Tuesday 24 May 2022

2022 BATU GAJAH BHG. 03 (Kapal Korek 2)

Mei 2022

PERAK, MALAYSIA
Batu Gajah

Bahagian 3: Tanjung Tualang 2
KAPAL KOREK WARISAN TANJUNG TUALANG (2)

Part 5: Sekitar Kawasan Kapal Korek Warisan

Selepas melawat ke dalam kapal korek, kita lihat pula tarikan-tarikan sekitar kawasan kapal korek. Sebelum itu, kenalah pulangkan semula hard hat yang dipakai sewaktu lawatan tadi kembali ke kabin pendaftaran lawatan.

Kenangan bersama Kapal Korek TT5
Pulangkan kembali hard hat yang dipinjam tadi selepas habis lawatan
Dalam lawatan tadi, ada dicerita tentang barge yang membawa bijih dari kapal korek ke darat dan juga tongkang yang membawa pekerja berulang-alik ke kapal. Kedua-dua barge dan tongkang ini dapat dilihat di perkarangan kapal korek warisan.

Pemandangan barge yang digunakan untuk mengangkut bijih dari kapal ke darat (pemandangan dari dalam kapal korek).
Rupa barge dengan lebih dekat
Tongkang yang digunakan untuk pekerja berulang-alik ke dalam kapal korek
Pemandangan dekat tongkang yang berkarat teruk tetapi masih utuh.
Lepas itu, kita berjalan keliling kapal korek untuk melihat pemandangan dari luar. Kalau pemandangan di dalam kapal korek tadi cukup impressive, pemandangan dekat kapal korek ini dari luar juga sama impressive.

Kapal Korek Warisan Tanjung Tualang No.5 TT
Laluan pejalan kaki di sekeliling kapal korek
Bergambar bersama peralatan-peralatan kapal korek
Nama pembuat peralatan yang masih boleh dilihat
Pemandangan bahagian belakang kapal korek
Pemandangan palung yang dipasang di belakang kapal korek
Ada 3 palung sebenarnya yang dibina keluar dari kapal korek. Palung di kiri dan kanan digunakan untuk membuang tanah. Palung di tengah yang lebih curam adalah untuk membuang batu.
Pemandangan palung dari sisi
Masih ingat lagi betapa impressive melihat tanah dan batu yang dipancut keluar dengan begitu laju dari palung ini masa kita kecil-kecil dulu setiap kali lalu di tepi kapal korek.
Ini ada satu gambar bersejarah yang Myself jumpa tentang operasi kapal korek di zaman dulu. Walaupun gambar-gambar ini diambil pada tahun 1950-an, pemandangan ini tidak banyak berbeza dengan pemandangan yang biasa Myself lihat di sekitar Lembah Kinta sekitar tahun 1970-an dulu...
 
Rupa sebenar Kapal Korek sewaktu bekerja di lombong-lombong bijih timah
Pemandangan sewaktu sisa tanah dan batu dibuang menerusi palung Kapal Korek
Seperti yang diceritakan pada kami tadi, lokasi asal kapal korek ini adalah di Gopeng dan dibawa ke tapak sedia ada di Tanjung Tualang melalui Sungai Kinta. Bila kapal korek ini dijadikan muzium, tanah ditambak di sekitar kapal korek untuk menetapkan kedudukannya. Maklumlah, kapal korek ini terapung dan boleh hanyut kembali ke dalam Sungai Kinta bila ditiup angin kuat kalau tak dibina tambakan tanah ini.

Tambakan tanah yang memisahkan kolam kapal korek dengan Sungai Kinta.
Kawasan rehat di tebing Sungai Kinta
Sambil berjalan di sekeliling kapal korek kita sorot kembali satu kisah menarik lain yang diceritakan sewaktu lawatan di dalam kapal tadi. Ia adalah kisah mengenai bagaimana gaji dibayar kepada pekerja kapal korek. Pekerja-pekerja kapal korek dibayar gaji secara tunai. Yang menariknya, gaji ini dibawa ke kapal korek setiap bulan oleh British dengan menggunakan kapal terbang.

Disebabkan hasil lumayan dari perlombongan bijih timah, kapal-kapal korek sering menjadi sasaran pengganas komunis pada masa dulu. Demi memastikan wang gaji ini sampai kepada pekerja dan tidak dirampas komunis dalam perjalanan, terpaksalah ia dihantar menggunakan kapal terbang setiap bulan. Duit ini disimpan dalam karung dan dilempar keluar dari kapal terbang untuk dikutip oleh petugas yang menunggu di darat. Duit ini kemudiannya diserahkan kepada Kapala (Pemandu Kapal Korek) untuk dibahagi-bahagikan kepada semua pekerja.

Menurut ceritanya ada juga sekali-sekala duit gaji yang dilempar dari kapal terbang terjatuh ke dalam lombong dan tak dapat dikutip seperti sepatutnya. Bila ini berlaku, gaji ini hanya diganti pada bulan yang berikutnya bersama dengan gaji pada bulan tersebut. Kerana itulah pekerja akan berusaha sedaya-upaya untuk mengutip karung duit gaji ini walau dengan apa cara untuk memastikan mereka sentiasa mempunyai wang gaji untuk menyara keluarga.

Lukisan mengenai pembayaran gaji pekerja kapal korek pada kabin pendaftaran lawatan.
Kita berjalan lagi melihat-lihat pemandangan di sekitar kapal korek. Kami diberitahu kapal korek ini adalah sebuah dari 2 buah kapal korek yang masih tinggal di Malaysia. Sebuah lagi kapal korek berada di Dengkil, Selangor. Walau bagaimanapun, tidak seperti kapal korek di Tanjung Tualang ini yang dijaga dengan begitu baik sebagai warisan oleh Kerajaan Negeri Perak, kapal korek di Dengkil terbiar kerana ia terletak di tanah milik persendirian. Kapal korek yang kita lihat di Tanjung Tualang ini sebenarnya telah dihadiahkan oleh Syarikat Malaysian Mining Corporation (MMC) kepada Kerajaan Perak pada tahun 1997.

Selepas kejatuhan harga bijih timah yang menyebabkan banyak operasi perlombongan dihentikan sekitar tahun 1980-an dulu, banyak kapal korek dibuka dan dijual sebagai besi buruk. Ada juga sebahagian yang dihantar ke Thailand dan Indonesia di mana perlombongan bijih timah masih diusahakan di sana ketika itu.

Pemandangan kapal korek dari sisi
Kolam kapal korek di sebelah kiri dan Sungai Kinta di sebelah kanan
Pemandangan yang mendamaikan
Jeti di Sungai Kinta
Pondok rehat di tepi kapal korek
Elemen-elemen rumah kayu tradisional yang dipasang pada pondok rehat
Kali ini kita lihat pula pemandangan kapal korek dari luar di sebelah depan. Pemandangan di sebelah depan ini tidak impressive sangat seperti pemandangan di sebelah belakang. Kerana itulah ia sering disalah anggap sebagai bahagian belakang kapal korek.

Pemandangan di sebelah depan kapal korek
Semakin ramai pengunjung yang datang melawat ke kapal korek. Kapal korek adalah warisan sejarah Malaysia. Kerana itulah ia dikunjungi ramai rakyat Malaysia yang berbilang bangsa.
Kabel yang mengikat kapal korek di daratan. Ada sauh sebenarnya yang dipasang di penghujung kabel ini untuk menetapkan kedudukannya.
Pemandangan dari sisi bucket yang dipasang di depan kapal korek
Pada sudut pandang ini, kita dapat membayangkan dengan jelas bagaimana bucket berfungsi mengorek tanah di dasar lombong.
Ada ketikanya terdapat bucket yang tertanggal dan tertinggal di dasar lombong sewaktu operasi. Disebabkan bucket sangat berat dan dasar lombong sangat dalam, ia sering akan ditinggalkan saja di dasar sana dan bucket baru akan dipasang untuk menggantikannya.
Kalau melawat ke kapal korek ini, bawalah bersama roti ataupun makanan ikan. Kolam kapal korek ini penuh dengan ikan dan pengunjung-pengunjung dibenarkan untuk memberi ikan makan. Ikan-ikan kat sini macam dah biasa mendapat makanan dari pengunjung. Bila ada bayang manusia di dalam air di tepi kolam, kesemua mereka akan mengerumun berenang ke sana kerana mereka yakin pasti ada makanan menunggu di situ.

Ikan-ikan di dalam kolam
Memberi ikan makan di tepi kolam
Kambing meragut rumput di seberang sana

Part 6: Maze Park Kanak-Kanak @ TT5

Selain kapal korek ada juga beberapa tarikan lain yang terdapat di kawasan ini. Salah sebuah di antaranya adalah Taman Sesat (Maze Park). Ada 2 buah taman sesat di sini: satu untuk dewasa dan satu untuk kanak-kanak. Taman yang untuk kanak-kanak terletak lebih dekat dengan kapal korek.

Taman Sesat untuk kanak-kanak
Notis peraturan untuk pelawat
Hedge yang ditanam di Maze Park kanak-kanak
Kalau orang dewasa masuk ke Maze Park ini memang dijamin tak akan sesat.
Sekumpulan kambing yang datang menuju ke Maze Park untuk kanak-kanak
Senang hati je dia orang ni meragut daun kat sini.
Si Hitam dan Si Putih
Kat sebelah sana pun ada tarikan menarik yang berkait dengan sejarah kapal korek. Jom kita melawat ke sana...

Melawat ke Can Tin di sebelah sana pulak...


Bersambung ke Bahagian 4...



No comments: