Sunday, 17 February 2013

2013 YOGYAKARTA

Februari 2013

JAWA TENGAH, INDONESIA
Yogyakarta 

HARI PERTAMA

Kalendar pengembaraan ke luar negara tahun 2013 dimulakan dengan perjalanan ke Yogyakarta, Indonesia pada musim cuti perayaan Tahun Baru Cina. Perjalanan kali ini menggunakan penerbangan terus Air Asia dari LCCT Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Adisucipto di Yogyakarta. 

Penerbangan ke Yogyakarta tertangguh selama 30 minit di LCCT sendiri kerana ada 8 penumpang tidak naik ke pesawat pada waktu yang ditetapkan. Oleh yang demikian, mengikut prosedur penerbangan, pihak Air Asia terpaksa mencari dan mengeluarkan beg-beg pakaian yang telah dicheck-in oleh penumpang-penumpang tadi.

Pesawat kami ke Yogyakarta. Lapan penumpang tidak muncul untuk menaiki pesawat ini walaupun selepas mendaftar masuk menyebabkan penerbangan lewat berlepas selama 30 minit.
Selepas semua beg yang berkenaan ditemui dan dikeluarkan barulah pesawat kami terbang menuju ke Pulau Jawa di mana letaknya bandaraya Yogyakarta.

Peta penerbangan dari Kuala Lumpur ke Yogyakarta
Disebabkan penerbangan berlepas pada waktu tengahari, agen pelancongan telah turut memasukkan pakej makanan di dalam tiket kami.

Set hidangan makanan tengahari kami di dalam pesawat Air Asia.
Tak cukup dengan Nasi Lemak dan Bukhara Chicken Briyani, ditambah pula dengan Maggi Kari dan Chicken Soup.
Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Yogyakarta memakan masa 2 jam 35 minit. Sebaik pesawat tiba di ruang udara Yogyakarta, terpegun melihat betapa padatnya penduduk di bandaraya ini. Kita tahu penduduk Jawa memang padat, tapi tak sangkalah pulak sepadat ini..

Beginilah padatnya penduduk di bandaraya Yogyakarta
Lapangan Terbang Adisucipto di Yogyakarta kecil sahaja tetapi sangat sibuk dengan pesawat-pesawat yang sentiasa tiba dan berlepas dari pelbagai destinasi di seluruh Indonesia. Destinasi antarabangsa yang dihubungi langsung menerusi lapangan terbang ini cuma Kuala Lumpur dan Singapura. 

Selepas melalui pemeriksaan imigresen dan mengambil beg pakaian, kami bertemu dengan Tourist Guide kami, Pak Nurzaien dan pemandu kereta, Pak Wiyono.

Lapangan Terbang Adisucipto di Yogyakarta, Indonesia.

Part 1: Prambanan

Dari Lapangan Terbang, kami terus dibawa ke Candi Prambanan yang terletak tidak berapa jauh dari situ. Dalam perjalanan, kami tertarik melihat sekumpulan "Lelaki Cantik" sedang mendekati kenderaan-kenderaan yang berhenti di lampu merah untuk mencari pelanggan.

"Lelaki-lelaki Cantik" dalam perjalanan ke Candi Prambanan.

CANDI PRAMBANAN 

Candi Prambanan adalah kompleks candi Hindu terbesar di Indonesia yang dibangunkan pada abad ke-9 Masehi. Candi ini juga telah mendapat pengiktirafan dari UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia.

Untuk masuk melawat candi ini, pengunjung diminta untuk memakai sarung yang disediakan oleh pihak Taman. Secara tak langsung, pemakaian sarung ini ditambah dengan bilangan pengunjung yang ramai, menimbulkan gambaran suasana kesibukan candi pada masa dahulu.

Semua pengunjung diwajibkan untuk memakai sarung begini untuk masuk ke kawasan Candi Prambanan.
Candi Prambanan
Pemandangan di dalam dataran utama Candi Prambanan
Tiga candi terbesar di dalam kompleks ini dipersembahkan untuk tiga dewa utama Hindu iaitu Brahma sebagai dewa pencipta, Vishnu sebagai dewa pemelihara, dan  Siva sebagai dewa pemusnah. Candi paling besar dikhususkan untuk Siva kerana masyarakat Jawa kuno yang beragama Hindu amat takut kepada kemusnahan yang dikatakan boleh dibawa oleh Siva.

Candi terbesar yang dibina dikhususkan kepada Dewa Siva.
Bandaraya Yogyakarta telah mengalami tiga bencana alam yang sangat besar pada abad ini: Gempa Bumi dan letusan Gunung Merapi pada tahun 2006; diikuti satu lagi letusan Gunung Merapi pada tahun 2010. 

Gempa bumi yang berlaku pada tahun 2006 sedikit sebanyak telah merosakkan struktur Candi Prambanan.Walaupun candi untuk Dewa Siva boleh dimasuki oleh pengunjung, mereka perlu memakai topi keras sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku keruntuhan yang tidak dijangka.

Pengunjung yang masuk melawat Candi Siva diwajibkan memakai topi keselamatan
Notis mengenai status keselamatan Candi Siva selepas Gempa Bumi pada tahun 2006.
Serpihan binaan ini terjatuh dari puncak sebuah candi sewaktu gempa bumi pada tahun 2006.
Monumen gempa bumi di Candi Prambanan

CANDI SEWU 

Sebuah lagi candi yang dilawati di Prambanan adalah Candi Sewu. Walaupun ia sebuah candi yang berbeza, candi ini masih terletak dalam kawasan arkeologi Candi Prambanan. Untuk ke sana, kami menaiki sebuah tram yang disediakan oleh pihak taman dari Candi Prambanan.
 
Tram yang membawa pengunjung dari Candi Prambanan ke Candi Sewu
Candi Sewu terletak 800 meter dari Candi Prambanan. Seperti Candi Prambanan, ia turut mengalami kemusnahan teruk dalam gempa bumi yang berlaku pada tahun 2006. 

Meskipun asalnya terdapat 249 candi, ia masih dinamakan "Sewu" yang bererti seribu dalam Bahasa Jawa berdasarkan kisah lagenda Loro Jonggrang. Lagenda Loro Jonggrang juga adalah sebuah kisah berlatar belakangkan kepercayaan Hindu, sekalipun Candi Sewu sebenarnya adalah sebuah candi Buddha.

Candi Sewu. Asalnya terdapat 249 candi di sini. Hanya beberapa buah sahaja yang masih berdiri selepas kejadian gempa bumi 2006.
Walaupun sukar, Kerajaan Indonesia dengan bantuan dari UNESCO berusaha memperbaiki semula candi yang rosak teruk ini dalam kejadian gempa bumi yang melanda pada tahun 2006.
Menurut lagendanya, seorang raja yang penuh sakti bernama Bandung Bondowoso telah jatuh cinta dan melamar seorang puteri yang cantik bernama Loro Jonggrang. Akan tetapi sang puteri menolak lamaran tersebut kerana Bandung Bondowoso telah membunuh ayahandanya. Bandung Bondowoso terus memujuk dan memaksa agar sang puteri berkahwin dengannya. Akhirnya Loro Jonggrang bersedia berkahwin dengan Bandung Bondowoso, tetapi dengan syarat beliau perlu membangunkan 1,000 candi untuknya dalam satu malam. Meskipun syarat itu amat berat dan mustahil untuk dipenuhi, Bandung Bondowoso telah menyanggupinya.

Sebagai raja yang penuh kesaktian, Bandung Bondowoso telah bersemadi dan memanggil makhluk-makhluk halus dari dalam bumi untuk membina 1,000 candi. Ketika Loro Jonggrang mendengar khabar bahawa seribu candi sudah hampir siap, sang puteri terus berusaha untuk menggagalkan Bondowoso. 

Loro Jonggrang membangunkan dayang-dayang istana dan perempuan-perempuan desa, lalu mengarahkan mereka supaya mula menumbuk padi. Kemudian, beliau memerintahkan supaya jerami dibakar di sebelah timur sehingga suasana menjadi terang-benderang. Mengira bahawa pagi telah tiba dan sebentar lagi matahari akan terbit, semua makhluk halus lari ketakutan dan bersembunyi masuk kembali ke dalam bumi. Akibatnya hanya 999 candi yang berjaya dibangunkan oleh Bandung Bondowoso dan seterusnya gagal memenuhi syarat yang diajukan oleh Loro Jonggrang. 

Ketika beliau mengetahui akan tipu muslihat Loro Jonggrang, Bandung Bondowoso amat murka dan menyumpah Loro Jonggrang menjadi batu. Sang puteri terus berubah menjadi arca yang paling indah untuk menggenapkan candi yang ke-1,000.

Pintu masuk ke candi ini dijaga oleh sepasang patung Dwarapala
Pengunjung berjalan di celah-celah keruntuhan Candi Sewu

Part 2: Kotagede

Lawatan seterusnya adalah ke kawasan yang dinamakan Kotagede yang pada masa dahulu merupakan pusat pemerintahan Kerajaan Islam Mataram.

Kotagede kini terkenal sebagai pusat penghasilan kraftangan perak.
Tujuan kami ke sini adalah untuk melawat Masjid Mataram. Namun disebabkan Pak Nurzaein tersilap arah, kami terpaksa berjalan merentasi kampung-kampung tradisional untuk sampai ke sana. Walaupun terpaksa berjalan jauh, kami tak kisah kerana ia memberikan kami peluang untuk melihat sendiri corak kehidupan sebenar penduduk Jawa tradisional.

Suasana perkampungan tradisional Jawa di Kotagede, Yogyakarta
Rumah hijau ini dimiliki oleh seorang penduduk yang berada
Walaupun rata-rata penduduk Jawa beragama Islam, ukiran-ukiran seperti di dinding rumah ini sering terdapat di mana-mana tempat.
Rumah-rumah di perkampungan Jawa dibina rapat-rapat dan sebahagian besarnya dibina dari batu. Walaupun sesak dan nampak tidak teratur, suasana di perkampungan rata-ratanya sangat bersih.

Kami juga melalui beberapa rumah adat yang dinamakan Rumah Joglo. Bahagian depan  Rumah Joglo terdampar luas tanpa sekatan dan biasanya digunakan untuk menerima tetamu atau dijadikan ruang permainan kanak-kanak dan juga tempat bersantai bagi keluarga. Atap ruang ini juga menjulang tinggi seperti gunung.

Salah sebuah Rumah Joglo yang kami temui di Kotagede

MASJID MATARAM 

Akhirnya kami tiba juga di Masjid Mataram, dari arah belakang.

Dinding pagar Masjid Mataram menunjukkan ia pernah berfungsi sebagai kubu pertahanan pada masa lampau.
Elemen-elemen pengaruh binaan Hindu jelas kelihatan di Masjid Mataram
Kerajaan Mataram pernah bangun memerintah dari  Yogyakarta sebanyak 2 kali. Kerajaan Mataram yang pertama beragama Hindu manakala Kerajaan Mataram kedua pula menerima agama Islam sebagai agama rasmi. Kami diberitahu, masjid ini adalah masjid yang pertama dibina oleh Kerajaan Mataram yang beragama Islam. Ia sengaja mengekalkan ciri-ciri binaan Hindu untuk menarik lebih ramai rakyatnya memeluk agama Islam.

Pintu masuk ke kawasan Masjid Mataram
Pemandangan courtyard Masjid Mataram
Klinik di dalam kawasan masjid
Kasut perlu dibuka di sini sebelum masuk ke dalam masjid.
Pada masa dahulu, pengunjung membasuh kaki melalui kolam air ini sebelum masuk ke dalam masjid.
Ruang solat terbuka di Masjid Mataram
Ruang solat di bahagian dalam Masjid Mataram
Mihrab dan Mimbar Masjid Mataram
Agak ganjil melihat terdapat ukiran naga pada mimbar masjid ini.
Untuk memelihara sejarah masjid ini, terdapat sedikit bahagian dinding bata asal dikekalkan dan dilindungi dengan kaca untuk memberi gambaran keadaan masjid ini pada masa dahulu.

KRAFTANGAN PERAK 

Selepas melawat Masjid Mataram, kami berjalan lagi mendapat kereta yang menunggu di depan sebuah pusat kraftangan perak. Dalam perjalanan, kami menempuh berbagai jenis kedai yang menjual barangan perak dari yang bersaiz kecil sehinggalah ke sebuah gedung yang besar.

Pasar Legi adalah mecu tanda utama di Kotagede
Salah sebuah kedai perak bersaiz kecil di Kotagede
Kereta kami menanti di depan gedung perak ini.
Oleh kerana ketika itu telah senja, hanya ruang pameran jualan sahaja yang masih dibuka. Bengkel pembuatan perak di belakang gedung telah ditutup.

Part 3: Restoran Den Nany

Sebelum check-in ke hotel, Pak Nurzaein membawa kami makan malam di Restoran Den Nany. Sambil makan, kami juga dihiburkan dengan nyanyian 'live' lagu-lagu pop Indonesia.

Restoran Den Nany di Yogyakarta
Hidangan makan malam yang ternyata sangat enak di Restoran Den Nany.

HARI KEDUA

Part 4: Ibis Styles Hotel 

Hotel penginapan kami di Yogyakarta adalah sebuah hotel bertaraf 3 bintang bernama Ibis Styles Hotel. Senibina di luar dan dalam bangunan hotel amat moden sekali.

Ibis Styles Hotel di Yogyakarta
Kawasan menurunkan penumpang di Ibis Styles Hotel. Seperti kebanyakan hotel lain di Indonesia, semua kenderaan yang masuk ke hotel ini akan diperiksa oleh pengawal keselamatan untuk memastikan tiada bom diletakkan di bawah kenderaan.
Pada waktu malam, bahagian luar hotel dihiasi dengan lampu-lampu bergerak seperti suasana hujan.
Kaunter pendaftaran masuk di Ibis Styles Hotel
Ruang menunggu berhampiran lobi
Permaidani berwarna-warni di sepanjang corridor hotel.
Bilik kami di Ibis Styles Hotel. Dinding bilik airnya "see-through" dan diperbuat dari kaca.
Kalau nak guna bilik air, terpaksa tarik turun tirai di bilik air untuk privacy.
Oleh kerana Yogyakarta terdedah kepada gempa bumi setiap 4 tahun, panduan keselamatan sekiranya berlaku gempa bumi disediakan di dalam bilik hotel.
Oleh kerana hotel ini bertaraf 3 bintang, tak banyak pilihan makanan dalam buffet breakfast yang disediakan. Namun dari pengalaman Myself yang pernah berkunjung beberapa kali ke Indonesia, sebenarnya lebih bagus menginap di hotel 3 bintang di negara tersebut berbanding hotel bertaraf 4 atau 5 bintang kerana makanan di restoran hotel-hotel mewah banyak yang tidak halal.

Restoran di Ibis Styles Hotel
Sarapan pagi di Ibis Styles Hotel

Part 5: Gunung Merapi 

Lawatan hari kedua berkisar di sekitar Gunung Merapi dan Candi Borobudur.

CANGKRINGAN 

Cangkringan adalah sebuah kawasan desa yang terletak di kaki Gunung Merapi. Desa ini musnah dalam letusan Gunung Merapi pada bulan November 2010. Kini, kawasan tersebut dikunjungi oleh pelawat-pelawat yang ingin menyaksikan sendiri kesan kemusnahan dari bencana alam tersebut.

Perjalanan dari Yogyakarta ke Cangkringan mengambil masa kurang dari 1 jam. Dalam perjalanan, kami melalui kampus Universitas Gadjah Mada yang terkenal di Indonesia.

Kampus Universitas Gadjah Mada di Yogyakarta
Pemandangan sawah padi dalam perjalanan dari Yogyakarta ke Cangkringan. Di sebalik kemusnahan yang dibawa, lahar gunung berapi juga menganugerahkan tanah yang subur kepada Pulau Jawa.
Pintu Masuk ke Kawasan Wisata "Volcano Tour" di Cangkringan.
Di kaki gunung, terdapat beberapa buah kampung yang terselamat dari letusan Gunung Merapi dan masih dihuni sehingga ke hari ini. Semakin dekat dengan Gunung Merapi, hanya terdapat tinggalan kesan-kesan perkampungan yang telah musnah.
Kesan salah sebuah rumah yang musnah dalam letusan Gunung Merapi. Selepas 2 tahun berlalu, tanah-tanah gersang yang dulunya dipenuhi lava kini telah ditumbuhi rumput-rumput liar.
Di perkampungan-perkampungan yang dilalui, dapat ditemui beberapa buah bunker seperti ini untuk penduduk kampung berlindung dari awan panas letusan Merapi.

MERAPI LAVA TOUR 

Untuk meninjau kesan kemusnahan Merapi dengan lebih dekat, pengunjung boleh memilih untuk berjalan, menyewa motorsikal yang dipandu sendiri atau menyewa sebuah jeep yang lengkap dengan pemandu. Kami memilih untuk menyewa jeep dengan bayaran 250,000 Rupiah (sekitar RM80).

Jeep yang boleh disewa untuk bersiar-siar di sekitar Gunung Merapi
Bergambar dengan Jeep Merapi Lava Tour
Memanjat naik untuk masuk ke dalam Jeep
Menjelajah lereng Gunung Merapi dengan menaiki jeep. Perhatikan betapa dalamnya lurah ini yang dikelar lahar panas gunung berapi.
Aspek keselamatan kurang dititik beratkan di Indonesia, makanya jeep-jeep yang disediakan tidak dilengkapi dengan talipinggang keselamatan. Oleh kerana jalan yang dilalui curam dan tidak rata, maka kami sering saja terlambung-lambung hampir sepanjang masa. Pengalaman ini mungkin boleh disamakan dengan menyertai Paris-Dakar Rally yang terkenal itu.

Beginilah keadaan sebahagian besar jalan yang dilalui selama hampir 2 jam mengikuti Lava Tour di Cangkringan. Jalan ini sebenarnya adalah lahar yang telah kering. Mengikut kata pemandu jeep, kepanasan lahar ini hanya hilang dan selamat dilalui selepas setahun dimuntahkan dari perut Gunung Merapi.
Untuk mengelak dari tercampak keluar dari jeep, ada ketikanya kami terpaksa berpaut kuat kepada besi keselamatan di sisi jeep. Cat besi ini juga banyak yang telah tertanggal, mungkin disebabkan kesan peluh  pautan tangan penumpang-penumpang yang pernah menaiki jeep.
Sebagai persediaan menghadapi kemungkinan letusan, Kerajaan Indonesia membina empangan-empangan di lereng-lereng gunung berapi yang berpotensi menjadi laluan lahar termasuklah di sekitar Merapi. Walau bagaimanapun, kuantiti lahar dari letusan Merapi pada tahun 2010 ternyata sangat banyak dan di luar jangkaan sehingga tidak dapat ditampung oleh binaan yang disediakan.

Empangan yang dibina untuk menahan aliran lahar dari Gunung Merapi.
Pengalaman menaiki jeep menjelajah lereng Gunung Merapi sangat sukar untuk dilupakan. Kawasan bekas perkampungan yang dilalui musnah teruk dalam letusan Merapi dan tidak lagi mempunyai jalan-jalan berturap.

Untuk mendapatkan wang bagi membina kembali rumah mereka yang musnah, penduduk-penduduk mengenakan "tol" kepada pelancong-pelancong yang melalui kawasan tanah dan rumah mereka. Bayaran tol ini walau bagaimanapun diuruskan oleh pemandu jeep, memandangkan kosnya telah diambil kira dalam sewaan jeep.

Rumah di perkampungan ini musnah terbakar secara langsung oleh kepanasan lahar yang dimuntahkan oleh Gunung Merapi. Kampung ini terletak 7 km dari kawah Gunung Merapi.
Tidak semua perkampungan di lereng Merapi musnah disebabkan terbakar oleh kepanasan lahar. Ada di antaranya musnah terkena "lahar sejuk". Letusan Merapi menyebabkan tanah sekeliling gunung menjadi longgar. Apabila hujan turun dengan lebatnya, maka terjadilah tanah runtuh dan banjir lumpur yang melanda sehingga memusnahkan pula beberapa kampung yang lain.

Kampung yang dimusnahkan oleh lahar sejuk. Perhatikan ketinggian lahar sejuk yang ketinggiannya separuh dari ketinggian tingkap.
Kami dibawa ke bekas sebuah kampung yang dinamakan Dusun Jambu. Tarikan di sini adalah sebuah batu besar yang termuntah dari Gunung Merapi yang dinamakan Batu Alien.

Haiwan-haiwan ternakan turut menjadi korban Merapi. Tulang lembu yang menjadi korban Merapi diabadikan sebagai kenangan di kawasan yang dulunya bernama Dusun Jambu.
'Kepala Alien' yang dimuntahkan dari Gunung Merapi, terseret sejauh 7 km ke kawasan ini.
Papan tanda yang didirikan untuk memperingati Dusun Jambu
Persinggahan Lava Tour terakhir adalah bekas sebuah kampung yang dinamakan Kaliadem. Pada masa dahulu, perkampungan yang terletak 4 km dari kawah Merapi ini adalah kampung yang paling hampir dengan Merapi.

Di sini jugalah tinggalnya seorang tua yang bernama Mbah Marijan yang merupakan juru kunci bagi Merapi. Juru kunci adalah penjaga tempat-tempat keramat di Pulau Jawa. Mereka bertugas mengunci semua rahsia buruk dan menjaga semua kebaikan supaya tetap terjalin hubungan serasi antara masyarakat, adat dan alam sekeliling. Walau tidak dibayar gaji, mereka memiliki kedudukan penting dan terhormat di kalangan masyarakat adat.

Pada tahun 2006, sewaktu Yogyakarta dilanda gempa bumi berskala 5.9 Richter, Kerajaan Indonesia mengesan kemungkinan letusan Merapi berlaku dan mengarahkan penduduk sekitar Merapi untuk berpindah keluar. Walau bagaimanapun, Mbah Marijan enggan berpindah kerana mengikut katanya, Gunung Merapi tidak akan meletus. Malah selaku juru kunci Merapi, Mbah Marijan telah naik ke puncak gunung untuk berdoa supaya Merapi tidak memberikan kemusnahan yang besar. 

Merapi hanya meletus sebulan kemudian, tanpa kemalangan jiwa yang besar dan peristiwa itu menjadikan Mbah Marijan seorang yang terkenal. Pada tahun 2010, Kerajaan Indonesia sekali lagi mengeluarkan amaran mengenai letusan Merapi dan mengarahkan penduduk berpindah keluar. Sekali lagi juga, Mbah Marijan tidak keluar dan oleh kerana penduduk kampung mempercayai Mbah Marijan mampu menjinakkan Merapi sekali lagi, mereka turut mengingkari arahan untuk berpindah. Tetapi tidak seperti letusan pada tahun 2006, Merapi meletus hebat pada tahun 2010 dan mengorbankan beratus-ratus nyawa, termasuklah Mbah Marijan sendiri.

Inilah bekas perkampungan Mbah Marijan yang menjadi bagaikan padang jarak padang terkukur. Kini kawasan ini menjadi tapak mula untuk pendakian ke kawah gunung Merapi.
Kawasan ini terletak hanya kira-kira 3 km dari Merapi.  Bayangkan kalau anda berada di sini sewaktu lahar mengalir turun dari atas sana. Kata Pak Nurzaein, lahar hanya mengambil masa 30 minit untuk sampai ke sini dari puncak Merapi.
Gunung Merapi masih hidup sehingga ke hari ini. Sekiranya awan tak tebal macam waktu kami di sana, puncak Merapi yang masih membakar dan kemerah-merahan dapat dilihat pada masa sekarang, terutama di waktu malam.
Pokok-pokok hutan yang masih mempunyai kesan kebakaran dari awan panas.
Amat sukar sekali berjalan di atas kesan lahar kering ini kerana terdapat banyak puing-puing batu yang longgar. Kalau tak berhati-hati melangkah, boleh tergolek jatuh ke bawah.

Part 6: Muzium Gunungapi Merapi

Merapi kami tinggalkan dengan perasaan penuh insaf akan kekuasaan Allah. Ternyata, Allah Maha Pengasih kepada hamba-hambaNya kerana di sebalik kemusnahan, Dia turut menganugerahkan tanah yang subur untuk membolehkan mereka yang terselamat meneruskan kehidupan.

Salah sebuah lurah laluan lahar Merapi yang ditempuhi.
Destinasi seterusnya ialah Muzium Gunungapi Merapi untuk mempelajari dengan lebih lanjut tentang Gunung Berapi. Di Indonesia yang mempunyai beribu-ribu pulau, satu-satunya pulau yang terselamat dari ancaman gunung berapi ialah Kalimantan. Gunung berapi terbesar pula adalah di Krakatau. Mujurlah tak ada orang tinggal di Pulau Krakatau kerana kalau gunung itu meletus sekarang, pasti banyak nyawa yang terkorban.

Muzium Gunungapi Merapi
Model Gunung Merapi di pintu masuk muzium
Pelbagai informasi tentang gunung berapi boleh didapati di sini
Gunung-gunung berapi terdapat di semua pulau utama di Indonesia, kecuali di Kalimantan. 
Kami juga sempat menonton sebuah filem dokumentari bertajuk "Di Bawah Langit Merapi".
Pameran mengenai bentuk-bentuk letusan Gunung Merapi

Part 7: Borobudur 

Di sebelah petang, perjalanan diteruskan ke sebuah lagi Tapak Warisan Dunia yang terdapat di Yogyakarta, Candi Borobudur. Dalam perjalanan, kami dibawa melihat dengan dekat pokok buah salak pondoh (snake fruit) yang banyak terdapat di Yogyakarta.

Pokok Salak Pondoh
Kami juga dapat melihat majlis perkahwinan yang diadakan di sebuah kampung dalam perjalanan.

Majlis perkahwinan di sebuah kampung
Di banyak tempat, kami melihat pembaikan-pembaikan kesan dari kemusnahan akibat gempa bumi dan letusan Gunung Merapi masih dijalankan.

Sungai ini tertimbus dengan lahar dari Gunung Merapi. Kerja-kerja pengorekan untuk mengembalikan aliran air sungai sedang dilaksanakan pada masa sekarang.
Sebelum melawat ke candi Borobudur, kami singgah dulu makan tengahari di Restoran Ansor's Silver yang terletak di tepi sawah.

Restoran Ansor's Silver di Borobudur
Dekorasi menarik di Restoran Ansor's Silver
Taman tradisional Jawa di Restoran Ansor's Silver
Restoran Ansor's Silver juga mempunyai surau. Jadi kami bersolat jamak dulu di sini sebelum meneruskan perjalanan ke Candi Borobudur.

Orang Jawa gemar memelihara burung di dalam sangkar dan salah satu aktiviti rekreasi tradisi mereka adalah lumba burung merpati. Dalam perjalanan, Pak Nurzaein turut menunjukkan kami tempat melatih burung merpati berlumba. Namun begitu, kami tak berkesempatan menyaksikan bagaimana proses sebenar latihan dilaksanakan.

Gelanggang latihan lumba burung merpati

CANDI BOROBUDUR

Candi Borobudur
Inilah Candi Borobudur, sebuah lagi Tapak Warisan Dunia yang diiktiraf oleh UNESCO di Yogyakarta. Tidak seperti kompleks Candi Prambanan, yang terdiri dari berpuluh-puluh candi, Candi Borobudur hanya mempunyai sebuah candi yang saiznya amat besar.

Pengiktifaran dari UNESCO akan Candi Borobudur sebagai Tapak Warisan Dunia yang ke-592.
Laluan ke candi dari pintu masuk utama
Seperti juga di Candi Prambanan, pengunjung ke Candi Borobudur dikehendaki memakai sarung batik untuk masuk ke sana.

Berkain batik untuk masuk ke Candi Borobudur. Terpaksa juga berpayung kerana ketika itu hujan renyai-renyai.
Candi yang besar ini sebenarnya dibina dalam 10 tingkat.
Oleh kerana besar candinya, tangganya juga cukup tinggi. Tiga hari selepas balik ke Malaysia, barulah hilang rasa tegang urat kaki kerana memanjat naik ke atas sana
Candi Borobudur dibina bertingkat-tingkat. Bahagian dasar Borobudur melambangkan manusia yang masih terikat nafsu.

Bergambar kenangan di dasar Candi Borobudur
Ukiran-ukiran batu pada bahagian bawah Candi Borobudur menggambarkan keadaan manusia yang masih terikat dengan hawa nafsu
Setiap tingkat memiliki relief-relief indah yang menunjukkan kemahiran pengukirnya. Selain ukiran-ukiran mengenai kepercayaan agama Buddha, terdapat juga ukiran yang menggambarkan keadaan masyarakat pada masa itu.

Papan keterangan di sebelah ukiran.
Penerangan mengenai Hukum Karma
Empat tingkat di atasnya melambangkan manusia yang telah dapat membebaskan diri dari nafsu namun masih terikat rupa dan bentuk. Pada  tingkat tersebut, patung-patung Buddha diletakkan secara terbuka.

Terdapat lebih 500 buah patung Buddha di Candi Borobudur. Sebahagian besar darinya telah rosak.
Pemandangan di lorong pada tingkat tengah candi.
Satu lagi pemandangan di lorong pada tingkat tengah candi.
Sebahagian ajaran Buddha disampaikan dalam bentuk cerita-cerita teladan menggunakan binatang yang dinamakan Jataka.
Berdasarkan ukiran ini, seorang ahli sejarah Eropah dengan sokongan Kerajaan Indonesia telah membina semula kapal tersebut dan membuktikan rekabentuk kapal ini benar-benar boleh berlayar sehingga ke Afrika.
Sementara, tiga tingkat paling atas di mana Buddha diletakkan di dalam stupa yang berlubang-lubang melambangkan manusia yang telah terbebas dari nafsu, rupa, dan bentuk. Bahagian yang paling atas melambangkan nirwana, tempat Buddha bersemayam.

Cuaca semakin gelap dengan awan mendung dan hujan sewaktu kami tiba di puncak candi yang menggambarkan 'nirwana'.


Patung singa penjaga nirwana
Stupa-stupa berlubang di tingkat paling tinggi Candi Borobudur
Ketika kami berada di 'nirwana' ini, hujan renyai-renyai tadi bertukar menjadi lebat dengan disertai angin kencang. Semua pengunjung bertempiaran lari mencari perlindungan. Walaupun berpayung, kami tetap basah lencun.

Hujan ribut di "Nirwana"
Selepas sekian lama, hujan tidak menunjukkan tanda akan berhenti. Di tengah-tengah hujan ribut itu, pengunjung-pengunjung termasuklah kami, mula bergerak ke arah tangga untuk turun ke bawah. 

Sementara menanti hujan berhenti, Pak Nurzaein membawa kami melawat ke Museum Samudraraksa di perkarangan Candi Borobudur. Muzium ini menempatkan kapal Samudraraksa yang dibina berdasarkan ukiran batu di Candi Borobudur. Apa yang menakjubkan walaupun binaannya sangat simple kerana menggunakan teknologi pembinaan kapal zaman dahulukala sepenuhnya, ternyata ia mampu berlayar sehingga ke Madagascar dan Ghana di Afrika.

Pintu masuk ke Muzium Samudraraksa
Kapal Samudraraksa
Sejarah pelayaran kapal Samudraraksa sehingga ke Afrika
Kompleks Candi Borobudur ditutup untuk kunjungan bermula pukul 5 petang. Sehingga ke waktu itu, hujan lebat dan angin kencang masih belum reda.

Kami akhirnya pulang ke Yogyakarta tanpa melawat Candi Borobudur dengan lebih lanjut. Namun demikian, hati tetap merasa puas dapat melihat sendiri Warisan Dunia ini. Dalam hati juga bersyukur kerana kami hanya diuji dengan hujan lebat dan angin kencang dan bukan sesuatu yang lebih hebat seperti gempa bumi atau letusan Merapi sewaktu berada di sana.

Dalam perjalanan pulang, kami melalui Candi Mendut. Pak Nurzaein menawarkan untuk membawa kami singgah sebentar di sini, tetapi memandangkan dah basah kuyup kehujanan, kami membuat keputusan untuk hanya mengambil gambar dari dalam kereta sahaja.

Candi Mendut

Part 8: Restoran Pesta Perak

Malam itu, kami dibawa makan malam di sebuah restoran yang bernama Pesta Perak. Makanan yang disediakan adalah masakan tradisional Jawa yang dihidang secara buffet.

Restoran Pesta Perak
Hidangan masakan tradisional Jawa

HARI KETIGA

Part 9: Jalan Malioboro

Disebabkan kunjungan ke kota Yogyakarta amat singkat, kami sebenarnya tak berkesempatan mengelilingi kota ini. Oleh yang demikian, pada pagi terakhir di sana kami mencuri kesempatan di awal pagi berkunjung ke kawasan komersil utama Yogyakarta yang dinamakan Jalan Malioboro.

Becak-becak yang menunggu penumpang di depan Ibis Styles Hotel
Kereta kuda beroda empat banyak sekali di Yogyakarta
Pelajar-pelajar menengah sedang berjalan kaki ke sekolah
Hotel penginapan kami, Ibis Styles Hotel terletak tidak sampai 10 minit berjalan kaki ke Jalan Malioboro. Namun begitu, mungkin disebabkan kami nampak sangat berbeza dari orang tempatan, kami sentiasa dihimpit pemandu-pemandu beca (dipanggil becak di sini) yang menyuruh kami menggunakan perkhidmatan mereka.

Pemandangan di Jalan Malioboro
Pusat membeli-belah Mal Malioboro
Satu lagi pemandangan di Jalan Malioboro. Ibis Styles Hotel terletak di sebalik pintu gerbang ini.
Penduduk tempatan sedang bersarapan pagi di Jalan Malioboro
Pemandangan bersarapan pagi di tepi jalan begini mungkin tidak terdapat di Malaysia.
Peniaga kasut sedang menyusun barangan untuk memulakan jualan
Masjid Malioboro

Part 10: Taman Sari 

Masih ada lagi tempat menarik yang dikunjungi pada pagi terakhir di Yogyakarta. Sebaik selepas check-out dari hotel, kami dibawa ke Taman Sari.

Pada masa dahulu, Taman Sari adalah istana yang menempatkan gundik-gundik raja. Ia sebenarnya dibina mengelilingi takungan air. Sekarang, istana ini hanyalah runtuhan yang sedang dibaikpulih dan tidak langsung dikelilingi air.

Pemandangan dari Pasar Ngasem. Runtuhan di belakang sana adalah istana Taman Sari yang sebenarnya dibina bagai sebuah pulau. Seluruh kawasan pasar ini dipenuhi dengan air pada masa dahulu.
Pak Nurzaein membawa kami masuk ke Taman Sari dari bahagian belakang yang kini menempatkan Pasar Ngasem. Pasar ini menjual barang makanan mentah, namun ia sangat bersih dan tidak berbau.

Penjual ayam di Pasar Ngasem
Penjual sayur di Pasar Ngasem
Kuih-kuih tempatan yang dijual di Pasar Ngasem.

TAMAN SARI 

Taman Sari sebenarnya  terdiri daripada beberapa bahagian. Pada zaman dahului Taman Sari ini dikawal ketat dan lelaki dilarang masuk sama sekali. Hanya wanita (yang terdiri dari gundik-gundik dan puteri-puteri raja)  sahaja yang dibenarkan masuk. Satu-satunya lelaki yang dibenarkan masuk ke sini ialah Sultan. Tapi tak dapat dipastikan sama ada larangan ini untuk seluruh istana atau di kawasan-kawasan tertentu sahaja.

Pada masa dahulu, kawasan ini dipenuhi dengan air.
Ini adalah tambatan perahu untuk masuk ke istana Taman Sari. Pada masa kini, terdapat banyak rumah telah dibina di sekeliling istana dan juga di kawasan lapang dalam perkarangan istana.
Pintu masuk ke istana dari tambatan perahu.
Bahagian belakang Taman Sari menempatkan aktiviti-aktiviti kurang glamour di istana seperti dapur dan bilik-bilik kediaman gundik. Sebahagian besar struktur bangunan di sini mengalami kerosakan akibat gempa bumi tahun 2006 dan kini sedang diperbaiki dengan bantuan UNESCO.

Pemandangan bahagian belakang istana
Kawasan lapang di sekeliling dan juga di dalam Taman Sari sendiri yang dahulunya dipenuhi air kini dipenuhi dengan rumah - rumah, yang mana bagi Myself mencacatkan suasana sebenar kota ini. Kata Pak Nurzaein, penduduk ini tinggal di sana dengan kebenaran dari Sultan Yogjakarta.

Di tengah-tengah perkampungan (yang dulunya kawasan berair), kami dapat melihat sebuah bangunan bulat yang merupakan masjid Taman Sari yang sebahagian besarnya dibina di bawah tanah (dulunya, di bawah air).

Masjid Taman Sari
Pintu masuk ke Masjid Taman Sari
Pemandangan di dalam lorong bawah tanah untuk masuk kedalam Masjid
Bukaan seperti pintu yang kelihatan adalah sebenarnya mihrab masjid
Di tengah – tengah masjid terdapat ruangan yang terbuka dengan cahaya matahari. Di situ, terdapat tangga yang menghubungkan tingkat atas dan tingkat bawah.

Bergambar di ruang tengah masjid yang open-air.
Binaan tangga di tengah masjid ini ada 5 buah semuanya: 4 naik ke atas platform dan hanya 1 dari platform ke tingkat atas. Falsafah di sebalik pembinaan tangga begini adalah jika kita berada di persimpangan (digambarkan dengan platform di tengah), ada 4 cara mudah turun ke bawah (kebanyakannya berkait dengan amalan dosa) dan 1 jalan sukar naik ke atas (yang berkait dengan amalan pahala).

Pemandangan platform dari tingkat atas.
Walaupun ada jalan yang lebih sejuk dari Masjid menuju ke bangunan utama Taman Sari, kami memilih melalui kawasan perkampungan.

Pemandangan kawasan perkampungan dalam Taman Sari
Binaan bangunan utama Taman Sari adalah tempat pemandian gundik-gundik (yang dalam bahasa Indonesia dipanggil Selir) Sultan. Jika kita masuk ke Taman Sari dari arah depan, inilah tempat pertama yang akan kita temui.

Dataran di hadapan kawasan pemandian
Pintu masuk ke kawasan pemandian. Binaannya berciri Eropah kerana ia direka oleh seorang arkitek berbangsa Portugis.
Halaman berhampiran pintu masuk ke kawasan pemandian
Ada 3 buah kolam di kawasan pemandian Taman Sari. Satu kolam dikhaskan untuk puteri-puteri raja, satu untuk gundik-gundik raja manakla sebuah lagi yang terasing dari kolam untuk puteri dan gundik raja, dikhaskan untuk kegunaan Sultan dan gundik yang terpilih untuk menemani Sultan.

Kolam pemandian di Taman Sari
Kolam untuk gundik dan puteri-puteri raja dibina bersebelahan.
Ada sebuah menara yang dibina untuk Sultan mengintai gundik-gundiknya bersiram. Dari situlah Sultan akan memilih gundik yang akan menemaninya mandi di kolam bersebelahan.

Menara tempat Sultan memilih gundik yang berkenan di hati.
Pintu masuk rasmi ke Kompleks Taman Sari.

Part 11: Kraton

Walaupun Indonesia merupakan sebuah negara republik, Yogyakarta mempunyai Sultan yang masih berkuasa sebagai Gabenor di sini. Kami juga diberitahu, beliau adalah satu-satunya Sultan yang masih mempunyai kuasa di Indonesia.

Keistimewaan ini diberikan kerana menghargai jasa baginda sebagai satu-satunya Sultan yang membantu menentang penjajahan Belanda pada masa dahulu. Tidak sekadar itu, malah jawatan Gabenor Yogyakarta juga boleh diwarisi oleh keturunan baginda.

Sultan Yogyakarta tinggal di sebuah istana yang dipanggil Kraton. Istana ini dipenuhi dengan pameran-pameran tentang sejarah kesultanan Yogyakarta.

Tempat membeli tiket untuk masuk ke dalam Kraton
Penjaja-penjaja di halaman depan Kraton
Untuk melawat ke dalam Kraton, kita perlu menggunakan khidmat Tourist Guide dalaman Kraton.

Makcik ini adalah Tourist Guide kami sewaktu melawat Kraton.
Kraton masih didiami oleh Sultan Yogyakarta dan keluarganya. Kraton ini masih terurus rapi dan terpelihara kerana Sultan masih mempunyai pendapatan tetap sebagai Gabenor Yogyakarta. Kami dimaklumkan Kraton-kraton lain di Jawa tidak berkeadaan seperti ini.

Pemandangan dalam perkarangan Kraton
Koleksi pasu porselin Sultan
Satu lagi pemandangan di dalam perkarangan Kraton
Kraton ini mempunyai banyak bahagian. Ada kawasan kediaman khas bagi Sultan dan Permaisuri, kawasan kediaman putera-putera Sultan, kawasan kediaman puteri-puteri Sultan dan juga oleh kerana Sultan pada masa dahulu mempunyai ramai gundik (selir) ada juga kawasan kediaman yang dikhaskan untuk mereka.

Pada masa kini, hanya kawasan kediaman untuk Sultan dan Permaisuri serta kawasan kediaman untuk puteri-puteri Sultan sahaja yang dihuni kerana Sultan sekarang hanya mempunyai seorang isteri dan 5 orang puteri. Kawasan untuk putera Sultan kosong kerana Sultan tak punya anak lelaki dan kawasan kediaman selir juga kosong kerana Sultan sekarang tidak lagi mengamalkan menyimpan gundik. 

Pegawai-pegawai kraton dinamakan Abdi Dalem dan mereka begitu taat berkhidmat kepada Sultan. Mereka juga sangat jelas berpegang kuat kepada adat.

Abdi-abdi Dalem yang sedia berkhidmat untuk Sultan
Sebelum duduk di kawasan yang ditetapkan, Abdi Dalem akan mengadap bangunan utama di mana Sultan bersemayam dan mengangkat sembah tanda hormat.
Abdi Dalem ini duduk di atas tanah berasingan dari abdi-abdi lain kerana dia masih junior dan belum layak duduk bersama abdi-abdi yang senior.
Kami juga dibawa melawat barang-barang koleksi peribadi dan hadiah-hadiah dari pelbagai pembesar negara luar yang disimpan di Kraton. Malah sebahagian besar lawatan berkisar kepada perkara tersebut sampai kami rasa tak larat lagi nak ikut.

Koleksi hadiah-hadiah yang diterima oleh Sultan
Porselin pemberian seorang raja dari benua Eropah ini retak dalam kejadian gempa bumi pada tahun 2006.
Di akhir lawatan, kami berhenti sebentar di pentas utama Kraton untuk menyaksikan persembahan muzik dan nyanyian gamelan. Agak malang kerana kami tak dapat menyaksikan persembahan tarian tradisional Jawa dan wayang kulit yang hanya diadakan pada hari minggu.

Alat muzik gamelan sebelum persembahan dimulakan.
Penyanyi gamelan di tengah tu sangat cantik. Kalau dia hidup di zaman dulu, pasti dah terpilih menjadi selir raja.

Part 12: Berakhir Sebuah Pengembaraan 

RESTORAN SAPTOHOEDOJO 

Percutian singkat 3 Hari 2 Malam ke Yogyakarta berakhir juga. Sebelum berlepas pulang, kami singgah makan tengahari di Restoran Saptohoedojo.

Restoran Saptohoedojo
Selain merupakan sebuah restoran, ia juga mempunyai sebuah kedai kraftangan batik di sini.

Perhiasan di dalam Restoran Saptohoedojo
Ruang makan di restoran
Restoran Saptoheodojo terletak kurang 5 minit dari Lapangan Terbang Adisucipto.

Tempat check-in di Lapangan Terbang Adisucipto
Ruang menunggu internasional di Lapangan Terbang Adisucipto. Mereka semua ini adalah penumpang Air Asia ke Kuala Lumpur seperti kami.
Dalam masa 2 jam kami menunggu di Airport, ada lebih kurang 10 buah pesawat tiba dan berlepas dari sini ke seluruh destinasi di Indonesia. Begitulah sibuknya Lapangan Terbang Adisucipto. Ada sebuah flight tu (Express Air namanya) tiba di Yogyakarta setelah singgah di 6 destinasi sebelumnya!

Pesawat Garuda yang baru tiba dari Jakarta
Pertama kali Myself melihat peramugari Garuda Airways dari dekat
Flight Air Asia kami terlewat tiba di Yogyakarta selama hampir 30 minit. Sebaik semua penumpang dari KL turun, kami terus dibenarkan naik ke dalam pesawat.

Menaiki pesawat untuk balik ke Kuala Lumpur
Walaupun lewat berlepas 20 minit dari jadual, kami tetap tiba di Kuala Lumpur mengikut jadual. Terasa sungguh pilot kapalterbang tu memecut bukan main laju lagi, walaupun banyak berdepan dengan turbulence sepanjang perjalanan!




CATATAN PERJALANAN LAIN (JAWA, INDONESIA):