Friday 19 May 2017

2017 UMRAH & HARAMAIN BHG. 19 (Ziarah Madinah 2)

April 2017

ARAB SAUDI
Makkah, Taif, Madinah & Madain Saleh

Bahagian 19: Ziarah Madinah (5)
THE REFUGE OF FAITH EXHIBITION, WADI AQIQ, UNIVERSITI ISLAM MADINAH & MASJID QIBLATAIN

HARI KESEBELAS

Part 83: Refuge Of Faith Museum

Setiap hari sewaktu di Madinah, kami akan memulakan ziarah dengan berkunjung ke Masjid Quba'. Ini adalah kerana sesiapa saja yang berkunjung ke Masjid Quba' dalam keadaan berwuduk dan bersolat sunat dua rakaat di sana akan mendapat pahala seperti mengerjakan Umrah.

Bergambar sebelum memulakan ziarah pada hari kesepuluh di Tanah Suci.
Masjid Zu Al Nurain dalam perjalanan menuju ke Masjid Quba'.
Tiba di Masjid Quba'.
Bersolat di Masjid Quba'
Walau bagaimanapun, kunjungan ketiga kami ke Masjid Quba' hari ini agak istimewa kerana kami dapat berkunjung ke muzium The Refuge of Faith Exhibition (Pameran Kembalinya Iman) yang terletak di sebelahnya.

The Refuge Of Faith Exhibition
Muzium ini tidak besar dan boleh dikunjungi dalam masa kira-kira sejam. Di dalamnya terdapat pameran mengenai keadaan perkembangan kota Madinah semenjak zaman Nabi sehingga sekarang.

Pameran koleksi Al Quran di dalam The Refuge Of Faith Exhibition.
Pemandangan dekat Al Quran yang dipamerkan.
Sejarah perkembangan Kota Madinah.
Pameran mengenai Projek Keretapi Laju Makkah-Madinah yang sedang dalam pembinaan.
Di muzium ini juga ada diceritakan tentang sejarah perkembangan Masjid Nabawi. Ada model Masjid Nabawi terkini dan juga gambaran Masjid Nabawi sewaktu ia didirikan di zaman Rasullullah SAW.

Model Masjid Nabawi kini.
Pemandangan di dalam model Masjid Nabawi.
Sejarah pembesaran Masjid Nabawi.
Gambaran Masjid Nabawi sewaktu di zaman Rasullullah SAW. Masjid sebenar adalah yang berbentuk segiempat tanpa berbumbung. Bangunan yang terjulur keluar dari masjid ini adalah rumah kediaman dua orang isteri Nabi: Siti Aisyah dan Saudah. Pada ketika ini, kiblat adalah menghadap ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis.
Pengubahsuaian yang dibuat kepada Masjid Nabawi selepas arah kiblat ditukar ke Masjidil Haram di Makkah. Pintu yang menghadap ke arah Masjidil Haram telah ditutup dan dipindahkan ke belakang.
Satu lagi pameran yang menarik pada pandangan Myself adalah model kota lama Madinah. Tahukah anda bahawa pada satu ketika dulu, kota Madinah dikelilingi oleh sebuah tembok pertahanan seperti kota-kota medieval di Eropah?

Pemandangan kota lama Madinah.
Masjid Nabawi di tengah-tengah kota.
Pemandangan tembok kota Madinah pada masa dahulu.
Tak pasti apa kawasan hijau yang berada di dalam kota ini.
Sayang tak ada keterangan dalam Bahasa Inggeris tentang model kota lama Madinah ini.
Pandangan kota lama Madinah dari sebelah sini pulak.
Foto lama keadaan kota Madinah pada masa dulu.
Foto-foto yang ditunjukkan dalam pameran ini memang sangat cantik.
Pameran mengenai Masjid Nabawi.
Meninggalkan The Refuge Of Faith Exhibition.

Part 84: Universiti Islam Madinah & Wadi Aqiq

Untuk ziarah yang seterusnya, kami dibawa melawat ke Universiti Islam Madinah yang banyak melahirkan ulama dan pakar-pakar agama Islam.

Perjalanan menuju ke kampus Universiti Islam Madinah
Pemandangan berhampiran kampus Universiti Islam Madinah
Universiti Islam Madinah Al-Munawwarah telah diasaskan pada 6 September 1961. Terdapat 5 buah kuliah yang ditawarkan di Universiti Islam Madinah Al-Munawwarah iaitu Al-Quran, Hadis, Syariah, Dakwah & Usuluddin dan juga Bahasa Arab. Bahasa pengantar yang digunakan di sini dah pasti Bahasa Arab.

Pintu masuk ke Universiti Islam Madinah
Pemandangan kampus Universiti Islam Madinah
Pelajar yang terpilih untuk belajar Universiti Islam Madinah Al-Munawwarah memang bertuah kerana segala-galanya percuma, termasuk yuran pembelajaran dan yuran asrama. Segala-galanya ditanggung oleh Kerajaan Arab Saudi. Pelajar di sini datang dari seluruh dunia dan mereka diberi elaun setiap bulan sebanyak SR 840 seorang serta disediakan tiket pergi balik percuma pada setiap tahun. Sayang sekali, universiti ini hanya terbuka kepada pelajar lelaki sahaja.

Kami cuma dapat melihat kampus universiti ini dari luar sahaja.
Di hadapan kampus Universiti Islam Madinah, terletak Wadi Aqiq. Rasullullah SAW memberitahu para sahabat yang lembah ini diberkati dan baginda telah singgah di wadi ini dalam perjalanan pulang dari menunaikan ibadah Haji. Ada beberapa riwayat yang menjelaskan tentang sunnah untuk berdoa di sini, kerana Wadi Aqiq merupakan tempat yang baik dan mustajab untuk berdoa.

Wadi Aqiq
Wadi ini kering ketika kami melawat ke sini, namun kami diberitahu ia akan menjadi sungai yang besar sewaktu hujan turun.

Part 85: Masjid Qiblatain

Masjid Qiblatain pada mulanya dikenali dengan nama masjid Bani Salamah, kerana masjid ini dibangunkan di atas bekas rumah Bani Salamah. Ia terletak kira-kira 7 km dari Masjid Nabawi di Madinah.

Masjid Qiblatain
Pemandangan Masjid Qiblatain dari sisi.
Pada permulaan Islam, orang bersolat dengan menghadap kiblat ke arah Baitulmaqdis (Masjidil Aqsa). Rasulullah SAW ketika itu dicemuh oleh kaum Yahudi dan Nasrani dan orang-orang kafir yang mengatakan bahawa apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW itu hanya mencontohi dan mengikut ajaran nenek moyang mereka. Kerana itulah Rasulullah SAW berdoa dan meminta agar arah kiblat dipindahkan.

Para penjual di Masjid Qilatain
Pemandangan barang jualan dari dekat.
Doa Rasulullah SAW ini telah dikabulkan oleh Allah SWT di saat baginda sedang berada di masjid yang kemudian dinamakan sebagai Masjid Qiblatain ini. Pada tahun ke 2 Hijrah, pada suatu hari Isnin dalam bulan Rajab waktu Zohor di Masjid Salamah ini, tiba-tiba turunlah wahyu surah Al Baqarah Ayat 144:

"Kami melihat wajahmu (Muhammad) sering mengadah ke langit, maka akan Kami palingkan engkau ke kiblat yang engkau senangi. Dan di mana saja engkau berada, hadapkanlah wajahmu ke arah itu. Dan sesungguhnya orang-orang yang diberi Kitab (Taurat dan Injil) tahu, bahawa (pemindahan kiblat) itu adalah kebenaran dari Tuhan mereka. Dan Allah tidak lengah terhadap apa yang mereka kerjakan”. (Al-Baqarah: 144).

Ketika turun wahyu tersebut, solat telah berlangsung dua rakaat. Bila mendengar wahyu tersebut, serta merta Rasulullah SAW diikuti para sahabat langsung menukar arah kiblat 180 darjah. Peristiwa perpindahan kiblat itu dilakukan sama sekali tanpa membatalkan solat, dan juga tidak mengulangi solat dua rakaat sebelumnya.

Kesan sejarah penukaran kiblat ini hanya dapat dilihat di ruang solat lelaki. Kita yang perempuan tak dibenarkan masuk ke sana. Jadi kita gunakan gambar-gambar yang Husband ambil untuk ditunjukkan di dalam blog ini.

Pintu masuk ke Masjid Qiblatain
Satu ketika dulu, bangunan Masjid Qiblatain memang memiliki dua arah mihrab yang menonjol (arah Makkah dan Baitulmaqdis). Namun tidak lama dulu, masjid ini telah diubahsuai oleh pemerintah Arab Saudi, dengan hanya memfokuskan satu mihrab yang menghadap ke Kaabah di Makkah.

Mihrab utama yang menghadap ke Makkah.
Pemandangan di ruang solat Masjid Qiblatain
Mihrab yang menghadap ke Baitulmaqdis telah dikecilkan dan dijadikan sebagai kesan sejarah sahaja. Di bawahnya terdapat replika mihrab tua yang menyerupai ruang bawah kubah batu di Baitulmaqdis yang bercirikan tradisional.

Mihrab yang menghadap ke Baitulmaqdis.
Inilah arah asal kiblat Orang Islam sebelum ditukarkan ke Kaabah di Masjidil Haram di Makkah.
Peristiwa ini terjadi pada tahun 2 Hijrah, atau tepatnya 17 bulan setelah Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah.

Part 86: Stesen Madinah

Dalam perjalanan pulang ke hotel, kami melalui Stesen Madinah. Ini adalah stesen akhir perkhidmatan Keretapi Hijaz yang dibangunkan oleh Kerajaan Ottoman pada masa dahulu.

Stesen Keretapi Madinah
Bentuk Stesen Keretapi Madinah ini lebih kurang sama saja dengan rupa stesen yang kami lihat di Madain Saleh tempohari. Malah, selepas melawat stesen di Madain Saleh, barulah pemandangan stesen ini kelihatan lebih bermakna kepada kami walaupun kami pernah lalu di sini sebelum ini.

Pemandangan stesen keretapi ini lebih kurang sama dengan stesen yang terdapat di Madain Saleh.
Di sini juga ada kepala dan gerabak keretapi yang dipamerkan.
Masjid lama yang didirikan oleh pemerintah Ottoman berhampiran Stesen Keretapi Madinah.


Bersambung ke Bhg. 20...


CATATAN PERJALANAN (UMRAH & HARAMAIN 2017):