Monday 9 February 2015

2015 SUMATERA BARAT (2nd. Visit) BHG. 02 (Danau Maninjau)

Februari 2015 

SUMATERA BARAT, INDONESIA (2nd VISIT)
Padang & Bukittinggi 


Bahagian 2: DANAU MANINJAU & SANGGAR SENI


HARI KEDUA

Part 10: The Hills Hotel, Bukittinggi 

Hotel penginapan kami sewaktu di Bukittinggi ialah The Hills Hotel. Ia merupakan sebuah hotel 4 bintang yang terletak di tengah-tengah kota, tidak jauh dari Jam Gadang yang merupakan mercu tanda bagi kota Bukittinggi.

Hotel The Hills, Bukittinggi
Pancutan air yang menarik di depan Hotel The Hills.
Senibina hotel ini sangat menarik kerana ia gabungan senibina tradisional Indonesia dengan senibina Belanda. Bangunan hotel ini juga hanya setinggi 4 tingkat. Kami diberitahu ada peraturan di Bukittinggi yang menetapkan supaya semua bangunan yang dibina tidak boleh melebihi ketinggian Jam Gadang. Kerana itulah tiada bangunan tinggi di kota ini.

Lobi di Hotel The Hills
Kaunter pendaftaran di Hotel The Hills
Pancutan air di lobi Hotel The Hills
Pemandangan lobi hotel dari hadapan pintu bilik kami di Tingkat 3.
Buffet sarapan pagi di Hotel The Hills.
Kami menginap di The Hills Hotel selama 2 malam. Selama 2 hari di sana juga, kami sering bersarapan di ruang outdoor restoran hotel ini. Disebabkan Bukittinggi berada pada ketinggian 930 meter dari aras laut, cuaca di sini nyaman sekali. Malah Hotel The Hills juga tidak dilengkapi dengan penghawa dingin disebabkan cuacanya yang sangat nyaman.

Outdoor Seating di restoran Hotel The Hills. Nyaman sekali menikmati breakfast di luar sini.
Indoor Seating di restoran Hotel The Hills.
Menyesal tak bawa jaket sewaktu duduk breakfast di sini sebab semakin lama cuaca semakin sejuk pulak rasanya.
Pemandangan di restoran The Hills dari Outdoor Seating.

Part 11: Jam Gadang 

Bukittinggi ialah kota yang kedua terbesar di Sumatera Barat selepas kota Padang. Ia juga sangat bersejarah kerana pernah menjadi pusat pemerintahan Belanda dan Jepun sebelum Indonesia mencapai kemerdekaan.

Pemandangan kota Bukittinggi dari anjung lobi Hotel The Hills
Satu lagi pemandangan kota Bukittinggi dari Hotel The Hills.
Cuaca di Bukittinggi sangat segar dan nyaman di awal pagi begini.
Mercu tanda utama kota Bukittinggi ialah sebuah menara jam yang dinamakan Jam Gadang. Jam ini dihadiahkan oleh Ratu Belanda kepada seorang pemerintah Belanda di Bukittinggi pada ketika itu. Pada hari ini, sebuah dataran yang menjadi pusat kota telah dibina di sekeliling Jam Gadang.

Dataran Jam Gadang di Bukittinggi
Pemandangan dekat Jam Gadang
Pemandangan Jam Gadang dari sisi.
Sejarah pembinaan Jam Gadang
Pengunjung walau bagaimanapun, tidak dibenarkan masuk ke bangunan Jam Gadang.
Pagi itu pagi Ahad dan Dataran Jam Gadang sangat meriah dengan penduduk-penduduk di sekitar kota beriadah dan melakukan senaman aerobik beramai-ramai di sini. Kami perhatikan ada 3 atau 4 kumpulan instruktur aerobik di sini. Semuanya bersenam mengkut irama muzik Dangdut.

Senaman Aerobik di Jam Gadang
Bersenam beramai-ramai mengikut irama Dangdut.
Husband berjalan di celah-celah penduduk yang sedang beraerobik.
Paling seronok melihat kumpulan yang ini beraerobik sambil berdangdut.
Selain senaman aerobik, Dataran Jam Gadang juga penuh dengan aktiviti lain. Ramai penjaja mengambil kesempatan menjual makanan tempatan dan barangan cenderamata di sini.

Penjaja yang berniaga di sekitar Jam Gadang.
Pakaian, tudung dan t-shirt untuk cenderamata juga banyak dijual di sini.
Sewaktu bersiar-siar di sini, kami diekori oleh pelbagai karakter kartun yang mengajak untuk bergambar. Pada mulanya kami tak mengendahkan kartun-kartun ini. Tapi bila kami mendapati karekter-karekter kartun ini adalah sebenarnya budak-budak sekolah yang mencari wang saku tambahan di hujung minggu begini, terus kami bergambar dengan mereka dengan niat nak bersedekah sambil berseronok.

Karekter-karekter kartun yang mengajak pengunjung bergambar dengan mereka.
Kartun-kartun ini adalah sebenarnya pelajar-pelajar sekolah yang mencari wang saku tambahan di hujung minggu.
Mereka tak mengenakan bayaran tetap untuk bergambar bersama. Cukup sekadar memberikan tip seikhlas hati.
Sebelum pulang ke hotel untuk menunggu Tourist Guide menjemput kami untuk program lawatan seterusnya, kami berjalan mengelilingi Dataran Jam Gadang untuk menikmati pemandangan di sekitar.

Kereta kuda yang dipanggil Bendi ini banyak terdapat di sekitar Bukittinggi.
Kuda-kuda penarik Bendi ini ditutup matanya dari pandangan sisi.
Sewaktu berkunjung ke sini pada tahun 1997 dulu, rombongan kami pernah makan malam di restoran ini. Seronok melihat ia masih beroperasi lagi sehingga sekarang.
Parking yang disediakan khusus untuk kegunaan Bendi.
Bangunan Bank Rakyat Indonesia berhampiran Jam Gadang.
Pemandangan Bukittinggi dari Dataran Jam Gadang
Satu lagi pemandangan Bukittinggi dari Dataran Jam Gadang.

Part 12: Perjalanan Ke Danau Maninjau 

Program lawatan pada pagi ini ialah berkunjung ke Danau Maninjau yang terletak 2 jam perjalanan dari Bukittinggi.

Senibina Minangkabau yang beratap runcing sangat ketara di bandar Bukittinggi.
Ini adalah satu-satunya bangunan gereja Kristian yang terdapat di Bukittinggi.
Hospital Tentera di Bukittinggi.
Satu lagi pemandangan di Bukittinggi dalam perjalanan menuju ke Danau Maninjau.
Kata Muslim hanya ada satu jalan sahaja dari Bukittinggi ke Maninjau dan kami perlu melalui jalan ini pergi dan kembali. Sebahagian besar perjalanan menuju ke Danau Maninjau adalah mendaki gunung yang cuacanya dingin dan nyaman seperti di Cameron Highlands di Malaysia.

Jalan menuju ke Danau Maninjau selepas meninggalkan Bukittinggi
Pemandangan sawah padi dalam perjalanan ke Danau Maninjau.
Di sini tidak ada sistem tanaman padi secara sistematik seperti di Malaysia. Oleh yang demikian, di setiap kawasan penanaman padi yang sama kita dapat melihat padi-padi yang baru ditanam, yang sedang masak dan juga yang telah dituai di petak-petak yang berlainan.
Pemandangan yang cantik menuju ke Danau Maninjau.
Tingkap kereta diturunkan sepanjang perjalanan menuju ke Danau Maninjau untuk menikmati udara yang sejuk dan segar di sini. Bau-bau tumbuhan hutan sepanjang perjalanan juga sangat menyegarkan.
Walaupun majoriti penduduk di sini beragama Islam, mereka banyak membela anjing untuk menjaga ladang.
Seronoknya anjing-anjing ini naik motor bersama tuan mereka, mungkin dalam perjalanan menuju ke ladang. Pemandangan ini sangat janggal bagi orang Islam dari Malaysia seperti kita.

PANORAMA SUNGAI LANDIA

Dalam perjalanan ke Danau Maninjau, kami singgah di sebuah tempat yang bernama Panorama Sungai Landia. Kawasan ini terletak di atas gunung dan mempunyai pemandangan yang sangat indah.

Persinggahan Panorama Sungai Landia
Signboard Panorama Sungai Landia
Selekoh tajam di hadapan Panorama Sungai Landia.
Panorama Sungai Landia ini mengingatkan Myself kepada pemandangan di Sg. Palas di Cameron Highlands di Malaysia. Di sini ada sebuah perhentian rehat untuk minum teh yang dikelilingi pemandangan kawasan pertanian yang indah. Cuma bezanya, pemandangan di sini dikelilingi sawah padi sedangkan pemandangan di Cameron Highlands pula dikelilingi kebun-kebun teh.

Pemandangan dari Panorama Sungai Landia
Satu lagi pemandangan di Panorama Sungai Landia
Pengunjung boleh minum teh di sini sambil menikmati pemandangan indah sawah padi di bawah sana. Minuman istimewa di sini ialah Teh Halia.
Pokok yang berdaun merah di pucuknya ini adalah Pokok Kayu Manis. Ia banyak sekali terdapat di sekitar Bukittinggi.
Curamnya ladang di bawah sana.
Panorama Sungai Landia nyata sangat popular sebagai tempat persinggahan pelancong yang berkunjung ke Danau Maninjau.
Perkhidmatan kenderaan awam yang dinamakan Angkot sedang melintasi Panorama Sungai Landia.
Di Panorama Sungai Landia ini juga terdapat kedai yang menjual pelbagai cenderamata yang menarik.

Kedai Cenderamata di Panorama Sungai Landia.
Banyak cenderamata menarik dijual di sini.
Kami agak pelik melihat penduduk-penduduk di sini memelihara anjing sedangkan mereka beragama Islam. Muslim memberitahu anjing-anjing ini dibela untuk membunuh babi hutan yang sering merosakkan ladang-ladang yang diusahakan di tepi hutan. "Yang Haram (anjing) digunakan untuk memburu yang Haram (babi hutan)", kata Muslim memberi penerangan kepada kami. 

Disebabkan banyaknya babi hutan yang terdapat di sini, memburu babi hutan adalah aktiviti rekreasi yang popular di sini (seperti lumba burung merpati sangat popular di Pulau Jawa). Babi-babi hutan yang diburu hanya dibunuh dan tidak dijual atau dijadikan tujuan lain.

Anjing-anjing ini dibela untuk memburu babi hutan yang sering merosakkan ladang tanaman.
"Yang Haram digunakan untuk memburu yang Haram".
Perjalanan selepas meninggalkan Sungai Landia mula menuruni gunung. Jalannya bengkang-bengkok dan di sana-sini kelihatan papan-papan tanda amaran supaya pemandu berhati-hati di sini.

Pemandangan sewaktu meninggalkan Sungai Landia. Kami perhatikan masjid-masjid di Sumatera Barat ini banyak yang dipasang dengan kubah berwarna perak.
Menjemur kayu manis di tepi jalan
Perjalanan sekarang mula menuruni gunung.
Papantanda keselamatan pemanduan menuju ke Danau Maninjau.

Part 13: Kelok 44

Perjalanan sebenar menurun ke Danau Maninjau adalah melalui 44 buah selekoh tajam (Hairpin Bends) yang dinamakan Kelok 44. Setiap kelok ini ditandakan bermula dari No. 44 di kelok yang paling tinggi sehinggalah ke Kelok No. 1 yang terletak di paling bawah berhampiran Danau Maninjau.

Permulaan Kelok 44
Pemandangan di Kelok 44
Pemandangan Danau Maninjau sangat jelas ketika melalui kumpulan selekoh yang dinamakan Kelok 44 ini.
Kelok No. 42. Bukan sekadar pengunjung dinasihatkan untuk menjauhi penggunaan dadah, malah pengunjung turut dinasihatkan untuk menjauhi maksiat.
Salah sebuah korner lipat di Kelok 44
Nama-nama Allah diletakkan di sepanjang laluan Kelok 44 supaya kita berzikir sewaktu melalui kelok yang sangat lipat ini.

PONDOK INDAH DI KELOK 37 

Kami membuat perhentian di sebuah gerai makan bernama Pondok Indah yang terletak di Kelok No. 37. Pemandangan Danau Maninjau kelihatan sangat indah dari sini.

Bergambar di Kelok 37
Tempat berehat sambil menikmati pemandangan Danau Maninjau di Gerai Pondok Indah di Kelok 37.
Pemandangan di Kelok 37
Danau Maninjau
Di Pondok Indah ini, kami diperkenalkan dengan beberapa kuih tradisional seperti Apam Labu dan Risoles. Apam Labu dan Risoles yang disediakan di sini sangat sedap sehingga ada seorang kakak pelancong dari Malaysia yang makan bersama kami di sini memborong seluruh Apam Labu yang dihidangkan untuk dibawa pulang.

Gerai Pondok Indah di Kelok 37. Kami bertemu dengan ramai pelancong dari Malaysia di sini.
Selain duduk di meja, ada juga ruang untuk duduk bersila sambil makan kuih di sini.
Pelbagai kuih tradisional yang dijual di Pondok Indah.
Kami memesan Teh Manis di sini. Ingatkan Teh Manis tu teh susu, rupa-rupanya Teh O.

MENERUSKAN PERJALANAN KE DANAU MANINJAU 

Dari Kelok 37, kami meneruskan perjalanan ke Desa Maninjau yang terletak betul-betul di tepi Danau Maninjau. 

Meneruskan perjalanan ke Desa Maninjau
Hasil tanaman sedang dijemur di tepi jalan.
Rumah tradisional Minang ini adalah antara pemandangan yang menarik dari Kelok 44.
Di bumbung pintu hadapannya tertera pantun dalam Bahasa Minang yang bermaksud: Yang kurik kendi, Yang merah saga, Yang baik budi, Yang indah bahasa.
Jalan di setiap kelok sangat sempit. Jika berselisih, keutamaan diberi kepada kenderaan yang datang dari arah bawah. Kenderaan juga akan membunyikan hon masing-masing untuk memaklumkan kedatangan mereka kepada kenderaan yang datang dari arah bertentangan.
Beginilah keadaannya setiap kali kenderaan berselisih di mana-mana kelok. Kenderaan yang datang dari arah atas akan berhenti untuk memberi laluan kepada kenderaan yang datang dari arah bawah.
Kelok 44 yang terakhir (Kelok No.1) bagi pengunjung yang datang dari arah Bukittinggi.

Part 14: Danau Maninjau

Danau Maninjau adalah sebuah tasik yang berasal dari kawah gunung berapi. Kesan kawah gunung berapi sangat jelas diperhatikan di beberapa tempat di tebing tasik. Danau ini walau bagaimanapun lebih kecil dari Danau Toba berhampiran Medan yang pernah kami kunjungi dulu.

Desa Maninjau di tepi Danau Maninjau
Sewaktu berkunjung ke sini dalam tahun 1997 dulu, kami bermalam di Hotel Maninjau Indah yang terletak di tepi Danau Maninjau ini. Namun begitu, kami tidak bermalam di sini dalam kunjungan kali ini.
Kesan kawah gunung berapi sangat jelas di beberapa tempat di sekitar tebing Danau.
Seperti daerah lain di Indonesia, Danau Maninjau juga memiliki legendanya yang tersendiri, iaitu Lagenda Bujang Sembilan. Menurut cerita, dahulu kala di daerah itu, sebelum terbentuk danau, terdapat 10 bersaudara yang terdiri dari sembilan lelaki bujang dan si bongsu seorang perempuan bernama Sani.

Perusahaan ternakan ikan sangkar di Danau Maninjau.
Sani bercinta dengan sepupunya yang bernama Giran. Namun cinta mereka tidak kesampaian kerana Abang Sulung Sani yang menyimpan dendam kepada Giran membuat fitnah kepada pasangan tersebut. Ini adalah kerana Giran pernah menewaskan beliau dalam satu pertandingan beradu kekuatan sedangkan beliau tidak pernah tewas sebelumnya.

Akibat fitnah, Sani dan Giran dihukum adat dengan dilemparkan masuk ke dalam kawah Gunung Tinjau. Giran ketika itu berdoa supaya apabila fitnah yang ditujukan itu benar, dia rela hancur di dalam kawah gunung berapi itu. Akan tetapi jika fitnah itu tidak benar, dia memohon agar gunung meletus dan sembilan bujang itu dikutuk menjadi ikan.


Sawah padi di tepi danau.
Sebaik setelah pasangan yang difitnah itu melompat tenggelam ke dalam kawah, gunung meletus dahsyat sehingga muncul sebuah danau baru yang kemudian dikenali dengan nama Danau Maninjau karena terletak di Desa Maninjau. Kesemua sembilan saudara lelaki Sani pula bertukar menjadi ikan yang menghuni danau tersebut.

RUMAH HAMKA 

Selain memiliki danau yang indah, Maninjau juga merupakan tempat kelahiran tokoh nasionalis Indonesia, Buya Hamka. Beliau merupakan seorang sastarawan dan budayawan yang terkenal bukan sahaja di Indonesia, bahkan juga di Malaysia.


Perjalanan menuju ke Rumah Hamka
Rumah peninggalan Hamka yang kini dijadikan muzium terletak di sebuah kampung di tepi Danau Maninjau yang bernama Sungai Batang. Pengunjung tidak dikenakan bayaran untuk masuk ke Rumah Hamka, tetapi sumbangan ikhlas sangat dialu-alukan untuk membantu menampung kos penyelenggaraan rumah ini.

Muzium rumah kelahiran Hamka
Tangga naik ke Rumah Hamka
Pintu masuk ke rumah kelahiran Hamka
Pemandangan Danau Maninjau dari hadapan Rumah Hamka
Pemandangan ke dalam Rumah Hamka
Pakcik yang menjaga rumah ini adalah seorang cucu kepada Hamka
Karya-karya dan penghormatan yang pernah diterima oleh Hamka sepanjang hidupnya dipamerkan di dalam rumah ini.
Tafsir Al-Azhar adalah antara hasil karya Hamka yang termasyhur.
Potret-potret Hamka

MASJID RAYA MANINJAU 

Selepas melawat Rumah Hamka, kami kembali ke  Bukittinggi. Namun sebelum meninggalkan Desa Maninjau, kami singgah sebentar di Masjid Raya Maninjau. Di belakang masjid, kami dapat melihat sangkar-sangkar ikan belaan di dalam Danau Maninjau.

Masjid Raya Maninjau
Masjid ini dibina betul-betul di sebelah Danau Maninjau. Terdapat perusahaan ikan sangkar yang diusahakan betul-betul di belakang masjid ini.
Perusahaan ikan sangkar

Part 15: Kembali Ke Bukittinggi 

Kami pulang ke Bukittinggi untuk makan tengahari. Perjalanan kembali ke Bukittinggi melalui semula Kelok 44 yang dilalui pagi tadi.

Kembali ke Bukittinggi
Kelok 6
Pemandangan sewaktu meninggalkan Danau Maninjau
Nama-nama Allah yang diletakkan di sepanjang Kelok 44.
Teres-teres padi di tepi Danau Maninjau
Kelok terakhir dalam perjalanan pulang

BUNDO KANDUANG

Kami melintasi sebuah perkampungan yang bernama Matur dalam perjalanan ke Bukittinggi. Kawasan ini terkenal dengan tanaman labu.

Kawasan ini terkenal dengan hasil tanaman labu.
Muslim membawa kami singgah di sebuah kedai yang bernama Bundo Kanduang. Kedai ini menjual pelbagai kerepek terutama yang diperbuat dari labu.

Kedai Bundo Kanduang
Pemandangan di dalam kedai Bundo Kanduang
Pelbagai jenis kerepek dijual di sini. Antara yang menarik perhatian kami ialah Kerupuk Labu dan Kerupuk Jengkol (Kerupuk Jering).
Ais kerim juga dijual di sini.
Dari kiri ke kanan: Ais Kerim Keladi, Ais Kerim Alpukat (Avocado), Ais Kerim Durian dan Ais Kerim Labu.
Selain menjual kerepek, Bundo Kanduang juga mempunyai pemandangan yang indah di belakangnya. Seperti juga di kawasan lain di sini, Bundo Kanduang dikelilingi pemandangan sawah padi.

Selekoh di hadapan Bundo Kanduang
Bunga Dahlia yang cantik di belakang Bundo Kanduang
Pemandangan dari belakang kedai Bundo Kanduang

RESTORAN SIMPANG RAYA 

Makan tengahari disediakan di Restoran Simpang Raya yang terletak dalam perjalanan ke Bukittinggi. Pemandangan Gunung Merapi sangat jelas kelihatan dari restoran ini.

Restoran Simpang Raya yang disinggahi dalam perjalanan pulang ke Bukittinggi.
Pemandangan hadapan Restoran Simpang Raya
Pintu masuk ke Restoran Simpang Raya
Ruang sajian Restoran Simpang Raya
Ruang makan restoran ini dibina dalam 2 tingkat. Kami makan di ruang di tingkat atas ini.
Kolam hiasan di tepi tangga restoran
Pemandangan Gunung Merapi jelas kelihatan dari Restoran Simpang Raya.
Lega bila hanya 6 lauk sahaja yang dihidangkan kepada kami di restoran ini...

Part 16: Bershopping Di Bukittinggi 

Kami diberikan program bebas setibanya kembali ke Bukittinggi. Kesempatan ini kami gunakan untuk berkunjung ke Pasar Atas.

PASAR ATAS 

Disebabkan kedudukannya yang tidak jauh dari hotel, kami hanya berjalan kaki ke Pasar Atas. Untuk sampai ke sana, kami perlu melintasi Dataran Jam Gadang sekali lagi.


Dataran Jam Gadang masih meriah dengan pengunjung pada petang Ahad itu.
Pertunjukan gendang oleh sekumpulan pelajar sekolah di Dataran Jam Gadang.
Dataran Jam Gadang masih meriah pada petang hari itu. Kami sempat menyaksikan pertunjukan gendang yang diadakan di sana oleh sekumpulan pelajar sekolah. Di samping itu, ada juga sekumpulan anak muda yang mencari wang dengan membuat pertunjukan sambil membawa ular, helang dan iguana hidup.

Satu lagi kemeriahan suasana di Dataran Jam Gadang di Bukittinggi.
Kumpulan anak muda ini mencari wang dengan membuat pertunjukan menggunakan haiwan seperti Ular, Helang dan Iguana.
Ular!!
Pasar Atas Bukittinggi
Pelbagai barangan dijual di Pasar Atas.
Tukang kunci
Gerai Nasi Kapau
Nasi Kapau ni lebih kurang macam Nasi Campur di Malaysia.
Belut kering. Kata makcik yang menjualnya, belut kering ini sedap dimasak sambal.
Makanan istimewa Padang - Kulit Sapi dan Belut Kering.
Kedai menjual CD
Memotong batu permata
Gerai-gerai yang menjual makanan tempatan.
Pemandangan di salah sebuah pintu keluar dari Pasar Atas.
Masjid Raya Bukittinggi. Ada Kursus Haji sedang berlangsung di masjid ini ketika itu.

BUKITTINGGI PLAZA 

Satu-satunya Shopping Mall yang terdapat di Bukittinggi ialah Plaza Bukittinggi. Ia terletak betul-betul di hadapan Hotel The Hills dan bertentangan dengan Jam Gadang. Kami singgah menjenguk di Mall ini dalam perjalanan pulang ke hotel.

Plaza Bukittinggi
Plaza Bukittinggi tidak besar. Di dalamnya terdapat sebuah supermarket yang bernama Ramayana dan banyak kedai-kedai persendirian. Suasananya bagaikan sebuah pusat membeli-belah di sebuah pekan yang sederhana besar di Malaysia.

Pintu masuk ke Plaza Bukittinggi.
Pemandangan di dalam Plaza Bukittinggi
Permainan kanak-kanak di luar Plaza Bukittinggi
Keretapi permainan kanak-kanak di luar Plaza Bukittinggi

RESTORAN GON RAYA LAMO 

Makan malam disediakan di Restoran Gon Raya Lamo di Bukittinggi. Walaupun Muslim menawarkan untuk membawa kami makan di restoran lain, kami tetap memilih untuk makan Makanan Padang. Dah datang ke Sumatera Barat, kenalah cuba makanan tempatan di sini. Lagipun, walaupun kami dihidangkan dengan makanan Padang setiap hari, setiap hidangan ada keistimewaan rasanya yang tersendiri.

Restoran Gon Raya Lamo
Bangunan utama Restoran Gon Raya Lamo
Restoran ini terdiri dari dua buah bangunan. Makanan malam kami disediakan di bangunan ini.
Pemandangan di dalam Restoran Gon Rayo Lama
Hidangan makan malam kami.

Part 17: Sanggar Seni 

Selepas makan malam, Muslim membawa kami ke Panggung Lenggogeni di Bukittinggi untuk menonton persembahan kebudayaan Minangkabau yang dinamakan Sanggar Seni. Kata Muslim, panggung ini dibina bersama oleh kumpulan kebudayaan dari beberapa buah kampung di sekitar Bukittinggi dan setiap malam minggu mereka membuat persembahan di sini mengikut giliran. Malam itu adalah giliran persembahan dari Ganto Minang Group.

Persembahan dimulakan pada pukul 8.30 malam dan pada malam itu ada sekitar 20 orang penonton yang kesemuanya berasal dari Malaysia. Persembahannya tidaklah sehebat Devdan Show yang pernah kami tonton di Bali tahun lepas, namun ia tetap menghiburkan dan memberikan kami insight terhadap kebudayaan Orang Minangkabau.

Pentas Sanggar Seni
Menunggu persembahan dimulakan.
Pemuzik-pemuzik Gamelan yang mengiringi persembahan.
Master of Ceremony memulakan acara.
Tabuah (Beduk) adalah alat yang digunakan oleh Masyarakat Minangkabau untuk menyampaikan sesuatu maklumat seperti masuk waktu solat ataupun untuk memaklumkan berlaku kematian di dalam kampung. Di samping itu, Tabuah turut dimainkan untuk meraikan Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha.

Oleh yang demikian, seorang penonton turut dijemput untuk membunyikan Tabuah bagi memulakan persembahan malam itu. Penonton yang bertuah terpilih untuk membunyikan Tabuah malam itu ialah Husband.


Husband dijemput mengetuk Beduk untuk memulakan upacara.
Persembahan Manggua Tabuah di mana penonton diperkenalkan dengan bunyi-bunyi Tabuah yang menandakan masuk waktu solat, berlaku kematian dan majlis keramaian seperti Hari Raya.
Master of Ceremony sedang memberi penerangan tentang kebudayaan Minangkabau kepada penonton.
Tari Pasambahan.
Memperkenalkan Talempong kepada penonton.
Talempong dimainkan seperti permainan kompang dalam majlis-majlis perkahwinan.
Penonton turut dijemput dalam permainan Pacik Talempong ini. Dalam Bahasa Minang, Pacik Talempong bermaksud Pegang Talempong.
Tari Rantak.
Saluang Jo Dendang
Nyanyian berunsur nasihat dalam Saluang Jo Dendang.
Tari Payuang
Sebahagian Tari Payuang.
Penutup Tari Payuang
Tarian Minangkabau yang paling terkenal ialah Tarian Piriang. Ia menggambarkan kegembiraan para petani di musim menuai. Dalam tarian ini, penari-penari (lelaki dan perempuan) akan melakukan satu aksi yang hebat ~ menari sambil memijak kaca dari pecahan pinggan mangkuk.

Tarian Piriang. Penari-penari akan memecahkan piring tembikar yang dipegang dan menari di atasnya dalam tarian ini.
Ngeri melihat penari ini berguling di atas pecahan piring kaca tanpa memakai baju.
Walau berguling bersungguh-sungguh di atas kaca, tiada langsung kesan luka pada badan penari ini.
Kami diberitahu aksi berguling dan memijak kaca di dalam Tarian Piriang dilakukan tanpa menggunakan sebarang ilmu yang luar biasa. Penari-penari hanya diajar untuk berserah dan bertawakkal kepada Allah sewaktu melakukan aksi ini.

Penari-penari perempuan juga memijak dan melompat-lompat di atas kaca ini.
Penonton turut dijemput untuk memeriksa ketulenan kaca yang digunakan dalam persembahan ini sebelum persembahan dimulakan.


Bersambung ke Bahagian 3 ...


CATATAN PERJALANAN SUMATERA BARAT, INDONESIA (2015):