Thursday 19 September 2013

2013 NORTH BORNEO RAILWAY & SANDAKAN BHG. 1 (North Borneo Railway)

September 2013

SABAH - 2nd VISIT
North Borneo Railway & Sandakan 

Bahagian 1: Kota Kinabalu
NORTH BORNEO RAILWAY

Part 1: Merancang Percutian Ke Sabah 

Percutian kedua ke Negeri Di Bawah Bayu bermula apabila Myself mendapat notifikasi dari Penerbangan Malaysia tentang mata ganjaran terkumpul Enrich yang akan luput. Dengan mata ganjaran terkumpul yang sebenarnya tidaklah begitu banyak dan bilangan cuti yang agak terhad, memang sukar membuat pilihan destinasi dan masa untuk penebusan tiket percuma ini.

Setelah memikir panjang, kami akhirnya memilih untuk bercuti lagi ke Sabah pada hujung minggu yang bersambung dengan cuti Hari Malaysia. Oleh kerana kami telah melawat ke Kota Kinabalu pada akhir tahun yang lalu, destinasi percutian pilihan kami pada kali ini adalah Sandakan yang terletak di pantai timur Sabah. Namun begitu, percutian ini turut kami rancang untuk menyelitkan pengalaman menaiki keretapi wap North Borneo Railway di Kota Kinabalu. 

Kami menguruskan sendiri penebusan tiket penerbangan kami dari Kuala Lumpur --> Kota Kinabalu --> Sandakan --> Kuala Lumpur dengan Malaysia Airlines melalui pejabat mereka di KL Sentral. Pada mulanya, kami merancang untuk mengatur percutian ini sendiri tanpa bantuan dari agensi pelancongan. Namun akhirnya, disebabkan pelbagai faktor, khidmat agensi pelancongan tetap digunakan. Cuma berikan saja jadual penerbangan kepada agensi pelancongan dan pandailah mereka mengaturkan Ground Arrangement yang sesuai dengan jadual penerbangan kami.

HARI PERTAMA

Part 2: Terbang Lagi Ke Kota Kinabalu


Disebabkan Husband tidak pasti boleh bercuti atau sebaliknya sewaktu kami menebus tiket penerbangan percuma, kami memilih untuk mengambil penerbangan pada hari Jumaat yang berlepas ke Kota Kinabalu dari Kuala Lumpur pada pukul 10.30 malam.

Penerbangan ini walau bagaimanapun lewat berlepas 30 minit dari jadual asal memandangkan ia terlewat tiba di KLIA dari destinasi yang sebelumnya. Disebabkan hari telah pun lewat malam, kami tertidur hampir sepanjang perjalanan dalam pesawat sehinggalah tiba ke Kota Kinabalu.


Lapangan Terbang Kota Kinabalu
Mujur jugalah agensi pelancongan telah mengatur khidmat pick-up di Airport Kota Kinabalu. Jadi tak perlulah kami bersusah-payah mencari teksi untuk ke hotel penginapan kami di sana, Hotel Horizon.

Hotel Horizon, Kota Kinabalu
Ada banyak gambar pemandangan indah negeri Sabah yang diabadikan di dinding Hotel Horizon. Lobi lif ini misalnya dihiasi dengan gambar pemandangan Gunung Kinabalu.
Bilik penginapan kami di Hotel Horizon, Kota Kinabalu dihiasi dengan pemandangan sebuah tanjung yang dinamakan Tip of Borneo di Kudat. Myself tak berkesempatan lagi tiba di sini. Inilah penghujung timur negara Malaysia dan tempat pertama di negara kita di mana matahari terbit setiap hari. Dari cerita rakan-rakan yang pernah sampai ke sana, tempat ini sangat cantik pemandangannya.

Bilik penginapan kami di Hotel Horizon, Kota Kinabalu yang dihiasi dengan pemandangan  Tip of Borneo di Kudat
Pemandangan pagi dari bilik kami di Hotel Horizon. Alhamdulillah, cuaca sangat baik pada pagi itu.
Restoran sarapan pagi di Hotel Horizon

HARI KEDUA

Part 3: North Borneo Railway 

Persinggahan di Kota Kinabalu dalam perjalanan ke Sandakan adalah semata-mata untuk membolehkan kami mencuba pengalaman menaiki North Borneo Railway. Keretapi wap ini adalah satu tarikan pelancong yang sangat unik di negeri Sabah. Perancangan rapi  walau bagaimanapun perlu dibuat untuk menaiki keretapi ini memandangkan ia hanya beroperasi 2 kali seminggu: setiap hari Rabu dan Sabtu.

Cadangan untuk menaiki keretapi ini jugalah yang menyebabkan kami terpaksa bersengkang mata terbang ke Kota Kinabalu pada lewat malam Jumaat. Sebenarnya lebih selesa jika kami terbang pada pagi Sabtu, tapi penerbangan paling awal sekalipun bertolak dari KLIA pada pukul 7.30 pagi dan tiba di Kota Kinabalu pada pukul 10.00 pagi ~ tak sempat pulak nanti nak menaiki keretapi ini yang berlepas pada pukul 10.00 pagi juga.

Selepas bersarapan pagi, kami terus check-out keluar dari Hotel Horizon dan dibawa oleh wakil Travel Agent direct ke Stesen Tanjung Aru yang terletak tidak jauh dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Tempahan tiket keretapi telah diuruskan lebih awal oleh Travel Agent. Jadi, kami cuma perlu mengambil tiket di kaunter.

Kaunter tiket North Borneo Railway di Stesen Tanjung Aru, Kota Kinabalu
Keretapi North Borneo Railway mengembalikan nostalgia zaman penjajahan British di Sabah sebelum kemerdekaan dulu. Segala-gala berkenaan keretapi ini mengimbau kenangan pada masa itu, termasuklah hiasan dalaman dan pakaian seragam petugasnya.

Harga tiket keretapi ini sangat mahal, namun bagi Myself ia sepadan dengan pengalaman yang dirasai. 

Bergambar dengan petugas di kaunter tiket North Borneo Railway
Di samping tiket, setiap penumpang turut diberikan sebuah passport ketika menaiki North Borneo Railway.

Bergambar di luar platform Stesen Tanjung Aru
Tiket keretapi dan passport North Borneo Railway
Mukasurat passport North Borneo Railway dipenuhi dengan keterangan akan tempat-tempat yang akan dilalui dalam perjalanan keretapi kelak.

STESEN TANJUNG ARU 

Penumpang North Borneo Railway dibenarkan menaiki keretapi seawal jam 9.30 pagi. Semua pengunjung disambut petugas keretapi yang sangat ramah, mesra dan sentiasa tersenyum.

Pada zaman penjajahan British dahulu, keretapi ini dinaiki oleh pegawai-pegawai tentera British dan keluarga mereka. Orang-orang tempatan pada ketika itu hanya bekerja sebagai petugas keretapi. Oleh itu, pelancong-pelancong yang menaiki keretapi ini kini dapat merasai pengalaman sebagai Sir dan Madam Orang Putih pada zaman itu. 

Petugas di Ticket Control akan memeriksa senarai nama penumpang dan membawa mereka sehingga ke tempat duduk di dalam gerabak masing-masing.
Gerabak keretapi North Borneo Railway di platform Stesen Tanjung Aru. Di platform juga tertera maklumat ringkas tentang kawasan-kawasan yang akan dilalui.
Keretapi ini tidak panjang, hanya terdiri dari 5 buah gerabak penumpang, sebuah gerabak dapur dan kepala keretapi sendiri. Setiap gerabak penumpang diberi nama mengikut tempat-tempat yang dilalui sepanjang perjalanan: Tanjung Aru, Putatan, Kinarut, Kawang dan Papar. Kami diberi tempat duduk di gerabak Papar yang terletak paling dekat dengan dapur dan kepala keretapi.

Pemandangan dalam gerabak "Papar"
Sambil menunggu waktu berlepas, kami dan penumpang-penumpang lain meninjau dengan lebih dekat kepala keretapi di mana kayu api dibakar di dalam relau bersama arang batu untuk memanaskan air di dalam dandang keretapi. Proses ini menghasilkan wap yang digunakan bagi menggerakkan keretapi (seperti yang dipelajari dalam kelas Sains di sekolah dulu).

Kami ditempatkan di gerabak yang dinamakan "Papar".
Melihat proses pembakaran bahanapi untuk menghasilkan wap.
Mengabadi kenangan dengan kepala keretapi wap.
Petugas di gerabak dapur sedang menyediakan sarapan pagi untuk dihidang kepada penumpang.
Pemandangan gerabak dapur dari bahagian luar.

DARI TANJUNG ARU KE KINARUT 

Tepat pukul 10.00 pagi, wisel dibunyikan dan keretapi bergerak perlahan-lahan meninggalkan Stesen Tanjung Aru menuju ke Papar. Pengunjung juga dihidangkan dengan sajian sarapan pagi English-style dalam perjalanan ini.


Bersiap-sedia untuk berlepas
Sarapan pagi sedang dihidangkan kepada penumpang
English-style breakfast
Pemeriksaan nama penumpang
Banyak pemandangan menarik diperhatikan sepanjang perjalanan.

Stesen Putatan
Pantai Lok Kawi
Kawasan perkampungan sebelum tiba di Kinarut.
Oleh kerana laluan keretapi selari dengan jalan raya, banyak lintasan seperti ini dilalui sepanjang perjalanan.
Mengambil gambar dari dalam  keretapi
Setiap kali keretapi melintasi sesebuah bandar atau perkampungan sepanjang perjalanan, petugas North Borneo Railway akan mengecop passport kita dengan nama tempat berkenaan.

STESEN KINARUT 

Selepas kira-kira sejam perjalanan, North Borneo Railway tiba di bandar Kinarut.

Stesen Kinarut
Pintu keluar-masuk ke Stesen Kinarut
North Borneo Railway membuat persinggahan selama 20 minit di bandar Kinarut. Penumpang dibenarkan turun untuk melawat pekan ini dengan lebih dekat.

Pemandangan pekan Kinarut dari Stesen Keretapi
Bandar Kinarut kecil dan masih dipenuhi dengan bangunan-bangunan kedai kayu yang dibina sebelum Perang Dunia Kedua. Bagi kami yang merupakan rakyat Malaysia, pekan ini sama seperti pekan-pekan kecil lain di negara kita. Oleh yang demikian, sewaktu penumpang-penumpang lain melawat pekan Kinarut, kami mengambil kesempatan melawat kepala keretapi sekali lagi.

Berjalan menuju ke kepala keretapi
Selepas berjalan lebih sejam, suasana di dalam enjin keretapi sangat panas dan bahang kepanasannya terasa sehingga ke bahagian luar. Kesian sungguh pekerja keretapi pada zaman dahulu yang terpaksa bekerja dalam suasana begini sebelum terciptanya enjin moden.
Jika di Tanjung Aru petugas dapur sibuk menyediakan sarapan pagi, di Kinarut pula mereka sibuk menyediakan makanan tengahari untuk dihidangkan kepada penumpang.
Pemandangan sewaktu North Borneo Railway membuat persinggahan di Kinarut.

DARI KINARUT MENUJU KE PAPAR 

Selepas 20 minit dan semua penumpang telah disahkan masuk ke dalam gerabak masing-masing, wisel dibunyikan sekali lagi dan keretapi bergerak kembali menuju ke Stesen Papar.

Disebabkan cuaca panas terik di luar, penumpang diberikan tuala basah yang sejuk untuk menyegarkan diri bila kembali ke dalam keretapi.
Penduduk Sabah ramah sekali. Mereka sentiasa melambai-lambai kepada kami sepanjang perjalanan keretapi ini.
Memang diakui bahawa penggunaan kayu dan arang batu di kepala enjin mencemarkan alam sekitar. Sekali-sekala asap pembakaran bahanapi ini akan masuk ke dalam gerabak penumpang mengikut arah tiupan angin.
Perjalanan dari Kinarut ke Papar banyak melalui kawasan paya bakau seperti ini.
Kawasan perkampungan Kawang yang dilalui dalam perjalanan ke Papar.
Sebelum tiba di Papar, keretapi North Borneo Railway melalui Terowong Pengalat yang dibina oleh tentera British pada awal tahun 1900.

Terowong Pengalat

STESEN PAPAR

Stesen persinggahan akhir North Borneo Railway adalah Papar yang terletak kira-kira 40km dari Stesen Tanjung Aru di Kota Kinabalu. Perjalanan keseluruhan North Borneo Railway dari Tanjung Aru ke sini memakan masa 2 jam 30 minit termasuk persinggahan di Stesen Kinarut.


Jambatan yang dilintasi sebelum tiba di pekan Papar
Pemandangan di pekan Papar
Lintasan keretapi di pekan Papar
Stesen Keretapi Papar
Dari Papar, keretapi North Borneo Railway akan berpatah balik ke Tanjung Aru. Oleh itu, salah satu tarikan kepada penumpang adalah melihat persediaan keretapi ini untuk berpatah balik ke sana.

Untuk berpatah balik ke Tanjung Aru, kepala keretapi terpaksa berpusing ke arah bertentangan. Ini dilakukan menggunakan Turntable yang berada di Stesen Papar. Satu pengalaman menarik melihat proses ini dilaksanakan...


Melihat keretapi berpusing di Turntable
Mengisi air ke dalam kepala keretapi.
Keretapi North Borneo Railway membuat persinggahan panjang selama 30 minit di Papar. Selain melihat kepala keretapi berpusing balik, penumpang juga dibenarkan keluar ke bandar Papar. Kesempatan ini kami gunakan untuk melawat ke pekan Papar.

Pemandangan dari atas jambatan Stesen Keretapi Papar
Pasar Am Papar
Pintu masuk ke Pasar Am Papar
Pemandangan di dalam Pasar Am Papar

KEMBALI KE TANJUNG ARU 

Makan tengahari disediakan secara Tiffin Lunch di dalam keretapi North Borneo Railway sewaktu berhenti di Stesen Papar. Bila kami kembali ke dalam tren, makanan telahpun tersedia dalam mangkuk tingkat di atas meja. Ia mengingatkan kami kepada pengalaman makan di Kashmir, India dahulu di mana makanan juga disediakan dengan cara yang sama. Maklumlah, kedua-dua negara India dan Malaysia adalah bekas jajahan British pada masa dahulu.

Hidangan makanan tengahari secara Tiffin Lunch di dalam North Borneo Railway
Makanan Tiffin Lunch yang sedap dan menyelerakan
Pada kira-kira pukul 12.30 tengahari, keretapi North Borneo Railway meninggalkan Stesen Papar untuk kembali ke Stesen Tanjung Aru. Perjalanan pulang ini memakan masa kira-kira satu jam tanpa sebarang perhentian dan melalui laluan yang sama sewaktu kami datang ke Papar.

Perjalanan pulang ke Kota Kinabalu
Pemandangan sewaktu melintasi Stesen Kinarut dalam perjalanan pulang.
Penumpang juga mendapat hidangan ais kerim sewaktu dalam perjalanan pulang
Pantai Lok Kawi yang indah dilalui semula dalam perjalanan pulang
Pemandangan Lapangan Terbang Kota Kinabalu dari North Borneo Railway dalam perjalanan pulang.
Selamat tiba di Stesen Tanjung Aru, Kota Kinabalu
Keretapi kami tiba di Stesen Tanjung Aru pada pukul 1.30 tengahari. Wakil Travel Agent telah sedia menunggu di stesen untuk menghantar kami ke Lapangan Terbang untuk meneruskan perjalanan ke Sandakan.

Sebelum pulang, penumpang-penumpang North Borneo Railway mengambil kesempatan untuk bergambar dengan petugas-petugas keretapi yang begitu profesional dalam perkhidmatan mereka.

Bergambar dengan petugas-petugas North Borneo Railway sebelum meninggalkan Stesen Tanjung Aru.

Part 4: Terbang Ke Sandakan ... Dan Kembali Semula Ke Kota Kinabalu 

Kami dijadualkan berlepas dengan pesawat MASWings dari Kota Kinabalu ke Sandakan pada pukul 6.30 petang pada hari yang sama. Memandangkan kami punya banyak masa terluang, Travel Agent menawarkan untuk membawa kami membeli-belah di Kota Kinabalu. Namun demikian, kami menolak tawaran Travel Agent dan meminta supaya terus dihantar ke Lapangan Terbang.

Kami membuat pilihan yang tepat untuk menunggu saja di Lapangan Terbang Kota Kinabalu kerana hujan turun dengan lebat pada petang itu. Dalam hati kami merasa risau juga jika berlaku flight delay dalam penerbangan kami ke Sandakan disebabkan cuaca buruk. Namun hati merasa lega bila hujan berhenti sebelum waktu kami berlepas ke Sandakan dan dapat melihat pemandangan matahari terbenam yang sangat indah di Lapangan Terbang Kota Kinabalu.

Menunggu pesawat ke Sandakan
Hujan lebat di Lapangan Terbang Kota Kinabalu
Pemandangan indah matahari terbenam di Lapangan Terbang Kota Kinabalu
Mungkin disebabkan cuaca buruk pada petang itu, pesawat MASWings yang sepatutnya membawa kami ke Sandakan pada petang itu tiba lewat di Kota Kinabalu. Oleh itu, flight kami lewat berlepas 30 minit dari jadual asal.

Balai berlepas MASWings di Kota Kinabalu
Walaupun ketika itu hampir pukul 7.00 malam, suasana di luar gelap sekali kerana matahari di Sabah terbit dan terbenam sejam lebih awal berbanding Semenanjung Malaysia.
Menaiki pesawat ke Sandakan
Pemandangan dalam pesawat MASWings dari Kota Kinabalu ke Sandakan. Kelihatan anak kapal sedang membantu memasukkan beg penumpang ke tempat letak barang.
Walaupun pesawat MASWings kecil berbanding pesawat Malaysia Airlines yang berulang-alik dari KL ke Sabah, ia sangat canggih. Safety Briefing dalam pesawat ini diberikan melalui tayangan video.
Kami cukup excited kerana ini adalah kali pertama bagi kami menggunakan perkhidmatan MASWings yang mempunyai enjin kipas di luar sayapnya.

Pemandangan waktu malam dari udara bandaraya Kota Kinabalu sewaktu MASWings berlepas ke Sandakan
Peramugari MASWings
Sajian penerbangan dalam MASWings dari Kota Kinabalu ke Sandakan - air oren dan kacang masin. Maklumlah, penerbangan sangat singkat - 40 minit sahaja.
Penerbangan ke Sandakan dijadualkan memakan masa 40 minit. Walaupun penerbangan lancar, dari kejauhan kami dapat melihat kilat sabung-menyabung. Rupa-rupanya di tempat yang kilat sabung-menyabung itulah letaknya bandar Sandakan.

Kapten pesawat memberitahu penumpang bahawa walaupun kami telah tiba di Sandakan, pesawat tidak dapat mendarat disebabkan cuaca buruk. Oleh itu, sambil menunggu cuaca reda, pesawat terpaksa berlegar-legar di udara untuk seketika.

Walau bagaimanapun, selepas berlegar seketika di udara, tiada tanda cuaca akan reda. Jadi, Kapten pesawat membuat keputusan untuk membawa kami kembali ke Kota Kinabalu. Myself dan Husband terpinga-pinga kerana tidak pernah mengalami situasi seperti ini dulu. Kami merasa sedikit bimbang bagaimana peristiwa ini akan mengganggu perjalanan percutian kami ke Sandakan.

Tiba di Kota Kinabalu pada pukul 8.30 malam, semua penumpang diarahkan turun dari pesawat dan menghubungi Ground Crew MASWings untuk mendapatkan bantuan. Namun demikian, kami sebenarnya tidak perlu berbuat begitu kerana Ground Crew MASWings telah sedia menunggu kami di Pintu Ketibaan.

Kami diberitahu yang kami semua telah dipindahkan ke sebuah pesawat MASWings lain yang dijadualkan berlepas ke Sandakan pada pukul 9.00 malam. Malah Ground Crew MASWings juga telah menyediakan Boarding Pass baru untuk kami semua. Urusan pemindahan beg dari pesawat lama ke pesawat baru juga diuruskan sepenuhnya oleh MASWings.

Pada pukul 9.00 malam, kami dipanggil masuk ke dalam pesawat MASWings gantian tersebut bersama-sama penumpang lain yang sememangnya telah mendaftar untuk menaiki pesawat ini ke Sandakan. "Harap-harap cuaca baik di Sandakan," kata petugas di Pintu Perlepasan kepada kami sewaktu memeriksa Boarding Pass kami. Memang begitulah juga harapan semua penumpang ketika itu.

Pesawat MASWings gantian kami ke Sandakan
Tidak seperti pesawat tadi, Safety Briefing dalam pesawat gantian ini diberi secara manual. Seorang peramugari Firefly turut bertugas dalam pesawat ini kerana ia adalah penerbangan integrasi MASWings dan Firefly.
Alhamdulillah, kami akhirnya selamat tiba di Sandakan pada pukul 10.00 malam, dua setengah jam lewat berbanding jadual asal.

Pemandangan sewaktu MASWings tiba di Sandakan
Inilah MASWings gantian yang membawa kami dengan selamat ke Sandakan
Berjalan masuk ke dalam bangunan terminal Lapangan Terbang Sandakan
Menunggu bagasi di Conveyor Belt
Hati kami juga lega kerana wakil travel agent di Sandakan juga masih menanti walaupun kami lewat tiba ke sana. Dari Lapangan Terbang, kami dibawa menaiki van ke hotel penginapan kami, Hotel Four Points By Sheraton yang terletak di bandar Sandakan.

Bilik kami di Hotel Four Points By Sheraton di Sandakan.
Pemandangan bandar Sandakan pada waktu malam dari bilik hotel kami.
Disebabkan kami telah kepenatan dan hari telah lewat malam, kami tak terdaya lagi nak keluar ke bandar Sandakan untuk mencari makan malam. Terpaksalah kami menggunakan khidmat Room Service pada malam itu..


Bersambung ke Bhg.2..


CATATAN PERJALANAN NORTH BORNEO RAILWAY & SANDAKAN (2013)