelancongan yang sangat popular. Menurut pegawai Pejabat Daerah tersebut, bilik ini pernah digunakan dalam sebuah penggambaran filem Hollywood pada satu ketika dulu.

Mahkamah Lama British di Pejabat Daerah Kinta, Batu Gajah
Pemandangan dari tempat duduk pemerhati. Perabotnya masih utuh kerana dibuat dari kayu mahogany.
Kandang Orang Kena Tuduh
Kerusi Hakim sewaktu perbicaraan
Tempat duduk stenographer yang mencatitkan setiap detik perbicaraan yang berlangsung
Pemandangan Kerusi Hakim dengan lebih dekat
Sesuatu yang Myself dapat rasakan sewaktu melawat ke dalam Bilik Mahkamah ini ialah tentang layanan yang diberi kepada orang yang dituduh bersalah. Mereka akan dikurung macam haiwan di tepi bucu mahkamah. Mahkamah British pula pada masa dahulu terkenal memihak kepada pihak aristokrat yang kaya-raya. Jarang rakyat marhaen mendapat pembelaan di mahkamah British pada masa itu. Teringat sewaktu melawat ke Sydney di Australia dulu di mana kami pernah diberitahu yang ramai banduan yang dibawa ke Australia untuk menjalani hukuman ketika itu adalah pesalah yang melakukan kesalahan kecil seperti mencuri sebilah gunting!

Kandang kurungan penjenayah di dalam Bilik Mahkamah
Kunci Kandang Penjenayah
Pemandangan siling Bilik Mahkamah dari depan Kandang Penjenayah

HOSPITAL BATU GAJAH

Kalau berjalan ke depan sikit dari bangunan Pejabat Daerah Kinta, kita dapat pula melihat sebuah bangunan Tudor yang macam hotel Ye Olde Smokehouse di Cameron Highlands. Terkejut kan bila diberitahu yang bangunan ini adalah sebenarnya Hospital Batu Gajah yang merupakan sebuah hospital kerajaan!

Hospital Batu Gajah
Hospital Batu Gajah sangat bersejarah kerana ia adalah hospital kedua yang dibina oleh British di negeri Perak pada tahun 1880 selepas Hospital Taiping.

Hospital Batu Gajah yang dibina oleh British pada tahun 1880 ini adalah hospital yang kedua tertua di negeri Perak selepas Hospital Taiping.
Pada zaman British dulu, Hospital Batu Gajah terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama adalah Hospital Eropah dan bahagian yang satu lagi adalah Hospital Asia atau Melayu. Hospital Eropah terdiri daripada Wad Kelas 1 yang merawat pegawai kerajaan Inggeris dan Eropah, pengurus-pengurus Estet, Raja-Raja Melayu dan VIP. Hospital Asia pula terdiri daripada wad Kelas 2 dan 3 yang dikhaskan untuk merawat orang Melayu dan orang awam lain yang berketurunan Asia serta pegawai-pegawai kerajaan. Sikit-sikit macam dasar Apartheid yang diamalkan di Afrika Selatan dulu pulak!

Ada macam rupa bangunan hospital tak?
Sebelum merdeka, hospital ini diurus dan ditadbir oleh pegawai perubatan, penyelia dan jururawat yang semuanya berbangsa Inggeris. Orang berbangsa Asia yang pertama berkhidmat dan ditugaskan di Hospital Batu Gajah adalah dari India dan Sri Lanka. Pada pendudukan Jepun, tentera Jepun telah mengambil alih Hospital Batu Gajah dalam tahun 1940 hingga 1941. Mereka telah mengambil alih secara keseluruhan hospital-hospital di Tanah Melayu termasuk Hospital Batu Gajah untuk dijadikan sebagai tempat penyeksaan serta tahanan.

ST JOSEPH'S CHURCH

Disebabkan Hospital Batu Gajah dibina oleh orang British, ada sebuah gereja Kristian juga dibina di belakang bangunan hospital. Gereja yang dinamakan St Joseph's Church ini bukanlah dibina oleh British. Ia sebaliknya dibina oleh seorang mubaligh French yang bernama Father Allard. 

Gereja St Joseph
Gereja St Joseph's adalah gereja Roman Katholik. Bangunan gereja yang dlihat sekarang bukanlah bangunan asal yang dibina oleh Father Allard. Ia sebaliknya adalah bangunan baru yang dibina pada tahun 1925.

Bangunan Gereja St Joseph ini dibina mengikut bentuk salib.
Di belakang gereja ini ada sebuah perkuburan Kristian yang masih digunakan sehingga sekarang. Apa yang menarik mengenai tanah perkuburan ini ialah ada sebuah seksyen perkuburan lama di mana ramai rakyat British yang meninggal dunia di Batu Gajah dikebumikan. Banyak batu nisan lama ini telah rosak dimamah usia. Namun begitu masih ada juga beberapa batu nisan yang masih boleh dibaca.

Perkuburan Kristian di belakang gereja
Perkuburan lama milik rakyat British yang meninggal dunia di Batu Gajah pada zaman dahulu
Salah sebuah nisan perkuburan lama yang boleh dilihat
Di belakang tanah perkuburan Kristian ini, ada sebuah lagi Perkuburan Perang yang masih dijaga oleh Kerajaan British sehingga sekarang. Perkuburan yang dinamakan sebagai God's Little Acre ini menempatkan jasad anggota tentera British yang terbunuh di Malaya di zaman perang dulu. Suasana di sini macam Kanchanaburi War Cemetery yang pernah kami lihat di Thailand dulu tetapi pada skala yang jauh lebih kecil.

Perkuburan Perang British God's Little Acre di Batu Gajah
Perkuburan ini masih dijaga oleh Commonwealth War Graves yang berpangkalan di United Kingdom
Senarai pegawai tentera British yang dikebumikan di God's Little Acre

SEKOLAH SULTAN YUSSUF

Sekolah Sultan Yussuf yang terkenal di Batu Gajah didirikan sebagai sebuah sekolah persendirian Inggeris pada tahun 1907. Ia kemudiannya diserahkan kepada pentadbiran British dan dikenali sebagai English School Batu Gajah. Mengikut sejarahnya ada anak-anak Sultan Perak yang pernah bersekolah di sini. Sekolah ini asalnya adalah sekolah untuk murid-murid lelaki tetapi dah turut menerima murid perempuan juga sekarang rasanya.

Sekolah Sultan Yussuf, Batu Gajah
Pintu masuk ke Sekolah Sultan Yussuf Batu Gajah. Legasi pendidikan British masih dapat dilihat menerusi motto sekolah yang masih menggunakan Bahasa Latin: Multum In Parvo yang bermaksud Much In Little.

SEKOLAH ST BERNADETTE'S CONVENT

Kemudian Myself nak perkenalkan pula Alma Mater kita di Batu Gajah ~ Sekolah St Bernadette's Convent. Seperti sekolah Convent lain di Malaysia, St Bernadette's Convent bermula sebagai sebuah sekolah mubaligh Kristian yang kemudiannya diambilalih oleh Kerajaan Malaysia selepas merdeka. Susah nak sebut nama sekolah ini sebab Bernadette (disebut Bernadet) adalah seorang saint wanita yang berbangsa French.

Sekolah St Bernadette's Covent, Batu Gajah. Sekolah rendah dan sekolah menengahnya terletak di kawasan yang sama.
Masa Myself bersekolah di sini pada tahun 1970-an dulu, masih ada rahib Kristian yang dipanggil Sister bertugas di sekolah ini. Myself tak lupa Sister Orang Putih yang berasal dari Ireland ini kerana fascinated sangat dengan matanya yang berwarna hijau. Dia juga sering mengajar kami Bahasa Inggeris secara tidak formal di luar kelas. Kesimpulannya walaupun kita cuma sekolah kerajaan, kecik-kecik lagi Myself dah cakap English dengan Orang Putih, macam budak-budak kat international school sekarang. Walaupun cuma sepatah-sepatah. Hahaha!!!

Seperti di awal penubuhannya, Sekolah St Bernadette's Convent masih dikhaskan untuk murid-murid perempuan.

Part 3: Kompleks Keretapi Batu Gajah

Mungkin tak salah kalau Myself katakan industri terbesar di Batu Gajah sekarang adalah keretapi. Ini adalah kerana ada sebuah kompleks depot keretapi yang besar telah dibina di Batu Gajah. Kompleks keretapi ini yang dibina pada tahun 2009 menggantikan depot keretapi yang sebelum itu terletak di Sentul, Kuala Lumpur.

Stesen Keretapi Batu Gajah
Kompleks KTMB Batu Gajah
CRRC Rolling Stock Centre ini adalah tempat di mana pemasangan gerabak-gerabak keretapi untuk kegunaan seluruh negara dibuat.
Selain Stesen Keretapi, Kompleks KTMB ini tidak dibuka untuk kunjungan awam. Tapi tak apa, sebab ada beberapa tarikan hebat lain yang menarik di sini...

WEST VILLAGE PREMIUM OUTLET

West Village adalah sebuah premium outlet yang dibina betul-betul setentang dengan Stesen Keretapi Batu Gajah. Lokasinya memang strategik. Kalau nak datang shopping kat sini nanti boleh naik ETS direct dari KL ataupun Arau / Penang. Keluar saja dari stesen keretapi, terus dah sampai ke West Village.

West Village
Jangan lupa datang shopping kat West Village bila ia dibuka nanti!
Pintu masuk ke West Village yang terletak betul-betul setentang dengan Stesen KTM Batu Gajah.
West Village masih belum beroperasi sekarang. Dengar ceritanya ia akan dibuka pada bulan September 2022. So, kalau rasa-rasa nak shopping barangan mewah masa itu, datanglah ke West Village Batu Gajah. Tak sangka yang kampung kita pun akan jadi setaraf dengan Bicester Village kat London sana tuh!

RUMAH LAT & GALERI

Sebuah lagi tarikan baru berhampiran Kompleks Keretapi Batu Gajah ialah Rumah Lat & Galeri yang menghimpunkan semua hasil karya dan lukisan kartunis tersohor tanah air, Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid atau Lat.

Rumah Lat & Galeri
Galeri ini juga masih belum dibuka sekarang. Dengar cerita ia akan dibuka serentak dengan West Village Premium Shopping Outlet. Jadi sambil-sambil shopping di West Village, datanglah melawat juga ke Rumah Lat & Galeri ini. Walau belum dibuka kepada orang awam, Rumah Lat seperti yang dilihat dalam Komik Kampung Boy dah boleh dilihat sekarang.

Rumah Lat seperti yang dilihat di dalam Komik Kampung Boy


Bersambung ke Bahagian 2...