Saturday 1 January 2005

2005 - 2006 HAJI

Dis 2005 - Jan 2006

ARAB SAUDI
Ibadah Haji Di Tanah Suci

Myself dan Husband telah terpilih untuk mengerjakan ibadah Haji di Makkah pada penghujung tahun 2005 (1426H). Secara kebetulan, Abang dan isterinya juga terpilih untuk mengerjakan Haji pada musim yang sama. 

Namun begitu, kami tidak bertolak ke Makkah bersama-sama. Abang dan isteri memilih untuk bertolak ke Tanah Suci pada awal musim haji manakala myself dan husband memilih untuk berlepas ke Tanah Suci pada penghujung musim Haji tersebut.

BAHAGIAN 1: IBADAH HAJI DI MAKKAH

Part 1: Ibadah Haji

Disebabkan Myself dan Husband berlepas pada penghujung musim haji, kami terus saja dibawa ke kota Makkah. Penerbangan Saudia dari Kuala Lumpur ke Jeddah memakan masa kira-kira 8 jam. Semua jemaah haji diuruskan di King Abdul Aziz International Airport di Jeddah melalui Terminal Haji.

Terminal Haji di Jeddah
Dari Terminal Haji di Jeddah para jemaah dibawa menaiki bas ke Makkah.

Bas membawa Jemaah Haji ke Makkah
http://i0.wp.com/syiarislam.files.wordpress.com/2011/05/petasaudiarabia.jpg
Peta perjalanan dari Jeddah ke Makkah.
Di Makkah, kami tinggal di Hotel Firdous Makkah, berhadapan dengan Pintu King Fahd di Masjidil Haram.

Hotel Firdous Makkah. Di bawah hotel, ada kedai menjual aiskrim dan jus buah-buahan yang sangat sedap.
Pemandangan Masjidil Haram dari Hotel Firdous Makkah. Pintu masuk ke Masjidil Haram di tengah-tengah gambar adalah Pintu King Fahd
Secara kebetulan, kami tiba di Makkah sewaktu Jemaah Haji sedang berduyun-duyun bergerak ke masjid untuk menunaikan Solat Jumaat. Maka, bas kami terpaksa bergerak seperlahan semut di celah-celah lautan manusia yang menuju ke Masjidil Haram.

Sebaik meletak beg, husband terus bergegas menunaikan Solat Jumaat. Tapi disebabkan dia terlewat tiba, terpaksalah Husband merasai pengalaman bersolat Jumaat di landing tangga masuk ke Masjidil Haram.


Umat Islam sedang bersolat di Dataran Masjidil Haram. Gambar ini diambil di penghujung musim Haji sewaktu Jemaah telah ramai meninggalkan kota Makkah. Pada waktu puncak Musim Haji, tempat-tempat lapang di dataran ini seperti yang terlihat di dalam gambar tidak kelihatan. Seluruh ruang dipenuhi manusia yang mencari keredhaan Allah.

Part 2: Perjalanan Ibadah Haji

Secara umumnya perjalanan ibadah haji akan bermula apabila Jemaah Haji meninggalkan hotel masing-masing di kota Makkah menuju ke Arafah untuk berwukuf. Lazimnya mereka akan tidur di sini selama satu malam dalam khemah yang telah disediakan.

Dari Arafah, Jemaah Haji seterusnya akan bergerak ke Mina di mana mereka perlu berada di sana selama 3 hari untuk melontar di ketiga-tiga Jamrah yang terletak di sana. Dalam perjalanan ke Mina, mereka akan melalui sebuah kawasan yang dinamakan Muzdalifah.

Selepas bermalam di Mina, Jemaah akan kembali ke Makkah untuk menghabiskan manasik (perbuatan-perbuatan dalam ibadah) haji mereka. Selepas semuanya diselesaikan, perkara yang seterusnya dilakukan ialah menambahkan ibadah sehingga tiba waktu pulang ke Malaysia.


http://kbihmandirisolo.files.wordpress.com/2012/09/sekitar-makkah.jpg
Peta lokasi-lokasi yang akan dikunjungi oleh semua Jemaah dalam melaksanakan ibadah Haji.

Part 3: Wukuf Di Arafah

Pada 9 Zulhijah, setelah gelincir matahari (masuk waktu zuhur), maka masuklah waktu wukuf. Berakhirnya waktu wukuf adalah setelah terbit fajar subuh, pada 10 Zulhijah.

Wukuf bermaksud berada di bumi Arafah walau satu saat sekalipun dan dalam sebarang keadaan. Yang afdalnya berwukuf sebahagian daripada siang hari 9 Zulhijah dan sebahagian daripada malam 10 Zulhijah.


Pemandangan lorong antara khemah yang disediakan oleh Tabung Haji di Arafah
Pemandangan dalam khemah wanita di Arafah
Kenangan bersama Suami, Abang dan Kakak Ipar sewaktu wukuf di Arafah.

Part 4: Melontar Jamrah Di Mina

Perjalanan ibadah seterusnya dari Arafah adalah ke Mina untuk bermalam di sana. Tujuan jemaah bergerak ke sana adalah sebenarnya untuk melontar di ketiga-tiga Jamrah.

Ibadah melontar adalah mengenangkan peristiwa di mana Nabi Ibrahim a.s telah diuji Tuhan untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. Demi keimanan kepada Tuhan, kedua-dua beranak tersebut bersedia untuk melaksanakan perintahNya dan berjalan ke arah bukit di Mina untuk melaksanakan perintah tersebut.

Dalam perjalanan, kedua-dua mereka telah diganggu oleh Syaitan yang ingin menyesatkan kedua mereka supaya ingkar kepada perintah Allah. Lalu kedua-dua mereka melontar batu ke arah Syaitan. Peristiwa inilah yang diabadikan sehingga menjadi sebahagian ibadah Haji.

Kami bertolak dari Arafah ke Mina dengan menaiki bas selepas solat Asar. Bas bergerak amat perlahan dan pemandangan di kiri kanan penuh dengan manusia yang menuju ke destinasi yang sama.

Di Mina, Jemaah Haji masih ditempatkan di dalam khemah yang didirikan oleh Tabung Haji.

Jemaah Haji dari Malaysia ditempatkan di khemah-khemah yang kelihatan di belakang gambar. Rakyat dari kebanyakan negara miskin lazimnya membawa khemah sendiri yang dipacak hampir sesuka hati di Arafah.
Pemandangan di Mina pada Musim Haji 1426H.
Pintu masuk ke khemah Jemaah Haji Malaysia di Mina. Di sebelah adalah khemah Jemaah Haji Brunei.
Pemandangan dalam khemah Jemaah Haji lelaki di Mina.
Pemandangan di hadapan Jamrah.
Jemaah Haji tidak digalakkan oleh petugas Tabung Haji untuk melontar pada waktu sesak. Ada CCTV di kawasan khemah Jemaah Malaysia yang boleh digunakan untuk mengagak waktu yang sesuai untuk melontar.
Jemaah Haji Malaysia selalunya dibawa melontar Jamrah oleh petugas-petugas Tabung Haji pada waktu malam.
Pada musim Haji 1426H, tempat melontar terdiri dari 2 tingkat. Jemaah Malaysia akan dibawa melontar dari Tingkat Atas.
Selepas selesai melontar 3 Jamrah di Mina, para Jemaah bergerak kembali ke Makkah untuk melakukan ibadah seterusnya: Tawaf dan Saei bagi melengkapkan ibadah Haji.

Jemaah Haji dari negara-negara selain Malaysia bertolak balik ke Makkah selepas bermalam di Mina.

Part 5: Tawaf Dan Saie Di Masjidil Haram

Sekembali ke Makkah, para Jemaah akan terus ke Masjidil Haram untuk bertawaf di Kaabah.

Tawaf Haji di Kaabah. Gambar diambil dari bumbung Masjidil Haram.
Pada musim Haji, kesemua tiga tingkat bangunan Masjidil Haram dibuka untuk kegunaan Jemaah. Myself dan husband sering bertawaf di aras bumbung kerana di sana kurang sesak berbanding di aras bawah. Kalau di tingkat satu pulak, tawaf sering terganggu dengan tiang-tiang masjid. 

Selepas Tawaf, diikuti dengan Saei, iaitu berjalan pantas/berlari-lari anak di antara Bukit Safa dan Marwah sebagai mengenang peristiwa sewaktu Siti Hajar ditinggalkan oleh suaminya, Nabi Ibrahim a.s di Makkah yang ketika itu kering-kontang bersama anaknya, Nabi Ismail yang masih bayi. 

Kami tak bawa kamera sewaktu buat Saei. Untuk mengabadikan kenangan sewaktu melakukan ibadah tersebut, Myself gunakan gambar yang diambil dari internet.   

Saei bermula dari Bukit Safa dan tamat di Bukit Marwah. Selepas Saei, perlu menggunting sekurang-kurangnya 3 helai rambut. Tak perlu bimbang jika tak bawak gunting kerana di Bukit Marwah ada banyak gunting wakaf yang boleh digunakan.

Pemandangan mengerjakan Saei pada musim Haji. Laluan di tengah-tengah dikhaskan untuk pengguna kerusi roda.
Pemandangan di Bukit Marwah. Saei dimulakan dari bukit Safa dan berakhir di sini. Kawasan Saei dibina 2 tingkat dan kami selalu bersaei juga di Tingkat Atas untuk mengelakkan kesesakan di Tingkat Bawah pada Musim Haji.
Bagi lelaki, ramai yang memilih untuk membotakkan kepala. Husband juga memilih untuk berbuat begitu. Cuma kata husband, lepas bercukur botak, susah sikit nak tidur sebab kepala rasa kesat dan selalu terlekat kat sarung bantal waktu berpusing nak tidur.

BAHAGIAN 2: ZIARAH SEKITAR MAKKAH

Part 6: Ziarah Makkah 

Selepas selesai menunaikan ibadah Haji, para Jemaah dibawa menziarah tempat-tempat bersejarah di Makkah. Antara tempat yang dilawati termasuklah Arafah dan Mina yang kelihatan berbeza sekali tanpa lautan manusia.


http://alfalahku.files.wordpress.com/2008/10/map_makkah_f.jpg
Peta kota Makkah sewaktu kami menunaikan Ibadah Haji pada Disember 2005- Januari 2006. Sangat jelas kelihatan kota Makkah didirikan mengelilingi Masjidil Haram.

Part 7: Masjidil Haram

Masjidil Haram, adalah masjid paling suci dalam agama Islam. Masjid ini terletak di Kota Makkah Al Mukarramah. Masjidil Haram dibina mengelilingi Kaabah, iaitu Qiblat umat Islam apabila mengerjakan solat.


Pintu Umrah di Masjidil Haram. Sewaktu menunaikan Umrah pada tahun 1998 dan 2001, kami tinggal di Hotel Zahret Makkah berhadapan pintu ini.
Pintu King Fahd di Masjidil Haram. Sewaktu menunaikan Haji pada tahun 2005/6, kami tinggal di Hotel Firdous Makkah berhadapan pintu ini.
Pemandangan dari Pintu Saei Masjidil Haram. Bangunan putih 2 tingkat di sebelah kanan adalah Perpustakaan yang merupakan tapak rumah Rasullullah s.a.w. pada masa dahulu.
Sebahagian daripada Rukun Haji perlu dilakukan dalam kawasan Masjidil Haram sendiri, iaitu Tawaf Ifadhah dan Sa'ie antara Safa dan Marwah.

Pemandangan dari dalam Masjidil Haram (Dari Aras 1)
Polis sedang berkawal di belakang Maqam Ibrahim di Masjidil Haram. Di atas sinilah Nabi Ibrahim berdiri sewaktu baginda membangunkan Kaabah bersama puteranya, Nabi Ismail. Maqam Ibrahim adalah salah sebuah tempat makbul doa di Masjidil Haram.
Pemandangan di Tingkat Bawah Masjidil Haram. Tempat ini tidak pernah sunyi dari kunjungan manusia yang mencari keredhaan Allah.
Pemandangan dari luar pintu Saei.
Kedai di dalam Dataran Masjidil Haram.

Part 8: Ziarah Arafah

Arafah adalah tempat berwukuf sewaktu Haji. Tempohnya bermula dari gelincir matahari 9 Zulhijjah sehingga sebelum terbit Fajar 10 Zulhijjah.Wuquf tidak dibuat pada hari dan waktu yang lain. Di sinilah juga Nabi Muhammad saw menyampaikan khutbah terakhirnya (Khutbah Wida’) atau khutbah selamat tinggal.

Sempadan Arafah
Kakak ipar menunggang unta di Padang Arafah.
Setelah berpisah 40 tahun, Nabi Adam diturunkan di India, Siti Hawa di Jeddah. Berjalanlah keduanya hingga bertemu di Arafah, di atas Jabal Rahmah.

Jabal Rahmah. Tempat pertemuan Nabi Adam dan isterinya Siti Hawa selepas terpisah selama 40 tahun selepas diturunkan dari syurga.
Dari Jabal Rahmah, kita dapat melihat keseluruhan Padang Arafah di mana para Jemaah Haji berkumpul untuk berwukuf di Musim Haji.

Padang Arafah yang dipenuhi pokok-pokok. Antara kenangan sewaktu berwukuf di sini adalah betapa banyaknya nyamuk di sini. Tapi waktu tu tak berani nak komplen, takut banyak dugaan kerana sedang berihram.
Pemandangan dari Jabal Rahmah
Pengunjung yang baru tiba memanjat ke Jabal Rahmah (Pemandangan dari puncak Jabal Rahmah)
Pemandangan dari bawah Jabal Rahmah. Di Tugu atas sanalah Nabi Adam bertemu kembali dengan Siti Hawa selepas diusir dari syurga ke bumi.

Part 9: Ziarah Mina

Mina adalah jalan lembah yang disinggahi oleh para jemaah haji untuk melempar jumrah.

Sewaktu menunaikan Umrah pada tahun 1998, mutawif ada membertitahu bahawa sempadan Arafah dan Mina dinamakan Wadi Nar (Lembah Api) kerana di sinilah tentera bergajah Abrahah dimusnahkan oleh burung Ababil yang membawa batu dari neraka. Mungkin di sinilah tempatnya Wadi Nar tersebut.
Di sekitar Arafah ada terusan lama yang dinamakan Runtuhan Ain Zubaidah yang dibina oleh isteri Khalifah Harun Al-Rashid
Runtuhan Ain Zubaidah.
Khemah Jemaah Haji kelihatan sunyi sepi kerana tiada berpenghuni ketika ini.

Khemah Jemaah Haji yang kosong di Mina.
Khemah Jemaah Haji di Mina. Khemah ini bersifat kekal dan dibina oleh Kerajaan Arab Saudi selepas satu kejadian kebakaran besar pada musim haji pada satu ketika dulu.
Pemandangan di Jamratul Kubra, jumrah terbesar di antara ketiga-tiga Jumrah di Mina.
Signboard Jamratul Kubra
Pemandangan ke dalam Jamratul Kubra.

Part 10: Jabal Nur

Jabal Nur di luar kota Makkah adalah sebuah bukit yang sangat tinggi. Di puncak bukit inilah terdapatnya Gua Hira'. Sejarah penting yang ada pada Gua Hira' ialah di sinilah tempatnya di mana ayat-ayat dari kitab suci Al-Qur’an diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk pertama kali. 

Walau tidak dianjurkan, ramai pengunjung mendaki bukit ini sehingga ke puncak, untuk melihat sendiri gua di mana wahyu mula-mula diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. 

Kami hanya melintasi bukit ini tanpa persinggahan. Namun kesayuan perasaan melihat tempat di mana wahyu mula diturunkan tetap meninggalkan kesan di dalam hati, walau hanya dipandang dari dalam bas.

Pemandangan Jabal Nur dari dalam bas.

Part 11: Jabal Thur

Mengikut sejarah, ketika Rasulullah mula berhijrah ke Madinah, baginda bersama Saidina Abu Bakar bersembunyi dari Kaum Quraisy di Gua Thur di Jabal Thur. Selama persembunyian tersebut, anak Abu Bakar, Asma mendaki Jabal Thur membawa makanan untuk Baginda Rasullullah dan ayahandanya.

Pemandangan Jabal Thur dari tempat perhentian bas.
Pemandangan Jabal Thur
Papan Tanda dalam pelbagai bahasa di Jabal Thur yang melarang pengunjung mendaki ke puncak bukit.
Pengunjung yang tetap ingin memanjat ke Gua Thur.

Part 12: Masjid Miqat Tana'im (Masjid Aisyah)

Sekiranya anda telah menetap di Makkah dan ingin menunaikan Umrah, anda perlu keluar dari Tanah Haram untuk bermiqat.

Peta Miqat Umrah bagi penduduk Makkah
Salah sebuah tempat yang sering dikunjungi adalah Tana'im. Ia adalah tempat miqat yang paling dekat dengan kota Makkah. 

Masjid Miqat di Tana'im juga dikenali sebagai Masjid Aisyah kerana isteri Nabi Muhammad s.a.w, Siti Aisyah bermiqat dari sini sewaktu menunaikan umrah.

Masjid Miqat di Tana'im.
Pemandangan di dalam Masjid Miqat di Tanaim.

Part 13: Masjid Miqat Ja'aranah

Masjid Miqat di Ja'aranah terletak agak jauh dari Makkah. Dikatakan bahawa miqat inilah yang disukai oleh Nabi Muhammad s.a.w. untuk memulakan ihram berumrah.

Masjid Miqat di Ja'aranah
Penjaja berjual di depan Masjid Miqat di Ja'aranah. Pembeli setia ada di mana-mana.

BAHAGIAN 3: ZIARAH KE JEDDAH

Part 14: Jeddah 

Jeddah adalah bandar pelabuhan yang terletak di pinggir Laut Merah. Sekiranya anda ingin berkunjung ke Makkah menggunakan kapalterbang, di sinilah terletaknya King Abdul Aziz Airport yang merupakan pintu masuk utama bagi Jemaah Haji dan Umrah.

Peta Jeddah
Selepas selesai ibadah haji sehari sebelum kami meninggalkan kota Makkah untuk menuju ke Madinah, kami telah dibawa oleh Tabung Haji Travel berkunjung selama 1 malam di kota Jeddah.

Lebuhraya yang menghubungkan Makkah dengan bandar Jeddah
Pemandangan gurun di sepanjang jalan dari Makkah ke Jeddah.
Perjalanan dari Makkah ke Jeddah hanya mengambil masa kira-kira satu jam. Setibanya di sana, kami dibawa mengelilingi bandar Jeddah.

Part 15: Laut Merah

Tumpuan lawatan adalah di persisiran Laut Merah.


Kawasan perumahan mewah di pinggir pantai Laut Merah di Jeddah.
Pemandangan pantai Laut Merah
Bergambar bersama suami di pinggir pantai Laut Merah.

Part 16: Masjid Terapung

Satu persinggahan wajib bagi pengunjung ke Jeddah adalah sebuah masjid terapung yang dinamakan Masjid Rahmah. Menurut mutawif kami, masjid ini dibina oleh seorang wanita untuk membayar nazarnya.

Pemandangan di luar Masjid Terapung di Jeddah
Pintu masuk ke Masjid Terapung
Pemandangan di dalam Masjid Terapung.

Part 17: Hotel Radisson Jeddah

Di Jeddah, kami menginap di sebuah hotel 4 bintang, Radisson Jeddah Hotel.

Hotel Radisson Jeddah.
Kami mengalami sedikit 'Cultural Shock' sewaktu di Jeddah kerana bandar ini agak 'liberal' jika dibandingkan dengan Makkah. Jika di Makkah penggunaan internet disekat atas alasan ia banyak keburukan, penggunaan internet tidak disekat di Jeddah. Siaran televisyen juga tidak disekat seperti sewaktu di Makkah. 

Kesempatan ini turut digunakan oleh Husband untuk menyemak email dan menggunakan internet yang disediakan di hotel.

Part 18: Shopping Centre Di Jeddah

Di Jeddah, kami berkunjung ke pusat membeli-belah Corniche Commercial Centre yang terletak di Al Balad. Di sini juga kami dapat melihat ramai pekerja wanita berbangsa Filipina keluar masuk ke kawasan perniagaan ini untuk bershopping.

Corniche Commercial Centre di Al Balad, Jeddah
Satu lagi pemandangan di Corniche Commercial Centre di Al Balad, Jeddah.

BAHAGIAN 4: ZIARAH KE MADINAH

Part 19: Madinah 

Pada penghujung perjalanan Haji, kumpulan Jemaah kami dibawa berkunjung ke Kota Madinah yang terletak kira-kira 4 jam perjalanan dengan bas dari kota Makkah. 

Tujuan utama kunjungan adalah untuk membolehkan para Jemaah bersolat 40 waktu di Masjid Nabawi kerana Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa solat di masjidku 40 solat (dengan syarat) ia tidak ketinggalan dalam satu solat (waktu) pun, nescaya akan ditulis baginya kelepasan dari api neraka, dan kelepasan dari azab siksa dan (ia juga akan bersih) dari sifat munafik." 

DARI MAKKAH KE MADINAH 

Hati amat sayu sewaktu tiba masa untuk meninggalkan kota Makkah. Masjidil Haram dipandang sepuas hati dengan doa agar dapat kembali beribadat lagi di sini.

Pemandangan Masjidil Haram sewaktu meninggalkan kota Makkah
Sewaktu mengerjakan Umrah pada tahun 1998 dan juga 2002, Jemaah tidak terus berkampung di Makkah, sebaliknya dibawa terus ke Madinah sebaik mendarat di Lapangan Terbang di Jeddah.

Pemandangan sepanjang perjalanan dari Makkah ke Madinah adalah melalui padang pasir. Terdetik di dalam hati, mungkin inilah juga laluan yang juga digunakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. bersama Abu Bakar sewaktu berhijrah dari Makkah ke Madinah.


Pemandangan di Lebuhraya dari Makkah ke Madinah.
Bas kami turut membuat persinggahan di sebuah kawasan R&R yang tak diketahui namanya di Lebuhraya ini.

Masjid di Kawasan Rehat Leburaya Makkah-Madinah
Bergambar di Kawasan Rehat Lebuhraya Makkah-Madinah.
Jika menunaikan Umrah dari Madinah, miqatnya adalah di Bir Ali.

Masjid Bir Ali di antara Makkah dan Madinah yang menjadi tempat bermiqat bagi Jemaah Umrah yang datang dari arah Madinah.
Namun dalam perjalanan Haji kami, disebabkan kami terus ke Makkah dan tidak ke Madinah terlebih dahulu, kami tidak singgah di Bir Ali. Namun, myself tetap mengabadikan gambar Masjid Bir Ali dalam catatan ini bagi mengenang kembali 2 perjalanan Umrah yang telah dilalui sebelum menjadi Tetamu Allah untuk menunaikan ibadah Haji.

Part 20: Bandar Madinah

Setibanya di Bandar Madinah, Myself merasa amat terpegun. Berbeza sekali keadaannya dengan kunjungan terakhir ke sini pada tahun 2002.


http://alfalahku.files.wordpress.com/2008/10/map_madinah_f1.jpg
Peta kota Madinah. Kota Madinah pula dibina mengelilingi Masjid Nabawi.
Bandar Madinah amat moden. Seluruh bandar telah dibina semula bagaikan sebuah kompleks komersil yang besar.

Abang bergambar di depan hotel penginapan kami di Madinah, Hotel Anwar Movenpick
Pusat Membeli-belah Bin Dawood di Madinah
Pemandangan bandar Madinah dari Hotel Anwar Movenpick.

Part 21: Masjid Nabawi

Masjid Nabawi adalah masjid kedua utama dalam Islam. Masjid ini asalnya dibina bersebelahan dengan rumah Nabi Muhammad s.a.w. 

Mercu tanda utama Masjid Nabawi adalah Kubah Hijau yang menempatkan makam Nabi Muhammad s.a.w. Kubah ini juga asalnya adalah tapak rumah Siti Aisyah r.a.


Salah sebuah pintu masuk ke Masjid Nabawi dengan pemandangan Kubah Hijau yang menempatkan makam Nabi Muhammad s.a.w.
Pintu-pintu masuk ke bangunan Masjid Nabawi.
Di dalam masjid ini, terdapat sebuah tempat yang dinamakan Raudah, iaitu sebuah tempat di mana doa amat makbul. Kawasannya tidak besar terutama di kawasan yang dikhaskan untuk Jemaah wanita, maka tidak hairanlah jika ia amat sesak dan berpusu-pusu.

Kawasan Raudah Di Dalam Masjid Nabawi

Pemandangan di Pintu Besar Masid Nabawi selepas habis solat.

Part 22: Masjid Quba'

Masjid Quba' adalah masjid yang pertama didirikan setelah kedatangan Islam. Ia terletak di Bandar Madinah. Semasa hayatnya, Nabi Muhammad s.a.w. kerap mengunjungi Masjid Quba dan menunaikan solat sunat. 

Penghormatan yang diberikan kepada masjid ini ialah Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda: "Sesiapa yang bersuci (mengambil wuduk) di rumahnya, kemudian pergi ke masjid Quba' lalu mendirikan sembahyang di dalamnya, ganjarannya samalah dengan pahala ibadat Umrah".

Pemandangan di luar Masjid Quba'.

Part 23: Masjid Qiblatain

Pada permulaan Islam, orang melakukan solat dengan kiblat ke arah Baitulmaqdis. Kemudian, turunlah wahyu kepada Rasulullah SAW untuk memindahkan kiblat ke arah Masjidil Haram di Makkah. 

Ketika itu Rasulullah SAW tengah solat dengan menghadap ke arah Masjidil Aqsa. Di tengah solat, tiba-tiba turunlah wahyu surah Al Baqarah ayat 144, yang ertinya: 

“Sungguh Kami (sering) melihat mukamu menengadah ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu berada, palingkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Alkitab (Taurat dan Injil) memang mengetahui, bahwa berpaling ke Masjidil Haram itu adalah benar dari Tuhannya; dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang mereka kerjakan.” 

Setelah turunnya ayat tersebut di atas, Nabi menghentikan sementara solatnya, kemudian meneruskannya dengan memindahkan arah kiblat menghadap ke Masjidil Haram. Merujuk pada peristiwa tersebut, lalu masjid ini dinamakan Masjid Qiblatain, yang ertinya "masjid dengan dua kiblat".

Masjid Qiblatain.

Part 24: Bukit Uhud

Bukit Uhud adalah tempat berlakunya pertempuran sengit  antara tentera Islam dan musyrikin dari Makkah yang berakhir dengan kekalahan tentera Islam.

Pemandangan Bukit Uhud - Pahala mengerjakan solat jenazah adalah sebesar Gunung Uhud. Inilah saiz pahala yang diberikan.
Pemandangan di tempat bas Bukit Uhud. Bukit di belakang adalah Bukit Rumat (Bukit Pemanah).
Sebelum bermulanya pertempuran, Rasulullah s.a.w. telah mengarahkan supaya 50 orang pemanah mengambil tempat di puncak Bukit Rumat untuk melindungi bahagian belakang tentera Islam. Namun arahan ini tidak dipatuhi dan menjadi punca kekalahan tentera Islam dalam Perang Uhud.

Bukit Rumat (Bukit Pemanah).
Di Makam Syuhada Uhud inilah Saidina Hamzah bin Abdul Muttalib bersama 70 syuhada yang lain yang gugur di Perang Uhud disemadikan. Menurut ceritanya, pernah satu ketika makam ini dilanda banjir dan jenazah-jenazah yang dikebumikan di sini terkeluar dari bumi. Apa yang mengkagumkan, jenazah-jenazah ini tidak reput, hanya kelihatan seperti sedang tidur.

Papan kenyataan dalam Bahasa Melayu mengingatkan para pengunjung supaya tidak melakukan amalan syirik di kawasan Makam Syuhada.
Pemandangan Makam Syuhada di Bukit Uhud.

Part 25: Tapak Perang Khandak

Perang Khandak (parit) dinamakan sedemikian kerana tentera Islam telah menggali parit di sekeliling kota Madinah untuk menghalang tentera musuh dari menceroboh dan menyerang Madinah. Dengan bantuan Allah, tentera Islam telah mendapat kemenangan walaupun jumlah gabungan tentera Mekah amat besar.

Parit yang dibina tidak lagi kelihatan di Madinah. Namun tapak-tapak khemah para sahabat yang membantu menggali parit telah didirikan masjid-masjid kecil.

Masjid Fatah
Masjid Salman Al-Farisi.

Part 26: Penerbangan Pulang

Tidak seperti ketibaan, penerbangan pulang kami adalah langsung dari Madinah. Inilah kelebihan Jemaah yang terpilih menggunakan Penerbangan Saudia seperti kami.

Bagi Jemaah yang terpilih menggunakan Penerbangan Malaysia, mereka terpaksa menaiki bas kembali ke Jeddah untuk terbang pulang dari sana.